Friday, October 16, 2009

Kurikulum-mu umpama nafas itu




Tarbiyyah mengajar kita

Memahami matlamat kewujudan diri di atas dunia ini, seumpama para tentera yang mendapat command dan perintah. Seumpama tiket kapal terbang yang tertera destinasi akhirnya. Betapa indahnya islam yang tiada kekaburan padanya, jelas matlamat dan terbimbing perjalanannya.

Allah berfirman dalam ayat yang tidak asing lagi:

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"
(Az-Zariyat 51: 56)

Jelas bukan? Menjadi hamba itulah tugas kita di dunia, kerana apa? Mengharap redha Tuan, Tuhan Pencipta Alam ini, Allah Az-Zawajalla. Terbayang syurga-syurga, para bidadari, segala kenikmatan, atas mardhotillah itu. Betapa mengiurkan.

Aku yakin, itulah matlamat kita semua. Dan sedarlah, TARBIYYAH ITU BUKAN SEGALA-GALANYA, TETAPI SEGALA-GALANYA BERMULA DENGAN TARBIYYAH! Ya. Dengan tarbiyyah, kita kenal pencipta, kenal siapa kita sebenarnya, tahu matlamat hidup, tahu cara pengabdiannya, belajar segala-galanya yang menjadikan kita benar-benar manusia, yang benar-benar 'hidup'.

Dan bila kita menyedari peri pentingnya tarbiyyah, barulah kita sedar, betapa tarbiyyah ini menuntut kita mengorbankan selainnya, untuk Allah, untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan dalam tarbiyyah ini. Kerana tarbiyyah ini, mengajar kita tentang islam yang syumul sifatnya, yang bukan di masjid sahaja terperapnya, bukan dalam 'majlis-majlis ilmu' sahaja skopnya. Besar, hinggalah ke arah tertegaknya negara. Negara islam dalam diri, negara islam dalam masyarakat, negara islam dalam negara, dan negara islam yang menyeliputi setiap inci permukaan bumi ini, malah seluruh alam. Itulah tarbiyyah pada pengamatanku, yang masih ditarbiyyah, doakan terus begitu.

Usrah, daurah, katibah, mukhayyam... semuanya adalah wasilah (cara, alat, medium) untuk kita mendapat tarbiyyah khusus itu. Mungkin ada cara lain, khilaf antara kita, tetapi inilah manhaj yang kita sedang gerakkan, jika anda ingin bersama, silakan. Jika tidak mahu, tiada ada paksaan selain kebijaksanaan.



Segalanya umpama nafas

Ikhwah dan akhawat sekalian,

Tubuh kita terdiri daripada organ-organ yang saling bantu membantu, lengkap melengkapi untuk mendirikan anggota-anggotanya. Organ-organ ini merangkumi tisu-tisu yang sebenarnya berasal daripada sel-sel yang seragam (uniform), yang sebenarnya berbeza mengikut peranan mereka dalam tubuh badan ini. Dan setiap daripada mereka, menjalani metabolisma. Metabolisma yang akan menjananya, dan proses ini memerlukan suatu kombinasi yang sangat terkenal, iaitu Oksigen.

Pada setiap saat, setiap sel dalam tubuh kita perlu dibekalkan dengan oksigen yang mencukupi. Dan kerana itulah kita bernafas.

Betapa canggihnya ciptaan Allah, ada pada diri kita, iaitu kebolehan untuk bernafas tanpa sedar, sedang pentingnya ia dalam mempertahankan hidup ini. Penting, tetapi tanpa sedar? Alangkah misterinya. Mengapa agaknya ya? Hanya Allah yang tahu, namun tidak salah untuk kita menduga, bahawa bukan itu matlamat kita diciptakan semata.

Kita dihidupkan bukan untuk bernafas. Kita dihidupkanNya bukan untuk hidup. Tetapi untuk melaksanakan perintah Allah yang lebih besar lagi, tanpa mengabaikan hak-hak kecil itu.

Namun kita perlu bernafas, untuk hidup, punyai nyawa, masa dan ketika, untuk menyahut arahan. Umpama para tentera tadi, yang perlukan makanan dan senjata untuk laksanakan misi. Dan pemegang tiket kapal terbang yang perlukan kapal terbang untuk sampai ke destinasi tiket tersebut.

Nafas. Ia hanya Alat untuk kita kekal bernyawa. Sedang Allah, Tarbiyyah itu Matlamat kita. Tanpanya, tiada erti ada nyawa dalam kerangka. Tiada makna hidup di dunia andai jiwa dalam zulumat yang pekat. Lebih baik tersisa menjadi tanah yang dipijak, tidak pernah dicipta, tidak pernah miliki nyawa (Naba: 40).

Begitu juga dengan makan, penting, tetapi bukan yang utama. Aku sendiri rela mati kelaparan, berbanding kekenyangan dalam bas ke neraka. Bersikat kita, Berbasikal kita, Belajar kita, Minum kita, selagi dalam batas-batas syariat, untuk meneruskan hidup ini, semuanya adalah Ibadah di sisi Allah. Namun, ia tetap Alat, bukan Matlamat kita. Semuanya adalah pendorong dan pembantu kita menuju redha Allah.

Belajar kita umpama nafas. Ia bergantung kepada sejauh mana kita meyakini, menjadi hamba yang paling bertaqwa itu ialah Matlamat kita. Sebagaimana kita perlu bernafas untuk hidup, yakni berdosa besar jika kita mati kerana enggan bernafas, begitu juga pentingnya kita belajar. Ia penting, untuk terus hidup, menempatkan diri dalam masyarakat untuk maslahat dakwah, untuk sumber pencarian di waktu dewasanya diri, dan untuk menghindar fitnah.

Bila kita ini sudah sibuk dengan Tarbiyyah, Jangan salahkan Tarbiyyah jika kita mati kerana enggan bernafas. Jangan salahkan Tarbiyyah, jika kita gastrik kerana taknak makan. Dan jangan salahkan Tarbiyyah jika kita gagal peperiksaan kerana kita malas belajar, atau bertangguh buat assignment.

Segala pilihan itu di tangan anda wahai saudara saudariku. Semoga dirimu memahami setiap bait-baitku. Kiat-kiat ini, aku nukil dalam diri melihat pelbagai contoh-contoh di depan mata. Ada daie yang hebat-hebat, dapat anugerah diraja. Dapat anugerah canselor. Dapat anugerah naib canselor. Dapat anugerah rektor. Dapat anugerah dekan. Dan tidak putus-putus dikurniakan limpahan rezeki atas usaha mereka. Kerana mereka mengerti bagaimana Alat dan Matlamat berinteraksi. Tiada alasan masa, materi dan etc.




Ragu-ragumu bakal membunuh usaha

Ikhwah dan akhawat sekalian,

Ada pihak-pihak yang cuba mengugat keyakinan kita dengan bermain di sekitar suatu petikan dalam Al-Quran...

"Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebahagian dari setiap golongan di anatara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya."

(At-Taubah 9: 122)

... dengan menyatakan, tak semua perlu berada di medan dakwah, kerana perlu ada jurutera-jurutera, doktor-doktor, pramugara-pramugari yang tetap belajar, agar tidak terkorban sia-sia di medan amal.

Akan ku minta mereka kembali membaca asbabul nuzul petikan itu, dan harapnya mereka menyedari bahawa Allah lantas menyuruh mereka memperkukuhkan tarbiyyah, bukan mengendurkannya. Antara aktivisme (berperang) dan tarbiyyah (mendalami pengetahuan agama). Semoga mereka tahu, di mana mereka ingin kembali apabila medan amal mereka sudah merudum.


~~*~~


Hussaini
Seri Kembangan
2.17 pagi
16 Oktober 2009

2 comments:

Insan Biasa said...

semoga diriku diberi kekuatan untuk ke arah ini...Kadangkala terasa jauh..kadangkala semangatnya ada...kadangkala hanya berharap..kadangkala tinggal harapan...

“Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu baginya dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang Islam yang terawal menyerahkan diri (kepada Allah)”.(al-An’am ayat 162-163:)

ProfHussaini said...

Pulangnya dari perang Badar, Rasulullah telah bersabda:

"Kita pulang dari perang kecil kepada perang yang besar"

Jihad melawan hawa nafsu bukan calang-calang dugaan. Namun, itulah dia kehidupan.

Akhi,
La tahzan, kami senantiasa mendoakan nta. Dan nta kini ada seorang pembimbing yang sangat tabah, sangat kuat, sangat memahami susur galur hati manusia ini. Ana sangat yakin nta akan sentiasa kuat andai selalu bersamanya.

Doa ana bersama nta. Semoga kita sama-sama terus tsabat dalam kehidupan seorang 'manusia'.

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]