Thursday, December 3, 2009

Jalan Dakwah itu ibarat rantai




Membentuk rantaian amal

Di sepanjang jalan ini, kita akan diuji dengan segala macam mehnah dan tribulasi. Ia datang dari dalam dan luar tubuh seorang daei. Kadangkala, mehnah itu datang dengan penyiksaan batin dan zahir. Dan kadangkala, ia datang dengan segala macam nikmat yang ditawarkan. Berbahagialah mereka yang melepasi dengan jayanya. Amat rugilah orang yang terkandas di sepanjang jalan itu.

Jalan itu sangat panjang, yang akan mengorbankan daei-daei yang tidak sabar-sabar meraih hasil. Jalan itu sangat banyak liku, duri, onak dan cabaran, hanya mereka yang ikhlas dan menyerahkan segala-galanya untuk agama Allah, akan sanggup menelan segala kepahitan. Namun di dalam kepahitan itu, tersimpan kemanisan yang tidak terhingga, ukhuwwah yang akan membuatkan jalan ini terasa dekat dan senang. Barulah terasa, jalan dakwah yang seakan sangat panjang ini, rupa-rupanya ada matlamat yang sangat jelas, destinasi yang tiada kekaburan padanya. Cuma kadang-kadang mata ini sedikit berdebu dek selalunya bermain dengan kekotoran di sepanjang perjalanan.

Kepada mereka yang baru ingin bertatih merentas lautan penuh cabaran itu, ketahuilah bahawa sesungguhnya generasi-generasi sebelum kita pernah mengharungi ujian yang jauh lebih mencabar. Mereka mengharungi detik-detik itu dengan serba kekurangan materi dan segala-gala. Pengalaman itu mengajar mereka untuk melabur dengan lebih lagi, menyediakan bekal untuk para mujahidin selepas mereka. Bekal dengan kekuatan iman, bekal dengan ilmu, bekal dengan nasihat-nasihat, bekal dengan segala platform, bekal dengan segala kenderaan, bekal dengan segala harta benda.

Kadang-kadang generasi baru ini kurang untuk menghargainya. Kita tidak sedar betapa sukarnya jalan ini dibina. Kita lupa bahawa mereka berada dalam jalan dakwah ini, bukan hanya untuk menikmati hasil orang-orang sebelum kita, tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar lagi.

Tugas kita hanyalah menyambung kerja-kerja itu, agar anak-anak kita pula dapat merasai bantuan kita, lantas menggapai kemenangan dengan tangan-tangan mereka.

"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini."

[Syeikh Mustafa Masyhur]




Tuesday, December 1, 2009

Which is which




Yang terikat itu, tangan atau tengkuk?

Sedang melihat laki-laki bersama anjingnya berkeliaran di sekitar sebuah tasik, aku terfikirkan sesuatu. Siapa tuan kepada siapa? Siapa yang menjadi hamba kepada siapa?

Adakah si anjing yang menjadi hamba kepada si manusia atau sebaliknya?

Mungkin ramai yang akan berkata, si anjing itu bertuankan si manusia, bukan sebaliknya. Tapi, sepanjang pengamatanku, anjing itu dilayan umpama tuan sepanjang mereka bersiar-siar bersama.

"Kalau di republik chech, si manusia bebas membawa anjing mereka ke mana-mana sahaja, hatta ke dalam tren sekalipun. Tapi si manusia itu dikehendaki untuk membersihkan najis nya jika perbuatan sumbang itu dilakukan di kawasan awam" (Wea, 2009).

Si manusia itu mengikut sahaja ke mana sahaja anjing itu pergi, dan si manusia akan membersihkan najis si anjing, jika si anjing melepaskan najisnya di mana-mana. Najis itu akan disodok dan diletakkan di dalam satu beg plastik yang akan dibawa sepanjang siar-siar mereka. Begitulah si manusia itu menjadi hamba kepada anjingnya.



Awas! Jangan mengubah arah kiblat anda!

Kehidupan dalam tarbiyyah ini, banyak memberikan impak, terutamanya kepada cara pemikiran dan amal seorang muslim. Di sana, potensi-potensi mereka bukan dimanipulasi, tetapi dibentuk dalam sesi-sesi usrah yang dilaksanakan.

Seorang akh yang tidak pandai bercakap, berubah menjadi seorang orator yang hebat setelah lama diasah oleh murobbi dan disokong oleh rakan-rakan yang lain. Seorang akh yang lain, yang mungkin lemah pembacaannya, akan menjadi seorang yang sangat banyak pengetahuan tentang segala sesuatu setelah lama dalam tarbiyyah. Ada yang berkembang dalam bidang pembikinan filem, penulisan, sukan, nasyid, kepimpinan, pengurusan, pendidikan dan macam-macam lagi.

Mereka yang sebelumnya tidak sedar akan keupayaan masing-masing itu, berubah apabila berada dalam kelompok syumul itu, yang bermatian untuk mengoptimum keupayaan mereka, mengoptimum potensi mereka untuk perjuangan menegakkan syariah di muka bumi Allah ini.

Namun, tidak sedikit para daei yang lupa matlamat hidupnya, mabuk dalam kenikmatan dunia apabila ia ditawarkan kepada mereka. Ya, apabila potensi itu terserlah, para daei itu akan jelas kelihatan di kalangan rakan-rakan mereka, dan di sana tirani (tyranny) memainkan peranan mereka.

Tirani memerlukan hamba-hamba untuk berkhidmat untuk mereka. Para kuli untuk mengetuai para hamba lain, bagi memastikan semua hamba ini semuanya benar-benar menjadi hamba yang taat dan gembira. Mereka menjadi para ghulam yang mempunyai potensi untuk dimanipulasi.

Para daei yang masih mentah dalam menilai nilai di sebalik tindak tanduk tirani dan ahli-ahli sihirnya, mula lupa diri. Sudah merasakan segala potensi yang mereka ada itu, milik mereka, bukannya tertera hak milik dakwah di situ. Mereka beralasankan strategi dakwah untuk menganggotai kumpulan tentera hamba tirani. Mereka beralasan mereka dipaksa untuk menuruti arahan, sedangkan mereka masih ada peratusan untuk membuat pilihan. Dan akhirnya mereka akur.

Mereka ingin menjadikan segala jawatan, kedudukan ini sebagai hamba mereka. Yang terletak di tangan dan bukan letaknya di hati. Namun akhirnya, mereka menjadi umpama anjing dan manusia. Pada asasnya manusia itu menjadi tuan, namun lain pula pada amalnya, apabila si anjing sudah kalah hujah, tetapi menang hati tuannya.

Betapa lemah pun anjing itu, tuannya tetap akan menjadikannya (anjing itu) sebagai tuan kerana hati si tuannya itu sudah mabuk dan gagal membezakan kebenaran dan kebatilan.

Sang daei sudah lupa matlamat hidupnya. Ia sudah lupa mengapa ia lahir dan mengapa pada awalnya dia berada dalam usrah itu. Usrah yang semakin lama semakin kerap ditinggalkannya. Sehinggalah ia benar-benar larut dalam jahiliyyah. Menjadi bukan sahaja orang biasa, tetapi pelaksana suatu sistem yang meminggirkan Allah dalam perhitungan mereka.



Hanya mati yang memisahkan kita daripada usrah (bukan sekadar teori)

Seorang pejuang tidak akan menyangkal peri pentingnya usrah untuk pembinaan peribadi. Ianya wajib dihadiri setiap sesi kerana ia berjalan sebagai suatu sistem, bukan slot.

Di dalam usrah itu, segala pembinaan fikrah, tsaqafah, amal fardi, amal dakwah, mesyuarat dakwah, strategi dakwah dan akhbar islami diketahui. Tidak cukup blog-blog ikhwah untuk pembinaan itu kerana dunia kita bukan blog. Juga tidak cukup dengan ceramah-ceramah (atau rakamannya) kerana kita semua ini berpaksikan amal dan hasilnya, bukan sekadar suap-suap ilmu menghindar kegersangan intelektual.

Hati itu dibelek bersama-sama agar hati-hati ini semuanya bersatu dan bersedia memikul bebanan ummah yang tak tertanggung beratnya. Yang akan sentiasa menunggu kita. Janji kita? Akan tetap bersama pada setiap minggu dan ketika, untuk memperjuangkan hak ikhwah serata dunia. Memperjuangkan nasib semua muslimin serata dunia yang menuntut kita untuk tidak berehat walau untuk mengambil nafas-nafas panjang. Apatah lagi ingin melayan cinta hamba-hamba cinta yang melalaikan.

Hanya mati diterima sebagai alasan tidak hadir ke perjumpaan itu, andai kita benar-benar serius ingin berjuang. Kerana ia di luar perancangan kita.


Monday, November 30, 2009

Kita ditarbiyyah menjadi jahiliyyah






The Arrivals, suatu pendedahan


Hari ini, manusia sibuk mengejar kekayaan dunia. Mereka bekerja siang dan malam, bukan sahaja untuk memastikan anak, isteri mendapat keperluan asas semata-mata, namun pelbagai kehendak-kehendak lain yang terasa sangat penting, seiring dengan kehendak dunia. Itulah yang berlaku dalam sistem kapitalis; manusia berebut-rebut mendapatkan perkara yang tidak perlu bagi mereka kerana persaingan dengan lawan.

Walau dalam keruntuhan sistem ini sekalipun, manusia tidak mahu keluar dari sistem ini, kerana mereka sudah tersekat di dalamnya, dan tidak mampu hidup di luar sistem ini. Kita boleh lihat betapa sempitnya pemikiran manusia di seluruh dunia yang tidak mahu mengambil sistem lain walhal duit-duit mereka sudah bertukar menjadi kertas biasa, lebih murah berbanding kertas-kertas tisu tandas yang melata.

Mereka tidak sedar, sistem ini adalah suatu sistem untuk mewujudkan hamba-hamba hutang dunia, menjadi hamba kepada pemiutang, menjadi hamba kepada manusia. Keuntungan daripada sistem ini hanya akan diperoleh secara mutlak oleh mereka yang memegang kunci pintunya. Mereka yang selain daripadanya (99% daripada penduduk dunia), hanya menjadi robot yang bekerja, dengan mulut yang tidak mampu bersuara, telinga dipekakkan dan mata yang ditayangkan segala kepalsuan.

Robot ini, bukan sahaja bekerja tanpa henti umpama hamba, namun mereka tertipu kerna minda mereka telah dikawal oleh ejen-ejen propaganda yang mereka akur padanya. Mereka tenteram padanya, mereka rasa selamat dengannya dan gembira menyembahnya. Mereka menjadikannya suatu ilah baru, diperhambakannya. Mereka menjadi hamba, dan mereka gembira.

Dengarkan cita-cita mereka, sungguh, hanya dunia ini menjadi matlamat, kerana hati mereka sudah tertutup, telinga sudah tersumbat, dan di antara mereka dan al-Haq itu ada dinding (Fussilat 41: 5).

Cita-cita mereka adalah dunia. Segala-galanya adalah untuk dunia, untuk meraih keenakan dunia. Akhirat pada mereka adalah mitos dan islam pada mereka adalah suatu ketahyulan. Andai suatu realiti tidak dapat diraih dengan kuderat dan kemampuan, itulah masanya untuk kembali pada tuhan. Hanya tuhan yang dapat melawan kuasa mistik dan keangkeran, begitulah islam di pandangan mereka, sebagai the last resort. Keimanan adalah suatu keraguan tentang hakikat ketuhanan, kealiman merupakan suatu sendaan. Ketaataan merupakan suatu ketaksuban kepada suatu kefanatikan, dari kefanatikan itulah lahirnya penganut yang sesat.

Pemimpin merekalah yang memimpin pandangan umum mereka mengenai segala sesuatu, termasuk perihal agama dan kehidupan.


"Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi ini sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya"

(Al-Kahf 18: 7)


Minda kita dikawal oleh mereka

Bila aku menyatakan bahawa pemikiran ini dikawal dan diacu oleh para pemimpin, tidaklah aku bermaksud untuk berbicara tentang politik sempit BN mahupun PR. Bukan juga semata-mata berkata kepimpinan Perdana Menteri Negara kita. Tetapi aku berkata tentang Khalifah Barrack Obama dan sokongan suatu kuasa besar di belakangnya. Kuasa besar yang menguasai Federal Reserve, dan ekonomi dunia. Kuasa besar yang menapis segala maklumat di seluruh dunia. Kuasa besar yang menguasai segala syarikat-syarikat fesyen, makanan, senjata, dan syarikat-syarikat besar yang kita kagumi seluruh dunia. Dunia kini di genggaman mereka.




Anda berhak untuk tidak bersetuju, namun hakikatnya, merekalah yang memandu hala tuju negara dan dunia. Pemimpin kita juga tidak terlepas daripada tunduk dan akur kepada jari telunjuk mereka.

Melalui segala media massa; televisyen, surat khabar, iklan, majalah, ucapan-ucapan pemimpin, silibus pendidikan kita; propaganda disebarkan. Ia bertujuan agar kita menjadi hamba yang sebenar-benarnya hamba. Kita kononnya diberikan kebebasan suara, namun, itu hanyalah suratan di dalam perlembagaan. Masih ada 'akta keselamatan dalam negara' di seluruh dunia.

Minda kita sudah sepenuhnya dikuasai, hatta apabila tentera syaitan ini menyerang mana-mana negara sekalipun, kita merasakan itulah yang terbaik untuk dunia. Itu yang berlaku di luar negara.

Tentera syaitan ini tidak segan-segan menunjukkan kedajjalan mereka dalam segala tindak tanduk mereka. Dalam filem mereka, dalam lagu mereka, dalam buku-buku mereka, dll, dan kita merasakan itulah gurauan yang digemari dunia kini.

Bila kristian dipermainkan, kita merasakan itulah kekolotan agama itu. Bila islam dipermainkan, kita ingin bersuara, namun kesemua orang-orang kita sudah tewas mindanya. Suara mereka hanya mampu dikeluarkan dalam Friendster, Facebook dan Blogspot sahaja. Mereka tidak sanggup melawan arus yang dibawa oleh pemimpin mereka di seluruh dunia. Itulah kebebasan suara.

Kebebasan suara dengan penjajahan minda.


Sunday, November 29, 2009

Phase 3 [Pt. 2]

Phase 3 [Pt. 1]

Phase 3 [First Official Trailer]

Taujih buat adindaku






"Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.

Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu,

(Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya).

dan demi sesungguhnya Kami Mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan.

oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.

dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin."

(Al-Hijr 15: 94-99)