Thursday, October 23, 2014

Aku tidak mahu jadi pentaksub!

Itulah yang bermain di mindaku bila aku masuk ke dalam usrah. Aku takut melihat pakcik-pakcik, makcik-makcik yang asyik mengquote Hasan al-Banna.

Apa hebatnya manusia itu?

Persoalan itu dijawab dengan beberapa kisah yang pada aku tak berapa boleh nak percaya berkenaan beliau, yang menyebabkan aku semakin  takut nak mendekati watak itu. 

Yang paling susah padaku adalah untuk membaca bukunya (Yang mengandungi 683 halaman) yang ditakuti akan membuatkanku ter’sihir’ seperti senior-seniorku juga.

Maka aku lebih mendekati buku-buku Syed Qutb, Maududi, Mustafa Tahan, Zainab al-Ghazali, Abdul Karim Zaidan, Zindani, Muhammad Ahmad ar-Rasyid etc. etc. 

Menariknya kebanyakan penulis-penulis buku ini kerap kali menjadikan Hasan al-Banna dan risalahnya sebagai rujukan. Menakutkan…

Aku dengan itu lalu semakin tidak mahu membacanya. Sehinggalah...

Sehinggalah hatiku benar-benar sudah jatuh cinta terhadap dakwah ini. Jatuh cinta terhadap manhajnya. Jatuh cinta terhadap pendokong-pendokongnya. Jatuh cinta terhadap biah yang dibinanya. Jatuh cinta terhadap jemaah islam ini, jemaah ikhwan al-muslimun.


Namun, aku tidak pernah membaca tulisannya itu.

Hanya kerana aku takut taksub kepada individu.

Hari demi hari berlalu. Sehingga akhirnya 5 tahun usiaku di dalam gerabak jemaah dakwah ini. 

Aku membaca dengan teliti buku Baina ats-Tsawabit wa al-Mutaghaiyirat, Jumah Amin tiba-tiba menekankan bahawa Majmuk Rasail itu seharusnya menjadi rujukan semua individu yang berada dalam jemaah ini. 

Aku tersentak.

Mengapa? Kerana itulah gerak kerja dan kesatuan hati yang hendak dibina demi membina ummah.

Apabila aku cuba membaca dan memahami bait-bait pilar-pilar kebangkitan ummah tulisan Muhammad al-Ghazali. Aku gagal. 

Apabila dirujuk kepada naqibku ketika itu, beliau menjelaskan bahawa tips kebangkitan ummah itu ditulis dengan berpandukan Majmuk Rasail. Dengan berpandukan gabungan risalah itu, Muhammad al-Ghazali mengeluarkan formula yang ternyata gagal difahami jika seseorang itu tidak memahami basis Majmuk Rasail itu sendiri.

Dengan keterdesakan itu. Dengan perasaan bahawa aku sudah bersedia untuk menilai baik buruk. Dengan merasakan bahawa aku serba sedikit sudah mengetahui latar belakang ISHAB dan dakwah yang dibinanya... 

Aku akhirnya ada kekuatan untuk membaca satu per satu helaian Majmuk Rasail itu. Aku khatamkannya dan aku ulang berkali-kali. Ternyata Ia sebuah karya yang hebat!

Barulah aku memahami apa yang aku buat selama ini, dakwah yang dikerjakan selama ini, fikrah yang dicanang-canangkan selama ini datangnya dari Sang Mujadid ini, yang ternyata genius dakwah.

Ya! Selama ini pakcik-pakcik, makcik-makcik, abang abang kakak kakak duk sembang pasal asy-Syahid bukannya kerana beliau merupakan naqib pertama (naqib kepada naqib kepada naqib kepada naqib.... ... ) ataupun sekadar merupakan seorang pengasas organisasi yang berjasa… Namun beliau ternyata merupakan seorang pakar dakwah yang mencetakkan tulisan dan amalannya dalam ummah ini dan akhirnya kunci-kunci kejayaan itu sedang digunakan oleh ummah di mana-mana pada hari ini.

Aku tergelak kecil.

Terima kasih ustaz. Moga Allah merahmatimu, menerima segala pengorbananmu buat ummah ini.

Majmuk Rasail kekal menjadi buku tulisan manusia yang paling aku sukai, sehingga ke hari ini.

Anda sudah membacanya?

No comments:

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]