Friday, October 30, 2009

Berkhalwatlah... Di sanalah lahirnya para mujaddid




Masjid merupakan matlamat dan dalam masa yang sama, juga merupakan alat ketika mana penubuhan daulah islamiyah yang pertama. Ia-lah syiar (lambang) Islam dan di masjid juga, umat islam dari pelbagai latarbelakang disatukan untuk sama-sama memperjuangkan agama Allah ini.


~~*~~


Dewasa ini, masyarakat dalam kebobrokan akidah dan kelesuan akhlak. Mereka gagal mencari identiti mereka, gagal mencari hakikat penciptaan mereka. Dalam medan inilah, para da'ei dicampakkan. Dengan segala bekal dan perancangan, mereka melepaskan diri mereka daripada dorongan dunia. Badai kemaksiatan mereka tempuhi, untuk merasai manisnya iman, dan yang paling pentingnya, untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang kelemasan.

Kesyumulan tarbiyyah islamiyyah kita menawarkan pembekalan kepada para daei ini, dengan mengajak mereka ke program-program katibah kita. Agar dengan itu, jiwa yang keras ini dapat kembali melakukan tafakkur dan menyahut panggilan fitrah batinnya.

Dengan itu, daei ini telah dikeluarkan dari goncangan sosial yang keras kepada kondisi yang lebih baik. Yang padanya ada ketenangan, tetapi ketenangan ini bersifat ikutan, tiada dorongan personal.

Kekhuatiran timbul apabila medan untuk mendekati Allah dan memuhasabah ini hanya dilewati 5 kali sehari. Itupun sangat singkat waktunya. Tiba semasa iqamat dilaungkan dan meninggalkannya terus apabila selesai salam.

Bertambah malang jika para daei ini tidak mampu ke surau atau masjid kerana kesibukan mereka di luar masjid. Kerana para daei butuh suatu aktiviti yang dilakukan anbiya, iaitu tafakkur. Para daei memerlukan masa-masa khusus bersama Ilahi, menyesali kesalahan-kesilapan mereka, mengharapkan turunnya bantuan yang dijanjikan-Nya.

Kita harus membiarkan para daei ini berkhalwat di masjid-masjid, mengadakan program-program umum di sini dan mentajnid jiwa-jiwa pemuda itu di celah-celah nilai rohani masjid. Di masjid juga jiwa-jiwa yang taat kepada Rabb dapat dihimpun, jiwa-jiwa yang terpelihara dari nifak dan kepura-puraan. Merekalah generasi yang kita nanti-nantikan. Generasi Robbani.


Bedah Buku: Cinta di Rumah Hassan Al-Banna

Cinta di Rumah Hasan al Banna Cinta di Rumah Hasan al Banna by Muhammad Lili Nur Aulia


My rating: 5 of 5 stars
Buku yang sangat mengagumkan jika anda ingin mewujudkan keluarga duat

Pada asalnya saya tidak mahu baca buku ini kerana saya tidak mahu taksub dengan Pak Hassan itu secara peribadinya,
Tapi ternyata, beliau bukan sahaja hebat sebagai seorang pendakwah, juga merupakan qudwah kepada anak-anak


View all my reviews >>

Tuesday, October 27, 2009

Menjadi Berlian





Hanya Jauhari mengenal Manikam

Jauh di dalam mantel bumi, dengan suhu yang sangat tinggi, pada tekanan yang sangat kuat, suatu proses pentarbiyyahan berlaku. Proses pentarbiyyahan mengambil masa sekurang-kurangnya 1 billon tahun hingga 3.3 billion tahun, dan hasilnya, permata yang paling berharga di seluruh dunia. Seluruh dunia menggilakannya dan Allah telah menciptakannya dengan terhad di atas muka bumi ini. Itulah dia berlian. Dalam bahasa Inggeris, disebut Diamond, dicuri daripada bahasa Greek, yang bermaksud 'yang tidak dapat dipecahkan' (Unbreakable).

Kualitinya yang sangat tinggi dengan RI (Refractive Index) yang sangat tinggi menjadikannya jauh berbeza berbanding dengan berlian tiruan. Berlian tiruan yang diperbuat daripada kaca itu, harganya jauh lebih murah, setanding dengan miskinnya nilai seni yang diterampilkannya. Namun, pada mata kasar orang biasa, berlian dan kaca, tiada bezanya. Kedua-duanya bagi mereka sama sahaja, sama memikat dan sama bernilai. Kalaupun ingin mereka mengetahui nilai permata tersebut, mereka terpaksa mengorbankannya, dengan cubaan memecahkannya.

Maka, mustahillah, di mata orang-orang biasa ini, untuk menilai, mana berlian dan mana kaca, di sebalik jutaan kaca yang terdampar di hadapan mereka. Hanya pakar berlian yang terlatih sahaja yang mampu. Di sebalik kemampuan itu, lumrah seorang manusia, kepakaran ditempa dengan kematangan pengalaman. Dengan kesilapan dan kejayaan sebagai guru setia. Dan kita semua maklum, mengapa perlu dibezakan berlian dan kaca ini bukan?

Begitulah harapan ummah diletakkan di kiri kanan bahu para duat. Di hadapan mereka kini, jutaan pemuda bersedia untuk dipetik, namun tidak semua rela menggalas beban ini sepertimana mereka. Kalaupun ada yang rela, mereka perlu diuji dengan ujian keberatan, agar tidak beban itu dibuang begitu sahaja, saat digalaskan di bahu mereka, ia memerlukan pendidikan dan ujian. Mata para duat sentiasa meliar, mencari berlian yang terpilih itu. Setiap pergerakan berlian-berlian ini diperhatikan. Sedang sibuk mereka, sedang senang mereka, sedang sedih mereka, sedang gembira mereka, tidak pernah mata mereka terlepas daripada menjadi pakar berlian itu.



Benarkah berlian tidak pernah pudar?

Yakinlah, andalah berlian yang berharga. Ya, ada pakar berlian yang sedang membelek anda. Anda pernah diuji, paling tidak pun, di mata manusia.

Anda tidak akan mampu memahami petikan-petikan yang aku tuliskan ini, tanpa menjalani pentarbiyyahan itu. Pentarbiyyahan yang menyerlahkan lagi nilai kita. Tidakkah kita pernah sama-sama mendengar, berlian yang dilombong, tidak cantik sepertimana sekarang tanpa melalui suatu proses lagi, iaitu penggilapan.

Menggilap tanah-tanah itu. Membuang kerak-kerak yang mencacatkan rupa. Mengasingkan unsur lain yang menggerutukan permukaan halus itu. Itulah tugas pakar berlian. (Pembersihan jiwa) anda itu dimulakan oleh pakar berlian itu. Agar akhirnya, kita benar-benar bernilai di mata semua. Yang paling penting, pada pandangan Yang Maha Esa, yang akan membeli jiwa kita itu, mengganjarkan dengan syurganya yang sempurna. Penggilapan itu, masih diteruskan hingga kini, hingga kita mampu menjual jiwa ini, dengan mencari berlian lain, yang akan kita sama-sama gilap dan canaikan.

Namun, sedang kita mencari berlian itu, tidak pelikkah kita dengan tingkahlaku berlian-berlian ini? Ada yang lari setelah bercakap dengan kita. Ada yang tidak selesa bersama kita. Ada yang seakan-akan tidak cocok dengan kita, walhal menjadi fitrah berlian untuk sukakan berlian lain. Seumpama ada tarikan cas yang menakjubkan.

Namun, mengapa berlian-berlian ini lari daripada kita? Bukankah kita juga adalah berlian, malah lebih menawan daripada mereka, hasil proses penggilapan itu? Mengapa?

Jawabannya ada pada soalan.
Benarkah berlian tidak pernah pudar?



Maka katakanlah, "Adakah keinginanmu untuk membersihkan diri, dan engkau akan kupimpin ke jalan Tuhanmu agar engkau takut kepadaNya?"
(Naziat 79: 18-19)


Masih ku ingat...

Aku tersenyum

Masih ku ingat saat halaqah kita bersama satu ketika dahulu.
Ketika aku ditanya suatu soalan rutin taaruf, "Akhi, nta bila nak berkeluarga?"

Dan pantas aku merubah wajahku (dengan sengaja) dan menjawab dengan jawaban sama itu, "Siapalah akhwat yang nakkan ana ni...", jawaban bersama senyuman tiada sebarang janji, sambil memusing-musingkan jari telunjuk di atas permaidani.

Namun kau ketika itu berkata... "Ana nak. Ana nak! Kalau ana ni akhwat, akhi.. Dah lama ana pinang nta dah!!!"
Kami sama-sama ketawa, terhibur dengan celotehmu wahai sahabatku, saudaraku... yang aku cintai.

Masih ku ingat ya akhi, ketika aku berseorangan di rumah itu, kau datang dari penjuru negeri, untuk menemaniku, menunaikan kewajibanmu. Dengan motor yang uzur itu, kau tabah mengharungi hujan dan panas, malah menyelit tatkala jalan besar itu sesak dengan raksasa-raksasa besi.

Kaulah insan yang setiap hari menjadi pengkritik setia masakanku ketika aku baru ingin bertatih itu. Namun, tidak pernah ku dengar kau mengadu apa-apa kekurangan padanya, hingga aku makin rajin menyediakannya untuk ikhwah ketika bertandang ke teratak kita.

Masih ku ingat, kaulah ikhwah yang paling bersemangat tatkala bersama-sama menyanyikan nasyid pembakar semangat itu. Kaulah cahaya, harapan dan sinar kami ketika menjadi munsyid, menyemarakkan semangat kami yang tidak pernah padam dengan keberadaan mu.

Masih ku ingat, tatkala kau berada dalam pasukan mukhayyam itu, kaulah yang mencadangkan aku sebagai ketua, malah kaulah akh yang paling aktif bekerja tanpa penat dan mengeluh. Masih kau ingat ketika kau dan Asroul mendirikan menara itu? Aku masih menyimpan gambar kau beraksi bersama panji kita di atas menara yang gah itu.

Aku masih tersenyum. Mengingatkan masa ketika kita sama-sama mencari masa menyerang kubu lawan. Sempat tersesat pula dalam kegelapan malam. Oh ya, masih terbayang topi PKSmu itu. Hehe... Aku hairan mengapa aku tidak pernah melihatmu, selain daripada senyuman manis itu.

Dan, masihkah kau ingat ketika kita bersama-sama ke sekolah itu? Berjumpa dengan adik-adik yang penuh semangat itu. Baru aku tahu, wahai sahabatku, rupa-rupanya, sekolah itu ialah sekolah ummi ketika di sekolah menengah. Baru minggu lepas ku tahu. Perjumpaan di surau itu, benar-benar mengasyikkan. Aku masih ingat, kau minta mereka lukiskan masa depan mereka, dan kemudian kita sama-sama berbincang hala tuju mereka. Ada yang jelas, ada yang tidak, malah ada yang menconteng penuh kertas yang kau berikan itu. Masih ingatkah kau akan sinaran harapan di wajah mereka, setelah kita membimbing mereka? Hingga sekarang, ada di antara mereka yang masih hubungiku.

Akhi, masih aku ingat tangisanmu ketika qiamullail jamaie itu. Tika kau menjadi imam, aku tidak dapat menahan air mataku, betapa tingginya penghayatanmu dalam solatmu. Membuatkan aku berasa amat cemburu terhadapmu. Mendengar bacaanmu sahaja, sebak di jiwa membuatkan solat itu sangat indah... Segala mengantuk, penat sirna dengan kerehatan itu.

Ingatanku tidak dapat dilarikan daripada ucapan bahasa arabmu yang lancar itu. Kau oratkan dalam penghayatan dan penuh semangat, persis pemuda palestin yang tidak gentar berhadapan apa sahaja!


Akhi.... Saudaraku...



Hanya Allah yang tahu perasaanku ketika peristiwa itu. Melihat dirimu dalam arus itu, seolah-olah melihat jiwaku diremuk-remukkan. Betapa aku takut kehilanganmu...


Kini aku menangis lagi...


Jiwa yang kental ini seperti dihiris perlahan-lahan. Aku tidak tahu samada kau akan membaca warkah ini atau tidak. Tapi jika kau membacanya, aku harap kau tahu betapa rindunya aku pada dirimu. Aku mencintaimu sepenuh hatiku.

Kami sentiasa menanti-nanti kepulanganmu,

Wahai saudaraku yang amat ku cintai.






Salam sayang,
Hussaini

Saturday, October 24, 2009

Bila cahaya hilang



Lambatnya kemenangan kerana kita

Rumah yang kian marak apinya ini, memaksa daei untuk lebih gigih mengejutkan saudara-maranya. Setiap detik masa dan ketika terasa amat berharga, dan jika disia-siakan merupakan kerugian, malah akan memudaratkan. Berbekalkan ilmu kejut-mengejut, setimba air dan jam tangan tanpa penggera masa, daei ini tidak putus-putus usahanya.

Namun, masa demi masa, daei ini akan perlahan-perlahan berasa penat dan bosan. Dilihatnya sekeliling, hanya beberapa kerat yang mampu dikejutkannya, namun tidur semula. Dan di penglihatannya, ada 2 3 yang lain yang tidak dikenalinya sedang membuat pekerjaan yang sama. Terasa diri ini sangat lemah dan kurang kemampuan.

"Mungkinkah aku tidak disukai mereka? Atau aku memang tidak akan pernah faham bagaimana untuk berkomunikasi dengan manusia? Mungkin juga salah aku, kerna aku ini singkat akalnya, masakan aku mampu untuk melakukan semua ini..."


Pelbagai persoalan dilontarkan kepada diri sendiri. Hingga akhirnya, daei ini membuat sebuah keputusan yang sangat besar, dia sudah putus asa. Tiada gunanya lakukan semua ini, bukankah kita semua akan mati juga akhirnya?

Daei ini kembali baring di sebelah saudara-maranya yang lain. Beralaskan tilam empuk, dan bantal yang menenggelamkan kepala. Daei ini menutup matanya, sambil membaca zikir-zikir yang membuai pemikirannya. Sambil diri memotivasi diri, menenteramkan diri, bahawa api-api itu tidak akan bisa merosakkan mimpi. Dia ingin kembali bermimpi yang indah-indah, sedang api menghancurkan tubuhnya. Dia masih ingin bermimpi, bersama yang lain.


Apabila gerhana di sangka senja

Tiba-tiba cahaya tatkala tengahari terik itu hilang. Yang tinggal hanyalah sisa-sisa cahaya berbentuk cincin di angkasa. Sang burung dengan pantas terbang ke sarang mereka. Dengan pantas sambil diri terpinga-pinga. Ia sedar bahawa malam itu masih jauh. Sampai di sarangnya, ia menunggu dan menunggu. Ia enggan tidur, kerana ia tahu, gelapnya kini hanya kerana gerhana, bukan terbenamnya mentari.

Begitulah nostalgiknya keadaan kita kini. Keadaan gelap gerhana ini terasa seakan-akan akan kekal selamanya. Ia bukan sahaja memakan jiwa orang biasa, tetapi juga meluruhkan semangat para daei yang selama ini giat bekerja di atas jalan dakwah. Para daei, memilih untuk menjadi orang biasa, kerana ketamadunan jiwa itu runtuh bersama runtuhnya nekadnya.


Kemenangan itu suatu kepastian

Umpama suatu perlawanan bola sepak. Yang ada pemainnya, pemain lawannya, dan penonton yang bersorak. Islam bertuah kerana berjaya menjaringkan gol yang pertama, menerpa nama di papan skor. Ramai pesorak yang dengan jaringan pertama itu, berubah pendirian mereka, turut sama menyokong Islam. Malah, ada beberapa orang di kalangan mereka yang mendaftar untuk dilatih oleh para jurulatih, kelak menjadi pemain yang turut bermain di atas padang.

Namun, pada minit-minit akhir babak pertama, Jahiliyyah pantas menjaringkan gol mereka, gol pertama dari dalam kotak penalti atas kesilapan pemain Islam. Dan gol kedua dari tengah-tengah padang bola itu. Memukau mata-mata yang memandangnya. Ramai pula penyokong, penyorak yang begitu taksub tadi, kini membuang jersi mereka, kali ini menyokong Jahiliyyah pula. Keadaan 1 berbalas 2 ini juga menyebabkan beberapa pemain Islam dengan sengaja melakukan kekerasan, agar dilayangkan kad merah, yang membuang mereka dari padang, melarikan mereka dari kesengsaraan perasaan itu. Jurulatih yang nampak segala taktik dan perang psikologi lawan cuba memberikan perintah dan strategi baru, namun semua pemain simpanan yang sudah kalah minda mereka, menjual diri dan maruah mereka kepada pasukan Jahiliyyah.

Disembelih dan dicincang si jurulatih, tanpa belas kasihan, tanpa para penyokong mahupun para pemain menyedarinya, selain beberapa orang di kalangan mereka. Ketua pasukan di atas padang pula lebih suka andai dia bersama pasukan yang satu lagi, turut sama menjual diri, hanya kerana segenggam harta.

Namun, pasukan Islam, pasukan Jahiliyyah, dan para penonton lupa, pengadil mereka tetap sama. Dan masih belum meniupkan wiselnya!



Sabarlah wahai saudaraku
Tuk menggapai cita
Jalan yang kau tempuh sangat panjang
Tak sekadar bongkah batu karang


Yakinlah wahai saudaraku
Kemenangan kan menjelang
Walau tak kita hadapi masanya
Tetaplah al-Haq pasti menang


Tanam di hati benih iman sejati
Berpadu dengan jiwa Rabbani
Tempa jasadmu jadi pahlawan sejati
Tuk tegakkan kalimah Ilahi


Pancang tekadmu jangan mudah mengeluh
Pastikan azzam-mu semakin meninggi
Kejayaan Islam bukanlah sekadar mimpi
Namun janji Allah yang Haq dan pasti!



Friday, October 23, 2009

Burung dan Perubahan





Tersebutlah kisah seekor burung nuri. Bulunya hijau berekor kuning. Burung yang comel dan sangat aktif. Sejak pagi ia sudah bangun untuk memulakan hari, ketika tuannya masih lagi tidur. Ya,burung itu bertuan. Si nuri adalah haiwan peliharaan. Tinggal dia di dalam sangkar besi yang disangkut di hadapan rumah. Sejak pagi si nuri bangun. Melompat ke kiri, melompat ke kanan. Orang yang melihatnya menyangka si nuri gembira. Malah si nuri pun menyangka dirinya gembira. Si nuri hidup dalam sangkar sejak lahir. Tidak tahu hakikat kebebasan.


Pada satu hari ada burung merpati yang datang ke sisi si nuri. Burung merpati menceritakan dunia luar yang bebas.si merpati menawarkan diri untuk membebaskan nuri. Pada mulanya nuri tidak tertarik malah mempersoalkan: "kenapa aku mahu keluar? Aku tengok burung diluar setiap mengalami kesusahan, bangun pagi mencari rezeki, sedangkan rezekiku setiap hari pasti disediakan tuanku." Namun si merpati tidak berputus asa. Pertemuan demi pertemuan berlaku. Si merpati kasihankan si nuri. Si merpati mahu si nuri merasai nikmatnya terbang ke angkasa. Setelah satu sela masa, si nuri bersetuju untuk keluar dari sangkar dan terbang mengikut merpati. Kali pertama keluar dari sangkar, si nuri merasakan ketidakselesaan yang amat. Tidak sampai satu minit keluar dari sangkar, nuri terbang ke sangkar semula. Merpati tetap menemani nuri. "kita cuba lagi nanti," kata merpati. Setelah itu nuri cuba keluar lagi. Semakin hari tempohnya semakin lama hinggalah tiba satu hari, nuri bertekad untuk meninggalkan sangkar untuk selama-lamanya. Nuri terbang mengikut merpati, seperti biasa, namun lebih jauh dan lebih tinggi. Saat itu, tidak tergambar kebahagiaan di hati nuri. Rupa-rupanya inilah kegembiraan bebas di angkasa yang diceritakan merpati setiap hari. Kemudian nuri meluahkan perasaan terima kasih kepada merpati, "Terima kasih kerana sabar dalam membimbing aku hingga aku betul-betul bebas seperti sekarang, namun hari ini aku mahu bertanya, apakah yang mendorong kau menolong aku walaupun dengan segala kerenahku dahulu?" Merpati pun menceritakan, "Pada satu masa dahulu, aku pun sepertimu, hanya seekor burung di dalam sangkar. Merasakan diriku gembira. Kadang-kadang aku ingin bebas tetapi tidak mampu. Hinggalah satu masa seekor burung datang padaku sepertimana aku datang padamu. Dia lebih sabar mendidikku dengan kerenahku lebih dari sabarku mendidikmu. Begitulah kisahku." Kemudiaan merpati menyambung lagi, "Nah, sekarang kau pergilah teruskan hidupmu!"


Kisah merpati sentiasa terngiang-ngiang di ingatan nuri. Segala pesanan-pesanan masih tegar dalam memori. Segala panduan hidup kini diamalkan sehari-hari. Pada suatu hari, ketika terbang mencari makanan, si nuri terjumpa seekor burung di dalam sangkar menyanyi-nyanyi. Tanpa berfikir panjang si nuri terus terbang ke sisi sangkar dan memulakan perbualan, "Mahukah kau aku ceritakan tentang kebebasan?"




~~*~~



Dicuri, diculik dan diperas ugut daripada al-Akh Harith Amaran

Thursday, October 22, 2009

Hikmah kita adalah segalanya





As-Syeikh Mustafa Masyur masih hidup

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk."
(An-Nahl 16: 125)

Dalam menerangkan maksud dakwah kita secara umumnya, Dr. Abd. Karim Zaidan, dalam bukunya 'Islam dan Dakwah', telah memetik ayat ini. Dan apabila membicarakan tentang 'hikmah', ramai daripada para du'at akan berpandangan bahawa 'hikmah' itu bermaksud lemah lembut, tersusun setiap bait yang keluar dari mulutnya, pandangan mata yang sayu mencerminkan kasih sayang di setiap sudut hati, dan sebagainya.

Sedangkan, dalam buku Dakwah Fardiah, As-Syeikh Mustafa Masyur membayangkan kita suatu situasi yang kita sedang hadapi sekarang. Ummah kini, umpama saudara-mara kita yang sedang nyenyak tidur, tatkala rumah ini sedang dimamah api. Allah telah memberikan hidayah kepada kita, yang menyebabkan kita mampu bangkit dari tidur, dan punyai kesedaran untuk mengejutkan saudara-saudara yang lain. Lalu, apa yang kita akan lakukan?

Telah berkata seorang ustaz:
"Sekarang ni misi kita ialah menyelamat NYAWA mereka. Kalau kejut lembut-lembut pun tak jadi, kalau kejut kuat-kuat pun mereka tak bangun, ntum kena buat apa sahaja yang ntum boleh untuk menyelamatkan NYAWA mereka, walaupun terpaksa memotong jari-jari mereka!"

Begitulah tarbiyyah telah memberikan penghidupan kepada kita. Ia tidak sekadar memberikan nyawa, tetapi memberikan makna dan nilai kepada nyawa ini. Ia memberikan kita ruh yang sihat, jauh dari sebarang kesakitan yang bukan sahaja memudaratkan diri, malah menyebabkan ruh-ruh lain juga menjadi tidak berguna. Ruh-ruh lain terkesan dengan kedurjanaan kita, kegelapan ruh kita ini tersebar, cepat dan aggresif. Hanya cahaya islam yang mampu memberikan pencerahan itu.

Di sinilah, kita ingin sama-sama sepakati, bahawa hikmah yang dinyatakan bukan hanya pada kelembutan, tapi ke'berkesan'an (muntijah) dakwah itu untuk sampai ke dalam hati sasaran dakwah (mad'u) dan akhirnya membuahkan respon (bangkit dari tidur). Semestinya dibatasi syariat dan dengan niat kepada Allah semata-mata. Hikmah itu kita boleh pelajari daripada kisah-kisah dalam Al-Quran, hadis ar-rasul (yang mengajarkan hikmah [Al-Baqarah 2: 151]), kisah-kisah para sahabat dan pengalaman-pengalaman ikhwah akhwat yang sudah lama melaksanakan dakwah ini.

Berhikmahnya dakwah Abu Bakar As-Siddiq pada ukhuwwah seorang sahabat. Berhikmahnya dakwah kepada Umar al-Khatab dengan dibenarkan pipi yang gebu itu dilempang keras. Berhikmahnya dakwah terhadap Ali bin Abi Talib dengan hujah rabbaniyyah. Berhikmahnya dakwah Abu Suffian dengan tawaran perlindungan ketika fath al-makkah. Berhikmahnya dakwah dengan akhlak ketika Umar Al-Farouq memimpin perang. Berhikmahnya dakwah dengan bayaran fidyah kafir-kafir zimmi yang mengongkong. Berhikmahnya dakwah dengan tafakkur alam. Berhikmahnya dakwah Harun Yahya dengan buku-buku politik antarabangsanya. Berhikmahnya dakwah Ahmad Deedat dengan debat antara agama dan antara kitab. Berhikmahnya dakwah Ghulam ad-Dakwah dengan mengorbankan nyawanya.

Berhikmahnya dakwah terhadap diriku dengan ketegasan, disiplin yang keras dan hukuman. Ya, aku juga menghadapinya dulu, dakwah untuk menyebabkan aku turut sama bersama kalian dalam perjuangan ini. Terima kasih kepada Sang Murobbi itu, yang tidak muak-muak mengambil peduli tentang diriku.



Berhikmahkah usrah sekolah kita

Terkejut apabila mendapat tahu daripada seorang akhwat tentang cara pentadbiran sekolah mendidik adik-adik di sekolah untuk bertudung labuh. Mereka diberi pilihan samada bertudung labuh atau bertelekung sembahyang di dalam kompoun sekolah. (Betulkan ya jika tersalah)

Hati kecilku berbisik,

"Patutlah tidak semua produk sekolah berjaya, tidak ramai yang mahu bersama dengan gerakan dakwah, walaupun mereka telah dididik seawal usia itu untuk berdakwah.

Malah ada di antara produk-produk sekolah tarbiyyah itu kini tidak lagi menjaga muamalat mereka, sudah mula berjinak-jinak dengan budaya coupling, ada juga yang sudah tidak lagi berhijab."

Na'uzubillahuminzalik. Semoga Allah sentiasa memelihara adik-adik ini. Memberikan nur hidayah kepada mereka.

Satu soalan, apa beza di antara 'undang-undang untuk dakwah' dan 'dakwah untuk undang-undang'?

Pasti banyak jawapannya. Masing-masing antara kita akan ada jawapannya. Dan aku secara peribadinya, tidak berminat untuk sangsi terhadap niat mana-mana pihak. Juga tidak berminat untuk berbincang sejauh mana berhikmahnya tindakan mereka, kerana aku tidak berada di dalam topi ntum sebagai pelajar, juga tidak berada di dalam topi pihak pentadbir yang merasakan bahawa tindakan itu, insya-Allah yang terbaik untuk kalian. Cukuplah bagiku, Allah yang akan menentukan segalanya, andai ia berhikmah atau tidak, hanya Allah yang tahu. Semoga keberkatan Allah bersama syura itu.

Namun, aku ada pendapat peribadi mengenai pada asasnya, hududullah (ketetapan Allah) itu hendaklah dibina di dalam hati-hati yang akan melaksanakannya, bukan sesama pemerintah sahaja. Amal islami ini tidak semudah; mendapat undi yang banyak, kemudian memaksa semua orang mengamalkan hududullah. Bak kata Hassan Hudaibi:

"Jika kalian ingin menegakkan negara islam, dirikan dahulu negara islam dalam diri kalian."

Jadilah muslim yang muslim, yang berserah sepenuhnya kepada Allah. Belajarlah mengenal hati-hati manusia untuk mencari hikmahnya dakwah. Berdoalah agar Allah memudahkan urusan dakwah kita, dan menjadikan kita golongan yang bersama kemenangan islam itu.



Telah berkata Fathi Yakan

Ikhwah akhwat yang ana cintai sekalian,

Manusia cenderung untuk menyukai pihak-pihak di luar dirinya yang berbuat baik terhadapnya. Walau sekeras manapun penampilan manusia itu, dia pastinya lebih menyukai keramahan dan kerendahan hati dalam berbicara kepadanya. Sifat keras akan mencetuskan perlawanan, pengingkaran secara terus, serta kebencian dan penolakan kepada apa sahaja yang ingin disampaikan. Di sini, perlu al-hilm (sikap lemah lembut) dalam melaksanakan dakwah.

Di dalam buku beliau, Kaifa nad'u ilal islam (Membongkar Jahiliyyah: Edisi Indonesia), As-Syeikh Fathi Yakan ada menyebut berkenaan isu Dakwah bil hikmah ini. Katanya, sikap lemah lebut dalam dakwah tidak lantas diertikan sebagai sebuah sikap yang mengedepankan aktiviti memujuk, memuji, serta sifat-sifat hipokrit lain. Sebab, yang dimaksudkan dengan lemah-lembut adalah aktiviti yang mengedepankan nasihat, kebaikan dalam perbuatan, dengan ramah, lemah lembut dan mengesankan.

Tidakkah kita menyaksikan gaya bahasa Al-Quran ketika Allah meminta nabi Musa dan nabi Harun menegur sikap zalim Raja Firaun dengan cara lemah lembut dan sopan? (Thaha: 43-44)

Ibnu Kathir menafsirkan ayat An-Nahl, ayat 125 di atas itu dengan berkata: "Siapa yang ingin berdiskusi, hendaklah dilakukan dengan cara yang baik, dengan penuh persahabatan, dan dengna pembicaraan yang baik. Kerana Allah telah berfirman:

"Maka dengan rahmat Allah, engkau menjadi lemah lembut terhadap mereka. Seandainya engkau berlaku kasar hati, maka tentu mereka akan menjauhkan diri dari sekitarmu."
('Ali Imran 3: 159)

Dan Abdullah bin Umar telah berkata:

"Sesungguhnya saya menyaksikan dan mengetahui sifat Rasulullah di dalam kitab-kitab terdahulu, bahawa beliau bukanlah seorang pemarah, tidak kasar, tidak suka lalu lalang di pasar, tidak akan membalas kejahatan dengan kejahatan. Justeru, beliau akan memaafkan dan menerima pendamaian."

Jelaslah kepada kita, dalam kita mengekalkan ketegasan prinsip dan mengambil kira hikmah kita dalam berdakwah, penting untuk kita menerapkan nilai-nilai kelembutan agar ianya selari dengan fitrah insani.



Jangan risau, aku punyai masa

Setiap daripada kita dikurniakan masa yang sama. Aku memiliki 24 jam sehari. Kalian juga memiliki 24 sehari. Rasulullah miliki 24 jam sehari. Salahuddin al-ayubi miliki 24 jam sehari. Muhammad Al-Fateh miliki 24 jam sehari. Hassan Al-Banna miliki 24 jam sehari. Syed Qutb miliki 24 jam sehari. Maududi miliki 24 jam sehari.

Perubahan memerlukan pengorbanan. Dan pengorbanan yang semua orang tidak dapat lari daripadanya ialah pengorbanan masa. Jika maududi boleh menulis hingga 60 buku dakwah tarbiyyah sepanjang hidupnya, dan Syed Qutb menterjemah satu quran di samping buku-bukunya yang sentiasa memberikan ruh kepada kita, aku tidak punyai alasan untuk mengatakan aku tiada masa.

Walaupun, diri sudah berazam ingin membaca sekurang-kurangnya 1 buku fikrah sehari dan menyelesaikan wajibat-wajibat lain, aku tidak nampak masa sebagai penghalangnya. Dakwah kita tetap berjalan kerana itu matlamat, dan kurikulum kita umpama nafas itu.

Jika ada sebarang kemusykilan atau permintaan untukku berkongsi tentang apa-apa tajuk, feel free untuk emailkan kepada peti suratku:

profhussaini@gmail.com

Semoga dapat saling tolong-menolong dalam menolong agama Allah. Semoga Allah menjadikan kita ikhlas dalam segala apa yang kita lakukan.

Watawanu 'ala birri wattaqwa (Dan tolong menolonglah dalam kebaikan dan ketaqwaan)
Intansurullaha yan surkum (Jikalau kamu menolong Allah, niscaya dia akan menolongmu)






Tuesday, October 20, 2009

Belajarlah daripada pengalaman





Keindahan bersama mu

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk."
(An-Nahl 16: 125)

Pasca mengajar adik-adik binaanku berenang sore tadi membuatkan fikiranku berpusing-pusing di sekitar perjalananku mengajak jiwa-jiwa ini beradu dalam ketaqwaan kepadaNya. Ia sebuah kenangan yang sangaaaaat panjang. Memikirkannya, membuatkanku sekejap tersenyum, sekejap berduka. Akhirnya, kata-kata indah itu terluncur keluar dari mulutku; Alhamdulillah. Hanya Allah berhak mendapat pujian itu, atas keindahan pengalaman ini. Satu keindahan yang tak terkata, ingin aku luahkan, agar menjadi pengajaran untuk kita bersama.

Kita mesti mengakui bahawa ada 1001 macam jenis orang dalam lokaliti kita. Di universiti kita, di kawasan perumahan dan di sekeliling kita. 1001 orang memerlukan pendekatan yang berlainan. Ada orang yang lebih suka berinteraksi hati bertemu hati. Ada yang lebih suka di-tajmi' (dikumpulkan) secara berkumpulan. Dan yang lebih rumit, ada yang suka dikumpulan dalam perkumpulan yang ramai, tapi ada sentuhan peribadi, yang memberikan mereka perhatian khusus. Aku memahami dakwah kita perlu seluas ini.

Dakwah Fardhiyyah (DF) yang kufahami merupakan tunjang kepada Dakwah kita yang luas ini, dengan jemaah, Dakwah Ammah (DA) sebagai perisai dan daya tariknya.

DF sangat berkesan, sangat teliti, sangat dekat, sangat menarik namun ia menuntut masa berkomitmen yang sangat lama agar segala marhalah yang diperlukan itu dapat diharungi bersama.

Sepanjang pengajianku, beberapa perkara telah aku lakukan dalam amal dakwah ini. Semoga perkongsian ini difahami sebagai sebuah perkongsian yang mengajar, tidak sebagai pertunjukan sarkas yang menghiburkan semata-mata.


***Kes 1***

Pernah sekali, aku, tanpa DF (kerana kekangan masa), mengajak rakan-rakanku ke program santai-santai di sebuah tempat peranginan yang jauh dari kediaman kami. Ketika itu, aku merupakan ketua kepada kelasku, posisi yang sedikit sebanyak membantuku dalam ajakan ini. Setelah kami sekelas ini bermandi manda, bermain itu dan ini, akhirnya kami ingin terus pulang ke kampus. Memandangkan ini merupakan kali pertama program sebegini aku lalui, aku hanya mengikut sahaja, dan belajar dari pemerhatian ini.

Ketua kami, telah menuturkan satu ayat yang menyebabkan segalanya berakhir, "Kami sebenarnya ingin mengajak ntum supaya sama-sama berjuang di jalan dakwah, berusrah bersama kami." Ayat yang ringkas, tapi berjaya membunuh perjalanan ini. Selepas itu, semua rakanku enggan dekat denganku. "Pemberontak," kata mereka.


***Kes 2***

Keterlibatan dalam sekelian banyak persatuan dan kelab, membuatkan aku mempunyai ramai kenalan. Antaranya ialah yang sama-sama bergerak dalam sebuah kumpulan nasyid, yang aku sangat rapat dengan mereka, dan mereka juga sangat rapat denganku. Hampir setiap hari, di zaman-zaman muda itu, kami berlatih nasyid bersama. Segala ilmu seni suara, permainan alat muzik dan seni muzik, kami kuasai bersama.

Dengan kesibukan kami di fakulti, kolej, dan kelab-kelab lain, kami masih memberikan komitmen dengan kelab kami ini. Bayangkan, apabila senior-senior sudah putus asa dengan kelab ini, kami yang berada di tahun pertama pengajian ini terpaksa mengerjakan kelab ini secara keseluruhannya, dari 0.

Namun, dengan ukhuwwah yang terbina, kami sama-sama mendaki puncak kegemilangan itu. Dan akhirnya, pada percubaan ketiga kami, kami berjaya merangkul johan nasyid kebangsaan. Dari hari itu, hingga sekarang, 5 tahun kemudian, mereka mengondol semua kejohanan di peringkat kebangsaan IPTA.

Merasakan kedekatan dengan mereka, aku akhirnya mengajak mereka untuk berdiskusi di sebuah surau, melalui SMS. 10 yang ku tunggu, tiada seorang yang ketemu. Penantian itu berterusan berjam-jam, sedang aku termenung tidak sudah, memikirkan silap dan salah.


***Kes 3***

Mutarobbi ku yang sangat rapat denganku, suka menggelarkanku dengan gelaran 'Daie Rugged' (Baca: Keras tapi ikhlas). Dengan cara pemakaian sempoiku, dan tutur kataku yang selamaba pada mereka. Aku menyertai segala acara mereka, dalam mencari mereka yang benar-benar layak bergelar Qaedah Sulbah (Tulang belakang) kepada dakwah ini.

Dari melatih nasyid, renang, berfoya-foya di kompleks membeli belah, makan-makan, membela haiwan kesayangan, larian, softball, hinggalah permainan terkutuk Counter Strike (CS)! Bagiku, segala kelebihan dan daya tarikan harus digunakan dalam fasa ini, selagi dibatasi syariah yang sangat luas.

Para ikhwah ini, hinggakan pernah mendapat naib johan CS peringkat universiti! Dan akhirnya, kami menjangkau suatu pemeringkatan yang terbesar iaitu islah masyarakat, hingga dakwah yang kami lakukan kini, terasa lebih senang menerombosi. Masyarakat awam dapat menerima arus ini kerana mereka kenal dan yakin dengan model-model yang menggerakkannya, walaupun mereka tidak dapat bersama dalam pembinaan ini.


~~*~~


Cukuplah 3 contoh ini untuk kita sama-sama bincangkan tentang DF dan persoalan di sekitarnya. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Carilah pengajaran di setiap kes itu:

Kes 1: Tanpa DF.
Kes 2: Tanpa memahami konsep marhalah DF.
Kes 3: Kejayaan DF, bukan hanya dengan dapat peserta tarbiyyah khusus.



Buku bukan hanya untuk tontonan

Bercakap tentang DF, pastinya kita tidak dapat lari daripada membincangkan perihal-perihal DF seperti yang diperbincangkan dalam buku Syeikh Abbas Asiysiy, Thoriq ilal Qulub (Jalan ke Hati). Aku merasakan bahawa buku ini pastinya akan dapat membantu kita semua menjergah mad'u-mad'u ini. Dari menghafal nama penuh, hingga memijak kaki mad'u... kuasailah semuanya, anda pasti dapat menguasai hati hampir semua jenis manusia.

Namun awas sahabatku,

Kita pasti akan menyesal jika kita menyangka hanya itulah DF kita. Terasa sesat (lost) dan sia-sia setiap waktu yang digunakan. Sebagaimana konsep umum dakwah yang bermatlamat dan mengandung manhajnya, DF juga begitu, malah ia tidak pernah terasing daripada dakwah yang seluruhnya itu.

Ramai orang melihat dan mempraktik Jalan ke Hati, tapi mereka lupa tentang sebuah buku yang sebenarnya ingin mengenalkan kita kepada praktik DF yang sebenar, taktik bukan teknikal sahaja.

Marilah kita sama-sama membaca Dakwah Fardiah, karangan Mustafa Masyur. Fahami dan amalkan. Menyelusuri DF ini, kita sedang mendaki 7 tangga, tahapan, marhalah yang bermula dengan Marhalah 1 (Ikatan hati), hinggalah Marhalah 7 (Intima' dengan jemaah islam).





Alangkah malangnya, ikhwah akhwat sekalian, kerana kita hanya melaksanakan Jalan ke Hati, yang hanya pada Marhalah yang pertama. Namun, tanpa memenuhi marhalah itu, kita ingin terus melompat ke marhalah-marhalah seterusnya, yang sudah pastinya menjanjikan 'penolakan hakiki' oleh mad'u. Sesungguhnya kita pantang meningkatkan marhalah DF itu, tanpa betul-betul menguasai marhalah sebelumnya. Kerana keberhasilan kita ditentukan dengan keteguhan marhalah sebelumnya. DF bukan hanya di fasa-fasa awal itu.
  1. Mutarobbi kita sentiasa menjadi peserta marhalah DF itu.
  2. Semua orang di sekelilingmu, ialah sasaran dakwah itu.


Duduk di rumah, suatu kemungkaran

Pulang ke rumah seawal jam 10 malam hari ini, menyebabkan aku rasa kesunyian. Hingga jam 11 malam, seorang ikhwah pun tidak pulang-pulang lagi ke kamar kami ini. Bukan sekali dua kejadian ini berlaku, namun acap kali walhal kami tinggal seramai 7 orang. Selepas subuh sahaja, mereka akan meninggalkan rumah seawal mungkin, mengerjakan pekerjaan mereka dan DF mereka yang tidak sudah-sudah, sedang aku sibuk dengan pembacaan ataupun tidurku ini. Terasa betapa kecilnya diriku ini. Malamnya pula pantang pulang awal kerana, paling tidak akan ada 1 usrah ataupun perjumpaan dengan waris-waris mereka. Begitulah kehidupan ikhwah-ikhwah yang ikhlas ini. Semoga Allah menjadikanku se-proaktif mereka.

Sedarlah sahabatku,

Kewajiban kita melebihi masa yang kita ada. Jangan lalaikan diri dengan kemaksiatan, dan jangan lupa akan DF yang terus-menerus perlu dilakukan.

Jangan sibukkan diri dengan kagum terhadap hasil orang lain, sedang diri masih di atas tilam. Ayuh, bangkitkan semangatmu! Ummah ini memerlukanmu (^-^)

Bak kata seorang ikhwah:

"Ana ni dah penat dah duk asyik kagum dengan ikhwah-ikhwah Indonesia ni..."




Syukur Pada Yang Esa
Rahmat PemberianNya
Persaudaraan, Keharmonian

Jalinkan Kasih Sayang
Hulurkanlah Bantuan
Kepada Yang Memerlukannya

Mari Kita Bina Satu Ummah Majujaya
Mula Diri, Keluarga, Sahabat
Masyarakat Dan Negara

Dengan Satu Perjuangan
Satu Arah Tujuan
Di Bawah Rahmat Yang Esa

Kita Melangkah Seiringan
Satu Perjuangan

Rintangan Pasti Melanda
Jangan Undur Walau Selangkah
Teruskan Perjuangan
Hingga Ke Akhirnya
Andai Kau Gugur
Andai Kau Syahid
Kau DiredhaiNya

Sunday, October 18, 2009

Usrah. Suatu kegagalan.







Bila kita sama-sama melabuhkan tirai

"Usrah itu dimulakan dengan Kafarah al-Majlis dan Surah al-Asr. Diakhiri dengan Surah al-Fatihah"

Begitulah tarbiyyah mengajarkan kita. Pembinaan ummah ini memerlukan lebih daripada 1 atau 2 atau 3 jam seminggu daripada seorang muslim itu. Pengorbanannya, untuk tajarrud ilallah, untuk meletakkan dalam dirinya, 100% untuk perjuangan ini, melebihi kepentingan peribadi pada setiap detik, hinggalah di saat-saat akhir itu. Hinggakan matinya juga diharapkan menguntungkan islam, seperti matinya ghulam dalam hadis ghulam ad-dakwah, tafsir kepada Surah al-Buruj.

Namun, ikhwah dan akhwat yang amat kucintai sekalian,

Tarbiyyah juga mengajar kita untuk mengikut marhalah (tahapan) perkembangan manusia dalam kita melahirkan 'full-timer muslim' itu. Ianya menuntut kita bersabar, membiarkan anak didik kita berkembang selari dengan masa, seumpama menunggu buah delima hijau bertukar warna.

Walaupun ia kelihatan sudah berseri-seri, jangan gopoh memetiknya. Terkadang, kita nampak buah delima itu sudah cukup kemerahan, terasa ingin sangat menganyangnya, merasai setiap biji delimanya, yang dibayangkan sudah merah ranum seperti kulitnya. Namun, jika kuning dan merah itu masih belum sebati di selaput luarnya, merekah di hujung kantungnya itu pun belum pasti, kita pasti akan kecewa, kerana hanya butir-butir mentah bakal menjadi santapan, tanpa kita mampu memperbaikinya kembali. Tanpa kita mampu untuk mengharapkan buah itu berkembang, menjadi buah yang kita impi-impi, mimpi-mimpikan selama ini...

Itulah yang digambarkan oleh As-Syeikh Hassan Al-Banna dalam risalahnya:

"Bukan dari golongan kami orang yang memetik buah sebelum masaknya."

Bekerja mengikut marhalah itu merupakan rahmat, dan jika sebaliknya, merupakan bala, gambaran amal yang sia-sia.

Jauh daripada bekerja mengikut konsep-konsep umum dakwah, apatah lagi mengikut keperluan marhalah ini, menyebabkan dakwah yang kita lakukan ini tidak ubah seperti majlis-majlis ilmu yang biasa. Dakwah kita yang sepatutnya penyeruan ke arah pembebasan daripada penghambaan sesama manusia ini, seringkali menjadi sekadar dakwah menyeru ke masjid. Tiada matlamat yang jelas. Tiada amal yang terarah. Tiada penguasaan bahan yang mantap. Tiada penyempurnaan dengan kemahiran bermain dengan hati-hati insani.

"Dakwah kita adalah segalanya", hanya tinggal kata-kata. Kerana akhirnya, kita hanya berusrah selama 1 jam, 2 jam atau 3 jam seminggu, tanpa merasakan ruh usrah dalam diri bermula tamatnya usrah. Kadang-kadang, apabila kita semakin tidak bersedia, kita lebih selesa jika keluar beramai-ramai dan mendirikan 'usrah makan'. Berkumpul di kedai-kedai mamak, borak-borak kosong, dan mendidik anak-anak usrah bercakap yang sia-sia. Kata mereka, "Itu lebih baik daripada tiada apa-apa". Dan kata mereka lagi, "Usrah bukan rigid dalam halaqah-halaqah itu sahaja".

Kataku,

"Benar dan salah". Benar, usrah itu tidak terbatas dalam halaqah-halaqah perbincangan itu semata-mata. Salah, kerana anda tidak akan berhasil apa-apa jika masih ingin bersenang-senang, bermalas-malasan begitu.

Hendak mengetahui hakikat usrah serta rukunnya? Mari kita bersoal jawab dengan Al-Quran:

Apa yang ingin dibincangkan dalam usrah, ya akhi?

"Sebagaimana Kami telah mengutuskan kepadany seorang rasul, (Muhammad) dari (kalangan) kamu yang membacakan ayat-ayat Kami, menyucikan kamu (Tazkirah: Tazkiyatul Nafs) dan mengajarkan kepadamu Kitab (Al-Quran: Tafsir) dan Hikmah (Sunnah: Sirah dan Hadis), serta mengajarkan apa yangbelum kamu ketahui. (Taujihat dan Musykilah)"
(Al-Baqarah 2: 151)


Selepas usrah, apa yang kita harapkan kita semua rasai?

"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku."
(Al-Baqarah 2: 152)


Takutnya ana, ya akhi. Jika ada masalah dalam usrah, apa yang perlu ana buat?

"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan SABAR dan SOLAT. Sungguh Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Al-Baqarah 2: 153)


Naqib itu Ubiquitous?

Kefahaman akan pentingnya sebuah perjumpaan yang sebegitu, dengan syarat-syarat sah usrah itu, memandu kita untuk lebih berdisiplin dalam membina rijal-rijal. Sama seperti khususnya pembinaan para sahabat rasulullah, bukan bidaah yang direka-reka. Allah sudah menyediakan templatenya, kita hanya sebagai pelaksana.

Kita tahu, bahawa, setiap minggu, usrah sebegitu wajib dilaksanakan. Dan ketahuilah sahabatku, perjumpaan setiap minggu itu akan menentukan komitmen anak-anak usrah pada minggu-minggu seterusnya. Ia akan menjadi penentu keterikatan anak-anak didik dengan saff dakwah ini. Hakikat kefuturan bermula di sini, sekiranya kita hanya mampu membuatkan mereka berfikir tentang islam, semasa halaqah kecil, sementara itu sahaja.

Disinilah letaknya kelemahan usrah-usrah di sekolah, yakni usrah-usrah yang diwajibkan, tanpa mengambil kira bahawa pelajar-pelajar itu merupakan potensi-potensi ummah yang layak membuat keputusan sendiri, kita sewajarnya hanya membimbing, bukan memaksa mereka. Gagalnya usrah kita, jika sang murobbi, hanya bertaut di hati tatkala usrah. Jika sang murobbi lansung tidak diingat mereka ketika dibaca doa rabithah. Kerana, pembinaan usrah tidak diasaskan dengan ukhuwwah islamiyyah yang menyejukkan perasaan. Aku pernah merasai kekeringan itu dahulu, yang mematikan hasratku untuk bertemu lagi dan lagi. Kita tidak sudi, jika perjumpaan kita itu mekar dengan cinta sesama saudara, yang akan melonjakkan semangat yang membara.

Sang Murobbi seharusnya menjadi umpama bakteria yang ubiquitous, berada di mana-mana sahaja. Dengan perasaan atau tanpa perasaan, mereka tidak serik-serik bertemu. Menyelesaikan permasalahan-permasalahan kecil, tindakan orang-orang bijak pandai, sebelum ia besar, lebih besar dari segala kebaikan mereka. Sang Murobbi sentiasa membakar tekad mad'u, agar mereka tidak larut dalam biah jahiliyyah, menjadi sebahagian dari penyumbang kekufuran. Berada bersama, mengingatkan mereka tentang kedamaian bersama islam, sehinggakan mereka merasakan, inilah biah dan suasana yang ingin mereka wujudkan dalam masyarakat mereka. Sudah tentunya semua ini tidak dapat dilaksana, jika taaruf tidak dilaksanakan dengan setelitinya.



Mad'u masih lagi Anonymous bagimu?





Friday, October 16, 2009

Kurikulum-mu umpama nafas itu




Tarbiyyah mengajar kita

Memahami matlamat kewujudan diri di atas dunia ini, seumpama para tentera yang mendapat command dan perintah. Seumpama tiket kapal terbang yang tertera destinasi akhirnya. Betapa indahnya islam yang tiada kekaburan padanya, jelas matlamat dan terbimbing perjalanannya.

Allah berfirman dalam ayat yang tidak asing lagi:

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"
(Az-Zariyat 51: 56)

Jelas bukan? Menjadi hamba itulah tugas kita di dunia, kerana apa? Mengharap redha Tuan, Tuhan Pencipta Alam ini, Allah Az-Zawajalla. Terbayang syurga-syurga, para bidadari, segala kenikmatan, atas mardhotillah itu. Betapa mengiurkan.

Aku yakin, itulah matlamat kita semua. Dan sedarlah, TARBIYYAH ITU BUKAN SEGALA-GALANYA, TETAPI SEGALA-GALANYA BERMULA DENGAN TARBIYYAH! Ya. Dengan tarbiyyah, kita kenal pencipta, kenal siapa kita sebenarnya, tahu matlamat hidup, tahu cara pengabdiannya, belajar segala-galanya yang menjadikan kita benar-benar manusia, yang benar-benar 'hidup'.

Dan bila kita menyedari peri pentingnya tarbiyyah, barulah kita sedar, betapa tarbiyyah ini menuntut kita mengorbankan selainnya, untuk Allah, untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan dalam tarbiyyah ini. Kerana tarbiyyah ini, mengajar kita tentang islam yang syumul sifatnya, yang bukan di masjid sahaja terperapnya, bukan dalam 'majlis-majlis ilmu' sahaja skopnya. Besar, hinggalah ke arah tertegaknya negara. Negara islam dalam diri, negara islam dalam masyarakat, negara islam dalam negara, dan negara islam yang menyeliputi setiap inci permukaan bumi ini, malah seluruh alam. Itulah tarbiyyah pada pengamatanku, yang masih ditarbiyyah, doakan terus begitu.

Usrah, daurah, katibah, mukhayyam... semuanya adalah wasilah (cara, alat, medium) untuk kita mendapat tarbiyyah khusus itu. Mungkin ada cara lain, khilaf antara kita, tetapi inilah manhaj yang kita sedang gerakkan, jika anda ingin bersama, silakan. Jika tidak mahu, tiada ada paksaan selain kebijaksanaan.



Segalanya umpama nafas

Ikhwah dan akhawat sekalian,

Tubuh kita terdiri daripada organ-organ yang saling bantu membantu, lengkap melengkapi untuk mendirikan anggota-anggotanya. Organ-organ ini merangkumi tisu-tisu yang sebenarnya berasal daripada sel-sel yang seragam (uniform), yang sebenarnya berbeza mengikut peranan mereka dalam tubuh badan ini. Dan setiap daripada mereka, menjalani metabolisma. Metabolisma yang akan menjananya, dan proses ini memerlukan suatu kombinasi yang sangat terkenal, iaitu Oksigen.

Pada setiap saat, setiap sel dalam tubuh kita perlu dibekalkan dengan oksigen yang mencukupi. Dan kerana itulah kita bernafas.

Betapa canggihnya ciptaan Allah, ada pada diri kita, iaitu kebolehan untuk bernafas tanpa sedar, sedang pentingnya ia dalam mempertahankan hidup ini. Penting, tetapi tanpa sedar? Alangkah misterinya. Mengapa agaknya ya? Hanya Allah yang tahu, namun tidak salah untuk kita menduga, bahawa bukan itu matlamat kita diciptakan semata.

Kita dihidupkan bukan untuk bernafas. Kita dihidupkanNya bukan untuk hidup. Tetapi untuk melaksanakan perintah Allah yang lebih besar lagi, tanpa mengabaikan hak-hak kecil itu.

Namun kita perlu bernafas, untuk hidup, punyai nyawa, masa dan ketika, untuk menyahut arahan. Umpama para tentera tadi, yang perlukan makanan dan senjata untuk laksanakan misi. Dan pemegang tiket kapal terbang yang perlukan kapal terbang untuk sampai ke destinasi tiket tersebut.

Nafas. Ia hanya Alat untuk kita kekal bernyawa. Sedang Allah, Tarbiyyah itu Matlamat kita. Tanpanya, tiada erti ada nyawa dalam kerangka. Tiada makna hidup di dunia andai jiwa dalam zulumat yang pekat. Lebih baik tersisa menjadi tanah yang dipijak, tidak pernah dicipta, tidak pernah miliki nyawa (Naba: 40).

Begitu juga dengan makan, penting, tetapi bukan yang utama. Aku sendiri rela mati kelaparan, berbanding kekenyangan dalam bas ke neraka. Bersikat kita, Berbasikal kita, Belajar kita, Minum kita, selagi dalam batas-batas syariat, untuk meneruskan hidup ini, semuanya adalah Ibadah di sisi Allah. Namun, ia tetap Alat, bukan Matlamat kita. Semuanya adalah pendorong dan pembantu kita menuju redha Allah.

Belajar kita umpama nafas. Ia bergantung kepada sejauh mana kita meyakini, menjadi hamba yang paling bertaqwa itu ialah Matlamat kita. Sebagaimana kita perlu bernafas untuk hidup, yakni berdosa besar jika kita mati kerana enggan bernafas, begitu juga pentingnya kita belajar. Ia penting, untuk terus hidup, menempatkan diri dalam masyarakat untuk maslahat dakwah, untuk sumber pencarian di waktu dewasanya diri, dan untuk menghindar fitnah.

Bila kita ini sudah sibuk dengan Tarbiyyah, Jangan salahkan Tarbiyyah jika kita mati kerana enggan bernafas. Jangan salahkan Tarbiyyah, jika kita gastrik kerana taknak makan. Dan jangan salahkan Tarbiyyah jika kita gagal peperiksaan kerana kita malas belajar, atau bertangguh buat assignment.

Segala pilihan itu di tangan anda wahai saudara saudariku. Semoga dirimu memahami setiap bait-baitku. Kiat-kiat ini, aku nukil dalam diri melihat pelbagai contoh-contoh di depan mata. Ada daie yang hebat-hebat, dapat anugerah diraja. Dapat anugerah canselor. Dapat anugerah naib canselor. Dapat anugerah rektor. Dapat anugerah dekan. Dan tidak putus-putus dikurniakan limpahan rezeki atas usaha mereka. Kerana mereka mengerti bagaimana Alat dan Matlamat berinteraksi. Tiada alasan masa, materi dan etc.




Ragu-ragumu bakal membunuh usaha

Ikhwah dan akhawat sekalian,

Ada pihak-pihak yang cuba mengugat keyakinan kita dengan bermain di sekitar suatu petikan dalam Al-Quran...

"Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebahagian dari setiap golongan di anatara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya."

(At-Taubah 9: 122)

... dengan menyatakan, tak semua perlu berada di medan dakwah, kerana perlu ada jurutera-jurutera, doktor-doktor, pramugara-pramugari yang tetap belajar, agar tidak terkorban sia-sia di medan amal.

Akan ku minta mereka kembali membaca asbabul nuzul petikan itu, dan harapnya mereka menyedari bahawa Allah lantas menyuruh mereka memperkukuhkan tarbiyyah, bukan mengendurkannya. Antara aktivisme (berperang) dan tarbiyyah (mendalami pengetahuan agama). Semoga mereka tahu, di mana mereka ingin kembali apabila medan amal mereka sudah merudum.


~~*~~


Hussaini
Seri Kembangan
2.17 pagi
16 Oktober 2009

Tuesday, October 13, 2009

Apabila tikus pun ada syura...




Tersebutlah sebuah kisah yang bermula di suatu perkampungan Eropah, di saat kegemilangan Nepoleon. Kampung ini jauh dari tekanan dan hiruk-piruk peperangan, kerna tiada sebarang kepentingan untuk dimanipulasikan.

Namun, jauh dalam kedamaian perkampungan itu, dalam sebuah rumah yang usang, manusia sedang bertarung dengan sekumpulan tikus-tikus rumah. Seluruh anggota keluarga itu bingung kerana tikus-tikus ini dengan rakusnya telah menghabiskan stok-stok simpanan makanan mereka dan menggangu kehidupan mereka sehari-hari.

Akhirnya, keluarga ini mengambil keputusan untuk membela kucing baka "Ragdoll" yang memang terkenal dengan kecekapannya menangkap tikus. Dengan sepenuh ketaatan, seekor demi seekor tikus dibunuh oleh kucing tersebut, tanpa belas kasihan seorang 'ibadur rahman.

Tikus-tikus ini tiada peluang langsung untuk keluar dari "pintu tikus" mereka kerana kucing itu sudah maklum akan tabiat mereka yang akan hanya keluar melalui pintu tersebut. Siang malam kucing itu akan mengawasi pintu tersebut, kecuali waktu-waktu tertentu bagi menyahut seruan semulajadi (nature call).

Tikus-tikus ini dalam kegersangan kerana kali ini, makanan-makanan mereka pula yang semakin menyusut kuantitinya. Pantang sahaja kucing itu tiada, mereka akan berlari sekencang mungkin, keluar daripada pintu mereka itu... Dan mereka tertipu! Semua mereka dibahamnya!!!


Melihat perkara tersebut, tikus-tikus itu berkumpul. Seramai-ramainya... Tiada satu pun tikus di tersebut yang tidak menyertai perhimpunan tersebut.

Kata si ketua:

"Hari ini kita akan buat syura. Keadaan kita semakin parah. Ada tikus-tikus dari aras 2 dan 3 yang mati kebuluran. Kita kena fikirkan rancangan untuk keluar dari masalah ini!!! Ada sesiapa yang ada cadangan?"

"Saya cadangkan kita keluar beramai-ramai, pasti ada yang dapat lepas daripada terkaman kucing itu!"

"Saya tak setuju! Tiada kepastian yang rancangan itu berjaya"

"BETUL!!! Kita perlukan idea lain"

"Saya cadangkan supaya kita reka sebuah mesin yang dapat mengalahkan kucing tersebut!"

"Kita tiada masa untuk menyiapkannya, makanan kita sudah sedikit. Tidak cukup untuk semua",

kata si ketua...

Semua tikus-tikus kebingungan... diam... sunyi... kedengaran bunyi televisyen yang bersahutan-sahutan dari kamar tuan rumah,,,


...


...



Tiba-tiba, seekor tikus yang tidak kurang veterannya, tampil ke podium. Semua mata tertumpu ke arahnya...

"Aku ada cadangan. Dan aku pasti kamu semua akan menerimanya, kerana cadangan ini sahaja yang mampu kita lakukan!"

Semua tikus terdiam. Terdengar bunyi-bunyi beberapa mereka sedang menelan air liur. Tidak sabar.

"Aku cadangkan kita pasangkan loceng di leher kucing tersebut... Dengan itu, kita akan tahu segala pergerakan kucing tersebut... Jika kucing itu leka, kita akan terus pergi mencuri makanan di rumah ni."

"SETUJU!!! SETUJU!!! HOORAY!!!"

Semua tikus-tikus itu kegembiraan. Melompat-melompat, tidak pernah mereka terfikir akan idea sebernas itu!!! Dalam kesesakan, kegembiraan itu, ada tikus-tikus meluru ke arah tempat simpanan makanan, untuk meraikan 'kemenangan' mereka, betapa yakinnya mereka.

Tiba-tiba ada satu soalan yang menyebabkan semua tikus itu kembali hampa...


"Siapa nak tolong pasangkan loceng di leher kucing tu?"







~~*~~


Ibrah untuk para penggerak dakwah

Tugas menggerakkan dakwah ini memerlukan pemahaman akan fiqh dakwah yang akan membantu para duat melaksanakan amal yang muntijah (berkesan), bukan sekadar semangat yang akan tenggelam dan timbul tanpa disandarkan dengan ilmu dan iman.

Fiqh dakwah telah mengajarkan kita bahawa tugas kita bukanlah mengumpul angka-angka kosong (0 + 0 + ... = 0.0) namun, perlu ada pembinaan (tarbiyyah) yang akan mengangkat darjat tsaqafah, fikrah dan taqwa dalam diri setiap penggerak. Kefahaman yang betul-betul tulen tentang gerak kerja ini akan memandu si daei terus ke arah kejayaan.

Kita tidak ingin sibuk dengan mesyuarat-mesyuarat, dengan perancangan-perancangan, yang akhirnya tidak membuahkan amal. Kita tidak mahu disibukkan dengan perbincangan-perbincangan furu' yang akan memakan masa kita yang tidak pernah cukup untuk melaksanakan apa yang kita cita-citakan.

Sedarlah, matlamat kita kini ialah untuk membina jiwa-jiwa itu, yang akan berebut-rebut memasang loceng di tengkuk si kucing gergasi!




Syeikh Syakib Arsalan telah berkata kepada salah seorang pemuda Palestin:

"Banyak buku-buku sampai kepadaku, samada dari Maghribi, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu, Palestin. Penulis-penulisnya mencadangkan supaya diadakan muktamar Islam, atau melantik seorang khalifah, atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun, seperti biasa aku akan menjawab: 'Kita wajib memulakan usaha Islam ini dari bawah iaitu melalui pendidikan individu' "







~~*~~


Inspirasi daripada sesi-sesi daurah Yu Qiu Wai.

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]