Jantungku berdegup kencang. Angin yang masih belum kunjung tiba di kala kami sedang dijemur pada pagi yang cerah ini, menambah kepanasan hati dan tubuh badan. Peluh berceceran di setiap sudut anggota, menambah ketidak selesaan.
Di kiri kananku, rakan-rakanku turut sama berdiri tegak menghadap komander yang juga turut sama tegak, setegak tiang bendera di sebelahnya. Kesemua kami dalam posisi 'Baris Sedia'. Dari ekor mataku, aku dapat melihat para jurulatih sedang sibuk mempersiapkan dewan untuk kunjungan orang-orang besar dan para wartawan. Ada kumpulan lain dari batolion-batolion lain yang sudah bersurai, bergegas ke dewan tersebut. Kami, masih lagi di bawah terik mentari.
Sedang kami semua dilamun pelbagai perasaan dan khayalan, tiba-tiba seorang daripada rakan kami dipanggil oleh seorang jurulatih...
"Amar"
Amar dengan terpinga-pinga meminta izin untuk keluar dari barisan dan pergi ke arah jurulatih tersebut. Telefon bimbit diberikan dan dia menjawab suatu panggilan entah dari mana.
Kami tersentak apabila dengan tiba-tiba, dia menjerit dengan jeritan yang kuat.
"Ahhhh!!!"
Dan diringi dengan tangisan syahdu. Tangisan yang membuatkan pagi yang sangat cerah itu, kelihatan kelam. Panas pagi tidak lagi terasa. Suasana hambar, menjadikan sayu rasa hati kami.
Jurulatih tadi mampir dan memberi arahan 'Senang Diri', dan seterusnya 'Rehatkan diri'. Maksudnya, tanpa berubah posisi, semua orang bebas dengan gaya mereka, selagi kaki dan tangan pada tempatnya.
"Amar dapat panggilan dari sekolah. Ibunya yang ambil resultnya SPM dari sekolah."
Terdengar bunyi tarikan-tarikan nafas yang kuat dari ahli batolion yang lain. Tergamam barangkali. Benar, hari ini kami akan dapat keputusan SPM kami. Namun, keputusan kami tidak akan diperoleh melalui sekolah, tetapi secara rasminya daripada Jabatan Peperiksaan Negara yang datang ke Penjara Sementara ini (baca: PLKN).
Pelbagai reaksi yang aku terima apabila melihat keadaan Amar. Ramai yang menzahirkan kerisauan mereka. Kepada yang pernah ke PLKN, pasti memahaminya. Mereka yang hadir ke PLKN ini, terdiri dari semua latar belakang pendidikan dan pentarbiyyahan. Tidak semua yang berjaya dalam hidup mereka. Ada yang menyatakan kepadaku, kalau dapat lulus satu subjek pun, dia akan bersyukur. Di belakang ku pada waktu itu, sudah ada pula yang mula berjudi nasib. Pelbagai jumlah wang taruhan diletakkan untuk mereka bertanding meneka keputusan masing-masing.
Rakan baikku, Rahman juga turut bimbang. Pada malam sebelumnya, kami seusrah dengan inisiatif sendiri telah buat tahajjud berjemaah bersama-sama, meminta agar Allah memberikan yang terbaik kepada kami. Juga, andai diberikan keputusan yang sederhana, kami meminta agar hati ini diperkuatkan, menggangapnya sebagai ujian yang dijanjikan buat mereka yang mengaku beriman.
"Hussaini, aku takut la. Aku takut kalau keputusan SPM aku ni mengecewakan kedua ibu bapa aku.""Rileks bro. Aku pun cuak gak dowh."
Tiba-tiba, dalam benak pemikiran ini, bermain lagu Perfect, nyanyian Simple Plan. Aku yang cuba-cuba buat-buat konon-konon cool ini, mengenang zaman ku bertahun-tahun digelumang kegelapan lekit-lekit lumpur jahiliyyah dan kemalasan yang amat.
Diri berandai-andai. Alangkah baiknya jika aku tidak menghabiskan tingkatan 4 ku dengan tidur dan berenang sahaja. Alangkah baiknya jika aku mengenal islam lebih awal daripada ini, agar tidak aku tetap dengan ego bodoh sombongku. Agar aku ini tidak menghabiskan masaku dengan bermain CS, Warcraft, CC General, Instant Chess, Comics, dan segala sampah-sampah jahiliyyah yang dibawa oleh barat. Itu semua telah memenuhi rongga pemikiran ku dulu, hingga aku lupa tentang Allah, dan yang paling teruk, ia menyebabkan aku lupa terhadap diriku sendiri.
Hussaini, kini rasakanlah. Rasakanlah akibatnya. Kau mungkin tidak dapat mengekalkan rekod sempurnamu. Malah kau akan gagal kali ini. Kau tidak akan mampu berlagak lagi. Kau tidak lebih sedikitpun daripada yang lain-lain. Mungkin kau lebih teruk lagi.
"Ehem"
Jurulatih berdehem. Semua mata memandangnya. Lelaki bertubuh kecil tetapi kelihatan sasa itu masih tergambar di benak pemikiranku. Dia cuba menyatakan sesuatu sambil mukanya masih menyimpan raut-raut kekesalan.
"Amar diberitahu, yang dia dapat 8A 1B. Itu yang membuatkan dia sangat sedih."
Oh. Patutlah. Aku juga turut melihat Amar yang sangat pathetic keadaannya di sisi jurulatih-jurulatih lain yang cuba mententeramkannya. Kesian. Sangat kesian. Aku dapat membayangkan perasaan Amar ketika itu. Sangat mengecewakan. Umpama segala usaha selama ini sia-sia. Mataku sudah mula berkaca-kaca. Masih adakah rahmat untuk hambaNya yang ingkar ini? Masih adakah ruang di dunia ini, untuk aku mencuri-curi nafas-nafas kecil, agar aku dapat merasai nikmatnya hidup yang sementara.
Dan dengan tiba-tiba. Terdengar carutan-carutan dan kata-kata kesat bertali-arus.
"Celaka kau Amar""Weih!!! Bersyukur la wei"
"Siap ko Amar, aku belasah ko pasni"
"Kalu aku dapat satu A pun aku nak wat kenduri besar-besar, tapi kau punya la tak bersyukur. Ko ni islam ke tak ni?""Sialan!!!!"
Pelbagai kata-kata yang tak sanggup aku dengar itu dilepaskan sekuat-kuatnya, dengan dialek negeri yang bertukar-tukar. Mereka semua menyampah dengan sikap sahabat mereka itu.
Aku kemudian termenung lama.
Heh. Heh. Aku tergelak seorang diri. Betapa aku seorang yang tidak bersyukur.
Rasa tidak bersyukur ini, berselindung di sebalik rasa tabah menghadapi 'ujian'. Seringkali kita sabar menghadapi perkara yang kita sangkakan ujian yang menimpa kita. Sedangkan ia sebenarnya suatu rahmat, yang kita sering lupa untuk merasakan syukur.
Jangan jadi orang tidak sabar
Terus bersabar tetapkan bersabar
Sabar itu sebahgian iman
Jadikan ia satu amalan
Awan tidak sentiasa mendung
Langit yang cerah pasti akan datang
Ombak tidak sentiasa menggulung
Menghempas bahtera di laut
Kadangkala tenang
Mendamaikan hati yg rawan
Begitulah satu gambaran
Orang yang diduga dalam kehidupan
Pastinya kan tiba kemudahan
Ganjaran iman di sisi tuhan
Awan tidak sentiasa mendung
Langit yang cerah pasti akan datang
Ombak tidak sentiasa menggulung
Menghempas bahtera di laut
Kadangkala tenang
Mendamaikan hati yg rawan
Kata pujangga orang yg bersabar umpama sang pahlawan
Gagah berani ia digeruni berkorban rela mati
Jangan jadi orang tidak sabar
Terus bersabar tetapkan bersabar
Sabar itu sebahgian iman
Jadikan ia satu amalan
Mari mengubat sedikit luka di hati dengan hiburan ringan ini (sambil bertasbih memuji ilahi):
No comments:
Post a Comment