Keindahan bersama mu
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk."(An-Nahl 16: 125)
Pasca mengajar adik-adik binaanku berenang sore tadi membuatkan fikiranku berpusing-pusing di sekitar perjalananku mengajak jiwa-jiwa ini beradu dalam ketaqwaan kepadaNya. Ia sebuah kenangan yang sangaaaaat panjang. Memikirkannya, membuatkanku sekejap tersenyum, sekejap berduka. Akhirnya, kata-kata indah itu terluncur keluar dari mulutku; Alhamdulillah. Hanya Allah berhak mendapat pujian itu, atas keindahan pengalaman ini. Satu keindahan yang tak terkata, ingin aku luahkan, agar menjadi pengajaran untuk kita bersama.
Kita mesti mengakui bahawa ada 1001 macam jenis orang dalam lokaliti kita. Di universiti kita, di kawasan perumahan dan di sekeliling kita. 1001 orang memerlukan pendekatan yang berlainan. Ada orang yang lebih suka berinteraksi hati bertemu hati. Ada yang lebih suka di-tajmi' (dikumpulkan) secara berkumpulan. Dan yang lebih rumit, ada yang suka dikumpulan dalam perkumpulan yang ramai, tapi ada sentuhan peribadi, yang memberikan mereka perhatian khusus. Aku memahami dakwah kita perlu seluas ini.
Dakwah Fardhiyyah (DF) yang kufahami merupakan tunjang kepada Dakwah kita yang luas ini, dengan jemaah, Dakwah Ammah (DA) sebagai perisai dan daya tariknya.
DF sangat berkesan, sangat teliti, sangat dekat, sangat menarik namun ia menuntut masa berkomitmen yang sangat lama agar segala marhalah yang diperlukan itu dapat diharungi bersama.
Sepanjang pengajianku, beberapa perkara telah aku lakukan dalam amal dakwah ini. Semoga perkongsian ini difahami sebagai sebuah perkongsian yang mengajar, tidak sebagai pertunjukan sarkas yang menghiburkan semata-mata.
***Kes 1***
Pernah sekali, aku, tanpa DF (kerana kekangan masa), mengajak rakan-rakanku ke program santai-santai di sebuah tempat peranginan yang jauh dari kediaman kami. Ketika itu, aku merupakan ketua kepada kelasku, posisi yang sedikit sebanyak membantuku dalam ajakan ini. Setelah kami sekelas ini bermandi manda, bermain itu dan ini, akhirnya kami ingin terus pulang ke kampus. Memandangkan ini merupakan kali pertama program sebegini aku lalui, aku hanya mengikut sahaja, dan belajar dari pemerhatian ini.
Ketua kami, telah menuturkan satu ayat yang menyebabkan segalanya berakhir, "Kami sebenarnya ingin mengajak ntum supaya sama-sama berjuang di jalan dakwah, berusrah bersama kami." Ayat yang ringkas, tapi berjaya membunuh perjalanan ini. Selepas itu, semua rakanku enggan dekat denganku. "Pemberontak," kata mereka.
***Kes 2***
Keterlibatan dalam sekelian banyak persatuan dan kelab, membuatkan aku mempunyai ramai kenalan. Antaranya ialah yang sama-sama bergerak dalam sebuah kumpulan nasyid, yang aku sangat rapat dengan mereka, dan mereka juga sangat rapat denganku. Hampir setiap hari, di zaman-zaman muda itu, kami berlatih nasyid bersama. Segala ilmu seni suara, permainan alat muzik dan seni muzik, kami kuasai bersama.
Dengan kesibukan kami di fakulti, kolej, dan kelab-kelab lain, kami masih memberikan komitmen dengan kelab kami ini. Bayangkan, apabila senior-senior sudah putus asa dengan kelab ini, kami yang berada di tahun pertama pengajian ini terpaksa mengerjakan kelab ini secara keseluruhannya, dari 0.
Namun, dengan ukhuwwah yang terbina, kami sama-sama mendaki puncak kegemilangan itu. Dan akhirnya, pada percubaan ketiga kami, kami berjaya merangkul johan nasyid kebangsaan. Dari hari itu, hingga sekarang, 5 tahun kemudian, mereka mengondol semua kejohanan di peringkat kebangsaan IPTA.
Merasakan kedekatan dengan mereka, aku akhirnya mengajak mereka untuk berdiskusi di sebuah surau, melalui SMS. 10 yang ku tunggu, tiada seorang yang ketemu. Penantian itu berterusan berjam-jam, sedang aku termenung tidak sudah, memikirkan silap dan salah.
***Kes 3***
Mutarobbi ku yang sangat rapat denganku, suka menggelarkanku dengan gelaran 'Daie Rugged' (Baca: Keras tapi ikhlas). Dengan cara pemakaian sempoiku, dan tutur kataku yang selamaba pada mereka. Aku menyertai segala acara mereka, dalam mencari mereka yang benar-benar layak bergelar Qaedah Sulbah (Tulang belakang) kepada dakwah ini.
Dari melatih nasyid, renang, berfoya-foya di kompleks membeli belah, makan-makan, membela haiwan kesayangan, larian, softball, hinggalah permainan terkutuk Counter Strike (CS)! Bagiku, segala kelebihan dan daya tarikan harus digunakan dalam fasa ini, selagi dibatasi syariah yang sangat luas.
Para ikhwah ini, hinggakan pernah mendapat naib johan CS peringkat universiti! Dan akhirnya, kami menjangkau suatu pemeringkatan yang terbesar iaitu islah masyarakat, hingga dakwah yang kami lakukan kini, terasa lebih senang menerombosi. Masyarakat awam dapat menerima arus ini kerana mereka kenal dan yakin dengan model-model yang menggerakkannya, walaupun mereka tidak dapat bersama dalam pembinaan ini.
~~*~~
Cukuplah 3 contoh ini untuk kita sama-sama bincangkan tentang DF dan persoalan di sekitarnya. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Carilah pengajaran di setiap kes itu:
Kes 1: Tanpa DF.Kes 2: Tanpa memahami konsep marhalah DF.Kes 3: Kejayaan DF, bukan hanya dengan dapat peserta tarbiyyah khusus.
Buku bukan hanya untuk tontonan
Bercakap tentang DF, pastinya kita tidak dapat lari daripada membincangkan perihal-perihal DF seperti yang diperbincangkan dalam buku Syeikh Abbas Asiysiy, Thoriq ilal Qulub (Jalan ke Hati). Aku merasakan bahawa buku ini pastinya akan dapat membantu kita semua menjergah mad'u-mad'u ini. Dari menghafal nama penuh, hingga memijak kaki mad'u... kuasailah semuanya, anda pasti dapat menguasai hati hampir semua jenis manusia.
Namun awas sahabatku,
Kita pasti akan menyesal jika kita menyangka hanya itulah DF kita. Terasa sesat (lost) dan sia-sia setiap waktu yang digunakan. Sebagaimana konsep umum dakwah yang bermatlamat dan mengandung manhajnya, DF juga begitu, malah ia tidak pernah terasing daripada dakwah yang seluruhnya itu.
Ramai orang melihat dan mempraktik Jalan ke Hati, tapi mereka lupa tentang sebuah buku yang sebenarnya ingin mengenalkan kita kepada praktik DF yang sebenar, taktik bukan teknikal sahaja.
Marilah kita sama-sama membaca Dakwah Fardiah, karangan Mustafa Masyur. Fahami dan amalkan. Menyelusuri DF ini, kita sedang mendaki 7 tangga, tahapan, marhalah yang bermula dengan Marhalah 1 (Ikatan hati), hinggalah Marhalah 7 (Intima' dengan jemaah islam).
Alangkah malangnya, ikhwah akhwat sekalian, kerana kita hanya melaksanakan Jalan ke Hati, yang hanya pada Marhalah yang pertama. Namun, tanpa memenuhi marhalah itu, kita ingin terus melompat ke marhalah-marhalah seterusnya, yang sudah pastinya menjanjikan 'penolakan hakiki' oleh mad'u. Sesungguhnya kita pantang meningkatkan marhalah DF itu, tanpa betul-betul menguasai marhalah sebelumnya. Kerana keberhasilan kita ditentukan dengan keteguhan marhalah sebelumnya. DF bukan hanya di fasa-fasa awal itu.
- Mutarobbi kita sentiasa menjadi peserta marhalah DF itu.
- Semua orang di sekelilingmu, ialah sasaran dakwah itu.
Duduk di rumah, suatu kemungkaran
Pulang ke rumah seawal jam 10 malam hari ini, menyebabkan aku rasa kesunyian. Hingga jam 11 malam, seorang ikhwah pun tidak pulang-pulang lagi ke kamar kami ini. Bukan sekali dua kejadian ini berlaku, namun acap kali walhal kami tinggal seramai 7 orang. Selepas subuh sahaja, mereka akan meninggalkan rumah seawal mungkin, mengerjakan pekerjaan mereka dan DF mereka yang tidak sudah-sudah, sedang aku sibuk dengan pembacaan ataupun tidurku ini. Terasa betapa kecilnya diriku ini. Malamnya pula pantang pulang awal kerana, paling tidak akan ada 1 usrah ataupun perjumpaan dengan waris-waris mereka. Begitulah kehidupan ikhwah-ikhwah yang ikhlas ini. Semoga Allah menjadikanku se-proaktif mereka.
Sedarlah sahabatku,
Kewajiban kita melebihi masa yang kita ada. Jangan lalaikan diri dengan kemaksiatan, dan jangan lupa akan DF yang terus-menerus perlu dilakukan.
Jangan sibukkan diri dengan kagum terhadap hasil orang lain, sedang diri masih di atas tilam. Ayuh, bangkitkan semangatmu! Ummah ini memerlukanmu (^-^)
Bak kata seorang ikhwah:
"Ana ni dah penat dah duk asyik kagum dengan ikhwah-ikhwah Indonesia ni..."
Syukur Pada Yang Esa
Rahmat PemberianNya
Persaudaraan, Keharmonian
Jalinkan Kasih Sayang
Hulurkanlah Bantuan
Kepada Yang Memerlukannya
Mari Kita Bina Satu Ummah Majujaya
Mula Diri, Keluarga, Sahabat
Masyarakat Dan Negara
Dengan Satu Perjuangan
Satu Arah Tujuan
Di Bawah Rahmat Yang Esa
Kita Melangkah Seiringan
Satu Perjuangan
Rintangan Pasti Melanda
Jangan Undur Walau Selangkah
Teruskan Perjuangan
Hingga Ke Akhirnya
Andai Kau Gugur
Andai Kau Syahid
Kau DiredhaiNya
1 comment:
jzkk.. kesedaran perlu.. namun tindakan lagi perlu.. ayuh bangkit..pesanan buat diri yang sering leka..
Post a Comment