Showing posts with label Ruh ku. Show all posts
Showing posts with label Ruh ku. Show all posts

Sunday, May 3, 2015

Rasa diri rendah

Semakin lama dalam tarbiyah, semakin rasa diri ini tidak sempurna. Itu perasaan yang biasa.

Semakin sensitif dengan dosa sendiri. Semakin tahu banyaknya ketidaktahuan. Semakin mengerti adanya kekurangan pada diri. Kenal ramai ikhwah yang lagi hebat pengetahuannya, lebih banyak amalannya, lebih baik hafalannya, lebih lunak dalam berkata-kata, lebih baik dalam pergaulan…

***

Dengan perasaan ini, kita tetap di atas jalan tarbiyah ini.

Dengan perasaan ini, kita mengislah diri. Membawa diri jauh dari perbatasan dosa. Melipatgandakan amal-amal mendekat cinta hakiki.

Dengan perasaan ini, kita berkenalan dengan dakwah.

Dengan perasaan ini, kita mendepani masyarakat.

Perasaan lemah ini tidak menghalang diri dari terus melaksanakan misi Syahadatul Haq. Beramal dan terus beramal.

Perasaan inilah yang membuatkan kita semakin memahami dan meyakini bahawa setiap apa yang kita buat ini bukan dengan kekuatan kita. Tetapi dengan kehendak Allah.


Kehendak Allah.

Kun.

#‎JomUsrah‬

Thursday, October 23, 2014

Aku tidak mahu jadi pentaksub!

Itulah yang bermain di mindaku bila aku masuk ke dalam usrah. Aku takut melihat pakcik-pakcik, makcik-makcik yang asyik mengquote Hasan al-Banna.

Apa hebatnya manusia itu?

Persoalan itu dijawab dengan beberapa kisah yang pada aku tak berapa boleh nak percaya berkenaan beliau, yang menyebabkan aku semakin  takut nak mendekati watak itu. 

Yang paling susah padaku adalah untuk membaca bukunya (Yang mengandungi 683 halaman) yang ditakuti akan membuatkanku ter’sihir’ seperti senior-seniorku juga.

Maka aku lebih mendekati buku-buku Syed Qutb, Maududi, Mustafa Tahan, Zainab al-Ghazali, Abdul Karim Zaidan, Zindani, Muhammad Ahmad ar-Rasyid etc. etc. 

Menariknya kebanyakan penulis-penulis buku ini kerap kali menjadikan Hasan al-Banna dan risalahnya sebagai rujukan. Menakutkan…

Aku dengan itu lalu semakin tidak mahu membacanya. Sehinggalah...

Sehinggalah hatiku benar-benar sudah jatuh cinta terhadap dakwah ini. Jatuh cinta terhadap manhajnya. Jatuh cinta terhadap pendokong-pendokongnya. Jatuh cinta terhadap biah yang dibinanya. Jatuh cinta terhadap jemaah islam ini, jemaah ikhwan al-muslimun.


Namun, aku tidak pernah membaca tulisannya itu.

Hanya kerana aku takut taksub kepada individu.

Hari demi hari berlalu. Sehingga akhirnya 5 tahun usiaku di dalam gerabak jemaah dakwah ini. 

Aku membaca dengan teliti buku Baina ats-Tsawabit wa al-Mutaghaiyirat, Jumah Amin tiba-tiba menekankan bahawa Majmuk Rasail itu seharusnya menjadi rujukan semua individu yang berada dalam jemaah ini. 

Aku tersentak.

Mengapa? Kerana itulah gerak kerja dan kesatuan hati yang hendak dibina demi membina ummah.

Apabila aku cuba membaca dan memahami bait-bait pilar-pilar kebangkitan ummah tulisan Muhammad al-Ghazali. Aku gagal. 

Apabila dirujuk kepada naqibku ketika itu, beliau menjelaskan bahawa tips kebangkitan ummah itu ditulis dengan berpandukan Majmuk Rasail. Dengan berpandukan gabungan risalah itu, Muhammad al-Ghazali mengeluarkan formula yang ternyata gagal difahami jika seseorang itu tidak memahami basis Majmuk Rasail itu sendiri.

Dengan keterdesakan itu. Dengan perasaan bahawa aku sudah bersedia untuk menilai baik buruk. Dengan merasakan bahawa aku serba sedikit sudah mengetahui latar belakang ISHAB dan dakwah yang dibinanya... 

Aku akhirnya ada kekuatan untuk membaca satu per satu helaian Majmuk Rasail itu. Aku khatamkannya dan aku ulang berkali-kali. Ternyata Ia sebuah karya yang hebat!

Barulah aku memahami apa yang aku buat selama ini, dakwah yang dikerjakan selama ini, fikrah yang dicanang-canangkan selama ini datangnya dari Sang Mujadid ini, yang ternyata genius dakwah.

Ya! Selama ini pakcik-pakcik, makcik-makcik, abang abang kakak kakak duk sembang pasal asy-Syahid bukannya kerana beliau merupakan naqib pertama (naqib kepada naqib kepada naqib kepada naqib.... ... ) ataupun sekadar merupakan seorang pengasas organisasi yang berjasa… Namun beliau ternyata merupakan seorang pakar dakwah yang mencetakkan tulisan dan amalannya dalam ummah ini dan akhirnya kunci-kunci kejayaan itu sedang digunakan oleh ummah di mana-mana pada hari ini.

Aku tergelak kecil.

Terima kasih ustaz. Moga Allah merahmatimu, menerima segala pengorbananmu buat ummah ini.

Majmuk Rasail kekal menjadi buku tulisan manusia yang paling aku sukai, sehingga ke hari ini.

Anda sudah membacanya?

Thursday, August 7, 2014

Bukan perbalahan antara Al-Haq



Ini bukannya perbalahan di antara siapa yang benar dan siapa yang lebih benar

Sekarang, sedang heboh diperkatakan di semua saluran media di seluruh dunia berkenaan boikot yang dilaksanakan ke atas Israel. Ianya berlaku kerana bermula 8 Julai 2014, Gaza telah diserang oleh mereka.

Alasan yang digunakan konon-kononnya beratus-ratus tan bom dilepaskan ke Gaza untuk menghancurkan terowong-terowong bawah tanah pengganas, tidak dapat diterima pakai sama sekali. Hakikatnya sudah 500 kanak-kanak mati dan 1000 cedera akibat serangan membabi buta ke atas Gaza yang Israel lakukan siang dan malam. Hari ini sudah masuk hari ke 30 serangan dibuat.

Di Malaysia, produk-produk yang mempunyai kaitan secara langsung mahupun secara tidak lansung, disasarkan untuk diboikot. Ada NGO yang mensasarkan 4 produk ini, ada pihak yang mencadangkan 4 produk yang lain, ada artis yang komited untuk serang produk ini, ada yang cuba membuktikan produk itu tidak perlu diboikot dan menghentam organisasi yang memboikotnya, ada yang tidak mahu boikot tetapi merasakan yang lebih penting adalah kerajaan menghentikan segala hubungan perdagangan dengan Israel, ada yang hendak buat demo besar-besaran di MITI dan macam macam lagi.

Secara umumnya, dapat kita simpulkan bahawa kempen Boikot telah mencapai objektifnya untuk menyedarkan masyarakat untuk tidak menyokong Israel dan menggunakan apa sahaja cara (at whatever means) untuk memberikan tekanan kepada Israel sekaligus menghentikan penindasan yang dilakukan oleh mereka.

Semua pihak perlu jelas akan objektif itu.

Keterlibatan satu-satu organisasi dengan kempen boikot bukanlah untuk membuktikan organisasinya jaguh isu tersebut atau mengelakkan imejnya dilihat sebagai organisasi lembik.

Semua individu perlu memainkan peranan untuk memberikan tekanan kepada Israel agar kejahatan yang direncana oleh Israel dapat dihentikan serta merta.

Anda tidak perlu menjadi sukarelawan mana-mana organisasi untuk terlibat dalam kempen boycott, divestment & sanction ini, anda hanya perlu menjadi manusia. Mainkanlah peranan setiap daripada kita.

Mungkin ada yang pandai bercakap.
Mungkin ada yang pandai menulis secara santai.
Mungkin ada yang pandai membuat kajian.
Mungkin ada yang pandai menyanyi.
Mungkin ada yang pandai design.
Mungkin ada yang pandai marketing.
Mungkin ada yang pandai buat Apps.
Mungkin ada yang pandai buat website.
Mungkin ada yang pandai lukis kartun.
Mungkin ada yang pandai sejarah.
Mungkin ada yang pandai buat analisa.
Mungkin ada yang pandai compile maklumat.
Mungkin ada yang pandai compose lagu.
Mungkin ada yang pandai tulis cerpen.
Mungkin ada yang pandai….

Gunakanlah kepakaran anda untuk membantu mereka di sana.


Whats next?

Ramai yang tidak yakin kepada boikot ini kerana mereka tidak dapat melihat bukti yang pasti kejatuhan satu-satu 'kuasa besar' kerana serangan massa.

Tahukah kita, tumbangnya apartheid di Afrika selatan kerana BDS yang dilakukan oleh dunia ke atas mereka?

Begitu juga usaha penduduk Bait Sahour pada tahun 1989 yang akhirnya telah berjaya menjadikan Israel berang hanya kerana 'kempen pasif' mereka iaitu untuk tidak membayar cukai kepada Israel. Akhirnya dunia melihat mereka dan mengetahui siapakah Israel yang sebenarnya.

Dunia hari ini bukan seperti dunia yang dahulu.

Jika dahulu, kerajaan autokratik akan memegang sepenuhnya masyarakat dan tiada sebarang aktiviti terlarang atau penyebaran info yang dapat menggugat status quo disebarkan. Hari ini, seseorang hanya perlu buka telefon bimbit mereka untuk mengambil tahu semua isu yang berlaku di seluruh dunia.

Jika dahulu pada tahun 1983, Hafiz Al-Asad dapat membunuh 30 ribu pemberontak di negaranya tanpa sebarang maklumat pun sampai ke luar Syria, hari ini regim yang sama menderita bukannya kerana serangan dalaman, tetapi kerana tekanan demi tekanan yang dikenakan oleh seluruh dunia ke atas mereka.

Boikot yang dipromosikan hari ini, pasti akan membuahkan hasil, samada cepat ataupun lambat sahaja.

Mengapa lambat?

Ianya akan lambat jika kita masih gagal untuk faham mesej apa yang sebenarnya nak disampaikan melalui kempen ini.

Ini bukan kempen saja-saja nak tunjukkan kemarahan. Ia adalah suatu gelombang yang lahir dalam bentuk amal untuk menghentikan lobi ekonomi ke atas Israel. Menghentikan bantuan ekonomi kepadanya. Menghapuskan dominasi ekonomi mereka. Dan menghantar signal yang sangat bahawa yang tidak senang dengan tindakan mereka, bukan satu-satu organisasi sahaja,

Tetapi seluruh dunia!

1) Sasaran Kempen Boikot ialah Israel

2) Di Malaysia, Boikot dilakukan dengan memulau pembelian produk atau perkhidmatan syarikat yang jelas dan terbukti menyumbang kepada ekonomi Israel.

3) Tekanan ke atas syarikat-syarikat akan berhenti sebaik sahaja syarikat-syarikat ini menafikan sokongan mereka terhadap kerajaan haram Israel.

4) Secara syara’ barang-barang yang diboikot ini halal. Ianya tiada kaitan dengan halal dan haram.

5) Tiada paksaan dalam boikot ini. Boikot dilaksanakan secara sukarela.

6) Dalam melaksanakan Boikot ini, kita mestilah melaksanakannya dengan adab dan akhlak yang baik juga tidak melanggar undang-undang yang telah digariskan oleh Malaysia.

Oleh itu, saya secara peribadi ingin menyeru peserta kempen Boikot untuk mengikut Panduan Boikot seperti berikut:

1) Tidak mengganggu perniagaan, premis dan pekerja syarikat-syarikat termasuklah dengan menggunakan kemudahan mereka secara tidak sah, membuat serangan saraf terhadap syarikat tersebut yang merendahkan martabat mereka (defamation) dan tidak melakukan serangan fizikal.

2) Tidak memaksakan kempen ini dan tidak merendahkan mereka yang tidak bersama dengan kempen ini.

Abu Khalid,
Seri Kembangan

Tuesday, March 19, 2013

Di sudut hatiku

Adik-adikku,

Seorang muslim itu tidak berputus asa. Putus asa, malah bertentangan dengan prinsip kehidupan mana-mana manusia. Untuk hidup, seorang manusia perlu punya keinginan. Seorang insan itu perlukan kemahuan.

Resistance level seseorang itu berbeza-beza mengikut motivasi yang ada dalam dirinya.

Di sana wujudnya islam yang sangat indah, memberikan motivasi dalam sanubari seorang muslim, bermulanya apabila seorang muslim itu merasai wujudnya Tuhan dalam kehidupannya.

Allah, dengan segala kehebatannya, memberikan motivasi yang tidak putus-putus kepada seorang mukmin itu agar bergantung harap hanya kepadaNya yang Maha Hebat, dan Dia telah menjanjikan pertolongan buat mukmin itu, di dunia dan akhirat.

Itu beza kita, dengan manusia biasa.

Seorang akh yang ada iman dalam dirinya, pasti berbeza dengan kufar yang tiada hala tuju, dan tiada pergantungan dalam hidupnya.

Kita ada motivasi terhebat itu.

Dan adikku, motivasi itu akan lahir dalam setiap ucapanmu, dalam setiap lirikan matamu, akan lahir dalam setiap geri-gerimu. Ya, seorang akh itu wajib bermotivasi lebih dari manusia biasa.


Motivasi itu malah kita namakan Semangat! (Hamasah).

Bukanlah seorang akh yang benar, mereka yang tiada hamasah.

Bukanlah seorang akh yang benar, mereka yang putus asa, tiada ruh.

Bukanlah seorang akh yang benar, mereka yang menyerahkan nasibnya kepada orang lain.


Al-Akh As-Shodiq hanya akan berserah kepada Allah. Di saat itu, segala amalannya akan terjamin kejayaannya.


Lesu, luruh, runtuh jiwaku melihat adik-adik ini bagai tiada semangat untuk bersuara, untuk membina diri sendiri, untuk bekerja.

Kerana pada saat kau putus asa dan rendah semangat itu, segalanya berakhir.

Sunday, February 3, 2013

Sudah lama tidak menulis

Aku sudah lama tidak menulis.

Katakan apa sahaja alasan. Semuanya sudah aku berikan.

Hakikatnya, bila aku pulang dari kesibukan melaksanakan tanggungjawabku, aku pulang ke rumah di hadapan PC aku melihat apa bait yang inginku tuliskan.

Aku tulis. Aku padam.

Aku tulis. Aku padam.

Aku tulis. Aku padam.

Itu yang berlaku sepanjang 2 tahun ini. Keliru entah mengapa.

Menyedari ia bukanlah keutamaanku, aku kembali ke medan. Dalam muayasyah. Dalam usrah. Dalam musyawarah. Dalam daurah. Dalam Katibah.

Aku pulang dan duduk di hadapan PC. Ingin tulis sesuatu.

Tapi aku risau aku kini bukan seperti dulu.

Aku tulis. Aku padam.

Aku tulis. Aku padam.

Aku tulis. Aku padam.

...

Hari ini aku terbangun dek kejutan daripada adik-adikku yang rindukan sentuhanku...

Aku kembali menatap tulisan. Kadang-kadang tulisan itu biasa sahaja. Tetapi ada sesuatu yang lain mengenainya...

Ia sarat dengan cinta. Cinta!

Oh, aku lupa rupa-rupanya. Aku menulis kerana cinta.

Cintaku kepada agama ini. Cintaku kepada dakwah ini. Cintaku kepada murabbiku. Cintaku kepada Mutarabbiku. Cintaku kepada ikhwah akhawat fillah.


Sungguh aku terlupa, sewaktu aku menulis suatu ketika dahulu, selalunya aku akan menulis sambil bercucuran air mata. Ia membasahi wajahku, sepertimana basahnya hatiku menyampaikan cinta!

Sungguh aku tersasar jauh. Moga Allah menanamkan kecintaan yang mendalam itu kembali ke jiwaku.

Sungguh aku rindu untuk bercinta semula dengan dakwah ini. Moga kita dapat menyebarkannya bersama-sama.

Salam sayang,
Abu Khalid

Monday, January 31, 2011

Mesir, Tunisia, Algeria, Jordan, Arab Saudi, UAE



Kita doakan kemenangan mereka
Itu harapan kita
Kita ada perkiraan dan sangkaan kita
Itu juga harapan kita

Namun, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk semua
Allah Maha Mengetahui apa yang paling layak untuk kita
Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik dari yang terbaik

Andai ada ruang kemenangan yang Allah sediakan, dan kita dapat keluar dari belenggu penderitaan ini, Alhamdulillah
Doa lah doa lah doa lah doa lah

Namun jika Allah mentakdirkan kenderaan ummat ini terbabas buat kali kedua dan kita sama-sama cedera parah di gaungnya,
Itu hanyalah sekadar untuk menguji sejauh mana kita serius untuk sampai ke destinasi, walau macammana pun dugaaannya

Kerana harapan kita tetaplah untuk mencapai redha Allah
Walau di mana dan siapa pun kita di sisi manusia-manusia lain
Itu harapan tertinggi kita

Allah dan syurga

Saturday, November 20, 2010

Indahnya Syahid



Mereka gembira!

Kematian, pasti akan dirasa oleh semua makhluk yang bernyawa. Betapa enaknya hidup mereka, atau derita sekalipun, hari bersejarah itu pasti akan tiba.

Bila masa yang telah ditetapkan itu datang, tidak akan dapat diawalkan atau dilewatkan walau satu mikro saat sekalipun. Walaupun kita tidak mengingininya. Walaupun kita belum lagi puas meratah dunia. Walaupun masih banyak lagi kerja-kerja pejabat mahupun kerja-kerja dakwah tersisa.

Dalam malas atau semangat kita. Dalam huru hara atau tenangnya dunia. Hari pengakhiran itu akan datang menjergah tanpa pintaan atau keengganan kita. Waktu itu, barulah semua manusia benar-benar mengiktiraf takdir bukan di tangan mereka.

Waktu itu, manusia merasai seribu satu macam penyeksaan yang tidak mampu digambarkan dari pengamatan luaran. Baik fizikal yang terseksa, ataupun batin yang merana segala derita. Ia merupakan suatu igauan, malah dari lintasan hati yang pertama.

Saksikan kehebatan Tuhan KITA. Saksikanlah betapa hinanya KITA di sisiNYA. Betapa lemahnya KITA selaku hamba kepada NYA. Saksikanlah sebuah hakikat kematian:

Tiada siapa boleh menjamin pengakhiran kita

Cuba baca blog ini:



Alangkah indahnya pengakhiran bagi mereka yang syahid di jalanNya,



"Orang-orang yang mati syahid tidak merasakan sentuhan kematian melainkan seumpama salah seorang di antara kamu dicubit."

[Hasan sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain. Berkata al-Tirmizi: Hadis ini hasan sahih gharib. Berkata al-Albani: Hasan sahih. Lihat Sahih Sunan al-Tirmizi – no: 1668. (Kitab Keutamaan Jihad, Bab Berkenaan keutamaan di perbatasan Jihad).]

Thursday, November 11, 2010

Di sekitar Narawastu Ilmu





Apakah itu narawastu ilmu?
Apakah itu kemanisan ilmu?
Apakah itu keharuman ilmu?
Apakah itu kelazatan ilmu?

Bilakah kita dapat merasainya?

Itulah apabila setiap ilmu yang kita dapat itu menambah pengetahuan kita tentang Allah. Apabila dengan ilmu yang diperoleh, dengan hidayah dan kasih sayang yang dirasai itu, kita semakin mengenal Allah. Apabila dengan ilmu, menambah keakraban kita dengan Al-Kholiq, Allah Az-Zawajalla.

Maksud ilmu, bukan untuk menghasilkan bijak pandai semata-mata. Ia bukan untuk menghasilkan pakar dalam bidang-bidang tertentu; sains, matematik, sejarah, psikologi malah syariah sekalipun. Tapi adalah untuk melahirkan sebuah nilai kemulian, iaitu takwa.

Dengan ilmu, seorang hamba mengetahui maksud penciptaanya. Dengan ilmu seorang perdana menteri mengetahui kerendahannya. Dengan ilmu, seluruh umat manusia mengetahui kedudukannya di sisi robb. Mengetahui nilai mereka dengan setiap apa yang mereka kerjakan. Mengetahui bahawa setiap perbuatan mereka akan ada pembalasannya. Akan adanya surga dan neraka. Akan adanya alam yang abadi. Dan akan sesungguhnya mereka hanyalah menumpang di dunia ini, bukan tinggal selama-lamanya mengumpul harta sia-sia.

Bila seorang muslim, berilmu, ia tidaklah menjadikannya ujub hingga menghina orang yang kurang berilmu berbanding dirinya. Namun sedar dan tahu bahawa ilmu itu, pengetahuan itu juga akhirnya milik Allah, akan menyebabkan dirinya tidak henti-henti menuturkan ilmu-ilmu itu sehingga ia benar-benar tertanam kukuh di dalam hatinya. Ya, ilmu bukan sahaja penuh di otak, tapi ia membumi subur di dalam hati. Di dadanya, hingga mampu membunuh hujah-hujah syaitan durjana.

Dengan ilmu, imannya tidak akan terpenjara dalam dirinya. Ia akan melihat sejarah orang-orang terdahulu yang juga beriman dengan ilmu, akhirnya tidak meng0ngkong diri mereka di masjid-masjid dan biara-biara. Ilmu itu akan membuatkan imannya meronta-ronta, ingin menggerakkan setiap otot yang ada dan mengerahkan segala keringat hingga ke hujung nyawanya.

Hakikat ilmu itu akan membawa orang yang berilmu itu untuk berdakwah di jalan Allah, seterusnya menjual segala yang ada pada tubuh badannya di jalan Allah berjihad di jalanNya hingga tiada lagi darah yang mampu keluar mengalir untuk memperoleh maksud perjuangannya.

Ilmu yang ada akan mengajar hamba yang berilmu itu bahawa dunia ini hanyalah platform sebelum tibanya hari pembalasan. Dan maut akan menjelma, maka kautlah sebanyak mungkin hasil dunia untuk perolehan di akhirat. Ilmu itu menyebabkan orang yang berilmu tidak lagi ingin membazirkan masanya bergelumang dalam perasaan yang tidak pasti. Ia akan mencodak-codak tidak keruan ingin menggapai kematian dalam kemulian yang kedudukannya itu jauh lebih mulia daripada maksud-maksud lain dunia. Ia akan sentiasa berfikir, bagaimana akhirnya ia dapat mati syahid. Pengetahuannya tentang bidadari syurga yang sangat mengiurkan, menyebabkan perasaan rindu pada mereka tidak dapat dibendung lagi. Mereka ingin mati syahid hari ini juga!

Namun apabila seorang itu berilmu, jihadnya juga dengan ilmu bukan ikut-ikutan. Hamasahnya juga terbimbing dengan ilmu, maka ia tidaklah gelojoh mengejar matlamatnya, melainkan menjadi orang yang terancang setiap hayun langkahnya, agar matlamatnya itu akhirnya berada dalam genggaman kedua belah tangannya.

Itulah yang menjadi intisari ayat pertama yang diturunkan kepada Rasul. Bacalah; walhal Rasulullah tetaplah seorang ummi hingga ke hujung hayatnya. Ingin mengajar kita, siapakah tuhan yang sebenarnya; "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan".

Tahu. Hanya dengan pengetahuan, akan berbuahnya keimanan. Dan keimanan itu, hanya dengan pengetahuan dapat melahirkan tindakan. Dan amal itu, hanya dapat terarah dengan betul, berada dengan haq atas tariqul haq ini jika sekiranya dilaksanakan dengan ilmu juga.

Itulah rahsia mengapa datangnya al-Fahmu sebelum ikhlas. Seseorang yang tidak faham, tidak akan pernah dapat melahirkan keimanan dalam dirinya. Walau serendah manapun ilmu di dada, yang pentingnya faham dan imani.

Dan timbalah ilmu sebanyak mungkin, agar semakin dekat dirimu dengan tuhanmu...

Wahai manusia, bebaskanlah diri anda dari penjara kejahilan!

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan sudah menghampiri, aku masih kaku berdiri.





Langit mendung. Awan gelap. Angin sepoi-sepoi bahasa. Yang terdengar kini hanyalah bunyi angin yang bersiul, geseran sesama mereka menghasilkan bunyi bingit, umpama siulan kencang puting beliung yang memakan banyak jiwa.

Aku kini sedang berdiri di bawah awan yang mengandungi banyak hujan ini. Ia menunggu masa untuk menggugurkan manik-manik air yang menyejukkan. Entah baik untuk kesihatan, entah sebaliknya.

Kakiku kini kaku dan tegak terpacak di atas tanah hitam ini, hitam hingga sukar dalam kegelapan senja ini untuk melihat kakiku sendiri.

Di hadapanku, terpampang satu pintu pagar yang sangat besar. Ianya menyimpan misteri yang sungguh agung. Di sebalik pintu ini dan tembok yang gah ini, ada suatu tempat yang sungguh menenteramkan jiwa. Aku pernah merasainya.

Namun entah mengapa, tanah dan suasana yang gelap lagi menyejukkan ini seolah-olah menghambatku daripada menggapai tombol pintu itu. Aku masih mengira-ngira seandainya ada kejutan lain yang menantiku dalam kegelapan ini.

Selut dan lumpur yang menyelubungi setiap inci tubuh badan ini, seolah-olah menarikku untuk turut bersama mereka. Aku masih lemah dan tersiksa, seolah-olah pasrah dalam derita ini.


***

Hari ini, genap 7 tahun aku berada dalam madrasah tarbiyyah ini. 7 tahun juga aku mengalami perasaan yang serupa. Namun mujahadah cinta mengajarku apa itu erti bahagia, membuatkan aku begitu terhibur dan mengerti nikmat ketenangan dalam setiap ruangan cinta yang diperoleh sepanjang bulan penuh makna ini. Akhirnya, di setiap sela tahun itu, aku berjaya mendidik diri menjadi lebih rabbani dalam setiap ramadhan yang dilalui.

Juga hampir setahun genapnya ummi meninggalkan kami. Aku takut sebenarnya. Aku takut seandainya dugaan yang aku hadapi tahun ini lebih menghimpit, sehinggakan aku tidak menyediakan ruangan dalam sudut hati ini untuk kembali meniti titian penyucian jiwa. Tarbiyyah hati bulan ilahi.

Namun, dalam kelat perasaan hati ini aku tersentak dengan sikap beberapa sahabatku. Betapa mulianya mereka.

Ada sahabatku yang dengan penuh rendah hati menyatakan dia akan mengambil cuti hari ini, supaya dapat betul-betul bersedia untuk ramadhan kali ini. Dari sudut hati dan materi.

Tidak kurang juga kawan-kawanku yang lain yang begitu seronok merancang macam-macam untuk ramadhan mereka. Ada yang mengajakku jauh ke daerah lain untuk mencari kurma. Ada juga yang survey-survey tempat untuk dijadikan port i'tikaf. Ada yang sudah rancang betul-betul masa supaya dapat jadikan ramadhan kali ini sebagai suatu masa khusus mentarbiyyah adik-adik. Ramai pula sahabat-sahabatku yang menulis tentang ramadhan ini.

Aku terpegun sambil memandang mereka. Mengapa aku tidak merasakan bulan ini seistimewa itu sedangkan ia juga yang mengubah haluanku selama ini?

Sudah gelapkah hati? Sudah hitamkah sanubari?

Aku istighfar sebanyaknya. Mudah-mudahan ntum juga turut sama beristighfar.


***

November 2003

Apa yang ada di fikiranku hanyalah SPM, SPM dan SPM. Hinggakan hari ini, walaupun ia sudah tamat, ia tidak berhenti menghantui diriku. Setiap detik waktu aku hanya berfikir tentang SPM yang satu.

Entah mengapa, dalam keserabutan ini, aku dapat rasai ketenangan yang jarang sekali aku kecapi. Melalui solat-solat sunatku kah? Atau puasa penuh Rejab, Syaaban dan Ramadhan? Atau kerana aku dapat melepaskan segala beban yang aku pikul sepenjang zaman persekolahan ini?

Aku tidak pernah merasai kemanisan dan ketenangan ini. Tidak pernah. Baru kini aku dapat rasa kebergantungan yang sangat utuh kepada Sang Pencipta. Aku merasai betapa kerdilnya aku di sisiNya.

Selama ini, aku cuba melarikan diri dengan alasan untuk mencari arah tuju hidupku sendiri. Namun kini, aku kembali kepadaNya, kerana aku sedar tiada hiburan yang dapat menghiburkan aku, selain dzikrullah yang menenteramkan jiwa.



***


Bismillah,

Aku pegang tombol pintu gerbang itu dan memutarkannya.

Engsel berbunyi dan sinar-sinar cahaya keluar... Menyimbah diriku ini,

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!

Ya, Allah, Aku ingin dekat denganmu. Kaki kananku melangkah masuk.




Sunday, August 1, 2010

Melahirkan Khalifah



Melahirkan Khalifah

Realiti kini mempersembahkan kepada dunia betapa mustahilnya politik dipandang sesuatu yang mulia. Dari sudut mana sekalipun, kepercayaan dan dunia kepemimpinan tidak mampu disatukan. Satu demi satu kepimpinan dibongkarkan ketidakluwesannya dan menonjolkan ketidakmampuannya memandu hala tuju masyarakat dunia.

Sebutkan sahaja mana-mana figura, pasti dirinya ternampak juga tahi-tahi yang mencalit identitinya. Hari demi hari, masyarakat dunia kecewa dan kecewa. Terus kecewa. Harapan yang menggunung tidak pernah berbalas. Masyarakat dunia sudah hilang harapan. Hendak menyapa perubahan, takut pula perubahan itu lebih teruk berbanding penderitaan sebelumnya.

Ramai orang yang mengaku diri mereka mampu dan layak membuat perubahan yang dicita-cita. Setiap hari ada yang mendabik dada, “Pilihlah saya!”. Namun, keesokan harinya mereka memohon maaf atas kegagalan menyimbah sinar bahagia. Tidak kurang ada pemimpin yang naik ke atas pelamin tertinggi, namun akhirnya tersungkur di depan gerbang kemasyuran. Diangkatnya pula figura-figura yang baru, pelapis pewaris tahta. Namun ternyata, diri mereka masih disalut kehendak tahta yang menyelubungi jiwa. Mereka tidak pernah puas menjamah kemewahan, kedudukan dan kemasyuran.

Walau tahta tidak mereka miliki, namun di dada-dada akhbar, muka mereka masih lagi menghiasinya. Di televisyen, suara-suara mereka masih kedengaran, dan mereka tidak putus-putus meletakkan diri mereka di atas pemimpin-pemimpin pada waktu tersebut. Perkara ini berulang-ulang di merata-rata, di mana-mana sahaja. Mungkin kerana inilah, tokoh-tokoh tajdid agama ini mengingatkan kita betapa pentingnya membina jiwa penuh nilai islami, kerana tokoh-tokoh tin kosong ini tidak akan mampu memimpin diri sendiri, apatah lagi membina tamadun berjaya, memimpin seluruh umat dunia.

Dalam liqo-liqo kecil, jiwa-jiwa pemimpin ini dibina. Ia membina bukan sahaja jiwa seorang pengikut penuh dengan rasa hati seorang hamba, malah menempa peribadi-peribadi pemimpin islam yang tidak pernah tunduk, kecuali kepada Tuhan yang menciptakannya. Peribadi islami ini, adalah figura yang dinanti-nanti oleh seantero dunia. Ia tidak memerlukan perdana menteri sebagai mentor atau naqib. Ia tidak memerlukan sekolah-sekolah elit untuk mengajarkannya angka dan abjab. Ia tidak memerlukan buku-buku misteri dan buku-buku rahsia dunia yang sangat-sangat konfidential. Ia tidak memerlukan orator-orator terhebat dunia mengajarkannya melafazkan kata. Ia tidak memerlukan duit-duit, kertas-kertas perjanjian kewangan yang memampukan dirinya membeli apa sahaja termasuk jiwa.

Namun, apa yang diperlukan dalam usaha membentuk peribadi dambaan hati semua lelaki dan wanita ini cumalah kemahuan dan amal mencetak setiap ayat dan kata Al-Quran ke dalam jiwanya. Agar dustur ilahi itu, menjadi dusturnya. Agar setiap yang dikatakan benar itulah yang haq. Segala yang dikatakan salah itulah yang batil. Tiada satu patah perkataan pun didustakan menurut hawa nafsunya, itulah generasi ruh yang dihasilkan oleh generasi salaf, hingga kemenangan tanpa sebarang halangan dapat diraih mereka. Jiwa ini sahajalah yang layak menyambut kemenangan. Hanya jiwa ini layak bergelar pemimpin, kerana jiwa inilah yang disukai dicintai Allah, dan Allah berhak untuk memberi kepimpinan kepada siapa sahaja yang Ia sukai. Walau selembab mana akal fikirannya. Walau segagap mana sabdanya. Walau sehuduh mana rupa parasnya. Walau sesengau sesumbang mana suaranya. Walau sekering mana poketnya. Ia tetap akan meraih kemenangan, dengan kelebihan yang nyata itu.

Ia akan dicintai oleh Allah. Ia akan diterima dengan sepenuh jiwa oleh seluruh bangsa manusia. Setiap penjuru dunia akan merasa keamanan yang tidak pernah mereka kecapi sepanjang tahta itu diletakkan di dalam genggaman manusia. Alangkah ajaibnya.


Ya, kitalah yang akan melahirkan khalifah itu!

Mulut mudah berbicara. Mulut mudah melafaz kata dan menaip segala apa yang difikirkan. Namun sejarah juga begitu banyak memberikan kita contoh, mulut tidak pernah melahirkan amal jika hati tidak jujur melafazkannya.

Pandangan yang ditimpakan ke atas manusia-manusia pilihan itu di dalam liqo-liqo, seharusnya di atas pandangan penuh kemuliaan dan kasih sayang. Merekalah yang akan menerajui kepimpinan manusia masa depan. Pembentukan penuh perasaan di setiap masa, seharusnya memberikan kita perasaan unik yang tidak mampu digambarkan. Ketakutan kita akan cacat-cela pembinaan ini menyebabkan kita tidak pernah sambil lewa melaksanakannya. Ketelitian kita di setiap lentok dan sudutnya, seperti ‘menatang minyak yang penuh’. Tidak sedikit pun minyak itu sanggup kita lihat jatuh ke atas lantai. Teliti, fokus dan berterusan.

Di mata kita, ia membesar dan menjadi jiwa yang benar-benar kental, hingga sanggup berhadapan dengan dunia yang huru-hara carca-marba ini. Jadilah ia umpama nila yang sangat pekat. Hinggakan, hanya setitik sahaja, mampu mempengaruhi setempayan susu. Hinggakan warna-warna islami itu menghiasi setiap tempat berdiri, duduk, dan baringnya. Mereka bahkan menjadi lebih berhasil daripada murobbi-murobbi mereka.

Tanganku ini pernah mencipta jiwa-jiwa ini. Hingga ada antara mereka yang akhirnya duduk seusrah denganku, hanya selepas setahun dibina. Sepatutnya, andai jiwa ini ikhlas dalam niat melahirkan pahlawan-pahlawan, pemimpin-pemimpin islam, pasti akan berasa gembira atas kejayaan mutarobbiku itu. Namun, jiwa ini pernah direnggut perasaan ego yang maha dasyat, hingga sukar menerima bagaimana seorang pengikut kini duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan empunya diri.

Dan akhirnya, alhamdulillah tarbiyyah meletakkan robb di setiap masa. Melatih hati penuh najis kekotoran ini, agar tertanam sifat-sifat robbani.

Jiwa dilatih agar melihat segala apa di hadapan mata ini sebagai pinjaman sementara. Hanya ciptaan-ciptaan Allah, hak milik Allah yang dipinjamkan selagi nyawa yang juga pinjaman ini, berada di atas dunia, yang juga pinjaman. Segala-segalanya adalah hak milik Allah, dipinjamkan sementara, dan pasti akan dituntut kembali, walau dalam keadaan apa sekalipun.

Merasakan diri ini memiliki sesuatu, adalah kelemahan dalam menggerakkan dakwah di bumi Allah ini. Seiring dengan naiknya ego itu, akan semakin besarlah impaknya tatkala semua nikmat itu dikembalikan kepada pemiliknya. Perasaan memiliki juga menghancurkan kesatuan dalam amal jamai, memecahkan institusi dakwah yang tidak pernah rasa ahli-ahli, aset-aset, keberjayaan meraih hasil, dan segala-galanya adalah hak milik mereka.

Perasaan ini, sekiranya wujud, apatah lagi jika perasaan memiliki ini berjaya menyuntik rasa bangga dan mulia, akan membuatkan kesatuan ahli-ahli jemaah dakwah ini berpecahnya jiwa mereka, hilang kesatuan dan sudah mula-mula berkira-kira hak mereka daripada dakwah. Padahal, diri mereka yang patut memberi, kerana mereka bukan memberi pada pemimpin mereka segala usaha itu, tetapi suatu perjanjian amal dengan Allah, yang membeli diri dan harta mereka. Mereka gagal menahan diri mereka, akhirnya mereka gagal mendapatkan syurga sebagai cagarannya. Hanya kerana jiwa mereka dihambat oleh pesona dunia.

Oleh itu, jagalah hati. Jagalah akhlakmu. Jagalah bicara. Jangan kerana ketidaksabaran mengejar hasil kita, kita sanggup menggadaikan segala-galanya.

Mudah-mudahan, akan lahir khalifah dari tangan kita ini.



Hussaini,
Murobbi kepada khalifah-khalifah islam.

Wednesday, May 26, 2010

Cyborg



Kepada rakan seperjuanganku, naqibku, mutarobbiku, mas'ulku, bapaku, adik-adikku, adik-adik iparku... ketahuilah:

Aku bukannya sebuah/seekor cyborg yang sempurna,

Aku hanya insan biasa, hanya manusia biasa,

Aku hanya manusia biasa, yang bisa menangis bila terasa sedih,
Aku hanya manusia biasa, yang bisa sakit apabila dilukai,
Aku hanya manusia biasa, yang bisa marah, apabila diprovokasi,
Aku hanya manusia biasa, yang bisa tersenyum, apabila diladeni,
Aku hanya manusia biasa, yang bisa tergelak ketawa, apabila dihiburi,
Aku hanya manusia biasa, yang bisa merindui, apabila lama tidak bersua,

Aku hanya manusia biasa,
Allah menguji aku dengan pelbagai warna;

Ada kalanya aku rasa gembira, ada kalanya aku rasa sugul,

Ada kalanya aku lah insan yang paling bersemangat, ada kalanya terasa malang yang amat,
Ada kalanya rasa sayang dan cinta tumbuh umpama putik-putik daun muda, dan ada kalanya jiwa ini penuh kebencian,

Ada kalanya segalanya berjalan dengan penuh minat dan kecenderungan, dan ada kalanya terasa bosan dalam setiap apa yang dilakukan,

Ada kalanya, aku rajin hingga pelbagai pekerjaan aku lakukan, setiap masa aku luangkan, namun ada kalanya jiwa ini sakit dan malas untuk berbuat apa sahaja.


Namun,
Dari keimanan yang Allah titipkan dalam jiwa ini,
Ia tidak pernah putus asa cuba dan cuba untuk bermujahadah.
Agar kegelapan jahiliyyah dan mazmumah luntur, tidak muncul-muncul.
Agar akhirnya yang ada dalam jiwa, hanya cahaya.
Cahaya ilahi yang bakal menerangi... Seantero alam ini.

Hijrah diri, mengajar diri tidak pernah putus asa mendisplinkan diri,
Agar mengikuti manhaj tarbiyyah robbani ajaran rasulullah.
Setiap saat diri ini, samada hanyut terleka, atau sepenuhnya mengabdikan diri.
Akan datang suatu hari, di mana kegelapan itu tiada lagi.
Ia akan pergi, disinari cahaya, dilimpahi air yang menyucikan segenap lumpur-lumpur hati.
Menjadi hati yang suci lagi berani, pastinya bererti.

Ikhwah akhwat sekalian, terutamanya yang mengenali diri ini,
Hari ini, aku melihat kemenangan yang kita cita-citakan sehari-hari itu suatu kepastian.
Jika pada hari ini, kita berikrar janji,
Untuk tidak lagi menjadikan jahiliyyah itu rasa hati kita.
Untuk tidak lagi menjadikan jahiliyyah itu suatu tempat pengembalian selepas proses format hati.
Tetapi, naluri diri ini, sentiasa ingin kembali kepada ilahi.
Hanya dengan niat yang luhur itu, kita pasti akan dapat menggapai kemenangan dengan tangan kita sendiri.
Jika masih ada ragu dalam diri kita, walau sedikit,
Janganlah terus bermimpi dan berangan-angan, tetapi tunggulah generasi qurani berikutnya yang akan menggantikan saf-saf hodoh ini. Kerana kau sudah membukukan ketidak imanan mu pada janji ilahi.

Aku melihat hari ini, kita sudah menjadi pemenang!

Ketika pemuda barat menyibuk diri mereka dengan memuja perempuan, kita hari demi hari meninggalkannya. Mereka seorang demi seorang mabuk dengan permainan yang mengiurkan, kita makin lama makin jijik menyentuhnya, terasa masa semakin banyak terbuang dan hati makin lalai dari mengingatinya andai tersungkur kembali.

Bangsa lain menuju kebinasaan, sedang kita selangkah demi selangkah keluar dari kelompok yang sedang dimamah usia dan kehancuran itu. Berbahagialah wahai penerus risalah ini!






duhai bulan,
malam ini aku sendiri lagi.
bisa temankan aku?
. . . . . . . . . . .
bulan, aku sedang berbicara denganmu,
bersuara, lah.
. . . . . . . . . . .
eh awan, ke tepi lah,
aku ingin lihat bulan,
aku ingin berbicara dengan bulan.
. . . . . . . . . . .
tidak,
aku tak mahu berbicara sama bintang,
aku mahu sama bulan.
. . . . . . . . . . .
apa,
bulan tak mahu dengar rintihan aku lagi?
benarkah, bulan?
. . . . . . . . . . .
jadi, benarlah?
kalau begitu, tak mengapalah bulan,
usahlah dipaksa hatimu lagi.
aku mimpikan kau malam ini pun sudah cukup indah.


Sajak Duhai Malam adalah karya,

Lelaki melayu terakhir



Aku bersyukur, Alhamdulillah.

Hari ini, Allah masih memberikan aku kesempatan dan keinginan hati untuk menangis. Suatu nikmat yang tidak pernah aku kecapi semasa jahilku dulu. Sewaktu dosa berlalu tanpa terasa kewujudannya. Sewaktu hati keras hingga mata kering tidak pernah menumpahkan isinya. Hari ini, aku mampu menangis lagi.

Menangisi betapa sukarnya membentuk insan-insan di sekelilingku, membentuk individu-individu baru, ruh-ruh yang baru. Betapa seninya dunia ini Allah ciptakan. Sangat berwarna-warni.

Pelbagai warna dan rasa. Pelbagai rupa dan bentuk. Hingga akhirnya aku melihat manusia ini ada berjuta-juta jenis, mereka berbeza tidak serupa. Sikap mereka, perasaan mereka, hati mereka, akhlak mereka, akidah mereka, akademik mereka.

Alangkah indahnya medan dakwah ini jika mereka semua sama, tidaklah berjenis-jenis-jenis-jenis-jenis-jenis mereka itu. Pasti akan berjaya dengan mudahnya kita merekrut mereka, bahkan sangat mudah kita mentarbiyyah mereka. Jika mereka semua SAMA.

Aku kini sedang belajar. Belajar mengenal selok-belok hati manusia. Mereka berbeza, dan aku perlu mencari persamaan mereka agar tugasku ini dapat aku penuhi matlamatnya. Betapa sukar menambat hati manusia bergelar lelaki.

Mereka kini dalam krisis nilai dan identiti diri. Di university, mereka yang paling sedikit kuantiti, malah rendah pula kualiti. Di penjara, merekalah ahli. Di mahkamah tinggi, mereka datang dan pergi...

Padahal, saat mekarnya risalah ini di zaman nabi, merekalah kaum (lelaki) yang mengetuai. Merekalah yang menjadi tunjang, baik sebagai seorang pendakwah hujah, mahupun dengan pedang di tangan.

Dalam saff barisan ummat, ternyata jumlah mereka mengatasi kaum hawa sebagai qaedah sulbah yang pertama. Namun kini, segalanya tinggal kenangan.

Betapa ramai kaum lelaki yang berjaya dilalaikan oleh kafir laknatullah. Mereka leka dengan permainan mereka dan jarang kita lihat badan-badan dakwah yang berjaya menarik minat mereka untuk bersama dalam program ceramah-ceramah islamik kita.

Kenapa? Kenapa?



Tuesday, April 20, 2010

Allah menguji kita




Aku pandang matanya. Di sana, aku cuba mencari-cari sesuatu. Ternyata aku gagal. Yang ada dalam hitam matanya itu, hanyalah bayangan mukaku sendiri. Hatinya sengaja ditutup, enggan berkongsi rasa dan berita.


Aku mengalihkan pandanganku ke arah langit. Matahari menggelongsor perlahan-lahan. Aku merasakan cahaya juga mengkhianatiku. Lantas hati ini beristighfar. Sedar ketentuan Allah itu sangat misteri.


Dalam kesunyian itu, akh tersebut mengeluarkan sekotak rokok dari sakunya. Kerlihan mataku kini tertumpu kepada sebatang rokok yang sedang diketuk-ketuk, dimampat-mampatkan. Tidak akh tersebut menawarkan kepadaku, tahu diri ini tidak pernah menghampirinya.


"Akhi, kau sudah merokok? Apa lagi yang aku tidak tahu tentang dirimu? Aku baru tahu kau baru berpacaran. Aku tahu kau jarang ke surau kini, malah tidak lagi ke sana."


Hatiku berdesus. Hatiku menangis meronta-ronta. Seolah-olah segala kemelaratan sahabatku itu, terbeban di atas bahuku.


Rokok tersebut dinyalakan. Matanya dipejam tatkala 'oksigen' dihirup. Dari mulutnya itu, asap berkepul-kepul dilepaskan. Dari mulut itu.


Mulut yang sama yang pernah berkata:


"Hussaini, jangan risau, aku akan bersama kau, bersama islam, bersama dakwah ini, sampai kita mati sama-sama"


Mulut ini tidak berkata semata-mata. Ternyata setiap masanya dahulu bersamaku adalah untuk dakwah. 5 tahun yang lalu. 5 tahun yang lalu, kami sama-sama menjadi hamba Allah, kuli dakwah. Setiap saat kami, kami sama-sama pelajari dan berjuang di setiap peluang yang ada.


Hinggakan kami ini, jauh lebih sibuk berbanding mana-mana presiden kolej UPM sekalipun. Berpuluh-puluh jawatan disandang, berpuluh-puluh wadah disertai, dan penglibatan di setiap peringkat ini adalah untuk dakwah semata-mata. Aku masih ingat saat itu.


Namun, harta, pangkat, wanita cantik ternyata lebih mengiurkan. Dan ramai daripada kami tewas. Dan aku kini bersendirian.


Sepanjang dakwah ini, banyak kata-kata manis yang aku terima;


"Akhi, nta ini umpama Rasul yang diutuskan untuk menyelamatkan ana" (Agak ekstrim juga la)


"Aku nak hidup ni untuk berjuang je"


"Inilah jalan yang aku cari-cari. Aku akan bersama dengannya"


"Aku akan bersama kau, Hussaini"


...


...


...


Benar. Allah tidak akan biarkan lidah kita menggulung-gulung tanpa sebarang ujian dikenakan. Itulah sunnatullah jalan ini. Dan sayangnya, ramai yang gagal. Sangat ramai yang tumpas di depan mataku ini. Dunia ini sangat gelap buatku.


Indah kan perancangan Allah? Entah kenapa, segala ujian ini membuatkan aku semakin senang tersenyum. Air mata sudah puas diseka. Peluh sudah membuatkan baju basah kuyup dan berbau kemasaman. Aku semakin tidak sabar, semakin tidak sabar menunggu siang menjelma.


Aku tidak ingat berapa banyak usrah sudah aku bawa, yang pasti sudah lebih 20. Aku sudah tidak ingat berapa puluh orang yang menjauhiku setelah lama berada dalam usrah ini. Aku malahan sudah lupa nama-nama mereka. Aku tidak tahu berapa banyak air liur tumpah dalam daurah-daurah. Dan seterusnya... Dan seterusnya...


Yang pasti, keberhasilan dalam dakwah ini adalah kehendak Allah. Dan aku tidak pernah merungut, sebaliknya aku tidak putus-putus berusaha. Aku berasa malu untuk merasakan bahawa aku sudah cukup berusaha, dan rasa malu jika sudah mula berkira-kira dengan Allah. Aku rasa malu jika dengan usaha-usaha kecil ini, aku sudah meminta-minta kemenangan sebuah kemenangan.


Aku teringat sebuah kisah pahit seorang ikhwah. Pengalaman beliau membuat usrah jauh di Tangkak. Setiap minggu, beliau akan berulang-alik ke Tangkak, Johor dari Kelang, Selangor. Dan hasilnya? Setelah bertahun-tahun, kini kesemua anak-anak usrahnya itu, hilang menyepi. Menjadi seperti ikan-ikan tembakul yang lain, hilang dalam selut lumpur jahiliyyah. Sibuk, terasa diri sangat sibuk hingga tidak sempat duduk sebentar memikirkan akhirat mereka. Betapa pilu rasanya hati sang murobbi itu.


Ikhwah akhwat,


Itulah. Itulah jalan tarbiyyah yang aku lalui. Tidak secantik yang kalian terokai. Namun, ianya memberikanku bekal yang sangat banyak. Kegagalan demi kegagalan yang aku hadapi ini, hasil try and error yang aku sendiri laksanakan, memberikan aku satu koleksi pengalaman yang manis di hujungnya. Semoga kita dapat sama-sama berkongsi pengalaman dalam ruang ini dan dalam perkenalan ini. Aku bukanlah Pakar Harakah Dakwah (PHD), tetapi aku ada sesuatu yang ingin aku kongsikan hasil jatuh bangun diri ini.


Allah tidak akan pernah melihat hasil kita, selain usaha dan kesungguhan kita yang tidak pernah henti-henti bertasbih dan menyeru sekalian alam ini turut sama bertasbih kepadaNya. Pada usaha kita itu, ada kalanya, Allah memberikan kejayaan. Dan pada saat yang lain, Allah akan memberikan kita kegagalan. Semuanya untuk melihat sejauh mana hebatnya taqwa kita.


Aku bersyukur atas segala apa yang menimpaku ini. Kini, diri ini dapat merasai nikmat tawakkal yang semakin menebal. Segalanya datang dari Allah, diberikan kepada kita sebagai pinjaman sementara.

Sunday, April 11, 2010

Semangat berkobar-kobar


Semangat. Semangat, bak kata Pak Hasan adalah suatu fundamental dalam suatu amal islami. Itulah yang menjadikan seorang rijal itu, syabab (pemuda) khususnya, aset yang terbesar dalam harakah islamiyyah ini.

Jiwa seorang syabab itu, jika ianya normal dan tidak sakit, pastinya berkobar-kobar dengan semangat yang tidak pernah padam. Ianya sentiasa diapi-apikan dengan cita-cita yang tinggi. Hasratnya untuk ummah ini, tidak pernah lebih rendah daripada langit, ia tinggi, sangat tinggi tidak terjangkau dek pandangan mata yang terbatas. Ianya sangat ideal, dari kaca mata golongan tua yang sedang mengira-ngira umur mereka.

Itulah yang membezakan seorang syabab dengan seorang syuyukh. Namun bukan itu yang ingin aku perbincangkan. Bukan untuk menghina atau menegur golongan veteran dunia ini. Tetapi ingin sama-sama melihat jauh ke dalam setiap aura, dalam setiap semangat syabab islam ini.

Kita seharusnya berfikir dan merenung, dari mana datangnya semangat kita? Adakah dari umur kita? Atau dari ilmu kita yang menggunung tentang satu-satu perkara? Atau ikut-ikutan dari rakan-rakan yang turut sama bersemangat? Atau datang dari seorang naqib yang tidak sudah-sudah berpidato dengan penuh enthusiasme? Atau dari lagu-lagu jihad indonesi? Atau dari media masa? Atau dari keprihatinan kita tentang isu ummah? Atau dari kata-kata orang-orang yang berkata syabab perlu bersemangat?

Mari kita muhasabah bersama-sama.

Percayalah, jika semangat kita datang kerana perkara-perkara ini, pasti ia tidak ke mana. Kerana semangat-semangat ini lahir dari luar yang akan ada atau tiada bila-bila masa. Bila adanya semangat itu, maka amal kita tinggi, tapi bila tiada semangat, maka kita futur dalam jangka masa yang lama.

Sesungguhnya amal yang berterusan lebih baik dari amal yang meletup-letup.

Jika semangat kita adalah ikut-ikutan, kita akan nampak ramai pemuda bersemangat yang melompat-lompat ketika nasyid jihad. Tetapi selepas program, mereka seperti tiada apa-apa.

Jika semangat kita ikut-ikutan, kita akan nampak ramai syabab yang bersemangat, takbir tanpa henti ketika membuat rusuhan (ayat baik: demonstrasi), tetapi bila disergah dek FRU, mereka lari semuanya, tanpa meninggalkan apa-apa.

Itulah, dari mana datangnya semangat kita?

Aku bimbang, satu hari nanti, kita bersemangat sangat-sangat, tanpa sedar asal usul semangat kita. Lantas kita laksanakan kerja dakwah sebanyak mungkin, hingga di pandangan mata orang biasa, itu suatu kemustahilan yang amat dasyat.

Kita tidak henti-henti buat usrah. Kita tidak henti-henti menyerang (ayat baik: melaksanakan futuh) lokaliti-lokaliti, takungan mad'u. Kita tidak henti-henti buat daurah. Kita tidak henti-henti buat mabit. Kita tidak henti-henti buat program itu, buat program ini tanpa kenal erti letih.

Benar, kekurangan glukosa dalam badan tidak akan memberhentikan sekujur tubuh itu bergerak. Jika semangatnya mampan, pasti akan digerakkan walaupun sebatang jari, untuk menyahut panggilan semangatnya.

Namun, lihatlah apa yang terjadi kepada para sahabat!

Mereka adalah orang-orang yang paling bersemangat. Hinggakan di Mekah ketika umat islam diseksa, merekalah orang-orang yang meminta kepada Ar-Rasul supaya mendoakan kemenangan mereka. Malah ada para sahabat yang meminta untuk akhirnya mereka melancarkan jihad kital kepada kaum quraisy. Rasulullah diam.

Hinggalah apabila di Madinah mereka disuruh untuk berjihad, maka sahabat-sahabat yang bersemangat tadi diam-membisu. Semangat dahulu gagal mengerahkan jiwa dan raga mereka untuk berkorban kerana Allah. Mereka lantas beralasan itu dan ini. Ada sahaja alasan mereka. Janji mereka, permintaan mereka untuk mati di sisi Allah, senang berjalan dengan semangatnya melalui bibir mereka, namun yang dilihat Allah adalah amal mereka.

Lalu, turunlah surah As-Saff.

Sahabat-sahabatku. Hari ini, ramai orang boleh berkata-kata. Ramai orang boleh berucap, bagi ISK, menulis blog, menulis status FB yang sangat puitis dan jihadis, buat usrah yang ideal tu etc. Tapi berapa ramai yang mampu bertindak?

Berapa ramai yang mampu menyahut seruan naqib mereka untuk berkorban demi Islam? Berapa ramai orang mampu mengotakan janji-janji manis mereka? Berapa ramai yang mampu mati bila kematian itu diperlukan, untuk kemenangan islam? (Hussaini memang ekstrim).

Ke mana perginya semangat yang meluap-luap itu?


Pastikan semangatmu lahir dari cahaya Rabbani. Dari keimanan dari dalam diri. Bukan dipaksa-paksa kehendak hati. Cermin niat kita setiap masa. Semoga Allah meneguhkan kedudukan kita di atas jalanNya ini.



Thursday, April 1, 2010

Malulah kalian!




Seandainya Tuk Janggut, Abdul Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Panglima Hitam dan pahlawan-pahlawan melayu lain masih wujud hari ini, pasti mereka akan meratapi kejatuhan ummah.

Pasti mereka akan berasa sedih dan pilu melihat anak-cucu-cicit mereka berzina siang dan malam, minum arak bertong-tong, mencari pendapatan tambahan melalui nombor ekor, rasuah, dan yang paling teruk ialah, mereka akan sedih, mengapa keturunan mereka akur menjadi hamba tercela di bawah kekuasaan penjajah-penjarah barat.

Mereka pasti akan memandang di sekeliling mereka dan menyeru sekalian kampung, daerah, negeri dan seluruh negara untuk bersatu bersama mereka, membebaskan watan tercinta. Betapa kecewanya mereka kelak, kerana rupanya-rupanya lebih ramai di kalangan keturunan mereka ini yang tidak peduli akan nasib bangsa mereka.

Pengecut-pengecut ini ingin berlepas diri dari sebarang kecelakaan berhadapan dengan penjajah. Mereka lebih senang duduk-duduk di kedai kopi, melemahkan diri dengan rokok dan permainan games, melayan pornografi, bersiar-siar atau melancong di sekeliling busut dan pulau-pulau, atau duduk-duduk di rumah untuk khatamkan semua cerita di dalam komputer dan astro mereka.

Sesungguhnya pejuang-pejuang ini pernah mengalami situasi yang sama dahulu. Betapa ramai jiwa-jiwa kecil sebegini, yang menghilangkan haus dengan air kencing penjajah. Jiwa mereka terkurung tidak merdeka.

Pejuang-pejuang ini pasti akan mengangkat pedang mereka. Mereka akan mengerahkan sebanyak mungkin kekuatan untuk berhadapan penjajahan yang halus ini. Lantas, mereka tidak kisah akan kematian, seandainya hidup mereka tidak ubah seperti najis yang hina. Malah mereka seperti tahi yang dipermainkan oleh kanak-kanak penjajah. Dipermainkan sehingga tiada apa yang ada di tubuh watan ini, adalah milik mereka. Mereka dijajah sepenuhnya.

Hingga pejuang-pejuang ini dikotorkan nama mereka. Mereka dibunuh dengan penuh kehinaan. Malah diwarwarkan mereka sebagai pengkhianat yang gilakan kuasa. Padahal, hanya Allah yang tahu, betapa sayangnya pejuang ini kepada bangsa mereka. Mereka berjuang tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk maslahat kita. Mereka sanggup berkorban apa sahaja, hinggakan nyawa tergadai dalam pertarungan.

Malulah kalian!!!

Wahai pengecut-pengecut yang masih bermain-main dengan dunia,

Malulah kalian!!!

Kalian terjajah, terhina. Namun masih seperti kanak-kanak, tidak matang dan hanya mampu berfikir tentang perut sendiri semata-mata. Kalian umpama orang tua nyanyuk yang selalu terlupa bahawa kejadian ini berulang, berulang dan terus berulang.

Jiwa kalian kerdil. Malah kalian membiarkan penjajah itu sendiri membezakan mana yang batil, dan mana yang haq!

Kalian membiarkan penjajah sendiri untuk mendefinasikan, apakah itu islam! Kalian membiarkan mereka sendiri mentafsirkan, apakah itu jihad!

Dan kalian sanggup tersenyum melihat pahlawan-pahlawan islam terbunuh...

Semoga Allah membuka pintu hati kalian yang masih mampu berseronok, bersuka-suka dalam hidup ini.




Wednesday, March 31, 2010

Kerana adanya Ruh



Aku memandang ke sekelilingku. Di segenap ruang yang aku perhatikan ini, aku lihat, ia penuh dengan makhluk-makhluk (ciptaan-ciptaan) ALlah. Aku melihat seekor kucing yang perlahan-lahan mendekatiku. Keropok di tangan, terkulai-kulai di hujung 2 jariku. Sos sira, menitik-nitik ke lantai. Mungkin itu, yang menarik kucing comel yang sibuk tergedik-gedik menghampiriku dan meronta-ronta.


Desakan-desakan jiwa, menghimpit naluriku yang sedang senang melihat keindahan segala makhluk-makhlukNya. Di segenap permandangan ini, aku dapat merasakan, bahawa makhluk-makhluk yang terbentang ini, baik sekecil kumbang hinggakan gunung yang terpacak, bukan ini sahaja yang diciptakanNya. Di ceruk dunia yang lain, bahkan di belakang gunung ini, masih ada lagi makhluk-makhlukNya. Betapa Maha Hebat Allah menciptakan dunia yang besar ini.

Ku rasakan diri ini, begitu bertuah kerana dalam setiap hirupan udara yang mengalir dalam rongga badan ini, adanya tasbih. Adanya pentauhidan rabb yang Maha Kuasa. Ku rasakan dalam permandanganku ini, aku sangat ramai. Walau kami hanya 20 orang pemuda yang ingin mengenal pencipta, merasakan betapa kerdil dan asing diri dalam masyarakat kami. Namun, dalam alam yang terbentang ini, kami dapat merasakan betapa kami dalam kelompok yang ramai.

Aku dapat melihat kucing yang tiada saat tanpa bertasbih kepadaNya,

Aku dapat melihat pokok-pokok yang tiada henti bertasbih memujiNya,

Aku dapat melihat air terjun yang terjun dari puncak yang tinggi, tanpa henti, tanpa pernah berhenti mengalir, setiap saat tanpa pernah henti, bertasbih kepadaNya,

Aku dapat merasakan angin-angin di air terjun yang membelai pipi munggilku, angin yang tiada sudah memuji Allah,

Aku dapat merasakan panas mentari dan cahayanya yang mengalir ke permukaan bumi, setiap mikro saat, pancaran itu tidak pernah berhenti mengalirkan cintanya, bertasbih kepada Pencipta,

Aku dapat melihat bayang-bayang di setiap pandanganku, mereka juga ciptaanNya, yang pada setiap saat, setiap mikrosaat, nanosaat, pikosaat, bertasbih kepada Penciptanya.

Begitu aku merasa betapa untungnya aku, hidup di dunia ini dalam perasaan yang sangat indah. Hinggakan seluruh dunia ini bersamaku. Terasa bantuan Allah amat dekat, untuk berhadapan dengan dunia yang penuh mehnah dan tribulasi ini. Tiada kuasa yang mampu menahan kebejatan amal ku, jika Allah menghendaki kemenangan itu. Dan tiada kuasa yang mampu memberikan ancaman kepadaku, jika Allah tidak menghendaki sedemikian.

Dalam rasa sedemikian, aku menawarkan pada setiap masaku, agar insan-insan lain turut sama merasainya. Ada yang berminat, dan ada yang tidak. Betapa aku memahami agama ini adalah nasihat, buat Allah, Rasul, Kitab, pemimpin dan ummah. Tiada apa yang aku dapat lakukan selain menawarkannya, pilihan di tangan kalian. Aku tidak akan kerugian, kerana aku telah merasakan ketenangan itu. Hanya menunggu saat masa bertemu denganNya di pertemuan abadi.



Kenangan di lata iskandar, 2010 masih dalam ingatan.

Tuesday, March 30, 2010

Satu kiblat yang sama


Muka, dianggap sebuah kemuliaan di mata manusia. Manusia sanggup mengeluarkan ribuan malah ratusan ribu ringgit untuk menjaga 4 lapisan derma itu. Pelbagai produk kecantikan dari penjagaan kulit, kosmetik dan sebagainya, tidak akan wujud jika manusia tidak memandang kepada kecantikan muka. Ianya sebuah kebanggaan, maruah kepada individu.


Dalam fanatisme menjaga kecantikan, kemuliaan dan maruah muka, rambut dan kepala, manusia-manusia ini pelik golongan yang dibicarakan Allah dalam surah al-fath, ayat yang terakhir:

"Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaanNya. Pada dahi mereka tampak tanda-tanda bekas-bekas sujud..."





Alangkah ajaibnya golongan ini. Tatkala orang menjaga kemuliaan mereka, mereka ini adalah orang-orang yang menghinakan diri. Orang-orang ini sangat rajin sujud dan rukuk, dan jelas di dahi mereka tanda-tanda sentuhan dahi mereka dengan bumi yang hina.


Kepala yang begitu mulia, hingga boleh tercetusnya perang hanya dengan tolak menolak kepala. Tapi, orang islam, dengan primitifnya, meletakkan darjatnya setaraf dengan lantai. Bahkan kambing dan lembu tidak meletakkan kening mereka di atas lantai, betapa mereka menghinakan diri.


Namun, itulah hakikat bagaimana orang-orang beriman menunjukkan kehambaan mereka kepada Allah. Mereka bahkan meletakkan diri mereka sehina-hinanya, tanpa sebarang kelebihan atau samarata antara mereka dengan pencipta mereka. Tonggek dan sujud mereka untuk membuktikan untuk menunjukkan, betapa mereka merasa Tuhan mereka itu tidak terjangkau besarnya dan agung berbanding mereka. Lafaz ketika sujud juga mengagungkan Tuhan dan menghinakan diri.


Kaum-kaum yang berpaling, pasti akan pelik dan ragu-ragu terhadap orang-orang mukmin. Betapa jauh mereka daripada rasa kehambaan dengan Tuhan mereka. Mereka tidak akan pernah sanggup walau tunduk menghadap Tuhan yang agung. Jiwa mereka sombong, bongkak umpama Iblis yang belot.


Orang-orang kafir, menganggap orang-orang beriman hina, kerana mereka menghinakan diri. Ternyata mereka silap!


Kamilah kaum yang akan jadi sehina-mungkin di hadapan Tuhan, namun di hadapan musuhNya, kami menjadi mulia, bahkan kami tidak akan pernah tunduk selain kepada Tuhan kami, Allah.


Kami adalah insan yang paling bebas di alam ini. Menjadi hamba hanya kepada Allah yang satu. Selain dariNya, kamilah kemulian. Kemulian yang Allah titipkan kepada semua manusia, menjadi khalifah yang memerintah.


Kami kaum yang bebas, yang tidak akan pernah menundukkan, sujud kepada harta yang berlimpah, perempuan yang cantik, pemerintah yang zalim, hiburan yang melalaikan, kedudukan yang sementara, apatah lagi orang-orang kafir yang lemah. Kami tunduk hanya kepada Allah yang agung, tiada selainNya!


Kami adalah kaum-kaum mulia, yang bersujud, tunduk menghinakan diri kepada Allah, dalam satu kiblat yang sama, sebagai tanda persatuan kami dan tanda ketaatan kami yang tiada tara (2: 150).


Kami adalah kaum-kaum mulia, yang akan tanpa rehat, menyeru manusia, agar tidak bertuhankan dunia, hidup dalam penghambaan yang meletihkan dan menyeksakan. Kami akan terus berdakwah hingga semua manusia dapat merasai, betapa indahnya dunia, andai suka duka seharian, hanya Allah sebagai kayu ukurnya. Hanya Quran rujukannya. Hanya sunnah panduannya.


Kami adalah kaum-kaum yang mulia, yang tidak akan dipengaruhi dengan keindahan dunia yang dibentang. Juga tidak akan berubah arah kiblat kerana kesatuan kami. Kami tidak akan berpecah kerana diapi-apikan oleh yang cemburu melihat kami bersatu.


Nafsu tidak akan sekali-kali menjadi tuhan kami, kerana di tangan kamilah ia terpandu. Juga tidak akan jemaah yang besar ini, dipandu mengikut hawa nafsu sesuka hati mereka. Hanya wahyu yang akan menjadi pedoman, hanya ia yang mampu menyatukan kami. Kerana wahyu itulah yang menyatukan ikatan perjanjian kita dengan Allah, hingga mati kita di bumiNya.


Kami tidak akan menjadikan cara bergerak kami, cara bernafas kami, cara bercakap kami, cara berfikir kami, menghalang penyatuan kesatuan yang besar ini! Kerana yang pentingnya, i'tikad dan cinta kami, hanya kepada Allah. Malah kasih sayang kami kepada isteri kami, anak-anak kami, keluarga kami, kawan kami, jiran kami, kucing kami, adalah kerana Allah juga. Kerana kami sedar, kasih dan cinta itu, Allah lah empunya nya.



Bahkan kesatuan kami atas akidah yang satu ini, tanpa unsur takfir (mengkafirkan= sikap orang-orang yang bodoh dan buta cinta) adalah hasil kasih sayang yang dititipkan Allah kepada kita semua. Jika kita engkar, melaksanakan maksiat, nescaya Allah akan menarik rasa sayang kita sesama kita, dan kiblat ini pasti akan berubah mengikut rasa dan akal yang tersasar.


Berdoalah pada Allah, agar kita tetap menyembahNya, pada SATU KIBLAT YANG SAMA.


Berdoalah pada Allah, agar dalam hati kita ini, masih ada cinta yang menebal terhadap Allah, terhadap Allah, terhadap Ar-Rasul, terhadap Islam, terhadap ikhwah, terhadap akhwat, terhadap ummat, terhadap sekalian manusia.


Inilah cinta yang akan memberikan kita makna kehidupan. Inilah cinta yang menjadi sumber kekuatan dan stamina, hingga saat nya mati, mati sebagai perajurit cinta yang agung.


Saturday, March 27, 2010

Kami adalah tentera Allah!



"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri maupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung."
(At-Taubah 9: 111)

Sukarnya menjadi seorang tentera. Ketaatan, keyakinan bukan suatu mainan, jika diri tidak dihiasi keimanan. Apatah lagi jika tidak saling tsiqah, sesama jundi ataupun antara jundi dan qiadah.

Hidup sebagai seorang tentera Allah, yang meleburkan segala-galanya. Menjual segala-gala yang ada pada dirinya, bagi menggapai syurga, bukan tugas ringan. Ia mendesak 1001 pertimbangan. Ia tidak lahir dari adat, kebiasaan atau ikut-ikutan, tapi sejauh mana keyakinan, antara insan kepada Tuhan insan.

Diri, merelakan agar segenap penjuru hati dipenuhi hanya matlamatnya ilahi. Sumbernya, hanya yang robbani. Dan hasilannya, hanya untuk ukhrawi.

Betapa sukar menundukkan diri kepada pengorbanan yang pertama dan utama. Untuk melepaskan segala niat selain kepada Allah, bukan mudah. Menuntut diri untuk tidak bercita-cita selain kerana dan kepadaNya. Segala amal hanya yang selari dengan dusturnya, tidak menyimpang dari jalanNya yang satu. Impian tinggal harapan. Angan-angan, semuanya dilupuskan. Tiada angan-angan, cita-cita, impian, selain melihat kemenangan islam. Kemenangan hizbullah di medan perang. Dan melihat teriakan kegembiraan ummah, setelah hampir berabad dalam kepiluan.

Sukar, sangat sukar. Sukar untuk diri menundukkan hawa nafsu yang membelenggu. Diri ini, tidak sudah-sudah memperbaharui ikrar dan baiah pada ilahi. Syahadah diulang berkali-kali, namun nafsu banyak pula desakannya. Hati kerap kali berdesir. Penyeksaan batin, hasil peperangan medan hati yang berterusan. Ego dan kebongkakan hati, kerapkali menang, membuatkan diri ini lupa siapakah diri sebenarnya.

Menjadi seorang pendukung agama ini, Ansorullah, justeru berjuang atas landasannya, menjadi sang tentera memerlukan jiwa-jiwa yang berani mengorbankan fikrah selain fikrah islam. Merekalah orang yang bermotivasi akan sejarah mereka yang miliki simpanan pengalaman beribu tahun, kedudukan mulia kini dan kemenangan yang pasti di akhirnya.

Menjadi jundullah, memerlukan kita untuk menginfaqkan sepenuh jiwa dan raga. Maksudnya menginfaqkan masa, tenaga, ruh, perasaan, anggota, kepandaian, wang, harta, laptop, kereta dan segala semua potensi, yang selama ini kita sumbangkan ke jalan jahiliyyah, memperkasakan lagi tamadun sekular.

Namun, yang menanti di hadapan kita, pastinya barisan tentera kufar, membentuk hizb-hizb mereka, siap siaga menentang kita secara hadapan terang-terangan mahupun curi-curi pukul. Mereka membentuk dinding tirani, yang tidak pernah melepaskan walau satu peluang untuk menghenyet, memicit-micit kita umpama semut ditenyeh-tenyeh di atas kura tangan.

Maka tentera Allah, bangkitlah! Bangun dari dunia matriks mu. Lenyapkan segala semu dalam diri, dan hancurkan peradaban jahili. Kini saatnya kita untuk menunjukkan kepal kita dihadapan musuh, terus menghayunkannya ke muka dan dada mereka.

Bersiap siagalah!




Allah matlamat KAMI
Ar-Rasul tujuan KAMI
Al-Quran perlembagaan KAMI
Al-Jihad jalan juang KAMI
Mati di jalan Allah, adalah cita-cita KAMI


[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]