Melahirkan Khalifah
Realiti kini mempersembahkan kepada dunia betapa mustahilnya politik dipandang sesuatu yang mulia. Dari sudut mana sekalipun, kepercayaan dan dunia kepemimpinan tidak mampu disatukan. Satu demi satu kepimpinan dibongkarkan ketidakluwesannya dan menonjolkan ketidakmampuannya memandu hala tuju masyarakat dunia.
Sebutkan sahaja mana-mana figura, pasti dirinya ternampak juga tahi-tahi yang mencalit identitinya. Hari demi hari, masyarakat dunia kecewa dan kecewa. Terus kecewa. Harapan yang menggunung tidak pernah berbalas. Masyarakat dunia sudah hilang harapan. Hendak menyapa perubahan, takut pula perubahan itu lebih teruk berbanding penderitaan sebelumnya.
Ramai orang yang mengaku diri mereka mampu dan layak membuat perubahan yang dicita-cita. Setiap hari ada yang mendabik dada, “Pilihlah saya!”. Namun, keesokan harinya mereka memohon maaf atas kegagalan menyimbah sinar bahagia. Tidak kurang ada pemimpin yang naik ke atas pelamin tertinggi, namun akhirnya tersungkur di depan gerbang kemasyuran. Diangkatnya pula figura-figura yang baru, pelapis pewaris tahta. Namun ternyata, diri mereka masih disalut kehendak tahta yang menyelubungi jiwa. Mereka tidak pernah puas menjamah kemewahan, kedudukan dan kemasyuran.
Walau tahta tidak mereka miliki, namun di dada-dada akhbar, muka mereka masih lagi menghiasinya. Di televisyen, suara-suara mereka masih kedengaran, dan mereka tidak putus-putus meletakkan diri mereka di atas pemimpin-pemimpin pada waktu tersebut. Perkara ini berulang-ulang di merata-rata, di mana-mana sahaja. Mungkin kerana inilah, tokoh-tokoh tajdid agama ini mengingatkan kita betapa pentingnya membina jiwa penuh nilai islami, kerana tokoh-tokoh tin kosong ini tidak akan mampu memimpin diri sendiri, apatah lagi membina tamadun berjaya, memimpin seluruh umat dunia.
Dalam liqo-liqo kecil, jiwa-jiwa pemimpin ini dibina. Ia membina bukan sahaja jiwa seorang pengikut penuh dengan rasa hati seorang hamba, malah menempa peribadi-peribadi pemimpin islam yang tidak pernah tunduk, kecuali kepada Tuhan yang menciptakannya. Peribadi islami ini, adalah figura yang dinanti-nanti oleh seantero dunia. Ia tidak memerlukan perdana menteri sebagai mentor atau naqib. Ia tidak memerlukan sekolah-sekolah elit untuk mengajarkannya angka dan abjab. Ia tidak memerlukan buku-buku misteri dan buku-buku rahsia dunia yang sangat-sangat konfidential. Ia tidak memerlukan orator-orator terhebat dunia mengajarkannya melafazkan kata. Ia tidak memerlukan duit-duit, kertas-kertas perjanjian kewangan yang memampukan dirinya membeli apa sahaja termasuk jiwa.
Namun, apa yang diperlukan dalam usaha membentuk peribadi dambaan hati semua lelaki dan wanita ini cumalah kemahuan dan amal mencetak setiap ayat dan kata Al-Quran ke dalam jiwanya. Agar dustur ilahi itu, menjadi dusturnya. Agar setiap yang dikatakan benar itulah yang haq. Segala yang dikatakan salah itulah yang batil. Tiada satu patah perkataan pun didustakan menurut hawa nafsunya, itulah generasi ruh yang dihasilkan oleh generasi salaf, hingga kemenangan tanpa sebarang halangan dapat diraih mereka. Jiwa ini sahajalah yang layak menyambut kemenangan. Hanya jiwa ini layak bergelar pemimpin, kerana jiwa inilah yang disukai dicintai Allah, dan Allah berhak untuk memberi kepimpinan kepada siapa sahaja yang Ia sukai. Walau selembab mana akal fikirannya. Walau segagap mana sabdanya. Walau sehuduh mana rupa parasnya. Walau sesengau sesumbang mana suaranya. Walau sekering mana poketnya. Ia tetap akan meraih kemenangan, dengan kelebihan yang nyata itu.
Ia akan dicintai oleh Allah. Ia akan diterima dengan sepenuh jiwa oleh seluruh bangsa manusia. Setiap penjuru dunia akan merasa keamanan yang tidak pernah mereka kecapi sepanjang tahta itu diletakkan di dalam genggaman manusia. Alangkah ajaibnya.
Ya, kitalah yang akan melahirkan khalifah itu!
Mulut mudah berbicara. Mulut mudah melafaz kata dan menaip segala apa yang difikirkan. Namun sejarah juga begitu banyak memberikan kita contoh, mulut tidak pernah melahirkan amal jika hati tidak jujur melafazkannya.
Pandangan yang ditimpakan ke atas manusia-manusia pilihan itu di dalam liqo-liqo, seharusnya di atas pandangan penuh kemuliaan dan kasih sayang. Merekalah yang akan menerajui kepimpinan manusia masa depan. Pembentukan penuh perasaan di setiap masa, seharusnya memberikan kita perasaan unik yang tidak mampu digambarkan. Ketakutan kita akan cacat-cela pembinaan ini menyebabkan kita tidak pernah sambil lewa melaksanakannya. Ketelitian kita di setiap lentok dan sudutnya, seperti ‘menatang minyak yang penuh’. Tidak sedikit pun minyak itu sanggup kita lihat jatuh ke atas lantai. Teliti, fokus dan berterusan.
Di mata kita, ia membesar dan menjadi jiwa yang benar-benar kental, hingga sanggup berhadapan dengan dunia yang huru-hara carca-marba ini. Jadilah ia umpama nila yang sangat pekat. Hinggakan, hanya setitik sahaja, mampu mempengaruhi setempayan susu. Hinggakan warna-warna islami itu menghiasi setiap tempat berdiri, duduk, dan baringnya. Mereka bahkan menjadi lebih berhasil daripada murobbi-murobbi mereka.
Tanganku ini pernah mencipta jiwa-jiwa ini. Hingga ada antara mereka yang akhirnya duduk seusrah denganku, hanya selepas setahun dibina. Sepatutnya, andai jiwa ini ikhlas dalam niat melahirkan pahlawan-pahlawan, pemimpin-pemimpin islam, pasti akan berasa gembira atas kejayaan mutarobbiku itu. Namun, jiwa ini pernah direnggut perasaan ego yang maha dasyat, hingga sukar menerima bagaimana seorang pengikut kini duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan empunya diri.
Dan akhirnya, alhamdulillah tarbiyyah meletakkan robb di setiap masa. Melatih hati penuh najis kekotoran ini, agar tertanam sifat-sifat robbani.
Jiwa dilatih agar melihat segala apa di hadapan mata ini sebagai pinjaman sementara. Hanya ciptaan-ciptaan Allah, hak milik Allah yang dipinjamkan selagi nyawa yang juga pinjaman ini, berada di atas dunia, yang juga pinjaman. Segala-segalanya adalah hak milik Allah, dipinjamkan sementara, dan pasti akan dituntut kembali, walau dalam keadaan apa sekalipun.
Merasakan diri ini memiliki sesuatu, adalah kelemahan dalam menggerakkan dakwah di bumi Allah ini. Seiring dengan naiknya ego itu, akan semakin besarlah impaknya tatkala semua nikmat itu dikembalikan kepada pemiliknya. Perasaan memiliki juga menghancurkan kesatuan dalam amal jamai, memecahkan institusi dakwah yang tidak pernah rasa ahli-ahli, aset-aset, keberjayaan meraih hasil, dan segala-galanya adalah hak milik mereka.
Perasaan ini, sekiranya wujud, apatah lagi jika perasaan memiliki ini berjaya menyuntik rasa bangga dan mulia, akan membuatkan kesatuan ahli-ahli jemaah dakwah ini berpecahnya jiwa mereka, hilang kesatuan dan sudah mula-mula berkira-kira hak mereka daripada dakwah. Padahal, diri mereka yang patut memberi, kerana mereka bukan memberi pada pemimpin mereka segala usaha itu, tetapi suatu perjanjian amal dengan Allah, yang membeli diri dan harta mereka. Mereka gagal menahan diri mereka, akhirnya mereka gagal mendapatkan syurga sebagai cagarannya. Hanya kerana jiwa mereka dihambat oleh pesona dunia.
Oleh itu, jagalah hati. Jagalah akhlakmu. Jagalah bicara. Jangan kerana ketidaksabaran mengejar hasil kita, kita sanggup menggadaikan segala-galanya.
Mudah-mudahan, akan lahir khalifah dari tangan kita ini.
Hussaini,
Murobbi kepada khalifah-khalifah islam.
2 comments:
Assalamualaikum..
Mohon share artikel ni dgn akhawat jordan yg lain..
Syukran..
Silakan
Semoga bermanfaat
Post a Comment