Sunday, April 11, 2010

Semangat berkobar-kobar


Semangat. Semangat, bak kata Pak Hasan adalah suatu fundamental dalam suatu amal islami. Itulah yang menjadikan seorang rijal itu, syabab (pemuda) khususnya, aset yang terbesar dalam harakah islamiyyah ini.

Jiwa seorang syabab itu, jika ianya normal dan tidak sakit, pastinya berkobar-kobar dengan semangat yang tidak pernah padam. Ianya sentiasa diapi-apikan dengan cita-cita yang tinggi. Hasratnya untuk ummah ini, tidak pernah lebih rendah daripada langit, ia tinggi, sangat tinggi tidak terjangkau dek pandangan mata yang terbatas. Ianya sangat ideal, dari kaca mata golongan tua yang sedang mengira-ngira umur mereka.

Itulah yang membezakan seorang syabab dengan seorang syuyukh. Namun bukan itu yang ingin aku perbincangkan. Bukan untuk menghina atau menegur golongan veteran dunia ini. Tetapi ingin sama-sama melihat jauh ke dalam setiap aura, dalam setiap semangat syabab islam ini.

Kita seharusnya berfikir dan merenung, dari mana datangnya semangat kita? Adakah dari umur kita? Atau dari ilmu kita yang menggunung tentang satu-satu perkara? Atau ikut-ikutan dari rakan-rakan yang turut sama bersemangat? Atau datang dari seorang naqib yang tidak sudah-sudah berpidato dengan penuh enthusiasme? Atau dari lagu-lagu jihad indonesi? Atau dari media masa? Atau dari keprihatinan kita tentang isu ummah? Atau dari kata-kata orang-orang yang berkata syabab perlu bersemangat?

Mari kita muhasabah bersama-sama.

Percayalah, jika semangat kita datang kerana perkara-perkara ini, pasti ia tidak ke mana. Kerana semangat-semangat ini lahir dari luar yang akan ada atau tiada bila-bila masa. Bila adanya semangat itu, maka amal kita tinggi, tapi bila tiada semangat, maka kita futur dalam jangka masa yang lama.

Sesungguhnya amal yang berterusan lebih baik dari amal yang meletup-letup.

Jika semangat kita adalah ikut-ikutan, kita akan nampak ramai pemuda bersemangat yang melompat-lompat ketika nasyid jihad. Tetapi selepas program, mereka seperti tiada apa-apa.

Jika semangat kita ikut-ikutan, kita akan nampak ramai syabab yang bersemangat, takbir tanpa henti ketika membuat rusuhan (ayat baik: demonstrasi), tetapi bila disergah dek FRU, mereka lari semuanya, tanpa meninggalkan apa-apa.

Itulah, dari mana datangnya semangat kita?

Aku bimbang, satu hari nanti, kita bersemangat sangat-sangat, tanpa sedar asal usul semangat kita. Lantas kita laksanakan kerja dakwah sebanyak mungkin, hingga di pandangan mata orang biasa, itu suatu kemustahilan yang amat dasyat.

Kita tidak henti-henti buat usrah. Kita tidak henti-henti menyerang (ayat baik: melaksanakan futuh) lokaliti-lokaliti, takungan mad'u. Kita tidak henti-henti buat daurah. Kita tidak henti-henti buat mabit. Kita tidak henti-henti buat program itu, buat program ini tanpa kenal erti letih.

Benar, kekurangan glukosa dalam badan tidak akan memberhentikan sekujur tubuh itu bergerak. Jika semangatnya mampan, pasti akan digerakkan walaupun sebatang jari, untuk menyahut panggilan semangatnya.

Namun, lihatlah apa yang terjadi kepada para sahabat!

Mereka adalah orang-orang yang paling bersemangat. Hinggakan di Mekah ketika umat islam diseksa, merekalah orang-orang yang meminta kepada Ar-Rasul supaya mendoakan kemenangan mereka. Malah ada para sahabat yang meminta untuk akhirnya mereka melancarkan jihad kital kepada kaum quraisy. Rasulullah diam.

Hinggalah apabila di Madinah mereka disuruh untuk berjihad, maka sahabat-sahabat yang bersemangat tadi diam-membisu. Semangat dahulu gagal mengerahkan jiwa dan raga mereka untuk berkorban kerana Allah. Mereka lantas beralasan itu dan ini. Ada sahaja alasan mereka. Janji mereka, permintaan mereka untuk mati di sisi Allah, senang berjalan dengan semangatnya melalui bibir mereka, namun yang dilihat Allah adalah amal mereka.

Lalu, turunlah surah As-Saff.

Sahabat-sahabatku. Hari ini, ramai orang boleh berkata-kata. Ramai orang boleh berucap, bagi ISK, menulis blog, menulis status FB yang sangat puitis dan jihadis, buat usrah yang ideal tu etc. Tapi berapa ramai yang mampu bertindak?

Berapa ramai yang mampu menyahut seruan naqib mereka untuk berkorban demi Islam? Berapa ramai orang mampu mengotakan janji-janji manis mereka? Berapa ramai yang mampu mati bila kematian itu diperlukan, untuk kemenangan islam? (Hussaini memang ekstrim).

Ke mana perginya semangat yang meluap-luap itu?


Pastikan semangatmu lahir dari cahaya Rabbani. Dari keimanan dari dalam diri. Bukan dipaksa-paksa kehendak hati. Cermin niat kita setiap masa. Semoga Allah meneguhkan kedudukan kita di atas jalanNya ini.



1 comment:

Al-Mufakkir Hamidi said...

Adakah kita sebahagian daripadanya?

Muhasabahlah¬

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]