Thursday, October 22, 2009

Hikmah kita adalah segalanya





As-Syeikh Mustafa Masyur masih hidup

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk."
(An-Nahl 16: 125)

Dalam menerangkan maksud dakwah kita secara umumnya, Dr. Abd. Karim Zaidan, dalam bukunya 'Islam dan Dakwah', telah memetik ayat ini. Dan apabila membicarakan tentang 'hikmah', ramai daripada para du'at akan berpandangan bahawa 'hikmah' itu bermaksud lemah lembut, tersusun setiap bait yang keluar dari mulutnya, pandangan mata yang sayu mencerminkan kasih sayang di setiap sudut hati, dan sebagainya.

Sedangkan, dalam buku Dakwah Fardiah, As-Syeikh Mustafa Masyur membayangkan kita suatu situasi yang kita sedang hadapi sekarang. Ummah kini, umpama saudara-mara kita yang sedang nyenyak tidur, tatkala rumah ini sedang dimamah api. Allah telah memberikan hidayah kepada kita, yang menyebabkan kita mampu bangkit dari tidur, dan punyai kesedaran untuk mengejutkan saudara-saudara yang lain. Lalu, apa yang kita akan lakukan?

Telah berkata seorang ustaz:
"Sekarang ni misi kita ialah menyelamat NYAWA mereka. Kalau kejut lembut-lembut pun tak jadi, kalau kejut kuat-kuat pun mereka tak bangun, ntum kena buat apa sahaja yang ntum boleh untuk menyelamatkan NYAWA mereka, walaupun terpaksa memotong jari-jari mereka!"

Begitulah tarbiyyah telah memberikan penghidupan kepada kita. Ia tidak sekadar memberikan nyawa, tetapi memberikan makna dan nilai kepada nyawa ini. Ia memberikan kita ruh yang sihat, jauh dari sebarang kesakitan yang bukan sahaja memudaratkan diri, malah menyebabkan ruh-ruh lain juga menjadi tidak berguna. Ruh-ruh lain terkesan dengan kedurjanaan kita, kegelapan ruh kita ini tersebar, cepat dan aggresif. Hanya cahaya islam yang mampu memberikan pencerahan itu.

Di sinilah, kita ingin sama-sama sepakati, bahawa hikmah yang dinyatakan bukan hanya pada kelembutan, tapi ke'berkesan'an (muntijah) dakwah itu untuk sampai ke dalam hati sasaran dakwah (mad'u) dan akhirnya membuahkan respon (bangkit dari tidur). Semestinya dibatasi syariat dan dengan niat kepada Allah semata-mata. Hikmah itu kita boleh pelajari daripada kisah-kisah dalam Al-Quran, hadis ar-rasul (yang mengajarkan hikmah [Al-Baqarah 2: 151]), kisah-kisah para sahabat dan pengalaman-pengalaman ikhwah akhwat yang sudah lama melaksanakan dakwah ini.

Berhikmahnya dakwah Abu Bakar As-Siddiq pada ukhuwwah seorang sahabat. Berhikmahnya dakwah kepada Umar al-Khatab dengan dibenarkan pipi yang gebu itu dilempang keras. Berhikmahnya dakwah terhadap Ali bin Abi Talib dengan hujah rabbaniyyah. Berhikmahnya dakwah Abu Suffian dengan tawaran perlindungan ketika fath al-makkah. Berhikmahnya dakwah dengan akhlak ketika Umar Al-Farouq memimpin perang. Berhikmahnya dakwah dengan bayaran fidyah kafir-kafir zimmi yang mengongkong. Berhikmahnya dakwah dengan tafakkur alam. Berhikmahnya dakwah Harun Yahya dengan buku-buku politik antarabangsanya. Berhikmahnya dakwah Ahmad Deedat dengan debat antara agama dan antara kitab. Berhikmahnya dakwah Ghulam ad-Dakwah dengan mengorbankan nyawanya.

Berhikmahnya dakwah terhadap diriku dengan ketegasan, disiplin yang keras dan hukuman. Ya, aku juga menghadapinya dulu, dakwah untuk menyebabkan aku turut sama bersama kalian dalam perjuangan ini. Terima kasih kepada Sang Murobbi itu, yang tidak muak-muak mengambil peduli tentang diriku.



Berhikmahkah usrah sekolah kita

Terkejut apabila mendapat tahu daripada seorang akhwat tentang cara pentadbiran sekolah mendidik adik-adik di sekolah untuk bertudung labuh. Mereka diberi pilihan samada bertudung labuh atau bertelekung sembahyang di dalam kompoun sekolah. (Betulkan ya jika tersalah)

Hati kecilku berbisik,

"Patutlah tidak semua produk sekolah berjaya, tidak ramai yang mahu bersama dengan gerakan dakwah, walaupun mereka telah dididik seawal usia itu untuk berdakwah.

Malah ada di antara produk-produk sekolah tarbiyyah itu kini tidak lagi menjaga muamalat mereka, sudah mula berjinak-jinak dengan budaya coupling, ada juga yang sudah tidak lagi berhijab."

Na'uzubillahuminzalik. Semoga Allah sentiasa memelihara adik-adik ini. Memberikan nur hidayah kepada mereka.

Satu soalan, apa beza di antara 'undang-undang untuk dakwah' dan 'dakwah untuk undang-undang'?

Pasti banyak jawapannya. Masing-masing antara kita akan ada jawapannya. Dan aku secara peribadinya, tidak berminat untuk sangsi terhadap niat mana-mana pihak. Juga tidak berminat untuk berbincang sejauh mana berhikmahnya tindakan mereka, kerana aku tidak berada di dalam topi ntum sebagai pelajar, juga tidak berada di dalam topi pihak pentadbir yang merasakan bahawa tindakan itu, insya-Allah yang terbaik untuk kalian. Cukuplah bagiku, Allah yang akan menentukan segalanya, andai ia berhikmah atau tidak, hanya Allah yang tahu. Semoga keberkatan Allah bersama syura itu.

Namun, aku ada pendapat peribadi mengenai pada asasnya, hududullah (ketetapan Allah) itu hendaklah dibina di dalam hati-hati yang akan melaksanakannya, bukan sesama pemerintah sahaja. Amal islami ini tidak semudah; mendapat undi yang banyak, kemudian memaksa semua orang mengamalkan hududullah. Bak kata Hassan Hudaibi:

"Jika kalian ingin menegakkan negara islam, dirikan dahulu negara islam dalam diri kalian."

Jadilah muslim yang muslim, yang berserah sepenuhnya kepada Allah. Belajarlah mengenal hati-hati manusia untuk mencari hikmahnya dakwah. Berdoalah agar Allah memudahkan urusan dakwah kita, dan menjadikan kita golongan yang bersama kemenangan islam itu.



Telah berkata Fathi Yakan

Ikhwah akhwat yang ana cintai sekalian,

Manusia cenderung untuk menyukai pihak-pihak di luar dirinya yang berbuat baik terhadapnya. Walau sekeras manapun penampilan manusia itu, dia pastinya lebih menyukai keramahan dan kerendahan hati dalam berbicara kepadanya. Sifat keras akan mencetuskan perlawanan, pengingkaran secara terus, serta kebencian dan penolakan kepada apa sahaja yang ingin disampaikan. Di sini, perlu al-hilm (sikap lemah lembut) dalam melaksanakan dakwah.

Di dalam buku beliau, Kaifa nad'u ilal islam (Membongkar Jahiliyyah: Edisi Indonesia), As-Syeikh Fathi Yakan ada menyebut berkenaan isu Dakwah bil hikmah ini. Katanya, sikap lemah lebut dalam dakwah tidak lantas diertikan sebagai sebuah sikap yang mengedepankan aktiviti memujuk, memuji, serta sifat-sifat hipokrit lain. Sebab, yang dimaksudkan dengan lemah-lembut adalah aktiviti yang mengedepankan nasihat, kebaikan dalam perbuatan, dengan ramah, lemah lembut dan mengesankan.

Tidakkah kita menyaksikan gaya bahasa Al-Quran ketika Allah meminta nabi Musa dan nabi Harun menegur sikap zalim Raja Firaun dengan cara lemah lembut dan sopan? (Thaha: 43-44)

Ibnu Kathir menafsirkan ayat An-Nahl, ayat 125 di atas itu dengan berkata: "Siapa yang ingin berdiskusi, hendaklah dilakukan dengan cara yang baik, dengan penuh persahabatan, dan dengna pembicaraan yang baik. Kerana Allah telah berfirman:

"Maka dengan rahmat Allah, engkau menjadi lemah lembut terhadap mereka. Seandainya engkau berlaku kasar hati, maka tentu mereka akan menjauhkan diri dari sekitarmu."
('Ali Imran 3: 159)

Dan Abdullah bin Umar telah berkata:

"Sesungguhnya saya menyaksikan dan mengetahui sifat Rasulullah di dalam kitab-kitab terdahulu, bahawa beliau bukanlah seorang pemarah, tidak kasar, tidak suka lalu lalang di pasar, tidak akan membalas kejahatan dengan kejahatan. Justeru, beliau akan memaafkan dan menerima pendamaian."

Jelaslah kepada kita, dalam kita mengekalkan ketegasan prinsip dan mengambil kira hikmah kita dalam berdakwah, penting untuk kita menerapkan nilai-nilai kelembutan agar ianya selari dengan fitrah insani.



Jangan risau, aku punyai masa

Setiap daripada kita dikurniakan masa yang sama. Aku memiliki 24 jam sehari. Kalian juga memiliki 24 sehari. Rasulullah miliki 24 jam sehari. Salahuddin al-ayubi miliki 24 jam sehari. Muhammad Al-Fateh miliki 24 jam sehari. Hassan Al-Banna miliki 24 jam sehari. Syed Qutb miliki 24 jam sehari. Maududi miliki 24 jam sehari.

Perubahan memerlukan pengorbanan. Dan pengorbanan yang semua orang tidak dapat lari daripadanya ialah pengorbanan masa. Jika maududi boleh menulis hingga 60 buku dakwah tarbiyyah sepanjang hidupnya, dan Syed Qutb menterjemah satu quran di samping buku-bukunya yang sentiasa memberikan ruh kepada kita, aku tidak punyai alasan untuk mengatakan aku tiada masa.

Walaupun, diri sudah berazam ingin membaca sekurang-kurangnya 1 buku fikrah sehari dan menyelesaikan wajibat-wajibat lain, aku tidak nampak masa sebagai penghalangnya. Dakwah kita tetap berjalan kerana itu matlamat, dan kurikulum kita umpama nafas itu.

Jika ada sebarang kemusykilan atau permintaan untukku berkongsi tentang apa-apa tajuk, feel free untuk emailkan kepada peti suratku:

profhussaini@gmail.com

Semoga dapat saling tolong-menolong dalam menolong agama Allah. Semoga Allah menjadikan kita ikhlas dalam segala apa yang kita lakukan.

Watawanu 'ala birri wattaqwa (Dan tolong menolonglah dalam kebaikan dan ketaqwaan)
Intansurullaha yan surkum (Jikalau kamu menolong Allah, niscaya dia akan menolongmu)






6 comments:

Abu Khalid said...

Dan barangsiapa yang diberi hikmah, maka sungguh telah diberi kebajikan yang banyak.

(Ana tak pasti ayat quran ni surah apa dan ayat apa, mohon bantuan hufaz-hufaz kita)

RajaMuhammad Suffian Ibnu Rahman said...

salam,surah al-baqarah ayat:269 m/s :45 ,insyaAllah...doakan ana selalu..

Abu Khalid said...

Syukran Jazilan ya Akhi

S h a z w a n said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Abu Khalid said...

Boleh.. tapi kena tunggu beberapa kurun lagi..

QS As-Saff : 2-3

Abu Khalid said...

Comment di atas telah dibuang atas permintaan penulis itu sendiri..

Hehe. Lain kali, kena fikir 2 3 kali sebelum komen..

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]