Thursday, March 18, 2010

Cinta anta-anti (Episod 2)


Sekali lagi, terbukti!

Malaysia dikejutkan dengan kemenangan Datuk Lee Chong Wei sebagai Juara Baru Seluruh England tempoh hari. Bahkan kemenangan ini telah membuka mata Perdana Menteri Malaysia akan kebolehan Juara Dunia Badminton itu dan Skuad BAM dalam mendepani gelombang Sukan Badminton Dunia.


Sememangnya Chong Wei bukan calang-calang pemain. Bagi mereka yang jarang-jarang menonton permainan Badminton, pasti teruja dengan permainan beliau. Aku melihat Chong Wei persis bermain catur di atas gelanggang badminton yang luas itu. Namun di mata beliau, gelanggang itu amat kecil dan bulu tangkis mampu dipukulnya ke mana-mana sudut, malah mana-mana inci gelanggang lawan. Permainannya berstrategi dan reaksinya sedikit nakal. Itulah Lee Chong Wei yang aku kenal.


Namun, jangan terkejut jika aku katakan kemenangan itu lahir dari tangan murobbinya yang sangat membantunya sepanjang beliau bergelar seorang atlit. Juara Dunia itu dilatih dan dididik oleh Misbun Sidek, yang juga pernah menggegarkan dunia suatu masa dahulu. Juara Dunia ini sangat bergantung kepadanya, hingga pada suatu hari, apabila Misbun terpaksa bercuti menemani isterinya, prestasi Datuk Chong Wei merundum, walaupun sekadar bermain di peringkat Asia Tenggara pada ketika itu.


Dan segala-galanya bermula dengan hasrat dan niat besar seorang lelaki yang bernama Sidek (Sila rujuk buku Anak-anak Sidek 199X). Seorang ayah yang sanggup berkorban segala-galanya demi untuk permainan badminton. Hanya untuk melihat kesemua anak-anaknya menjadi pemain Badminton yang unggul. Dan ternyata, Allah memakbulkan hasratnya, hinggalah kesemua anak-anaknya mewakili Malaysia ke Piala Thomas 1992.


Seorang ayah itu, betapa gigihnya dia, melatih dan mendisiplin seluruh keluarga untuk sukan itu dan mendirikan sebuah akademi Badminton demi untuk melihat lahirnya Juara Dunia dari tangannya sendiri. Misbun sendiri tidak meminati permainan itu ketika remajanya. Namun, minatnya kepada Badminton dipupuk oleh ayahnya perlahan-lahan hingga beliau berjaya menjadi johan badminton remaja.


Namun, aturan Allah lah yang terbaik. Siapa sangka, Juara Dunia tidak lahir dari tangan Seorang Ayah itu, tapi anak usrah kepada anaknya.




*****




Begitulah. Kisah-kisah yang kita lihat dan perhatikan seringkali memberikan kita suatu pengajaran, sekaligus motivasi yang sangat membina. Dalam dakwah kita juga begitu. Keyakinan bahawa kejayaan Islam itu pasti, tidak memastikan bahawa ia akan menang dalam usia kita. Namun, menuntut kita untuk bersabar dan beriman bahawa ia akan lahir dalam usia ummah.

Mungkin dalam zaman anak kita, Islam akan menaungi dunia, tidak lagi terhina. Mungkin juga di zaman cucu kita. Mungkin juga di zaman-zaman berikutnya. Ia bermula dengan seserius mana kita membina generasi hari ini.


Pengalaman-pengalaman ini juga tertaksir melalui kisah-kisah sejarah islam. Salahuddin Al-Ayubi, Iz Abdissalam, Muhammad Al-Fateh: Mereka semua adalah juara-juara dunia, yang dimimpi-mimpi oleh datuk moyang mereka.












Kenangan yang membasahkan mata





Wahai Mujahid ayuh berjuang
Demi Islam ad-deen yang tercinta
Agama kita dijunjung mulia
Hingga berada di puncak jaya

Rakan-rakan, kita berjuang
Dan berjihad di mana-mana
Demi mempertahankan kedaulatan
Kemuliaan nama dan maruah

Dalam diri janganlah ada
Sifat pengecut gerun dan gentar
Kerana mujahid yang berjihad adalah
Tentera Allah wira pendekar

Selautan peluh dan darah
Tumpah ke bumi tidak percuma
Kerna nanti ada ganjaran Allah
Syurga firdaus aman dan bahagia



Pemikiran bak tersentak seketika apabila teringatkan bait-bait lagu penuh makna itu. Sekitar 15 tahun lepas, aku bersama ratusan anak-anak muda lain pernah menyanyikan lagu ini dengan penuh perasaan dan semangat. Semangat yang berkobar-kobar melaungkan baiah kepada Allah, untuk menyelusuri jalan islam dan dakwah ini, berbekalkan darah dan nyawa. Itu 15 tahun yang lalu...


Kini, aku melihat ratusan kader dakwah di hadapanku. Mereka orang-orang yang ikhlas di jalan ini. Namun, aku terasa seakan berseorangan dalam ramai itu. Terasa sunyi yang amat.


Mereka yang bersamaku dari zaman kecilku, semuanya sudah hilang dari pandangan. Aku berseorangan mengenangkan kenangan-kenangan semalam. Mereka semua hanyut dalam nikmat dan ujian. Seorang demi seorang. Ada yang mati. Ada yang mati jiwa. Ada yang lemas. Ada yang tidur. Ada yang malas. Ada yang berpaling. Ada yang memperlekeh.


Cita-cita semalam, hanya tinggal kenangan dalam album-album gambar. Kata-kata, janji-janji sudah dibawa angin monsun bertahun-tahun yang lalu. Aku tiada pilihan selain meneruskan tapak-tapak kecil ini, biarpun ia sangat meletihkan. Dan di setiap hayunan kakiku, pasti aku mengelap-ngelap mukaku di lengan kiri dan kanan. Tangisan itu bagai tiada kesudahan.


Luka di hati, atas cinta yang tiada sisa-baki, masih terasa kesakitannya. Dari masa ke masa, jahitannya terbuka sedikit demi sedikit. Ia seolah-olah berdenyut-denyut dan aku gagal mencari penyelesaian, kecuali mengerang kesakitan. Terzahir dalam tangisan.


Jiwa-jiwa kita diuji dengan melihat kegagalan sistem Baitul Muslim kita gagal menghasilkan anak-anak yang segagah ayah dan ibu mereka, dalam memperjuangkan islam. Kisah Nabi Nuh kerapkali digunakan sebagai alasan. Benar iman tidak dapat diwarisi mahupun dibeli. Dan barangkali, itulah dia ujian yang diturunkan Allah, untuk menapis pejuang-pejuangnya. Kerana di tanganNya juga hidayah yang diimpi-impi semua.


Aset-aset utama jemaah dakwah ini, anak-anak pejuang tua, seorang demi seorang meninggalkan dunia 'ideal' ibu bapa mereka. Sedang, mereka lupa, merekalah mad'u yang paling utama kedua ibu bapa mereka itu. Sungguh, kisah ini merupakan pengajaran besar buat kita yang bakal meneruskan kehidupan dakwah ini.


Jangan biarkan kegagalan lama, dibiarkan berulang pada generasi kita.


Perjalanan ini sangat jauh, malah destinasi akhir tidak dapat dicapai dek pandangan mata. Hanya keyakinan yang akan membawa kita ke sana. Mehnah dan tribulasi akan datang tanpa dipinta. Syaratnya hanya 1, bersabar.


Umpama berpuasa, menahan diri, hingga sampai pada masanya.


Kepada mereka yang gugur, kita doakan kepulangan mereka. Kepada mereka yang berpaling, kita doakan Allah mengampuni mereka, menunjukkan kebenaran kepada mereka dan kita.


Semoga cita-cita ini kekal menjadi cita-cita. Membara di dalam jiwa, hingga pada saat jiwa ini sudah sampai saat meninggalkan jasadnya.


"Kaum kerabatmu dan anak-anakmu tidak akann bermanfaat bagimu pada hari kiamat. Dia akan memisahkan kamu...."

(Mumtahanah: 3)


"Pada hari itu, manusia lari dari saudaranya, dan dari ibu dan bapanya, dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya."

(Abasa: 34-37)


"...Pada hari itu, orang yang berdosa ingin sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab dengan anak-anaknya, dan isterinya dan saudaranya, dan keluarga yang melindunginya (dunia), dan orang-orang di bumi seluruhnya, kemudian mengharapakan (tebusan) itu dapat menyelamatkannya."

(Ma'arij: 11-14)





"...Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa."
(Furqan: 74)



Akan ada sambungan, insya-Allah...


Anda akan menemui kesinambungan cerita:



4 comments:

[-UnknowN-] said...

bicara ttg baitul muslim, anta bila lagi? anta la kena lahirkan ANAK IKHWAH yg berstamina tinggi dalam family anta =D

Muhammad Hussaini Khairudin said...

Mendengar soalan dari ana itu, ana lantas termenung panjang. Termenung dan termenung.

Dalam sela masa yang singkat itu, sambil dihiasi bunyi detikan jarum saat dan ayunan bandul jam, diri lantas bertanya pada diri sendiri:

Dari mana aku datang?
Mengapa aku diciptakan?
Kemanakah aku selepas ini?

Berapa kerat pahala, amal dalam tabungan?
Berapa lambakan dosa yang tersimpan?

Pantas tangan menerkup muka kerana perasaan malu dan hina. TidaaakkK!!!

Diri berdehem (ehem-ehem) tanpa henti, menahan dari menangis tidak bertempat. Tapi mata sedikit berair, terasa dek tapak tangan kasar di muka.

Tangan dialihkan, muka diangkat. Lantas bibir mengungkapkan kata:

"Ana sedang menunggu, akhi..."

"Tunggu apa, ya akhuna????"

"Tunggu jodoh... Menunggu dan menunggu, kalau la ada kesempatan, kehidupan... insya-Allah. Kalau la masih tiada juga manusia untuk ana, jangan risau, bidadari di syurga itu cantik lagi mengiurkan"

Anonymous said...

oo.. i see.. apa pendapat nta kalau ada orang perempuan yang merisik orang lelaki?

Muhammad Hussaini Khairudin said...

Sekadar membantu dalam menjawab soalan yang pernah berbangkit selama ini:

http://narawastuilmu.blogspot.com/2009/09/anda-tidak-tahu-tentang-bm-tapi-anda.html

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]