Lambatnya kemenangan kerana kita
Rumah yang kian marak apinya ini, memaksa daei untuk lebih gigih mengejutkan saudara-maranya. Setiap detik masa dan ketika terasa amat berharga, dan jika disia-siakan merupakan kerugian, malah akan memudaratkan. Berbekalkan ilmu kejut-mengejut, setimba air dan jam tangan tanpa penggera masa, daei ini tidak putus-putus usahanya.
Namun, masa demi masa, daei ini akan perlahan-perlahan berasa penat dan bosan. Dilihatnya sekeliling, hanya beberapa kerat yang mampu dikejutkannya, namun tidur semula. Dan di penglihatannya, ada 2 3 yang lain yang tidak dikenalinya sedang membuat pekerjaan yang sama. Terasa diri ini sangat lemah dan kurang kemampuan.
"Mungkinkah aku tidak disukai mereka? Atau aku memang tidak akan pernah faham bagaimana untuk berkomunikasi dengan manusia? Mungkin juga salah aku, kerna aku ini singkat akalnya, masakan aku mampu untuk melakukan semua ini..."
Pelbagai persoalan dilontarkan kepada diri sendiri. Hingga akhirnya, daei ini membuat sebuah keputusan yang sangat besar, dia sudah putus asa. Tiada gunanya lakukan semua ini, bukankah kita semua akan mati juga akhirnya?
Daei ini kembali baring di sebelah saudara-maranya yang lain. Beralaskan tilam empuk, dan bantal yang menenggelamkan kepala. Daei ini menutup matanya, sambil membaca zikir-zikir yang membuai pemikirannya. Sambil diri memotivasi diri, menenteramkan diri, bahawa api-api itu tidak akan bisa merosakkan mimpi. Dia ingin kembali bermimpi yang indah-indah, sedang api menghancurkan tubuhnya. Dia masih ingin bermimpi, bersama yang lain.
Apabila gerhana di sangka senja
Tiba-tiba cahaya tatkala tengahari terik itu hilang. Yang tinggal hanyalah sisa-sisa cahaya berbentuk cincin di angkasa. Sang burung dengan pantas terbang ke sarang mereka. Dengan pantas sambil diri terpinga-pinga. Ia sedar bahawa malam itu masih jauh. Sampai di sarangnya, ia menunggu dan menunggu. Ia enggan tidur, kerana ia tahu, gelapnya kini hanya kerana gerhana, bukan terbenamnya mentari.
Begitulah nostalgiknya keadaan kita kini. Keadaan gelap gerhana ini terasa seakan-akan akan kekal selamanya. Ia bukan sahaja memakan jiwa orang biasa, tetapi juga meluruhkan semangat para daei yang selama ini giat bekerja di atas jalan dakwah. Para daei, memilih untuk menjadi orang biasa, kerana ketamadunan jiwa itu runtuh bersama runtuhnya nekadnya.
Kemenangan itu suatu kepastian
Umpama suatu perlawanan bola sepak. Yang ada pemainnya, pemain lawannya, dan penonton yang bersorak. Islam bertuah kerana berjaya menjaringkan gol yang pertama, menerpa nama di papan skor. Ramai pesorak yang dengan jaringan pertama itu, berubah pendirian mereka, turut sama menyokong Islam. Malah, ada beberapa orang di kalangan mereka yang mendaftar untuk dilatih oleh para jurulatih, kelak menjadi pemain yang turut bermain di atas padang.
Namun, pada minit-minit akhir babak pertama, Jahiliyyah pantas menjaringkan gol mereka, gol pertama dari dalam kotak penalti atas kesilapan pemain Islam. Dan gol kedua dari tengah-tengah padang bola itu. Memukau mata-mata yang memandangnya. Ramai pula penyokong, penyorak yang begitu taksub tadi, kini membuang jersi mereka, kali ini menyokong Jahiliyyah pula. Keadaan 1 berbalas 2 ini juga menyebabkan beberapa pemain Islam dengan sengaja melakukan kekerasan, agar dilayangkan kad merah, yang membuang mereka dari padang, melarikan mereka dari kesengsaraan perasaan itu. Jurulatih yang nampak segala taktik dan perang psikologi lawan cuba memberikan perintah dan strategi baru, namun semua pemain simpanan yang sudah kalah minda mereka, menjual diri dan maruah mereka kepada pasukan Jahiliyyah.
Disembelih dan dicincang si jurulatih, tanpa belas kasihan, tanpa para penyokong mahupun para pemain menyedarinya, selain beberapa orang di kalangan mereka. Ketua pasukan di atas padang pula lebih suka andai dia bersama pasukan yang satu lagi, turut sama menjual diri, hanya kerana segenggam harta.
Namun, pasukan Islam, pasukan Jahiliyyah, dan para penonton lupa, pengadil mereka tetap sama. Dan masih belum meniupkan wiselnya!
Sabarlah wahai saudaraku
Tuk menggapai cita
Jalan yang kau tempuh sangat panjang
Tak sekadar bongkah batu karang
Yakinlah wahai saudaraku
Kemenangan kan menjelang
Walau tak kita hadapi masanya
Tetaplah al-Haq pasti menang
Tanam di hati benih iman sejati
Berpadu dengan jiwa Rabbani
Tempa jasadmu jadi pahlawan sejati
Tuk tegakkan kalimah Ilahi
Pancang tekadmu jangan mudah mengeluh
Pastikan azzam-mu semakin meninggi
Kejayaan Islam bukanlah sekadar mimpi
Namun janji Allah yang Haq dan pasti!
No comments:
Post a Comment