Tuesday, March 23, 2010

The Republic




Di sisi gaung

Hari ini kita menyaksikan kemuncak sebuah ketamadunan. Tamadun yang terbina lebih 500 yang lalu, kini mencapai kemuncaknya. Hati mana yang tidak berbangga dengan apa yang dicapai tangan-tangan manusia hingga hari ini. Cukuplah kita paparkan sejauh mana pencapaian kita dalam bidang sains, pasti tak tertanggung kagumnya.

Di mana-mana negara pun, kita akan dapat melihat keagungan tamadun ini. Di benua Amerika. Utara. Di benua Amerika Selatan. Di Eropah. Di Afrika. Di Asia. Di Australia. Di serata dunia, berjuta-juta orang merasai nikmatnya.

Lihatlah kemewahan penduduk di Beverly Hills. Syurga-syurga tersebut ada di semua negara. Di seluruh dunia, taman-taman mewah dan mengasyikkan dengan taman-taman tema yang beraneka macam menghiasi. Taman-taman tema yang besar-besar serata dunia, besar-besar belaka, kesemuanya menjanjikan keseronokan bersama keluarga dan orang-orang tersayang. Taman Tema Disney, Taman Tema Hollywood.

Bangunan-bangunan dan kemajuan-kemajuan sistem pembangunan juga boleh dilihat di mana-mana. Kita pernah suatu masa dahulu kagum benar dengan Menara Berkembar Petronas. Siapa sangka, tidak sampai beberapa tahun, 3 negara telah memintas ketinggian dan kegahan teknologi kita. Dan yang terbaru, Burj el-Khalifa telah mengatasi semua bangunan di dunia, malah 2 kali ganda ketinggian Menara Berkembar Petronas! Betapa hebatnya manusia.





Tidak cukup dengan itu, pengetahuan kita tentang alam ini telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Baik menyelami mikro mahupun yang makro. Hari ini, teknologi nano telah berjaya dicapai. Manusia kini bukan sahaja mampu melihat hingga ke DNA, tetapi mampu mengubahnya. Tidak pelik, jika kita mampu mencipta Genetically Modified Organism (GMO), malah menghasilkan klon-klon haiwan dan manusia. Malah, satu hari nanti, teknologi ini akan membawa kita untuk mencipta makhluk-makhluk baru. Nantikan sahaja masanya.

Akal dan pengetahuan kita telah terbang, lebih tinggi daripada apa yang kita boleh lihat. Malah, kita berjaya menakluk planet-planet berhampiran kita. Kita sudah menghitung-hitung masa untuk bergerak ke planet dan galaksi lain. Galaksi, angkasa dan langit ini telah mengajar kita, bahawa impian kita untuk pergi ke masa akan datang, bukan sekadar ilusi. Masa itu juga ruang yang boleh dimanipulasikan. Penyelidikan masih diteruskan.

Perkakas-perkakas elektronik juga semakin mengecil, semakin menyenangkan kehidupan seharian. Sehingga tanpa sedar kita, dengan teknologi maklumat yang hebat ini, berbilion-bilion buku dan karya yang di-lembut cetakkan (Soft copy) dalam jaringan komputer kita. Buka sahaja internet, anda boleh lihat apa sahaja, baca apa sahaja, dengar apa sahaja. Beberapa tahun lagi, kita akan dapat rasa apa sahaja, bau apa sahaja, pegang apa sahaja. Kita sedang berada dalam dunia tanpa sempadan pemikiran, yang imiginasi mampu menjadi realiti.

Pemikiran Demokrasi juga memberikan kebebasan kepada penganutnya. Hinggakan, di dunia kini, mereka yang tidak beriman dengan demokrasi, dilihat sebagai mereka yang zalim. Dari pemikiran, segala-galanya tentang hidup penduduk dunia, dicorakkan oleh pentadbir dunia kini. Siapa lagi kalau bukan Amerika Syarikat dan konco-konconya. Dialah sebenarnya pemimpin dunia. Sebab itulah, Perlantikan Obama lebih diperhatikan warganegara Malaysia berbanding perletakan jawatan PM oleh Pak Lah. Kerana Khalifah kita kini menawarkan sesuatu yang lebih besar dan berkualiti untuk diimani bersama: Kebebasan dari perhambaan.

Tidak mampu aku terangkan bagaimana akhirnya majunya tamadun ini. Jauh mengatasi Tamadun Abasiyyah yang kita bangga-banggakan.




Lihatlah bagaimana mereka menggunakan peluang yang diberi

Sejarah menunjukkan bahawa menjadi sunnatullah dunia ini, akan ada tamadun turun dan naik. Di setiap kurun, akan ada tamadun-tamadun yang menawarkan diri, menjadi ustaz kepada alam. Mereka menawarkan nilai-nilai kehidupan hingga pada zaman tersebut, manusia yang tidak tahu menahu tentang 'politik' dunia ini, sekadar akur kepada aturannya. Apa yang mereka fikir adalah perut dan kemaluan mereka. Tidak pernah terfikir dek benak mereka, mereka kini menjadi hamba.

Manusia kini, hilang hak mereka. Hilang ruh mereka yang menjadi milik ketua mereka yang mereka sembah umpama 'tuhan' (Rujuk kisah Firaun dan Raja Namud yang menjadi 'tuhan'). Jiwa mereka tanpa rela dan terpenjara, hingga mereka rasakan, satu-satunya jalan keluar dari perhambaan ini cumalah Mati.

Hamba-hamba ini, leka melihat pencapaian-pencapaian hebat 'tuhan' mereka, hingga tidak sedar, hidup tidaklah semewah dan seindah yang dilihat. Hanya 'tuhan' mereka yang mampu memiliki semua dengan penuh kenyamanan. Selebihnya, kejar-mengejar segala keindahan dunia, dengan mengorbankan erti kehidupan. Kerana ingin membeli sebuah telefon canggih, terpaksa berhutang yang membeli nyawanya. Lihatlah, dalam kemewahan orang-orang kaya, lihatlah bagaimana keadaaan orang-orang miskin majoriti pula. Pasti anda akan sedar, lebih ramai orang yang menderita berbanding orang yang selesa.

Kemiskinan yang menghimpit dan sistem pemikiran/pendidikan yang mengetepikan unsur kerohanian secara total, menjadikan jiwa hamba-hamba ini kosong. Mereka takut akan mati, namun kehidupan yang sempit ini bagi mereka, lebih azab berbanding kematian sementara itu. Hamba-hamba ini, diberitahu bahawa mereka sebenarnya tiada kemulian, selain merupakan suatu spesies beruk yang berevolusi. Tiada TUHAN yang akan memberikan mereka harapan. Dan tiada akhirat yang akan memberikan mereka keadilan abadi.

Jiwa-jiwa yang tiada motivasi ini, dengan penuh harap memerlukan hiburan. Hiburan itu bukan sekadar untuk menjadikan hati riang, namun untuk merawat luka-luka akibat calar-calar penderitaan dalam sistem kosong ini. Ia umpama dadah, yang menyebabkan mereka ketagih, ketagih dan tidak mungkin dapat hidup tanpa hiburan ini. Akhirnya dadah ini menjadi suatu matlamat kehidupan.

Mereka tidak dapat rasai 'izzah (kebanggaan) menjadi manusia mulia. Maruah mereka tiada gunanya, tubuh mereka mampu diratah oleh siapa sahaja, asalkan mereka berkehendakkan mereka. Bukankah kita di dalam tamadun yang memartabatkan pendapat peribadi? Memberikan manusia tempat 'tuhan'nya. Biarlah kami ingin buat apa sahaja, asalkan tidak menggangu kain orang lain. Dan inilah yang mencorak kebudayaan ummah. Inilah yang menyebabkan ummah kian larut dalam dunia mereka. Materialisme tanpa had.

Lupa manusia, bahawa dunia ini umpama matriks. Ia hanyalah bayangan fatamorgana dalam terik matahari. Nilai dunia ini tidak setinggi bangunan yang didirikan itu. Ternampak indah dan memperdaya. Indah, hingga mereka ingin buat apa sahaja sesuka mereka. Lupa mereka, manusia tidak pernah lari dari kesilapan, hingga mereka kini keliru dengan segala pilihan dan 'ijtihad' mereka.

Ummah kian sengsara dengan pilihan yang dibuat mereka. Rasuah bermaharajalela. Korupsi ada di setiap tingkatan pangkat. Bayi dibuang sehari-hari, ertinya zina juga telah mendarah daging. Penipuan, ketidak jujuran. Dadah. Permainan komputer yang mengorbankan jiwa. Hedonisme tanpa henti. Pembunuhan. Penculikan. Fitnah. Pencabulan, rogol. Seleweng kuasa. Penyeksaan. Ketidak adilan sistem keadilan. Ketidak adilan hak. Penghinaan. Keputus asaan. Bunuh diri. Perlacuran. Arak. Penaklukan negara. Pencerobohan. Rompak. Kecurian di mana-mana. Percubaan senjata. Penghinaan bangsa. Pembahagian kasta. Kekacauan negara. Hasut. Dan yang paling teruk ialah, penghinaan akan Tuhan.


Jelas. Tamadun kufar ini ada kelemahan yang sangat besar. Mereka tidak mempunyai tamadun jiwa, sehebat Tamadun Islam yang pernah mengalirkan sungai penghidupan kepada semua manusia. Mereka tertipu akan dunia itu sendiri.

Jelas. Dengan peluang yang diberi, mereka bukanlah calon terbaik menjadi imam dunia. Inilah performance terbaik mereka, dan masih jelas banyaknya kelemahan mereka.

Masihkah ada Tamadun yang ingin mencuba? Atau sudah masa Islam kembali diminta kembali menjadi Mursyid yang membimbing dunia. Dunia kini amat mendambakan IKRAM (Kemuliaan). Dunia kini merindukan zaman kegemilangan seperti 500 tahun yang lepas.

Dunia kini kian larut, sedang barat sedang cuba dan cuba dengan sepenuh upaya untuk membuktikan bahawa mereka masih punya nafas. Teruskan mencuba. Kami hanya menunggu kalian jatuh sambil mengumpul pemimpin yang bakal menggantikan kalian.


Maka sahabatku, kalau bukan kita yang tahu ini, siapakah yang akan menyibak Fatamorgana?

No comments:

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]