Tuesday, October 27, 2009

Menjadi Berlian





Hanya Jauhari mengenal Manikam

Jauh di dalam mantel bumi, dengan suhu yang sangat tinggi, pada tekanan yang sangat kuat, suatu proses pentarbiyyahan berlaku. Proses pentarbiyyahan mengambil masa sekurang-kurangnya 1 billon tahun hingga 3.3 billion tahun, dan hasilnya, permata yang paling berharga di seluruh dunia. Seluruh dunia menggilakannya dan Allah telah menciptakannya dengan terhad di atas muka bumi ini. Itulah dia berlian. Dalam bahasa Inggeris, disebut Diamond, dicuri daripada bahasa Greek, yang bermaksud 'yang tidak dapat dipecahkan' (Unbreakable).

Kualitinya yang sangat tinggi dengan RI (Refractive Index) yang sangat tinggi menjadikannya jauh berbeza berbanding dengan berlian tiruan. Berlian tiruan yang diperbuat daripada kaca itu, harganya jauh lebih murah, setanding dengan miskinnya nilai seni yang diterampilkannya. Namun, pada mata kasar orang biasa, berlian dan kaca, tiada bezanya. Kedua-duanya bagi mereka sama sahaja, sama memikat dan sama bernilai. Kalaupun ingin mereka mengetahui nilai permata tersebut, mereka terpaksa mengorbankannya, dengan cubaan memecahkannya.

Maka, mustahillah, di mata orang-orang biasa ini, untuk menilai, mana berlian dan mana kaca, di sebalik jutaan kaca yang terdampar di hadapan mereka. Hanya pakar berlian yang terlatih sahaja yang mampu. Di sebalik kemampuan itu, lumrah seorang manusia, kepakaran ditempa dengan kematangan pengalaman. Dengan kesilapan dan kejayaan sebagai guru setia. Dan kita semua maklum, mengapa perlu dibezakan berlian dan kaca ini bukan?

Begitulah harapan ummah diletakkan di kiri kanan bahu para duat. Di hadapan mereka kini, jutaan pemuda bersedia untuk dipetik, namun tidak semua rela menggalas beban ini sepertimana mereka. Kalaupun ada yang rela, mereka perlu diuji dengan ujian keberatan, agar tidak beban itu dibuang begitu sahaja, saat digalaskan di bahu mereka, ia memerlukan pendidikan dan ujian. Mata para duat sentiasa meliar, mencari berlian yang terpilih itu. Setiap pergerakan berlian-berlian ini diperhatikan. Sedang sibuk mereka, sedang senang mereka, sedang sedih mereka, sedang gembira mereka, tidak pernah mata mereka terlepas daripada menjadi pakar berlian itu.



Benarkah berlian tidak pernah pudar?

Yakinlah, andalah berlian yang berharga. Ya, ada pakar berlian yang sedang membelek anda. Anda pernah diuji, paling tidak pun, di mata manusia.

Anda tidak akan mampu memahami petikan-petikan yang aku tuliskan ini, tanpa menjalani pentarbiyyahan itu. Pentarbiyyahan yang menyerlahkan lagi nilai kita. Tidakkah kita pernah sama-sama mendengar, berlian yang dilombong, tidak cantik sepertimana sekarang tanpa melalui suatu proses lagi, iaitu penggilapan.

Menggilap tanah-tanah itu. Membuang kerak-kerak yang mencacatkan rupa. Mengasingkan unsur lain yang menggerutukan permukaan halus itu. Itulah tugas pakar berlian. (Pembersihan jiwa) anda itu dimulakan oleh pakar berlian itu. Agar akhirnya, kita benar-benar bernilai di mata semua. Yang paling penting, pada pandangan Yang Maha Esa, yang akan membeli jiwa kita itu, mengganjarkan dengan syurganya yang sempurna. Penggilapan itu, masih diteruskan hingga kini, hingga kita mampu menjual jiwa ini, dengan mencari berlian lain, yang akan kita sama-sama gilap dan canaikan.

Namun, sedang kita mencari berlian itu, tidak pelikkah kita dengan tingkahlaku berlian-berlian ini? Ada yang lari setelah bercakap dengan kita. Ada yang tidak selesa bersama kita. Ada yang seakan-akan tidak cocok dengan kita, walhal menjadi fitrah berlian untuk sukakan berlian lain. Seumpama ada tarikan cas yang menakjubkan.

Namun, mengapa berlian-berlian ini lari daripada kita? Bukankah kita juga adalah berlian, malah lebih menawan daripada mereka, hasil proses penggilapan itu? Mengapa?

Jawabannya ada pada soalan.
Benarkah berlian tidak pernah pudar?



Maka katakanlah, "Adakah keinginanmu untuk membersihkan diri, dan engkau akan kupimpin ke jalan Tuhanmu agar engkau takut kepadaNya?"
(Naziat 79: 18-19)


3 comments:

arrabe' said...

syukran akh... ana rasa ana faham

Anonymous said...

aaaaa??

Abu Khalid said...

Dear Anon and all,

Kita sering sibukkan diri kita dengan dakwah, sambil mengabaikan tarbiyyah kita sendiri.

Kegagalan kita adalah kerana kurangnya robbaniyah dalam hidup kita walhal itulah yang kita jaja dalam dakwah kita, islam yang syumul.

Tidak sedikit para daei yang mengabaikan akhlak islamiyyah dalam berdakwah, hingga mendapat penolakan para mad'u. Yang disalahkannya ialah mad'u, bukannya diri sendiri yang seperti tidak ditarbiyyah sebenarnya,

Kesimpulannya, jadilah muslim, berlian yang memikat itu.

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]