Wednesday, March 31, 2010

Kerana adanya Ruh



Aku memandang ke sekelilingku. Di segenap ruang yang aku perhatikan ini, aku lihat, ia penuh dengan makhluk-makhluk (ciptaan-ciptaan) ALlah. Aku melihat seekor kucing yang perlahan-lahan mendekatiku. Keropok di tangan, terkulai-kulai di hujung 2 jariku. Sos sira, menitik-nitik ke lantai. Mungkin itu, yang menarik kucing comel yang sibuk tergedik-gedik menghampiriku dan meronta-ronta.


Desakan-desakan jiwa, menghimpit naluriku yang sedang senang melihat keindahan segala makhluk-makhlukNya. Di segenap permandangan ini, aku dapat merasakan, bahawa makhluk-makhluk yang terbentang ini, baik sekecil kumbang hinggakan gunung yang terpacak, bukan ini sahaja yang diciptakanNya. Di ceruk dunia yang lain, bahkan di belakang gunung ini, masih ada lagi makhluk-makhlukNya. Betapa Maha Hebat Allah menciptakan dunia yang besar ini.

Ku rasakan diri ini, begitu bertuah kerana dalam setiap hirupan udara yang mengalir dalam rongga badan ini, adanya tasbih. Adanya pentauhidan rabb yang Maha Kuasa. Ku rasakan dalam permandanganku ini, aku sangat ramai. Walau kami hanya 20 orang pemuda yang ingin mengenal pencipta, merasakan betapa kerdil dan asing diri dalam masyarakat kami. Namun, dalam alam yang terbentang ini, kami dapat merasakan betapa kami dalam kelompok yang ramai.

Aku dapat melihat kucing yang tiada saat tanpa bertasbih kepadaNya,

Aku dapat melihat pokok-pokok yang tiada henti bertasbih memujiNya,

Aku dapat melihat air terjun yang terjun dari puncak yang tinggi, tanpa henti, tanpa pernah berhenti mengalir, setiap saat tanpa pernah henti, bertasbih kepadaNya,

Aku dapat merasakan angin-angin di air terjun yang membelai pipi munggilku, angin yang tiada sudah memuji Allah,

Aku dapat merasakan panas mentari dan cahayanya yang mengalir ke permukaan bumi, setiap mikro saat, pancaran itu tidak pernah berhenti mengalirkan cintanya, bertasbih kepada Pencipta,

Aku dapat melihat bayang-bayang di setiap pandanganku, mereka juga ciptaanNya, yang pada setiap saat, setiap mikrosaat, nanosaat, pikosaat, bertasbih kepada Penciptanya.

Begitu aku merasa betapa untungnya aku, hidup di dunia ini dalam perasaan yang sangat indah. Hinggakan seluruh dunia ini bersamaku. Terasa bantuan Allah amat dekat, untuk berhadapan dengan dunia yang penuh mehnah dan tribulasi ini. Tiada kuasa yang mampu menahan kebejatan amal ku, jika Allah menghendaki kemenangan itu. Dan tiada kuasa yang mampu memberikan ancaman kepadaku, jika Allah tidak menghendaki sedemikian.

Dalam rasa sedemikian, aku menawarkan pada setiap masaku, agar insan-insan lain turut sama merasainya. Ada yang berminat, dan ada yang tidak. Betapa aku memahami agama ini adalah nasihat, buat Allah, Rasul, Kitab, pemimpin dan ummah. Tiada apa yang aku dapat lakukan selain menawarkannya, pilihan di tangan kalian. Aku tidak akan kerugian, kerana aku telah merasakan ketenangan itu. Hanya menunggu saat masa bertemu denganNya di pertemuan abadi.



Kenangan di lata iskandar, 2010 masih dalam ingatan.

Tuesday, March 30, 2010

Satu kiblat yang sama


Muka, dianggap sebuah kemuliaan di mata manusia. Manusia sanggup mengeluarkan ribuan malah ratusan ribu ringgit untuk menjaga 4 lapisan derma itu. Pelbagai produk kecantikan dari penjagaan kulit, kosmetik dan sebagainya, tidak akan wujud jika manusia tidak memandang kepada kecantikan muka. Ianya sebuah kebanggaan, maruah kepada individu.


Dalam fanatisme menjaga kecantikan, kemuliaan dan maruah muka, rambut dan kepala, manusia-manusia ini pelik golongan yang dibicarakan Allah dalam surah al-fath, ayat yang terakhir:

"Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaanNya. Pada dahi mereka tampak tanda-tanda bekas-bekas sujud..."





Alangkah ajaibnya golongan ini. Tatkala orang menjaga kemuliaan mereka, mereka ini adalah orang-orang yang menghinakan diri. Orang-orang ini sangat rajin sujud dan rukuk, dan jelas di dahi mereka tanda-tanda sentuhan dahi mereka dengan bumi yang hina.


Kepala yang begitu mulia, hingga boleh tercetusnya perang hanya dengan tolak menolak kepala. Tapi, orang islam, dengan primitifnya, meletakkan darjatnya setaraf dengan lantai. Bahkan kambing dan lembu tidak meletakkan kening mereka di atas lantai, betapa mereka menghinakan diri.


Namun, itulah hakikat bagaimana orang-orang beriman menunjukkan kehambaan mereka kepada Allah. Mereka bahkan meletakkan diri mereka sehina-hinanya, tanpa sebarang kelebihan atau samarata antara mereka dengan pencipta mereka. Tonggek dan sujud mereka untuk membuktikan untuk menunjukkan, betapa mereka merasa Tuhan mereka itu tidak terjangkau besarnya dan agung berbanding mereka. Lafaz ketika sujud juga mengagungkan Tuhan dan menghinakan diri.


Kaum-kaum yang berpaling, pasti akan pelik dan ragu-ragu terhadap orang-orang mukmin. Betapa jauh mereka daripada rasa kehambaan dengan Tuhan mereka. Mereka tidak akan pernah sanggup walau tunduk menghadap Tuhan yang agung. Jiwa mereka sombong, bongkak umpama Iblis yang belot.


Orang-orang kafir, menganggap orang-orang beriman hina, kerana mereka menghinakan diri. Ternyata mereka silap!


Kamilah kaum yang akan jadi sehina-mungkin di hadapan Tuhan, namun di hadapan musuhNya, kami menjadi mulia, bahkan kami tidak akan pernah tunduk selain kepada Tuhan kami, Allah.


Kami adalah insan yang paling bebas di alam ini. Menjadi hamba hanya kepada Allah yang satu. Selain dariNya, kamilah kemulian. Kemulian yang Allah titipkan kepada semua manusia, menjadi khalifah yang memerintah.


Kami kaum yang bebas, yang tidak akan pernah menundukkan, sujud kepada harta yang berlimpah, perempuan yang cantik, pemerintah yang zalim, hiburan yang melalaikan, kedudukan yang sementara, apatah lagi orang-orang kafir yang lemah. Kami tunduk hanya kepada Allah yang agung, tiada selainNya!


Kami adalah kaum-kaum mulia, yang bersujud, tunduk menghinakan diri kepada Allah, dalam satu kiblat yang sama, sebagai tanda persatuan kami dan tanda ketaatan kami yang tiada tara (2: 150).


Kami adalah kaum-kaum mulia, yang akan tanpa rehat, menyeru manusia, agar tidak bertuhankan dunia, hidup dalam penghambaan yang meletihkan dan menyeksakan. Kami akan terus berdakwah hingga semua manusia dapat merasai, betapa indahnya dunia, andai suka duka seharian, hanya Allah sebagai kayu ukurnya. Hanya Quran rujukannya. Hanya sunnah panduannya.


Kami adalah kaum-kaum yang mulia, yang tidak akan dipengaruhi dengan keindahan dunia yang dibentang. Juga tidak akan berubah arah kiblat kerana kesatuan kami. Kami tidak akan berpecah kerana diapi-apikan oleh yang cemburu melihat kami bersatu.


Nafsu tidak akan sekali-kali menjadi tuhan kami, kerana di tangan kamilah ia terpandu. Juga tidak akan jemaah yang besar ini, dipandu mengikut hawa nafsu sesuka hati mereka. Hanya wahyu yang akan menjadi pedoman, hanya ia yang mampu menyatukan kami. Kerana wahyu itulah yang menyatukan ikatan perjanjian kita dengan Allah, hingga mati kita di bumiNya.


Kami tidak akan menjadikan cara bergerak kami, cara bernafas kami, cara bercakap kami, cara berfikir kami, menghalang penyatuan kesatuan yang besar ini! Kerana yang pentingnya, i'tikad dan cinta kami, hanya kepada Allah. Malah kasih sayang kami kepada isteri kami, anak-anak kami, keluarga kami, kawan kami, jiran kami, kucing kami, adalah kerana Allah juga. Kerana kami sedar, kasih dan cinta itu, Allah lah empunya nya.



Bahkan kesatuan kami atas akidah yang satu ini, tanpa unsur takfir (mengkafirkan= sikap orang-orang yang bodoh dan buta cinta) adalah hasil kasih sayang yang dititipkan Allah kepada kita semua. Jika kita engkar, melaksanakan maksiat, nescaya Allah akan menarik rasa sayang kita sesama kita, dan kiblat ini pasti akan berubah mengikut rasa dan akal yang tersasar.


Berdoalah pada Allah, agar kita tetap menyembahNya, pada SATU KIBLAT YANG SAMA.


Berdoalah pada Allah, agar dalam hati kita ini, masih ada cinta yang menebal terhadap Allah, terhadap Allah, terhadap Ar-Rasul, terhadap Islam, terhadap ikhwah, terhadap akhwat, terhadap ummat, terhadap sekalian manusia.


Inilah cinta yang akan memberikan kita makna kehidupan. Inilah cinta yang menjadi sumber kekuatan dan stamina, hingga saat nya mati, mati sebagai perajurit cinta yang agung.


Monday, March 29, 2010

Himalaya




Ingatlah pada tanah-airmu, wahai orang-orang yang tak berakal !
Kekalutan sedang menggelegak ,
Di langit kelihatan tanda-tanda kehancuranmu ,
Lihatlah apa yang sedang terjadi dan lagi akan terjadi !
Ada apa dari cerita-cerita di zaman lampau itu ?

Gagal memahami ini, kau pasti akan hancur ,
Wahai malaysia ,
Malah riwayatmu pun tidak akan tinggal
Dalam sejarah dunia !



*Kata-kata Muhammad Iqbal, dengan sedikit sentuhan penulis.

Saturday, March 27, 2010

Kami adalah tentera Allah!



"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri maupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung."
(At-Taubah 9: 111)

Sukarnya menjadi seorang tentera. Ketaatan, keyakinan bukan suatu mainan, jika diri tidak dihiasi keimanan. Apatah lagi jika tidak saling tsiqah, sesama jundi ataupun antara jundi dan qiadah.

Hidup sebagai seorang tentera Allah, yang meleburkan segala-galanya. Menjual segala-gala yang ada pada dirinya, bagi menggapai syurga, bukan tugas ringan. Ia mendesak 1001 pertimbangan. Ia tidak lahir dari adat, kebiasaan atau ikut-ikutan, tapi sejauh mana keyakinan, antara insan kepada Tuhan insan.

Diri, merelakan agar segenap penjuru hati dipenuhi hanya matlamatnya ilahi. Sumbernya, hanya yang robbani. Dan hasilannya, hanya untuk ukhrawi.

Betapa sukar menundukkan diri kepada pengorbanan yang pertama dan utama. Untuk melepaskan segala niat selain kepada Allah, bukan mudah. Menuntut diri untuk tidak bercita-cita selain kerana dan kepadaNya. Segala amal hanya yang selari dengan dusturnya, tidak menyimpang dari jalanNya yang satu. Impian tinggal harapan. Angan-angan, semuanya dilupuskan. Tiada angan-angan, cita-cita, impian, selain melihat kemenangan islam. Kemenangan hizbullah di medan perang. Dan melihat teriakan kegembiraan ummah, setelah hampir berabad dalam kepiluan.

Sukar, sangat sukar. Sukar untuk diri menundukkan hawa nafsu yang membelenggu. Diri ini, tidak sudah-sudah memperbaharui ikrar dan baiah pada ilahi. Syahadah diulang berkali-kali, namun nafsu banyak pula desakannya. Hati kerap kali berdesir. Penyeksaan batin, hasil peperangan medan hati yang berterusan. Ego dan kebongkakan hati, kerapkali menang, membuatkan diri ini lupa siapakah diri sebenarnya.

Menjadi seorang pendukung agama ini, Ansorullah, justeru berjuang atas landasannya, menjadi sang tentera memerlukan jiwa-jiwa yang berani mengorbankan fikrah selain fikrah islam. Merekalah orang yang bermotivasi akan sejarah mereka yang miliki simpanan pengalaman beribu tahun, kedudukan mulia kini dan kemenangan yang pasti di akhirnya.

Menjadi jundullah, memerlukan kita untuk menginfaqkan sepenuh jiwa dan raga. Maksudnya menginfaqkan masa, tenaga, ruh, perasaan, anggota, kepandaian, wang, harta, laptop, kereta dan segala semua potensi, yang selama ini kita sumbangkan ke jalan jahiliyyah, memperkasakan lagi tamadun sekular.

Namun, yang menanti di hadapan kita, pastinya barisan tentera kufar, membentuk hizb-hizb mereka, siap siaga menentang kita secara hadapan terang-terangan mahupun curi-curi pukul. Mereka membentuk dinding tirani, yang tidak pernah melepaskan walau satu peluang untuk menghenyet, memicit-micit kita umpama semut ditenyeh-tenyeh di atas kura tangan.

Maka tentera Allah, bangkitlah! Bangun dari dunia matriks mu. Lenyapkan segala semu dalam diri, dan hancurkan peradaban jahili. Kini saatnya kita untuk menunjukkan kepal kita dihadapan musuh, terus menghayunkannya ke muka dan dada mereka.

Bersiap siagalah!




Allah matlamat KAMI
Ar-Rasul tujuan KAMI
Al-Quran perlembagaan KAMI
Al-Jihad jalan juang KAMI
Mati di jalan Allah, adalah cita-cita KAMI


Thursday, March 25, 2010

Nasyid kami



Nasyid kami adalah Qasidah. Ia adalah Syair. Dan ia merupakan pembakar semangat pejuang-pejuang islam di jalanNya.

Persis ketika perang, para munsyid inilah yang akan membacakan kiat-kiat Allah. Para munsyid inilah dengan penuh semangat, memberikan kata-kata janji mereka. Para munsyid inilah yang akan mengingatkan balasan syurga para pejuangnya. Dan memberikan peringatan kepada mereka-mereka yang ingkar.

Pada para munsyid ini, ada semangat yang berkobar-kobar, hingga bersemarak kepada pendengarnya. Membuatkan jiwa ikhwah lain turut melompat sama untuk turut sama berjihad di medan. Mereka lah ruh, mereka lah jiwa, mereka lah semangat.




Nasyid kami adalah pelita
penerang kegelapan dunia
penyinar jiwa-jiwa mujahadah
melangkah tegap gapai syahadah

Nasyid kami adalah bara api
pembakar peradaban jahili
lentera jiwa-jiwa mukmin sejati
setia menunaikan tugaskan suci

Kibarkan panji Islam lambai ia meninggi
tebar cahyanya dimuka bumi
lantangkan seruannya agar membahana
jangan engkau terpedaya kilau cahaya dunia
keindahannya tipuan semata

Akidah Sains






"Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang lebih benar"

(Al-Isra': 9)


"Sesiapa yang menurut petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan mendapat celaka. Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, baginya kehidupan yang sempit"

(Taha: 123-124)


Sungguh, Al-Quran itu adalah merupakan kitab hidayah, petunjuk dan nizom (peraturan) kehidupan untuk meningkatkan kemanusiaan (insaniyyah) manusia. Menjadikan manusia itu manusia. Benar-benar manusia. Ianya kitab yang memberikan penghidupan, ruh dan nyawa kepada manusia, hingga lahir dalam dirinya sebuah erti kehidupan, yang selama ini tidak pernah diraih di mana-mana.

Fikrah kita adalah Islam. Fikrah kita adalah quran. Nadi pemikiran kita pusatnya adalah quran dan quranlah menjadi furqon, pemisah antara al-haq dan al-batil. Tidak kita dikelirukan oleh syura akal-akal manusia semata-mata untuk memberitahu apakah itu yang haq dan apakah itu yang batil. Sekali kita melaksanakan sesuatu di luar garis panduan quran, sekali itulah kita melaksanakan perkara tersebut dengan hawa nafsu kita.

Dewasa ini, dalam membawa masyarakat untuk melihat ke'ajaib'an al-quran, pendakwah menggunakan method Sains dalam Quran. Penemuan-penemuan sains ternyata memberikan kejutan kepada mereka apabila perkara tersebut sudah termaktub sejak ratusan tahun yang lampau, tatkala asas-asas sains belum tertegak lagi.

Ia memaksa lebih ramai saintis untuk membedah quran dan mencari itu dan ini. Mencari penemuan-penemuan lain. Akhirnya mereka sedar bahawa al-quran itu benar-benar mukjizat yang diturunkan tuhan semesta alam, bukan rekaan sasterawan-sasterawan lampau. Al-quran tidak pernah bercanggah dengan sains sepertimana kitab-kitab nasrani dan kitab-kitab agama lain, kerana kedua-dua sains dan al-quran, sumbernya adalah Allah.

Sedarkah kita? Dinihari, tasawur dunia terhadap quran, baik bagi kufar mahupun kaum muslimun, tempang, jauh daripada maksud quran yang sebenarnya? Kita telah dipesongkan, dikelirukan dan dikaburi oleh maksud pelampau yahudi dan nasrani yang ingin kita merasakan seolah-olah kita telah melaksanakan tanggungjawab kita, dengan menjadi seorang saintis atau ahli falsafah yang berjaya? Mereka ingin kita menjadi mereka, yang meng-anak tirikan tuhan mereka? Hanya mengambil kebaikan untuk diri mereka sendiri, sedang hak tuhan mereka tidak ditunaikan?

Lantas satu soalan untuk semua. Adakah:


Sains untuk Al-Quran?

atau

Al-Quran untuk Sains?


Hari ini, orang bukan islam dan orang islam, cenderung untuk memanipulasi quran untuk menjustifikasikan segala urusan dunia mereka, untuk mencari sesuap nasi, yang mereka sangkakan itulah yang mereka suatu penghidupan abadi. Ternyata mereka tersilap.

Sungguh, sikap para sahabat berbeda dengan sikap mereka. Ternyata, apabila datangnya segala surah berkenaan dengan kehidupan mereka (para sahabat), apa yang mereka buktikan adalah segala-galanya adalah milik Allah, dalam pengetahuan Allah. Menjadikan segala apa yang mereka lakukan sesudah itu, dalam urusan dunia mereka, semuanya rasanya terkait dengan Allah. Dalam setiap urusan mereka, terasa bahawa rezeki mereka, pengetahuan mereka, pendapatan mereka, kejayaan mereka, kegagalan mereka, interaksi mereka, nasab mereka, segalanya berunsurkan tauhid (peng-esaan) Allah Az-Zawajalla semata-mata.

Bukan di benak dan pundak mereka, segala-galanya sains (suatu akidah orang kafir laknatullah alaih). Lihat gunung terkenang sains. Lihat langit terkenang sains. Segala bacaan, ter-refleks sains. Dan akhirnya, apabila membaca kitab SIGNS (Tanda-tanda pada alam al-wujud), yang terbayang adalah AKIDAH SAINS mereka.

Ketahuilah saudaraku, jika al-quran berkehendakkan kita berakidah sains, mesej yang disampaikan oleh quran, nescaya islam akan melahirkan Abu Bakar As-Siddiq sebagai pakar peranakan, Umar Al-Khattab sebagai ahli biologi, Usman Al-Affan sebagai pakar matematik, dan Ali Abi Talib sebagai pakar kimia. Tapi ternyata tidak! Mereka lah pakar akidah, pakar amal akidah, pakar pejuang akidah dan mati mereka kerana akidah mereka yang meluap-luap dalam jiwa mereka. Merekalah pencinta Allah yang agung.

Al-Quran bukanlah kitab astronomi, perubatan, kimia dan sebagainya. Sesungguhnya isi kandungannya menunjukkan kepada sebahagian masalah-masalah ilmiah yang berkaitan dengan kejadian alam dan kehidupan. Yang demikian itu sebagai peringatan terhadap keagungan serta kekuasaan Allah SWT dan pemantapan iman di dalam hati orang-orang yang beriman.




Wednesday, March 24, 2010

Terlepas kereta api




Wahai orang-orang yang berlengah-lengah

Masa adalah kehidupan. Setiap saat yang kita laburkan, pasti ada hasilnya. Setiap saat yang kita bazirkan, pasti akan dituntut di akhirat kelak. Pada setiap saat, ada bayi-bayi comel lahir ke dunia. Ada yang dihargai, ada yang tidak. Dan pada setiap saat juga, ada jiwa-jiwa yang terkorban. Semuanya adalah ketentuan ilahi.

Namun, pada setiap saat yang berlalu itu, pada nyawa-nyawa yang terkorban itu, adanya saudara-saudara seakidah kita yang jauh dalam jiwanya, mengharapkan bantuan dari saudara-maranya yang lain. Ia sedar, yakin dan percaya bahawa pada saat nyawanya diambil dalam kehinaan itu, saudara-maranya di seluruh dunia sedang mengumpulkan angkatan tentera. Sedang mempersiapkan senjata. Sedang berhadapan dengan tirani di setiap negara, sehingga sempat kaki-kaki gagah itu berderap di tanah air mereka.

Oleh itu, ia dengan puas, dengan lega, dengan penuh keimanan, menegakkan kalimah tauhid terakhir, sebelum kepalanya berpisah dari tubuhnya......

Keyakinan, betapa pastinya kemenangan akan datang. Pertolongan Allah akan datang ke bumi mereka. Tentera-tentera Allah ini akan membalas kembali segala kesengsaraan mereka dan pengorbanan mereka.

Begitulah, masa itu adalah kehidupan. Sesaat kita bazirkan, seorang demi seorang saudara kita terkorban dengan sia-sia.

Kereta api ini terpaksa bergerak. Bersama kita atau tanpa kita. Kerana yang diperlukan dalam perjuangan ini, hanyalah jiwa-jiwa yang benar-benar-benar kental. Jiwa-jiwa yang bersih, sejahtera, jauh dari ragu-ragu.

Kereta api dakwah ini, tidak pernah memerlukan kita. Ianya akan terus bergerak dari stesen ke stesen. Walau pun seorang, jika jiwanya itu jiwa orang bertakwa, pasti kereta api itu akan tetap dapat terus bergerak dengan sepenuh kekuatan. Ia tidak pernah tertipu dengan jumlahnya yang sedikit. Kerana sedar, kemenangan itu datang dari Allah, bukan dari tangan-tangan manusia. Apatah lagi dari tangan pelaku-pelaku maksiat.

Kata-kata promoter kereta api ini jelas. Bahkan terdampar sekian lama. Sudah banyak iklan-iklan di seluruh buana mengenainya. Namun, hati lebih senang melihat iklan gadis-gadis seksi, makanan-makanan enak, pangkat-pangkat tinggi yang menyilaukan, kehidupan yang nyaman, kenderaan-kenderaan besar yang mewah, dan pelbagai kemewahan dunia. Kaki seakan terpaku, hati terpaut dan tangan terikat.

Sedang keretapi bersiul-siul memberi tanda ingin berlepas dari stesen. Ia memandang dengan pandangan kasihan, dan bibir tersenyum.

"Pergilah dahulu, aku akan menyusul kemudian"




Pemandu kereta api berpandangan sesama mereka. Perkara ini berulang lagi. Perkara yang sama berlaku di mana-mana. Sudah lali telinga mereka mendengar 1001 alasan. Lantas pemandu melihat para penumpang di belakang. Mereka semua seakan-akan memahami, sekadar mengangguk setuju. Ketua pemandu melepaskan kata-katanya yang terakhir:

"Kau boleh naik kereta api berikutnya, kereta api ini tidak akan berundur mengikut karenahmu."

"Dengar ya?"

Kereta api, dengan gagah, namun perlahan-lahan mengikut jalan yang lurus itu. Kelajuannya bertambah dari masa ke masa sehingga ia benar-benar laju. Pemandu mengeluarkan mukanya dari cermin sisi. Membiarkan angin yang kencang memukul mukanya. Yakin.

"Kita pasti akan sampai. Jalan ini jalan yang pasti, tiada cabang-cabang
menyesatkan, mengubah haluan.
"

Mereka yang berlengah-lengah tadi memandang kereta api 'tua' tadi dari belakang. Barulah ia sedar, dunia telah memperdayakannya. Dia malas untuk sekadar melabuhkan punggungnya ke dalam kereta api yang akan mengeluarkan dirinya dari kesengsaraan.

Berapa banyak agaknya jari-jemari yang akan digigit kerana rasa kesal ketika melihat angkatan pelopor dan mujahiddin dipilih oleh Allah untuk menyempurnakan cahaya Islam dengan memenangi pertarungan tersebut dengan pertolongan Allah Yang Maha Besar?



Ramai manusia yang mengambil pendirian yang sama sepertimana pendirian Zul Jausyan Al-Dhababi yang bersikap tunggu dan lihat. Mereka diajak untuk menyertai pertempuran Islam supaya mereka tergolong sebagai perintis dan pelopor mulia, pendahulu dan ketua kebangkitan islam, tetapi mereka enggan berbuat demikian. Mereka hanya duduk dan memerhati di belakang dan menunggu siapakah yang akan menang, islam atau jahiliyyah. Apakah para mujahidin dan Islam telah menang, barulah mereka mahu menyertai jemaah Islam yang telah menang itu. Jika tidak, mereka akan tetap bersama-sama dengan kaum yang jahil.






Kami barisan pejuang keadilan
Musuh tirani durjana kezhaliman
Tiada ragu menuju medan laga
Hingga akhir jiwa terpisah raga


Setiap jengkal bumi yang kami pijak
Panji Allah suci kan selalu tegak
Kami berdakwah membersihkan qalbu
Mengajak umat untuk bersatu padu


Walau semua insan telah memusuhi
Tak akan mampu menggentarkan nyali
Langkah mujahid kan terus menderu
Cukup hanya Allah jadi sekutu

Wahai manusia inilah kami
Dengan Al-Qur’an dan sunnah di hati
Harta dunia ditolak jadi
Pilihan mulia pantang disesali

Kami barisan pejuang keadilan
Kamilah pejuang keadilan

BOIKOT! BOIKOT! BOIKOT!







JIKA ANDA TIDAK MAMPU MEMBANTU SAUDARA ANDA YANG SEDANG BERJIHAD, JANGAN HULURKAN BANTUAN KEPADA MUSUH-MUSUH (plural) YANG JAHAT!!!

JIKA ANDA BOIKOT, ANDA TIDAK MATI
JIKA ANDA TIDAK BOIKOT, SAUDARA ANDA AKAN MATI.

SESIAPA YANG MENINGGALKAN SESUATU KERANA ALLAH, ALLAH GANTIKANNYA DENGAN SESUATU YANG LEBIH BAIK DARIPADA ITU.




Ihsan: Ustazah Maznah Daud (Ibu kepada Dr. Atiq dan Al-Ustaz Abdur Rahman)


~~*~~


Kepada semua, jangan lupa untuk boikot arak (Carlsberg etc.) dan boikot rokok (Sila fikir sendiri contoh dengan menggunakan IQ yang tersedia) yang haram (neraka?). Sebelum kita diboikot di akhirat sana.




Tuesday, March 23, 2010

Tajnid




Abu Hasan Ali An Nadwi berkata:

Kita mesti memberi perhatian 3 faktor di bawah agar dakwah memperoleh kejayaan iaitu:

  1. Marhalah dakwah dan penanaman asas-asas iman di lubuk hati didahulukan dari yang lain. Dengan panjangnya marhalah ini, berterusannya kerja dakwah rijal dakwah yang akan berjihad pada jalannya, marhalah-marhalah lain akan berjaya dan mengeluarkan buah yang masak mekar serta sedap dimakan.


  2. Melahirkan rijal yang menegakkan dakwah yang sentiasa memenuhi setiap ruang kosong. Setiap pergerakan atau dakwah atau badan-badan sekalipun kuat, sekiranya tidak berterusan melahirkan rijal, maka ia terdedah kepada bahaya. Rijalnya akan beransur-ansur pupus dan akan mengundur diri pada bila-bila masa.


  3. Memberi makanan kepada hati dan roh dengan makanan yang dapat menjaga kecergasan dan semangat rijal dakwah dan memulihkan semula tenaga yang mereka curahkan. Sesungguhnya rijal adalah seperti pelita, apabila minyaknya habis ia akan padam. Jadi perkara tadi penting, kalau tidak jiwa akan berhenti di pertengahan jalan dan semangat menjadi sejuk dan terus mundur ke belakang. Oleh itu, tidak cukup dengan semangat dan tsiqah dengan pengorbanan semata-mata. Mestilah istiqamah yang berterusan. Ia tidak dapat dicapai melainkan dengan tarbiyah ruhiyah dan semangat serta tindak-tanduknya kerana lelaki yang bercakap lain dari lelaki yang beramal, lelaki yang beramal berbeza daripada lelaki yang berjihad semata-mata, dab lelaki yang berjihad semata-mata tidak sama dengan lelaki yang berjihad yang produktif dan bijaksana serta menghasilkan keuntungan yang besar serta natijah yang baik.



The Republic




Di sisi gaung

Hari ini kita menyaksikan kemuncak sebuah ketamadunan. Tamadun yang terbina lebih 500 yang lalu, kini mencapai kemuncaknya. Hati mana yang tidak berbangga dengan apa yang dicapai tangan-tangan manusia hingga hari ini. Cukuplah kita paparkan sejauh mana pencapaian kita dalam bidang sains, pasti tak tertanggung kagumnya.

Di mana-mana negara pun, kita akan dapat melihat keagungan tamadun ini. Di benua Amerika. Utara. Di benua Amerika Selatan. Di Eropah. Di Afrika. Di Asia. Di Australia. Di serata dunia, berjuta-juta orang merasai nikmatnya.

Lihatlah kemewahan penduduk di Beverly Hills. Syurga-syurga tersebut ada di semua negara. Di seluruh dunia, taman-taman mewah dan mengasyikkan dengan taman-taman tema yang beraneka macam menghiasi. Taman-taman tema yang besar-besar serata dunia, besar-besar belaka, kesemuanya menjanjikan keseronokan bersama keluarga dan orang-orang tersayang. Taman Tema Disney, Taman Tema Hollywood.

Bangunan-bangunan dan kemajuan-kemajuan sistem pembangunan juga boleh dilihat di mana-mana. Kita pernah suatu masa dahulu kagum benar dengan Menara Berkembar Petronas. Siapa sangka, tidak sampai beberapa tahun, 3 negara telah memintas ketinggian dan kegahan teknologi kita. Dan yang terbaru, Burj el-Khalifa telah mengatasi semua bangunan di dunia, malah 2 kali ganda ketinggian Menara Berkembar Petronas! Betapa hebatnya manusia.





Tidak cukup dengan itu, pengetahuan kita tentang alam ini telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Baik menyelami mikro mahupun yang makro. Hari ini, teknologi nano telah berjaya dicapai. Manusia kini bukan sahaja mampu melihat hingga ke DNA, tetapi mampu mengubahnya. Tidak pelik, jika kita mampu mencipta Genetically Modified Organism (GMO), malah menghasilkan klon-klon haiwan dan manusia. Malah, satu hari nanti, teknologi ini akan membawa kita untuk mencipta makhluk-makhluk baru. Nantikan sahaja masanya.

Akal dan pengetahuan kita telah terbang, lebih tinggi daripada apa yang kita boleh lihat. Malah, kita berjaya menakluk planet-planet berhampiran kita. Kita sudah menghitung-hitung masa untuk bergerak ke planet dan galaksi lain. Galaksi, angkasa dan langit ini telah mengajar kita, bahawa impian kita untuk pergi ke masa akan datang, bukan sekadar ilusi. Masa itu juga ruang yang boleh dimanipulasikan. Penyelidikan masih diteruskan.

Perkakas-perkakas elektronik juga semakin mengecil, semakin menyenangkan kehidupan seharian. Sehingga tanpa sedar kita, dengan teknologi maklumat yang hebat ini, berbilion-bilion buku dan karya yang di-lembut cetakkan (Soft copy) dalam jaringan komputer kita. Buka sahaja internet, anda boleh lihat apa sahaja, baca apa sahaja, dengar apa sahaja. Beberapa tahun lagi, kita akan dapat rasa apa sahaja, bau apa sahaja, pegang apa sahaja. Kita sedang berada dalam dunia tanpa sempadan pemikiran, yang imiginasi mampu menjadi realiti.

Pemikiran Demokrasi juga memberikan kebebasan kepada penganutnya. Hinggakan, di dunia kini, mereka yang tidak beriman dengan demokrasi, dilihat sebagai mereka yang zalim. Dari pemikiran, segala-galanya tentang hidup penduduk dunia, dicorakkan oleh pentadbir dunia kini. Siapa lagi kalau bukan Amerika Syarikat dan konco-konconya. Dialah sebenarnya pemimpin dunia. Sebab itulah, Perlantikan Obama lebih diperhatikan warganegara Malaysia berbanding perletakan jawatan PM oleh Pak Lah. Kerana Khalifah kita kini menawarkan sesuatu yang lebih besar dan berkualiti untuk diimani bersama: Kebebasan dari perhambaan.

Tidak mampu aku terangkan bagaimana akhirnya majunya tamadun ini. Jauh mengatasi Tamadun Abasiyyah yang kita bangga-banggakan.




Lihatlah bagaimana mereka menggunakan peluang yang diberi

Sejarah menunjukkan bahawa menjadi sunnatullah dunia ini, akan ada tamadun turun dan naik. Di setiap kurun, akan ada tamadun-tamadun yang menawarkan diri, menjadi ustaz kepada alam. Mereka menawarkan nilai-nilai kehidupan hingga pada zaman tersebut, manusia yang tidak tahu menahu tentang 'politik' dunia ini, sekadar akur kepada aturannya. Apa yang mereka fikir adalah perut dan kemaluan mereka. Tidak pernah terfikir dek benak mereka, mereka kini menjadi hamba.

Manusia kini, hilang hak mereka. Hilang ruh mereka yang menjadi milik ketua mereka yang mereka sembah umpama 'tuhan' (Rujuk kisah Firaun dan Raja Namud yang menjadi 'tuhan'). Jiwa mereka tanpa rela dan terpenjara, hingga mereka rasakan, satu-satunya jalan keluar dari perhambaan ini cumalah Mati.

Hamba-hamba ini, leka melihat pencapaian-pencapaian hebat 'tuhan' mereka, hingga tidak sedar, hidup tidaklah semewah dan seindah yang dilihat. Hanya 'tuhan' mereka yang mampu memiliki semua dengan penuh kenyamanan. Selebihnya, kejar-mengejar segala keindahan dunia, dengan mengorbankan erti kehidupan. Kerana ingin membeli sebuah telefon canggih, terpaksa berhutang yang membeli nyawanya. Lihatlah, dalam kemewahan orang-orang kaya, lihatlah bagaimana keadaaan orang-orang miskin majoriti pula. Pasti anda akan sedar, lebih ramai orang yang menderita berbanding orang yang selesa.

Kemiskinan yang menghimpit dan sistem pemikiran/pendidikan yang mengetepikan unsur kerohanian secara total, menjadikan jiwa hamba-hamba ini kosong. Mereka takut akan mati, namun kehidupan yang sempit ini bagi mereka, lebih azab berbanding kematian sementara itu. Hamba-hamba ini, diberitahu bahawa mereka sebenarnya tiada kemulian, selain merupakan suatu spesies beruk yang berevolusi. Tiada TUHAN yang akan memberikan mereka harapan. Dan tiada akhirat yang akan memberikan mereka keadilan abadi.

Jiwa-jiwa yang tiada motivasi ini, dengan penuh harap memerlukan hiburan. Hiburan itu bukan sekadar untuk menjadikan hati riang, namun untuk merawat luka-luka akibat calar-calar penderitaan dalam sistem kosong ini. Ia umpama dadah, yang menyebabkan mereka ketagih, ketagih dan tidak mungkin dapat hidup tanpa hiburan ini. Akhirnya dadah ini menjadi suatu matlamat kehidupan.

Mereka tidak dapat rasai 'izzah (kebanggaan) menjadi manusia mulia. Maruah mereka tiada gunanya, tubuh mereka mampu diratah oleh siapa sahaja, asalkan mereka berkehendakkan mereka. Bukankah kita di dalam tamadun yang memartabatkan pendapat peribadi? Memberikan manusia tempat 'tuhan'nya. Biarlah kami ingin buat apa sahaja, asalkan tidak menggangu kain orang lain. Dan inilah yang mencorak kebudayaan ummah. Inilah yang menyebabkan ummah kian larut dalam dunia mereka. Materialisme tanpa had.

Lupa manusia, bahawa dunia ini umpama matriks. Ia hanyalah bayangan fatamorgana dalam terik matahari. Nilai dunia ini tidak setinggi bangunan yang didirikan itu. Ternampak indah dan memperdaya. Indah, hingga mereka ingin buat apa sahaja sesuka mereka. Lupa mereka, manusia tidak pernah lari dari kesilapan, hingga mereka kini keliru dengan segala pilihan dan 'ijtihad' mereka.

Ummah kian sengsara dengan pilihan yang dibuat mereka. Rasuah bermaharajalela. Korupsi ada di setiap tingkatan pangkat. Bayi dibuang sehari-hari, ertinya zina juga telah mendarah daging. Penipuan, ketidak jujuran. Dadah. Permainan komputer yang mengorbankan jiwa. Hedonisme tanpa henti. Pembunuhan. Penculikan. Fitnah. Pencabulan, rogol. Seleweng kuasa. Penyeksaan. Ketidak adilan sistem keadilan. Ketidak adilan hak. Penghinaan. Keputus asaan. Bunuh diri. Perlacuran. Arak. Penaklukan negara. Pencerobohan. Rompak. Kecurian di mana-mana. Percubaan senjata. Penghinaan bangsa. Pembahagian kasta. Kekacauan negara. Hasut. Dan yang paling teruk ialah, penghinaan akan Tuhan.


Jelas. Tamadun kufar ini ada kelemahan yang sangat besar. Mereka tidak mempunyai tamadun jiwa, sehebat Tamadun Islam yang pernah mengalirkan sungai penghidupan kepada semua manusia. Mereka tertipu akan dunia itu sendiri.

Jelas. Dengan peluang yang diberi, mereka bukanlah calon terbaik menjadi imam dunia. Inilah performance terbaik mereka, dan masih jelas banyaknya kelemahan mereka.

Masihkah ada Tamadun yang ingin mencuba? Atau sudah masa Islam kembali diminta kembali menjadi Mursyid yang membimbing dunia. Dunia kini amat mendambakan IKRAM (Kemuliaan). Dunia kini merindukan zaman kegemilangan seperti 500 tahun yang lepas.

Dunia kini kian larut, sedang barat sedang cuba dan cuba dengan sepenuh upaya untuk membuktikan bahawa mereka masih punya nafas. Teruskan mencuba. Kami hanya menunggu kalian jatuh sambil mengumpul pemimpin yang bakal menggantikan kalian.


Maka sahabatku, kalau bukan kita yang tahu ini, siapakah yang akan menyibak Fatamorgana?

Monday, March 22, 2010

Saatnya Kemenangan




Bilakah akan terbit mentari? Melabuhkan cahayanya. Terus menghangat dan mengejutkan perajurit-perajurit islam dari tidur mereka. Meneruskan suatu perjuangan yang telah terbungkam sebegitu lama. Perjuangan yang pernah memberikan nafas kepada dunia.

Teruskan menanti wahai sahabatku. Nantikan nian yang akan membuatkan kegelapan ini sirna. Itulah saat kemenangan yang pasti. Teruskan menanti. Teruskan menyerahkan nasibmu pada takdir.

Pada mu yang masih menunggu atau sedang mencerca kegelapan. Sedarlah bahawa kami sedang mengumpul kayu-kayu api, sedang rakan-rakan yang lain mencari batu-batu pemercik api. Tidak kurang ada yang menghadang angin dan sedang mengumpul tenaga-tenaga lain menyalakan seunggun api.

Tidak akan kami benarkan walaupun sesaat ummat dalam kegelapan. Betapa kami tahu, kegelapan akan juga menggelapkan hati. Jiwa-jiwa munggil, muda dan baru, habis dijamah dek kegelapan. Ia membuatkan mereka semua amat senang menjadi sasaran serigala-serigala yang menunggu peluang, menangkap pemuda-pemuda kita seorang demi seorang. Membawa mereka ke kegelapan yang lebih kelam, dan menjadi lauk-pauk sesama mereka.

Ingatlah kamu semua wahai serigala-serigala keparat! Akan datang hari siang! Kami akan kembali dapat melihatmu dan melapah dagingmu! Mereka yang kau tangkap dan kau cacatkan anggota mereka, akan kembali dalam pelukan kami! Tidak akan kelak aku biarkan walau seekor pun serigala keparat ini merasai kelazatan dunia! Seekor demi seekor.... Setiap inci tubuhmu akan menjadi penyesalanmu...



Pemuda islam yang aku sayangi, kasihi, dan cintai dengan sepenuh ruang hati ini, ketahuilah:

Allah pasti akan bersamamu, bila kau selalu bersamaNya. Allah selalu menolongmu, bila kau menolong agamaNya. Sungguh Allah Maha Kuat dan Perkasa.

Ayuh, rebutlah setiap peluang. Rebutlah kemenangan. Tanpa perlu merasa menjadi pemenang.





Buat mereka yang masih terlena, ragu-ragu dan berpaling, ketahuilah:


Tiada kemenangan, tanpa perjuangan
Tiada perjuangan, tanpa pengorbanan
Tiada pengorbanan, tanpa iman
Tiada iman, tanpa USAHA yang NYATA.





Saat genderang perjuangan bertalu
Musuh tegak dihadapan
Teguhkan hatimu usahlah kau ragu
Wahai orang-orang beriman

Berdzikirlah sebanyak engkau mampu
Agar kemenangan jadi milikmu

Taatilah Allah dan Rasul-Nya
Qiyadah penghulu perjuangan
Tetap bersama dalam barisan
Buang segala ego nan hina


Hindarkanlah berbantahan
yang kan membuat hatimu gentar
dan menghilangkan kekuatan
karena Jundullah.. karena Jundullah
pantang terpencar


Jangan silau dengan jumlahmu
yang angkuhkan hatimu
Jangan silau dengan jumlahmu
yang angkuhkan hatimu

Riya' dihadapan manusia
kau dihalangi insan dijalan-Nya
Riya' dihadapan manusia
padahal Allah tahu apa yang kau kerjakan



Thursday, March 18, 2010

Cinta anta-anti (Episod 2)


Sekali lagi, terbukti!

Malaysia dikejutkan dengan kemenangan Datuk Lee Chong Wei sebagai Juara Baru Seluruh England tempoh hari. Bahkan kemenangan ini telah membuka mata Perdana Menteri Malaysia akan kebolehan Juara Dunia Badminton itu dan Skuad BAM dalam mendepani gelombang Sukan Badminton Dunia.


Sememangnya Chong Wei bukan calang-calang pemain. Bagi mereka yang jarang-jarang menonton permainan Badminton, pasti teruja dengan permainan beliau. Aku melihat Chong Wei persis bermain catur di atas gelanggang badminton yang luas itu. Namun di mata beliau, gelanggang itu amat kecil dan bulu tangkis mampu dipukulnya ke mana-mana sudut, malah mana-mana inci gelanggang lawan. Permainannya berstrategi dan reaksinya sedikit nakal. Itulah Lee Chong Wei yang aku kenal.


Namun, jangan terkejut jika aku katakan kemenangan itu lahir dari tangan murobbinya yang sangat membantunya sepanjang beliau bergelar seorang atlit. Juara Dunia itu dilatih dan dididik oleh Misbun Sidek, yang juga pernah menggegarkan dunia suatu masa dahulu. Juara Dunia ini sangat bergantung kepadanya, hingga pada suatu hari, apabila Misbun terpaksa bercuti menemani isterinya, prestasi Datuk Chong Wei merundum, walaupun sekadar bermain di peringkat Asia Tenggara pada ketika itu.


Dan segala-galanya bermula dengan hasrat dan niat besar seorang lelaki yang bernama Sidek (Sila rujuk buku Anak-anak Sidek 199X). Seorang ayah yang sanggup berkorban segala-galanya demi untuk permainan badminton. Hanya untuk melihat kesemua anak-anaknya menjadi pemain Badminton yang unggul. Dan ternyata, Allah memakbulkan hasratnya, hinggalah kesemua anak-anaknya mewakili Malaysia ke Piala Thomas 1992.


Seorang ayah itu, betapa gigihnya dia, melatih dan mendisiplin seluruh keluarga untuk sukan itu dan mendirikan sebuah akademi Badminton demi untuk melihat lahirnya Juara Dunia dari tangannya sendiri. Misbun sendiri tidak meminati permainan itu ketika remajanya. Namun, minatnya kepada Badminton dipupuk oleh ayahnya perlahan-lahan hingga beliau berjaya menjadi johan badminton remaja.


Namun, aturan Allah lah yang terbaik. Siapa sangka, Juara Dunia tidak lahir dari tangan Seorang Ayah itu, tapi anak usrah kepada anaknya.




*****




Begitulah. Kisah-kisah yang kita lihat dan perhatikan seringkali memberikan kita suatu pengajaran, sekaligus motivasi yang sangat membina. Dalam dakwah kita juga begitu. Keyakinan bahawa kejayaan Islam itu pasti, tidak memastikan bahawa ia akan menang dalam usia kita. Namun, menuntut kita untuk bersabar dan beriman bahawa ia akan lahir dalam usia ummah.

Mungkin dalam zaman anak kita, Islam akan menaungi dunia, tidak lagi terhina. Mungkin juga di zaman cucu kita. Mungkin juga di zaman-zaman berikutnya. Ia bermula dengan seserius mana kita membina generasi hari ini.


Pengalaman-pengalaman ini juga tertaksir melalui kisah-kisah sejarah islam. Salahuddin Al-Ayubi, Iz Abdissalam, Muhammad Al-Fateh: Mereka semua adalah juara-juara dunia, yang dimimpi-mimpi oleh datuk moyang mereka.












Kenangan yang membasahkan mata





Wahai Mujahid ayuh berjuang
Demi Islam ad-deen yang tercinta
Agama kita dijunjung mulia
Hingga berada di puncak jaya

Rakan-rakan, kita berjuang
Dan berjihad di mana-mana
Demi mempertahankan kedaulatan
Kemuliaan nama dan maruah

Dalam diri janganlah ada
Sifat pengecut gerun dan gentar
Kerana mujahid yang berjihad adalah
Tentera Allah wira pendekar

Selautan peluh dan darah
Tumpah ke bumi tidak percuma
Kerna nanti ada ganjaran Allah
Syurga firdaus aman dan bahagia



Pemikiran bak tersentak seketika apabila teringatkan bait-bait lagu penuh makna itu. Sekitar 15 tahun lepas, aku bersama ratusan anak-anak muda lain pernah menyanyikan lagu ini dengan penuh perasaan dan semangat. Semangat yang berkobar-kobar melaungkan baiah kepada Allah, untuk menyelusuri jalan islam dan dakwah ini, berbekalkan darah dan nyawa. Itu 15 tahun yang lalu...


Kini, aku melihat ratusan kader dakwah di hadapanku. Mereka orang-orang yang ikhlas di jalan ini. Namun, aku terasa seakan berseorangan dalam ramai itu. Terasa sunyi yang amat.


Mereka yang bersamaku dari zaman kecilku, semuanya sudah hilang dari pandangan. Aku berseorangan mengenangkan kenangan-kenangan semalam. Mereka semua hanyut dalam nikmat dan ujian. Seorang demi seorang. Ada yang mati. Ada yang mati jiwa. Ada yang lemas. Ada yang tidur. Ada yang malas. Ada yang berpaling. Ada yang memperlekeh.


Cita-cita semalam, hanya tinggal kenangan dalam album-album gambar. Kata-kata, janji-janji sudah dibawa angin monsun bertahun-tahun yang lalu. Aku tiada pilihan selain meneruskan tapak-tapak kecil ini, biarpun ia sangat meletihkan. Dan di setiap hayunan kakiku, pasti aku mengelap-ngelap mukaku di lengan kiri dan kanan. Tangisan itu bagai tiada kesudahan.


Luka di hati, atas cinta yang tiada sisa-baki, masih terasa kesakitannya. Dari masa ke masa, jahitannya terbuka sedikit demi sedikit. Ia seolah-olah berdenyut-denyut dan aku gagal mencari penyelesaian, kecuali mengerang kesakitan. Terzahir dalam tangisan.


Jiwa-jiwa kita diuji dengan melihat kegagalan sistem Baitul Muslim kita gagal menghasilkan anak-anak yang segagah ayah dan ibu mereka, dalam memperjuangkan islam. Kisah Nabi Nuh kerapkali digunakan sebagai alasan. Benar iman tidak dapat diwarisi mahupun dibeli. Dan barangkali, itulah dia ujian yang diturunkan Allah, untuk menapis pejuang-pejuangnya. Kerana di tanganNya juga hidayah yang diimpi-impi semua.


Aset-aset utama jemaah dakwah ini, anak-anak pejuang tua, seorang demi seorang meninggalkan dunia 'ideal' ibu bapa mereka. Sedang, mereka lupa, merekalah mad'u yang paling utama kedua ibu bapa mereka itu. Sungguh, kisah ini merupakan pengajaran besar buat kita yang bakal meneruskan kehidupan dakwah ini.


Jangan biarkan kegagalan lama, dibiarkan berulang pada generasi kita.


Perjalanan ini sangat jauh, malah destinasi akhir tidak dapat dicapai dek pandangan mata. Hanya keyakinan yang akan membawa kita ke sana. Mehnah dan tribulasi akan datang tanpa dipinta. Syaratnya hanya 1, bersabar.


Umpama berpuasa, menahan diri, hingga sampai pada masanya.


Kepada mereka yang gugur, kita doakan kepulangan mereka. Kepada mereka yang berpaling, kita doakan Allah mengampuni mereka, menunjukkan kebenaran kepada mereka dan kita.


Semoga cita-cita ini kekal menjadi cita-cita. Membara di dalam jiwa, hingga pada saat jiwa ini sudah sampai saat meninggalkan jasadnya.


"Kaum kerabatmu dan anak-anakmu tidak akann bermanfaat bagimu pada hari kiamat. Dia akan memisahkan kamu...."

(Mumtahanah: 3)


"Pada hari itu, manusia lari dari saudaranya, dan dari ibu dan bapanya, dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya."

(Abasa: 34-37)


"...Pada hari itu, orang yang berdosa ingin sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab dengan anak-anaknya, dan isterinya dan saudaranya, dan keluarga yang melindunginya (dunia), dan orang-orang di bumi seluruhnya, kemudian mengharapakan (tebusan) itu dapat menyelamatkannya."

(Ma'arij: 11-14)





"...Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa."
(Furqan: 74)



Akan ada sambungan, insya-Allah...


Anda akan menemui kesinambungan cerita:



Thursday, March 11, 2010

Kamu fikir ini ujian? Fikir sekali lagi.



Jantungku berdegup kencang. Angin yang masih belum kunjung tiba di kala kami sedang dijemur pada pagi yang cerah ini, menambah kepanasan hati dan tubuh badan. Peluh berceceran di setiap sudut anggota, menambah ketidak selesaan.

Di kiri kananku, rakan-rakanku turut sama berdiri tegak menghadap komander yang juga turut sama tegak, setegak tiang bendera di sebelahnya. Kesemua kami dalam posisi 'Baris Sedia'. Dari ekor mataku, aku dapat melihat para jurulatih sedang sibuk mempersiapkan dewan untuk kunjungan orang-orang besar dan para wartawan. Ada kumpulan lain dari batolion-batolion lain yang sudah bersurai, bergegas ke dewan tersebut. Kami, masih lagi di bawah terik mentari.

Sedang kami semua dilamun pelbagai perasaan dan khayalan, tiba-tiba seorang daripada rakan kami dipanggil oleh seorang jurulatih...

"Amar"

Amar dengan terpinga-pinga meminta izin untuk keluar dari barisan dan pergi ke arah jurulatih tersebut. Telefon bimbit diberikan dan dia menjawab suatu panggilan entah dari mana.

Kami tersentak apabila dengan tiba-tiba, dia menjerit dengan jeritan yang kuat.

"Ahhhh!!!"

Dan diringi dengan tangisan syahdu. Tangisan yang membuatkan pagi yang sangat cerah itu, kelihatan kelam. Panas pagi tidak lagi terasa. Suasana hambar, menjadikan sayu rasa hati kami.

Jurulatih tadi mampir dan memberi arahan 'Senang Diri', dan seterusnya 'Rehatkan diri'. Maksudnya, tanpa berubah posisi, semua orang bebas dengan gaya mereka, selagi kaki dan tangan pada tempatnya.

"Amar dapat panggilan dari sekolah. Ibunya yang ambil resultnya SPM dari sekolah."

Terdengar bunyi tarikan-tarikan nafas yang kuat dari ahli batolion yang lain. Tergamam barangkali. Benar, hari ini kami akan dapat keputusan SPM kami. Namun, keputusan kami tidak akan diperoleh melalui sekolah, tetapi secara rasminya daripada Jabatan Peperiksaan Negara yang datang ke Penjara Sementara ini (baca: PLKN).

Pelbagai reaksi yang aku terima apabila melihat keadaan Amar. Ramai yang menzahirkan kerisauan mereka. Kepada yang pernah ke PLKN, pasti memahaminya. Mereka yang hadir ke PLKN ini, terdiri dari semua latar belakang pendidikan dan pentarbiyyahan. Tidak semua yang berjaya dalam hidup mereka. Ada yang menyatakan kepadaku, kalau dapat lulus satu subjek pun, dia akan bersyukur. Di belakang ku pada waktu itu, sudah ada pula yang mula berjudi nasib. Pelbagai jumlah wang taruhan diletakkan untuk mereka bertanding meneka keputusan masing-masing.

Rakan baikku, Rahman juga turut bimbang. Pada malam sebelumnya, kami seusrah dengan inisiatif sendiri telah buat tahajjud berjemaah bersama-sama, meminta agar Allah memberikan yang terbaik kepada kami. Juga, andai diberikan keputusan yang sederhana, kami meminta agar hati ini diperkuatkan, menggangapnya sebagai ujian yang dijanjikan buat mereka yang mengaku beriman.

"Hussaini, aku takut la. Aku takut kalau keputusan SPM aku ni mengecewakan kedua ibu bapa aku."

"Rileks bro. Aku pun cuak gak dowh."

Tiba-tiba, dalam benak pemikiran ini, bermain lagu Perfect, nyanyian Simple Plan. Aku yang cuba-cuba buat-buat konon-konon cool ini, mengenang zaman ku bertahun-tahun digelumang kegelapan lekit-lekit lumpur jahiliyyah dan kemalasan yang amat.

Diri berandai-andai. Alangkah baiknya jika aku tidak menghabiskan tingkatan 4 ku dengan tidur dan berenang sahaja. Alangkah baiknya jika aku mengenal islam lebih awal daripada ini, agar tidak aku tetap dengan ego bodoh sombongku. Agar aku ini tidak menghabiskan masaku dengan bermain CS, Warcraft, CC General, Instant Chess, Comics, dan segala sampah-sampah jahiliyyah yang dibawa oleh barat. Itu semua telah memenuhi rongga pemikiran ku dulu, hingga aku lupa tentang Allah, dan yang paling teruk, ia menyebabkan aku lupa terhadap diriku sendiri.

Hussaini, kini rasakanlah. Rasakanlah akibatnya. Kau mungkin tidak dapat mengekalkan rekod sempurnamu. Malah kau akan gagal kali ini. Kau tidak akan mampu berlagak lagi. Kau tidak lebih sedikitpun daripada yang lain-lain. Mungkin kau lebih teruk lagi.

"Ehem"

Jurulatih berdehem. Semua mata memandangnya. Lelaki bertubuh kecil tetapi kelihatan sasa itu masih tergambar di benak pemikiranku. Dia cuba menyatakan sesuatu sambil mukanya masih menyimpan raut-raut kekesalan.

"Amar diberitahu, yang dia dapat 8A 1B. Itu yang membuatkan dia sangat sedih."


Oh. Patutlah. Aku juga turut melihat Amar yang sangat pathetic keadaannya di sisi jurulatih-jurulatih lain yang cuba mententeramkannya. Kesian. Sangat kesian. Aku dapat membayangkan perasaan Amar ketika itu. Sangat mengecewakan. Umpama segala usaha selama ini sia-sia. Mataku sudah mula berkaca-kaca. Masih adakah rahmat untuk hambaNya yang ingkar ini? Masih adakah ruang di dunia ini, untuk aku mencuri-curi nafas-nafas kecil, agar aku dapat merasai nikmatnya hidup yang sementara.

Dan dengan tiba-tiba. Terdengar carutan-carutan dan kata-kata kesat bertali-arus.

"Celaka kau Amar"

"Weih!!! Bersyukur la wei"

"Siap ko Amar, aku belasah ko pasni"

"Kalu aku dapat satu A pun aku nak wat kenduri besar-besar, tapi kau punya la tak bersyukur. Ko ni islam ke tak ni?"

"Sialan!!!!"

Pelbagai kata-kata yang tak sanggup aku dengar itu dilepaskan sekuat-kuatnya, dengan dialek negeri yang bertukar-tukar. Mereka semua menyampah dengan sikap sahabat mereka itu.

Aku kemudian termenung lama.

Heh. Heh. Aku tergelak seorang diri. Betapa aku seorang yang tidak bersyukur.

Rasa tidak bersyukur ini, berselindung di sebalik rasa tabah menghadapi 'ujian'. Seringkali kita sabar menghadapi perkara yang kita sangkakan ujian yang menimpa kita. Sedangkan ia sebenarnya suatu rahmat, yang kita sering lupa untuk merasakan syukur.






Jangan jadi orang tidak sabar
Terus bersabar tetapkan bersabar
Sabar itu sebahgian iman
Jadikan ia satu amalan

Awan tidak sentiasa mendung
Langit yang cerah pasti akan datang
Ombak tidak sentiasa menggulung
Menghempas bahtera di laut
Kadangkala tenang
Mendamaikan hati yg rawan

Begitulah satu gambaran
Orang yang diduga dalam kehidupan
Pastinya kan tiba kemudahan
Ganjaran iman di sisi tuhan

Awan tidak sentiasa mendung
Langit yang cerah pasti akan datang
Ombak tidak sentiasa menggulung
Menghempas bahtera di laut
Kadangkala tenang
Mendamaikan hati yg rawan

Kata pujangga orang yg bersabar umpama sang pahlawan
Gagah berani ia digeruni berkorban rela mati

Jangan jadi orang tidak sabar
Terus bersabar tetapkan bersabar
Sabar itu sebahgian iman
Jadikan ia satu amalan




Mari mengubat sedikit luka di hati dengan hiburan ringan ini (sambil bertasbih memuji ilahi):



[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]