Thursday, March 25, 2010

Akidah Sains






"Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang lebih benar"

(Al-Isra': 9)


"Sesiapa yang menurut petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan mendapat celaka. Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, baginya kehidupan yang sempit"

(Taha: 123-124)


Sungguh, Al-Quran itu adalah merupakan kitab hidayah, petunjuk dan nizom (peraturan) kehidupan untuk meningkatkan kemanusiaan (insaniyyah) manusia. Menjadikan manusia itu manusia. Benar-benar manusia. Ianya kitab yang memberikan penghidupan, ruh dan nyawa kepada manusia, hingga lahir dalam dirinya sebuah erti kehidupan, yang selama ini tidak pernah diraih di mana-mana.

Fikrah kita adalah Islam. Fikrah kita adalah quran. Nadi pemikiran kita pusatnya adalah quran dan quranlah menjadi furqon, pemisah antara al-haq dan al-batil. Tidak kita dikelirukan oleh syura akal-akal manusia semata-mata untuk memberitahu apakah itu yang haq dan apakah itu yang batil. Sekali kita melaksanakan sesuatu di luar garis panduan quran, sekali itulah kita melaksanakan perkara tersebut dengan hawa nafsu kita.

Dewasa ini, dalam membawa masyarakat untuk melihat ke'ajaib'an al-quran, pendakwah menggunakan method Sains dalam Quran. Penemuan-penemuan sains ternyata memberikan kejutan kepada mereka apabila perkara tersebut sudah termaktub sejak ratusan tahun yang lampau, tatkala asas-asas sains belum tertegak lagi.

Ia memaksa lebih ramai saintis untuk membedah quran dan mencari itu dan ini. Mencari penemuan-penemuan lain. Akhirnya mereka sedar bahawa al-quran itu benar-benar mukjizat yang diturunkan tuhan semesta alam, bukan rekaan sasterawan-sasterawan lampau. Al-quran tidak pernah bercanggah dengan sains sepertimana kitab-kitab nasrani dan kitab-kitab agama lain, kerana kedua-dua sains dan al-quran, sumbernya adalah Allah.

Sedarkah kita? Dinihari, tasawur dunia terhadap quran, baik bagi kufar mahupun kaum muslimun, tempang, jauh daripada maksud quran yang sebenarnya? Kita telah dipesongkan, dikelirukan dan dikaburi oleh maksud pelampau yahudi dan nasrani yang ingin kita merasakan seolah-olah kita telah melaksanakan tanggungjawab kita, dengan menjadi seorang saintis atau ahli falsafah yang berjaya? Mereka ingin kita menjadi mereka, yang meng-anak tirikan tuhan mereka? Hanya mengambil kebaikan untuk diri mereka sendiri, sedang hak tuhan mereka tidak ditunaikan?

Lantas satu soalan untuk semua. Adakah:


Sains untuk Al-Quran?

atau

Al-Quran untuk Sains?


Hari ini, orang bukan islam dan orang islam, cenderung untuk memanipulasi quran untuk menjustifikasikan segala urusan dunia mereka, untuk mencari sesuap nasi, yang mereka sangkakan itulah yang mereka suatu penghidupan abadi. Ternyata mereka tersilap.

Sungguh, sikap para sahabat berbeda dengan sikap mereka. Ternyata, apabila datangnya segala surah berkenaan dengan kehidupan mereka (para sahabat), apa yang mereka buktikan adalah segala-galanya adalah milik Allah, dalam pengetahuan Allah. Menjadikan segala apa yang mereka lakukan sesudah itu, dalam urusan dunia mereka, semuanya rasanya terkait dengan Allah. Dalam setiap urusan mereka, terasa bahawa rezeki mereka, pengetahuan mereka, pendapatan mereka, kejayaan mereka, kegagalan mereka, interaksi mereka, nasab mereka, segalanya berunsurkan tauhid (peng-esaan) Allah Az-Zawajalla semata-mata.

Bukan di benak dan pundak mereka, segala-galanya sains (suatu akidah orang kafir laknatullah alaih). Lihat gunung terkenang sains. Lihat langit terkenang sains. Segala bacaan, ter-refleks sains. Dan akhirnya, apabila membaca kitab SIGNS (Tanda-tanda pada alam al-wujud), yang terbayang adalah AKIDAH SAINS mereka.

Ketahuilah saudaraku, jika al-quran berkehendakkan kita berakidah sains, mesej yang disampaikan oleh quran, nescaya islam akan melahirkan Abu Bakar As-Siddiq sebagai pakar peranakan, Umar Al-Khattab sebagai ahli biologi, Usman Al-Affan sebagai pakar matematik, dan Ali Abi Talib sebagai pakar kimia. Tapi ternyata tidak! Mereka lah pakar akidah, pakar amal akidah, pakar pejuang akidah dan mati mereka kerana akidah mereka yang meluap-luap dalam jiwa mereka. Merekalah pencinta Allah yang agung.

Al-Quran bukanlah kitab astronomi, perubatan, kimia dan sebagainya. Sesungguhnya isi kandungannya menunjukkan kepada sebahagian masalah-masalah ilmiah yang berkaitan dengan kejadian alam dan kehidupan. Yang demikian itu sebagai peringatan terhadap keagungan serta kekuasaan Allah SWT dan pemantapan iman di dalam hati orang-orang yang beriman.




1 comment:

Anonymous said...

salam, benar akhi.. kadang2 hati ini meronta2, berada di bidang akademik yang semakin hari semakin bertuhankan reseacrh2 dan research. penyelidikan, geran, KPI, RU membuatkan kiblat bertukar arah.. apa y dituju? semakin jauh dari Allah.. semakin jauh dr alquran.. nauzubillh...astaghfirullah, jzkk atas peringatan ini

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]