Tuesday, October 27, 2009

Masih ku ingat...

Aku tersenyum

Masih ku ingat saat halaqah kita bersama satu ketika dahulu.
Ketika aku ditanya suatu soalan rutin taaruf, "Akhi, nta bila nak berkeluarga?"

Dan pantas aku merubah wajahku (dengan sengaja) dan menjawab dengan jawaban sama itu, "Siapalah akhwat yang nakkan ana ni...", jawaban bersama senyuman tiada sebarang janji, sambil memusing-musingkan jari telunjuk di atas permaidani.

Namun kau ketika itu berkata... "Ana nak. Ana nak! Kalau ana ni akhwat, akhi.. Dah lama ana pinang nta dah!!!"
Kami sama-sama ketawa, terhibur dengan celotehmu wahai sahabatku, saudaraku... yang aku cintai.

Masih ku ingat ya akhi, ketika aku berseorangan di rumah itu, kau datang dari penjuru negeri, untuk menemaniku, menunaikan kewajibanmu. Dengan motor yang uzur itu, kau tabah mengharungi hujan dan panas, malah menyelit tatkala jalan besar itu sesak dengan raksasa-raksasa besi.

Kaulah insan yang setiap hari menjadi pengkritik setia masakanku ketika aku baru ingin bertatih itu. Namun, tidak pernah ku dengar kau mengadu apa-apa kekurangan padanya, hingga aku makin rajin menyediakannya untuk ikhwah ketika bertandang ke teratak kita.

Masih ku ingat, kaulah ikhwah yang paling bersemangat tatkala bersama-sama menyanyikan nasyid pembakar semangat itu. Kaulah cahaya, harapan dan sinar kami ketika menjadi munsyid, menyemarakkan semangat kami yang tidak pernah padam dengan keberadaan mu.

Masih ku ingat, tatkala kau berada dalam pasukan mukhayyam itu, kaulah yang mencadangkan aku sebagai ketua, malah kaulah akh yang paling aktif bekerja tanpa penat dan mengeluh. Masih kau ingat ketika kau dan Asroul mendirikan menara itu? Aku masih menyimpan gambar kau beraksi bersama panji kita di atas menara yang gah itu.

Aku masih tersenyum. Mengingatkan masa ketika kita sama-sama mencari masa menyerang kubu lawan. Sempat tersesat pula dalam kegelapan malam. Oh ya, masih terbayang topi PKSmu itu. Hehe... Aku hairan mengapa aku tidak pernah melihatmu, selain daripada senyuman manis itu.

Dan, masihkah kau ingat ketika kita bersama-sama ke sekolah itu? Berjumpa dengan adik-adik yang penuh semangat itu. Baru aku tahu, wahai sahabatku, rupa-rupanya, sekolah itu ialah sekolah ummi ketika di sekolah menengah. Baru minggu lepas ku tahu. Perjumpaan di surau itu, benar-benar mengasyikkan. Aku masih ingat, kau minta mereka lukiskan masa depan mereka, dan kemudian kita sama-sama berbincang hala tuju mereka. Ada yang jelas, ada yang tidak, malah ada yang menconteng penuh kertas yang kau berikan itu. Masih ingatkah kau akan sinaran harapan di wajah mereka, setelah kita membimbing mereka? Hingga sekarang, ada di antara mereka yang masih hubungiku.

Akhi, masih aku ingat tangisanmu ketika qiamullail jamaie itu. Tika kau menjadi imam, aku tidak dapat menahan air mataku, betapa tingginya penghayatanmu dalam solatmu. Membuatkan aku berasa amat cemburu terhadapmu. Mendengar bacaanmu sahaja, sebak di jiwa membuatkan solat itu sangat indah... Segala mengantuk, penat sirna dengan kerehatan itu.

Ingatanku tidak dapat dilarikan daripada ucapan bahasa arabmu yang lancar itu. Kau oratkan dalam penghayatan dan penuh semangat, persis pemuda palestin yang tidak gentar berhadapan apa sahaja!


Akhi.... Saudaraku...



Hanya Allah yang tahu perasaanku ketika peristiwa itu. Melihat dirimu dalam arus itu, seolah-olah melihat jiwaku diremuk-remukkan. Betapa aku takut kehilanganmu...


Kini aku menangis lagi...


Jiwa yang kental ini seperti dihiris perlahan-lahan. Aku tidak tahu samada kau akan membaca warkah ini atau tidak. Tapi jika kau membacanya, aku harap kau tahu betapa rindunya aku pada dirimu. Aku mencintaimu sepenuh hatiku.

Kami sentiasa menanti-nanti kepulanganmu,

Wahai saudaraku yang amat ku cintai.






Salam sayang,
Hussaini

No comments:

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]