Showing posts with label Buat Ummi. Show all posts
Showing posts with label Buat Ummi. Show all posts

Sunday, November 22, 2009

22 November 2009.




Lama... Cukup lama aku menantikannya...

Setelah sekian lamanya. Sudah 23 tahun aku tidak berbicara dengan bapaku, abi. Ianya suatu penyiksaan batin yang tidak pernah ku sedari hingga aku bebas dari belenggunya. Aku juga tidak tahu bagaimana ia bermula. Namun yang pastinya, aku bukan seorang anak yang baik di mata abi.

Membesar sebagai seorang budak-budak, kemudian remaja yang sangat comel, tetapi berganda-ganda nakalnya, menyebabkan abi berkeras denganku dalam setiap sesuatu. Badan ini sudah lali dengan tali pinggang dan cebisan-cebisan hanger sebagai hukuman setiap perbuatan kurang warasku (baca: kerja-kerja gilaku). Dan begitu juga jiwa ini. Ia mengeras dan menyimpan sesuatu yang orang-orang melayu namakan sebagai dendam. Namun, aku mengenalnya sebagai ego. Ego seorang kanak-kanak yang baru bertatih di bumi ilahi ini. Tidak pernah puas mempelajari setiap apa yang disaksikan, dan gemar belajar daripada kegagalan sendiri, berbanding mengambil iktibar daripada kata-kata mereka yang lain.

Di sana, lahirnya kasih sayang seorang ibu yang membesarkan dengan penuh ketelitian. Setiap adik-adikku pasti perasan yang ibu melayanku lebih baik daripada semua. Dan mereka semestinya tidak tahu mengapa. Kerana aku ketandusan kasih sayang abi. Kami tidak pernah berkata-kata, jauh sekali bermesra.

Aku tidak pernah mendapat kata-kata penghargaan sepanjang hidupku daripada abi, walau setinggi mana kejayaanku. Dari segi pelajaran, dari segi penglibatan dalam sukan, dan serba serbi, aku hanya mendapat puji dan saguhati daripada seorang yang bergelar, ummi.

Aku akui, ada beberapa kesalahan besar yang aku lakukan yang membuatkan aku tidak pernah mendapat senyuman. Dan aku pernah merasakan bahawa ia tidak akan dimaafkan sama sekali. Namun, hukuman dan penderitaan ini seakan sangat berat untuk ditanggung oleh tubuh kecil lagi comel ini.

Pedih mendengar kata-kata sahabatku dalam sebuah perkongsian;

"Walau ana sudah berada dalam sistem usrah ini, namun naqibku yang utama tetaplah ayah ana sendiri..."

Terasa cemburu tidak terkira. Walau abi juga seorang pejuang, aku masih belum mampu menjadikan beliau sebagai panduanku. Ego dalam diri memujukku agar meneruskan perjuangan menentang kebatilan, walaupun ayahku ku sendiri tidak ku kenal.

Ummi bimbang melihat aku yang membesar mengharungi dunia dakwah ini, namun tidak rapat dengan ayah sendiri, lalu ummi meminta dengan nada penuh kesedihan;

"Baik-baik lah dengan abah tu, ummi tak pernah tengok along baik dengan abah. Mana ada ayah dengan anak yang macam ini."

"Along hanya akan berbaik dengan abah jika abah layan along macam anak dia. Along dah buat macam-macam untuk senangkan hati abah. Sekarang, segalanya terpulang kepada abah sahaja."

Ego dalam diri menghambur kata-kata persis anak durhaka yang tak sedar dek untung. Ianya berterusan tanpa kesal di hati sehingga hari itu.

Kepulangan ummi ke rahmatullah telah mengubah banyak perkara. Antaranya, ia telah mencairkan bongkah-bongkah keegoaan antara ayah dan anak ini. Mencairkan segala halangan yang membantah penyatuan dua jiwa itu. Ia lantas tunduk kepada permintaan ummi yang tidak putus-putus diulang-ulang.

Buat kali pertamanya, kami bersuara dalam sebuah gelombang bunyi yang bertali arus dengan frekuensi yang sama. Aneh, aku terasa sayang dan rugi kerana baru kini ku rasa kasih sayang seorang ayah.


Teks SMS daripada abi

Mesejnya ringkas dan merungkai air mata. Menjadikan hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiranku yang paling bermakna:

"Semoga hari2 yg mendatang dirahmati dan kita kekal di dalam perjuangan hingga ke akhir hayat."

Terima kasih abi
Terima kasih ummi

Terima kasih banyak-banyak Ya Allah



Bahagia seluruh semesta
Bermula dari keluarga
Dari titisan susu ibu tercinta
Mengalirlah sungai kasih abadi

Tumbuh dari keringat ayah
Kita perah pengorbanannya
yang melimpah
Derai air matanya mengalir
Di darah kita membina cita-cita

Rentaslah seribu laut (serta)
Kembaralah ke seluruh alam
Takkan kau temui
Semurni cinta
Keluarga

Langkah remajamu
Ditusuk sembilu
Kembara dewasamu
Diamuk nafsu

Ingatlah pesan Ibu
Kenanglah pesan Ayah
Kembalilah
Ke jalan Allah...

Sayangi keluarga
Di situlah bahagia...

Tuesday, October 13, 2009

Pelembut Jiwa






"...Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka menyatakan, "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kami pasti kembali kepadanya". Mereka itulah orang-orang yang mendapat keberkatan dan rahmat rabb mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Al-Baqarah: 155-157)

"Diriwayatkan oleh Turmudzi dan Ibnu Majah, dari Sa'ad bin Abi Waqqas, ia berkata: Kami pernah bertanya kepada Rasulullah S.a.w., siapakah orang yang paling berat cobaannya? Rasulullah S.a.w. menjawab: Para nabi, kemudian mereka di bawah derajatnya, dan seterusnya. Orang itu dicoba sesuai agamanya, kalau agamanya kuat, maka cobaannya pun berat, kalau agamanya ringan, maka Allah mencobanya sesuai kualitas agamanya. Dan tidaklah cobaan itu memberatkan seseorang hingga meninggalkannya berjalan di bumi sehingga ia tidak lagi punya kesalahan".


Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dikatakan:

"Sorga itu dikelilingi dengan ketidaksenangan, dan neraka itu dikelilingi dengan syahwat".


Dalam hadits shahih:

"Sikap orang mukmin itu sangat AJAIB, karena semua persoalannya adalah baik baginya' bila diuji dengan kebaikan, ia bersyukur, maka (kesyukuran itu) menjadi baik baginya, dan bila diuji dengan kesengsaraan, ia bersabar, maka (kesabaran itu) menjadi kebaikan baginya".


"Sungguh Kami menguji kamu dengan rasa takut, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar".
(Al-Baqarah: 155)


"Hanya orang-orang yang sabar akan dicukupkan pahala mereka dengan tanpa perhitungan".
(Al-Zumar: 10)


"Dan sadarlah, bahawa harta-hartamu, dan anak-anakmu itu hnayalah fitnah belaka, dan sesungguhnya di sisi Allah pahala yang besar".
(Al-Anfal: 28)


"Ingatlah, sesungguhnya manusia itu cenderung melampaui batas bila ia telah merasa cukup"
(Al-Alaq: 6-7)



~~*~~


Thursday, October 1, 2009

Syawal yang terakhir...





Sewaktu Azan Mendayu-Dayu

Ibuku Pergi Meninggalkanku

Perginya Takkan Kembali Lagi

Kerna Takdir Telah Menentukan

Doa Restu Kuutuskan Untukmu Ibu

Semoga Diri Ibu Bahgia

Di Akhirat Yang Kekal Abadi

Ibuku Kau Pemupuk Kasih Sayang

Kerna Kaulah Ibu Yang Tercinta

Baktimu Padaku Tidak Terkira

Hanya Tuhan Dapat Membalasnya

Ibuku Walau Kau Pergi Dulu

Namun Kutetap Mengingatimu

Kasihku Padamu Seperti Dulu

Selamat Tinggal Ibuku



Bukan sekali, namun berkali-kali aku mengalir air mata semasa remajaku, apabila mendengar dendangan nasyid ini. Takut benar aku berhadapan dengan kehilangan seorang kekasih hati yang tidak mungkin ada gantinya. Alhamdulillah, kini ku dapat merasai kekuatan itu, menempuh suratan takdir dengan penuh ketaatan seorang hamba.

Janjiku pada ummi,
Akan kami menjadi anak-anak yang soleh, dan akan sentiasa mendoakanmu
Nikmatilah ganjaran-ganjaran atas pengorbananmu dalam perjuangan ini
Dan akan kami tambah berantai-rantai amalmu dengan kehidupan dakwah kami
Semoga berada dalam redha, rahmatNYA,,,


Selamat tinggal ibuku...




Wahai tentera Allah bertahanlah

Jangan menangis walau jasadmu terluka

Sebelum engkau bergelar syuhada

Tetaplah bertahan dan bersiap siagalah





~~*~~


Ummi, Hasmah binti Osman telah dipanggil menghadap Maha Pencipta
Jam 1.00 pagi
1 Oktober 2009
Di Hospital Kemaman, Terengganu

Kepada yang berkesempatan, majlis pengurusan jenazah akan dimulakan seawal 8 pagi hingga ba'da zohor di 11992, Jalan Teratai, Gong Pauh, 24000, Kemaman, Terengganu.

Ana secara peribadi mewakili ummi,
Meminta kemaafan andai mengguris hati dan perasaan mana-mana pihak,
Tanpa kesengajaan pastinya.

Urusan hutang piutang boleh dijelaskan melalui ana dan keluarga.

Muhammad Hussaini bin Khairudin boleh dihubungi melalui:
+60133870153

Monday, September 21, 2009

Erti sebuah Kemenangan


Siapa yang tidak pernah berhadapan dengan kegagalan? Gagal dalam akademik? Gagal dalam pekerjaan? Gagal dalam hubungan? Gagal dalam masyarakat? Gagal dalam persatuan? Gagal dalam Dakwah dan Tarbiyyah? Gagal dalam hidup?

Semua orang mengalaminya. Tidak kira kegagalan minor mahupun major.

Kalah dalam pertandingan. Gagal dalam percintaan. Ditinggalkan orang yang tersayang. Jatuh dalam mendaki menara ilmu. Rasa terasing dengan rakan sebaya. Disisih daripada masyarakat. Ditolak dakwah dan segala pujuk rayu. Bagaimana ya perasaan kita ketika itu?

Kegagalan membuatkan kita seolah-olah diselubungi kegelapan yang sangat pekat. Jiwa terasa resah dan dada menjadi sangat sempit. Akal yang rasional, mahupun segala hujjah-hujjah teori tidak dapat mematahkan kebuntuan. Ketika itu, diri dilambung perasaan yang tidak menentu. Konflik, dilema yang menerpa, membuatkan diri ini takut untuk membuat sebarang keputusan. Gelap, hingga gagal dalam mencari cahaya-cahaya yang menawarkan bantuan. Pada waktu itu, putus asa kerap kali menjadi pilihan utama dalam mengharunginya.

Sungguh malang orang yang berperasaan sedemikian. Kerana Allah telah berfirman:

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan (begitu sahaja), padahal Allah belum mengetahui orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."
(At-Taubah:16)

Dan di ayat lain, Allah telah menyatakan:

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata lagi bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar."
(Ali-Imran:142)

Ikhwah akhwat yang ku sayangi,

Semua orang pasti akan diuji Allah di dunia ini. Kerana itulah sebabnya kita dicampakkan ke dunia yang sementara.
Namun segalanya berbalik kembali kepada kayu ukur yang kita gunakan untuk kita menilai dunia ini...

Apakah kayu ukur yang menentukan bahawa kita telah berjaya mahupun gagal?
Kita meletakkan gagal ataupun berjayanya kita dengan melihat samada kita berjaya melepasi sasaran kita atau tidak.
Kita melihat samada objektif kita tercapai atau tidak.
Jika kita berjaya membuat sebagaimana yang dirancang, maksudnya kita berjaya.
Jika kita gagal melaksanakannya, maksudnya kita gagal.

Aku pasti, ikhwah akhwat yang hebat-hebat ini, semestinya menyimpan ambisi-ambisi yang melangit tinggi. Dan ntum semua sedang berusaha dengan gigihnya ke arah itu,

Untuk dakwah ntum,
Untuk kerjaya ntum,
Untuk akademik ntum,
Untuk ... ntum,

Namun sedarlah, kita seharusnya menilai berjaya atau tidak kita ini, menurut neraca Allah. Apakah neraca itu?
Sudah tentulah dengan mengambil kira sejauh mana kita mencapai matlamat kita sebagai manusia. Soalan dan jawapan skema. Dah beratus kali kita dengar.

Menjadi 'Abid (51:56)
Menjadi Khalifah (2:30)

Jika kita sedang melaksanakan tugas kita itu. Janganlah kita takut akan kegagalan, kerana kita sentiasa sedang menang. Sedang berjaya.

Tanpa mempedulikan kata mereka. Kerana kita bukan hamba mereka.

Itulah yang dirasai oleh para sahabat, salaf as-soleh. Tiada apa yang mampu membuatkan mereka gusar. Semua itu enteng sahaja. Jika kita benar-benar memahaminya, maka kita akan jelas mengapa,,, mereka rela buat apa sahaja demi islam. Mampukah kita? Insya-Allah sahabat-sahabatku. Aku yakin ntum mampu. Ntum mampu menggapainya...

Selagi ruh islam itu, HIDUP dalam diri kita... Berlandaskan fitrah insani



"Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman."
(Ali-Imran:139)


"Ingatlah wali-wali Allah itu, tidak ada rasa takut pada mereka, dan mereka tidak bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan sentiasa bertaqwa."
(Yunus:62-63)


"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang memperoleh KEMENANGAN!!!"
(At-Taubah:20)

Bersabarlah... Sesungguhnya Allah kan ada...
La Tahzan, innaLlaha ma'ana...

Selamat berjaya
Selamat kembali
Selamat kembali kepada FITRAH
Selamat hari raya
Semoga terus berjaya, buat selamanya

Tuesday, September 1, 2009

Warkah untuk Ummi: T-T


Seorang ummi itu...

Seorang ummi itu...

Seorang ummi itu,,,

Sukar untuk aku gambarkan pengorbanannya. Kasih sayang yang diberikannya padaku, hinggakan aku terasa, seolah-olah akulah yang paling istimewa di sisinya.

Aku dilahirkan, dibesarkan dalam kepayahannya.
Sedang dia menuntut di universiti, terpaksa memilih sama ada 2:
Kasih sayang seorang anak atau ijazah yang kukuh.
Maka aku menjadi pilihannya.

Dan dengan jerih payah,
Aku dan adik-adikku dibesarkan.
Walau hidup tidak seberapa, namun kemanisannya tetap terasa,
Kerna dia seronok melihat pohon-pohon ini bercambah,
berbunga, dan berbuah.
Kamilah yang menjadi hiburannya sehari-hari.
Kadang-kadang tidak semua 'hiburan' ini menghiburkan hati.
Namun tidak pernah sekali langkah itu berhenti.

Aku membesar, belajar...
Memberontak...
Dan belajar kembali...
Menentang...
Dan belajar kembali,

Begitu tekad diriku memburu dunia,
Ummi tidak pernah lepaskan aku ke sana,
tanpa iringan doa dan usaha,
Yang akhirnya AKU MENJADI AKU kini,,,












Aku tidak sanggup berkarya panjang lebar lagi
Pagi ini tidaklah suram pada semua orang
Namun, padaku, kini ku temui gelita
Pernah aku temui dahulu gelita ini,
Namun ia terus hilang pabila cahaya yang hangat itu menyinari...

Ummi dulu mengidap kanser payudara, peringkat 2 daripada 4
Terus satu langkah tekad diambil,
Rela dikorbankan mahkota wanita itu untuk memelihara nyawa
Yang tidak mungkin dapat dicagar dengan apa pun materi
Buat kami, yang masih merindukan kasih sayangnya

Hari ini, selepas hampir 2 tahun saat pulihnya,
Kami kembali bersedih
Ummi kini disahkan berada di peringkat 4 daripada 4
Sel-sel perosak itu sedang marak ke seluruh anggota
Sekarang hati (hepa) sudah tumpas, esok entah bahagian yang mana
Tidak ramai yang sanggup mengubatinya, seolah tiada daya lagi
Masa demi masa,
Aku kembali bingung
Namun, melihat senyumannya,
Jiwa dan hatiku
Seolah bumi tandus ditimpa hujan

Aku sedar, bersedih bukan sikapnya seorang hamba Allah
Yang masih punya Allah
Selagi akidah ini terikat kukuh

Buat adik-adikku,
Singkapkanlah tangisanmu,
Hiburkanlah ummuna
Jagalah hatinya, walau ia seteguh berlian, namun layanlah ia ibarat kaca,
Yang tidak akan pernah kita sanggup melihat calarnya ia,
Retak jangan,
Apatah lagi pecah berderai...
Janganlah kamu semua berputus asa,
Kerana bukan itu yang ummuna pinta dari kita yang dibinanya,,,
Susunlah jari jemarimu...
Berdoalah agar Allah memberkati hidup kita bersama...
Semoga bertemu di jannah...
Aku dan kamu semua, sudah kuat bukan?
Kita bukan lagi kita yang dahulu bukan?
Semoga bertemu di jannah,,
Membentuk keluarga indah ini di sana...
Berdoalah lagi dan lagi
Berdoalah lagi dan lagi
Berdoalah lagi dan lagi

Semoga Ramadhan ini yang paling indah buat seorang ummi itu

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]