Wednesday, September 30, 2009

...Berhati-hati memilih musuh...


Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang,


Dalam Hadis Arba'in Nawawiyah, hadis ke-38 yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bermaksud;

"Dari Abi Hurairah r.a. katanya, Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah ta'ala berfirman: Barangsiapa yg menyakiti waliKu, sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada mendekati hambaKu kepadaKu dengan suatu pekerjaan yg Aku sukai dari mengerjakan apa yg Aku telah fardhukan atasnya. Dan sentiasalah hambaKu mendekatkan dirinya kepadaKu dengan melakukan segala yg sunat sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yg dengan itu ia mendengar, Aku menjadi penglihatannya yg dengan itu ia melihat, Aku menjadi tangannya yg dengan itu ia menampar dan Aku menjadi kakinya yg dengan itu ia berjalan. Dan jika ia meminta kepadaKu, pasti Aku perkenankan dan jika ia meminta perlindungan kepadaKu pasti aku lindungi."


Di dalam surah Yunus, Allah berfirman:

"Ingatlah wali-wali Allah itu, tidak ada rasa takut pada mereka, dan mereka tidak bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan sentiasa bertakwa."

(Yunus:62-64)

Dalam dunia dakwah yang penuh mencabar ini, janganlah mengharap terbentangnya permaidani merah yang memukau. Ia tidak akan mudah. Akan ada halangan yang tidak disangka-sangka menerpa.

Tekadang pula, kita akan berhadapan dengan wadah-wadah, gerakan lain yang turut tidak mahu melepaskan peluang untuk mengejar syurga itu. Semuanya begitu ghairah, ethutisme dalam beraktivitas. Tidak mahu mereka ketinggalan dalam menggali besi-besi yang sangat besar potensinya itu, yang diharapkan akan menggalas beban dakwah ini bersama-sama mereka kelak.

Sedih dan pilu jika dalam 'persaingan' sedemikian, ada pihak yang sudah mula lupa tentang matlamat asal perjuangan mereka >>> Mardhotillah!!! Ukhuwwah mula diketepikan, Wala' sudah berubah arah dan sebagainya yang akan memberikan impressi yang serong terhadap MANA-MANA GERAKAN ISLAM SEKALIPUN.

Lantas, kita akan melihat dan terkedu melihat, pihak-pihak yang mengambil jalan kekerasan dalam menghadapinya, seolah-olah tidak pernah mendengar hadis qudsi itu, BERHATI-HATI MEMILIH MUSUHMU.

Sejarah membuktikan bahawa pertikaian itu selalu berlaku kerana ada pihak ketiga yang mengapi-apikan permusuhan antara 2 saudara seislam itu. Dan satu sifat buruk kita ialah, kita tidak suka mengkaji apa-apa maklumat yang kita perolehi, namun kitalah orang paling keras menegakkan pandangan kita itu. Sedang Allah telah berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka TELITILAH KEBENARANNYA, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu."

(Hujuraat:6)


Janganlah kerana kebodohan kita, kita telah melancarkan perang terhadap saudara seislam kita. Yang "mungkin" beriman. Yang mana merupakan wali-wali Allah... Dan di saat itu, kita bukan melancarkan perang kepada mereka sebenarnya,


KITA BERPERANG DENGAN ALLAH!!!


Maka, berlapang dadalah, sesungguhnya kita sama-sama memperjuangkan jemaah islam,
Bukan kelompok kita semata-mata.


~~*~~


Catatan untuk semua, tidak terkecuali mana-mana pihak sekalipun. Bersatulah atas akidah islam.


Credit to Akh Padhli Yazid yang bersusah-payah menaip turun al-hadis.

Monday, September 28, 2009

Hidup di atas Papan Catur


Catur. Aku sangat menggilainya! Dahulu, siang malam itulah kepedulianku. Pernah semalaman tidak ketiduran hanya kerana 1 perlawanan yang panjang. Berbulan-bulan tidak berlengang dari komputer, kerana bertarung di alam maya. Keghairahan itu tidak pernah hilang hinggalah aku mengenal erti sebenar kehidupan. Melalui perjalan hidupku itu, ingin aku rungkaikan sebuah ibrah yang tersemat.

Kehidupan permainanku ini bermula seawal di tahun 3 persekolahan. Sedang asyik beberapa orang bermain dengan jubin-jubin kecil, tudung-tudung botol dan kad-kad permainan keanak-anakan, aku berkenalan dengan buah-buah kenit itu. Ku lihat sahabatku ketika itu Afiq Mohd Lazim dan Hanis bermain dengan teriakan-teriakan mereka. Aku melihat dan tertanya-tanya. Dari sana ku kenal sebuah permainan yang begitu tragis menempelak akal dan jiwa yang selama ini ligat tanpa sebarang arah dan matlamat.

Itulah permainanku sejak itu. Pada waktu itu, aku tidak kenal Kasparov, Fisher, ataupun mana-mana Grand Master sekalipun. Jilid-jilid kitab khithah (strategi) pertarungan tidak pernah ku sentuh. Apa yang ku tahu, aku mesti menang setiap perlawanan. Dengan kepandaianku, keagressifan dan kelicikanku, aku menang. Kalahku adalah untuk sebuah pengajaran, yakni membuahkan sebuah lagi kejayaan. Dan kemenangan itu, membuatku kehausan dalam memburu kemenangan.

Semasa di sekolah menengah, berbekalkan hanya satu strategi; 3 Steps Check-Mate Variation, aku melangkah ke peringkat kebangsaan. Peringkat terbuka dan tertutup. Kekadang menang, ada buah tangan ke rumah. Kekadang kalah, pulang dengan seribu satu alasan. Baru aku mengerti, aku perlukan lebih kekuatan dan bekalan, bukan setakat strategi picisan itu.

Sepanjang alam persekolahanku, aku mengkajinya sehabisnya strategi-strategi catur yang terbuku di kitab-kitab lama. Aku kembali aktif ketika itu bila ketemu seorang sahabat; Wak, Naib Johan Negeri Sembilan. Dengannya aku mempelajari prediction, mengira-ngira pemikiran lawan, hingga 9 10 move ke hadapan. King Gambit percaturan kegemarannya, dan aku telah semakin fleksibel dengan King Opening Variable ku. Dan aku, mempraktikkannya, memantapkan taktik yang sama, hingga aku mahir menggunakannya.

Menentang pemain negeri ini, 3 perlawanan, kami seri setiap perlawanan. Setiap kali perlawanan, 2 jam masa dibazirkan. Baru aku tahu makna sebenar permainan ini. Senang je. Apabila sudah menjadi rutin, segalanya menjadi mudah, tanpa dorongan semangatpun, aku mampu memenangkannya.

Apabila di matrikulasi, tidak ku sangka Wak sekolej denganku. Kami mula merangka perancangan untuk membuat kumpulan menentang catur kumpulan. Segala pengalaman dan permasalahan tentang catur dikongsi bersama. Walau sejam setiap malam, untuk merangkul kejuaraan. Aku pun tak tahu dari mana datang kekuatan, tapi kumpulan kami, SAYUR namanya, menang tanpa halangan.

Aku dengan langkah berani, mengorak langkah ke terbuka peringkat dewasa. Dan nasibku tidak sebaik yang ku sangka. Walau dengan pengalaman dan pengetahuanku, aku tewas di tangan wakil-wakil Malaysia itu. Namun rakan-rakanku, berdiri gagah di atas podium. Rakan-rakanku yang banyak belajar dan menghafal dari buku-buku Grand Master itu.

Benar! Mereka ini, tidak pernah lengang dari buku-buku catur itu. Siang malam, membaca dan membayangkan. Namun aku enggan. Kerana bagiku, aku ialah aku. Bukan buku-buku itu yang mewarnaiku.

Tanpa aku sedar, tanpa pengalaman itu, aku kini sudah mencapai hadku...

Tanpa aku sedar, aku tidak perlu mengulangi kesilapan orang-orang terdahulu... untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang berbanding mereka.

Kita tidak perlu jatuh di lubang yang sama...

Bermimpilah,
Pasti kau rasa dekat dengan awan.

Bacalah,
Pasti kau menggapainya!

MEMBACALAH!!!



~~*~~


Hanya mereka yang benar-benar ingin memahami, dapat memahami makna sebenar di sebalik karangan panjang ini...

Apa kaitannya dengan hidup ini?

Apa kaitannya dengan dakwah kita?

Thursday, September 24, 2009

Benarkah kita ikhlas?



Pernah jiwa ini ditimpa kerendahan tekad. Lalu ia dilemparkan ke dunia, semahu-mahunya. Ya, sepertimana taujihat dalam buku "Bagaimana menjaga stamina iman", apabila berada dalam kefuturan, maka jiwa ini akan merasa sangat selesa dengan perkara mubah dan kemaksiatan yang menyelubungi.

Terasa selesa hingga tidak ingin lagi diri ini berada dalam ketegangan, walau sendiri sudah tahu bahawa seronok dan senang ini tidak akan lama. Malah, ia tidak pernah puas. Ia tidak pernah putus-putus meminta empunya sementara jiwa ini untuk bekorban deminya, demi seteguk keseronokan yang kemudian akan terus dibalas dengan kehausan yang menimpa-nimpa. Anehnya, tidak pula ada putus asa sang empunya sementara untuk berkhidmat deminya... Kerana seteguk keseronokan itu... Ia rela menjadi hamba kepada HAWA NAFSUNYA...

Itulah tabiat, sunnatuLlah kefuturan. Bila diri rindukan keseronokan.

Mari kita susuri suatu sejarah kenabian. Tercatat utuh dalam surah Sad:

(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah.

Kemudian apabila telah Aku sempurnakan kejadiaannya dan Aku tiupkan roh (ciptaan)-Ku kepadanya; maka tunduklah kamu dengan bersujud kepadanya."

Lalu para malaikat itu sujud semuanya,

kecuali iblis; ia menyombongkan diri dan ia termasuk golongan kafir.

(Allah) berfirman, "Wahai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Aku ciptakan dengan kekuasaan-Ku? Apakah kamu menyombongkan diri atau kamu (merasa) termasuk golongan yang (lebih) tinggi?"
(Iblis) berkata, " Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah,"
(Allah) berfirman, "Kalau begitu keluarlah kamu dari syurga! Sesungguhnya kamu adalah makhluk yang terkutuk.
Dan sungguh, kutukan-Ku tetap atasmu sampai hari pembalasan."
(Iblis) berkata, "Ya Tuhanku, tangguhkanlah aku sampai pada hari mereka dibangkitkan."
(Allah) berfirman, "Maka sesungguhnya kamu termasuk golongan yang diberikan penangguhan,
sampai pada hari yang ditentukan waktunya (hari kiamat)."
(Iblis) menjawab, "Demi kemuliaan-Mu, pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,
kecuali hamba-hamba-Mu yang MUKHLISIN di antara mereka."

(Sad:71-83)



Memahami sejarah ini penting dalam kita mengharungi hidup ini, kerana inilah sejarah kita (ISK). Dan peristiwa ini jugalah merupakan titik tolak ghazul fikr (perang pemikiran) yang kita sedang lalui. Dan perisainya?

Keikhlasan!!!

Dalam petikan di atas, jelaslah bahawasanya, hanya orang yang ikhlas sahaja yang mampu melawan godaan syaitan yang penuh dengan pengalaman ini. Bayangkan, sejak kelahiran Nabi Adam a.s., hingga kini, pengalaman berdakyahnya, tidak kita ragui sama sekali.

Namun, apakah itu ikhlas?
Mari kita meneroka Al-Quran untuk mempelajari ilmu ikhlas...

Mengakui keEsaan Allah
Mengakui Allahlah satu-satunya tempat bergantung
Mengakui bahawa Allah kekuatanNya itu hak
Mengakui bahawa tiada apa pun selama-lamanya yang dapat menandingiNya

Mengakui bahawa Allah itulah ILAH kita.
Itulah intipati Surah Al-Ikhlas,
Itulah makna sebenar di sebalik syahadah kita.

Alhamdulillah,
Ramai manusia kini yang buat segalanya demi Allah. Mereka katakan segala apa yang mereka buat adalah kerana Allah.
Dan tidak sedikit pula orang di luar sana yang menyatakan bahawa ALLAHU GHOYATUNA!!!!!
"Objektif kami hidup, mati, ibadah, dakwah, makan, ke tandas, segalanya, adalah FISABILILLAH LILLAHITAALA"

Namun sahabatku,
Adakah kita benar-benar bermaksud sedemikian. Atau adakah bibir kita ini ringan sedang jiwa dan anggota kita bukan main berat untuk melaksanakannya?

Apa yang aku gusarkan,
Kini ia hanya tinggal di bibir. Bahkan KERANA ALLAH itu, dianggap jawapan skema untuk persoalan-persoalan awam. Untuk artis-artis. Untuk orang awam. UNTUK PARA DAEI!

Betapa kurangnya kesedaran kita akan taklif (tanggungjawab) yang dipikul dengan berkata, "Ana buat ini ikhlas kerana Allah." Kerana Allah, "Nta buat ni kerana Allah? Bukan? Betulkan niat nta ya sebelum kita start program ni."

Bukan tugas kita untuk mempersoalkan NIAT kerna ia perkara paling asas. Namun asas itu yang paling penting, yang paling utama. Bukan yang paling remeh!

Apakah kita berniat hanya kepada Allah ketika kita meluncur di laman web maya?
Jika benarlah begitu, maka takkan kita persia setiap detik kita di hadapannya.
Tidak akan kita berlaku sia-sia dan berleretan sia-sia itu,
Apatah lagi dosa, yang mematikan da'ei dan segala amalannya... Nau'zubillahu min zalik

Apakah kita berniat hanya kerana Allah ketika kita dalam dakwah dan tarbiyyah?
Jika benarlah begitu, maka tidak akan wujud ghirah, ghurur, ria' dan main-main kita.
Tidak akan kita berpura-pura dalam amalan kita. Tidak akan kita sia-siakan segala taujih yang diterima. Tidak akan kita memperlekehkan orang lain yang baru ingin mengenal pencipta.
Tidak akan kita mempersendakan ikhwah kita yang sedang bertungkus-lumus dalam DT ini.
"Itu lah mereka, manhaj lemah, permulaan ntah apa-apa, pemimpin tak faham", ini semua bukan dialog kita, kerana kita sedar tanggungjawab kita untuk membantu mereka.
Kerana kita ikhlas kerana Allah... Kerana Allah...

Apakah kita berniat hanya kerana Allah ketika kita ingin membangunkan keluarga itu?
Jika benarlah begitu, pastinya dari asas pemilihannya sampai ke hujung akhir nafas kita bersama keluarga itupun kita bahagia. Kerana apa? Ikatan al-hawa tidak mengeruhkan segala keputusan kita. Hubungan dengan anak-anak kita, pastinya kita berharap mereka juga menjadi MUKHLISIN yang akan mewarnai perjuangan agama ALlah ini.
Tidak berdalih kita semasa ada sebarang tuntutan agama yang wajar diterapkan dalam keluarga itu.
Namun, adakah kita benar-benar ikhlas?

Dan selanjutnya,
Yang nyata terang lagi bersuluh, kita belum layak membicarakannya. Kenapa?
Andai kita belum ikhlas, semua amal kita lemah selemahnya, kerana dalam diri sudah ada agen yang akan menumbangkan segala sudut amal kita. Hanya tunggu masa dan ketika...

Jika nak join tarbiyyah pun tidak ikhlas,
Jangan mimpi nak tegakkan khilafah...

Jika pernikahan itu bukan kerana Allah,
Jika pemilihan kerjamu bukan kerana Allah,
Jika permainanmu bukan kerana Allah,
Jika penglibatanmu ke dalam masyarakat bukan kerana Allah,

JANGAN MIMPI NAK KATA, JIWA DAN DARAHKU AKU WAKAFKAN UNTUK ISLAM!


Tazkirah buat diri ana yang hina di sisiNYA.
Semoga jadi tazkirah buat semua.
Cakap serupa bikin. Plis la...

Kerana kertas kecil itu...


Petikan kertas i'lam Hassan Al-Banna yang menyentuh perasaan Syeikh Farag Naggar untuk bersama Ikhwan Muslimin:


“Ad ‘u ilaina ad-dunya, faqad abramaha amran. Wa ajmak alaina an-nas, fasanatlu alaihim min ladunna zikra. Sanatub al-Marid bi dawaa-ina, wa nanfakh fil jiban min ruhina. Summut uzunud dunya, in lam tasmak lana. ALLAH GHAYATUNA, AR-RASUL ZAIMUNA, AL-QURAN DUSTURUNA. AL-JIHAD SABILUNA. WAL MAUTU FI SABILILLAHI ASMA AMANINA“

(Kamu ajaklah seluruh dunia kepada kami, nescaya kamu dapati kami mempunyai sesuatu perkara yang mesti diperjuangkan. Berhimpunlah manusia disekeliling kami, nescaya kami akan mengumandangkan peringatan kepada mereka. Kami akan merawat pesakit dengan ubat kami dan kami akan meniupkan ruh kami di dalam tubuh badan. Tertutuplah telinga dunia sekiranya ia tidak mendengar apa yang ingin kami sampaikan. ALLAH MATLAMAT KAMI, AR-RASUL PEMIMPIN KAMI, AL-QURAN PERLEMBAGAAN KAMI, JIHAD JALAN KAMI, MATI DI JALAN ALLAH SETINGGI-TINGGI CITA-CITA KAMI)


Dengan izin Allah, kerna kertas kecil ini, Syeikh Farag Naggar telah mewakafkan dirinya kepada Islam dan Dakwah sepanjang hidupnya, mulai berumur 15 tahun hingga 86 tahun.

Ya ALlah, Kau izinkannya tsabat di jalan ini selama 71 tahun...! Betapa cemburunya aku...! Tidak tertahan pula cemburunya aku akan apa yang bakal diperolehinya di akhirat kelak...!

Para da'iyat sekalian, teguhkan usaha kita menggapai jiwa-jiwa yang memerlukan sentuhan dan ubatan-ubatan ini. Kita tidak rela melihat jiwa-jiwa ini tumbang satu demi satu di hadapan kita. Jadilah tabib yang tidak kenal erti rehat dan tidak pernah memandang ringan setiap perbuatannya, walau sekecil mana...

Kerana kita tidak tahu, sentuhan mana yang akan mengubat luka mereka...
Kerana kita tidak tahu, kata-kata mana yang akan menyemarakkan semangat mereka...
Kerana kita tidak tahu, walau kertas kecil itupun, akan merubah ummah ini seluruhnya...

Hanya Tuhan yang tahu,,,
Di hati itu,
Hanya Allah yang tahu...

Selebihnya, boleh rujuk Blog Ustaz Halim...

Monday, September 21, 2009

Anda tidak tahu tentang BM... Tapi anda malu bertanya!



Adakah menjadi kesalahan jika kita membicarakan tentangnya? Sedangkan itulah foundation dakwah kita setelah Individu Muslim itu terbina. Isu ini hanya berani dibincangkan oleh pakcik makcik dan orang-orang tertentu sahaja. Yang lain-lain mengambil langkah samada diam ataupun mengeluh tentangnya di blog-blog mereka.

Tidak kurang ada yang mencemuh, menebarkan fitnah sesama mereka, atas inkuiri sahabat mereka tentang proses yang sudah pastinya tidak pernah mereka lalui. Bukankah menjadi hak seorang ikhwah untuk didoakan permintaannya, malah dibantu selagi termampu?

Tidaklah salah berkongsi ide tentangnya, selagi kita tidak "terawang-awangan", teori tanpa amal. Apatah lagi jika ia menyebabkan kita terlupa matlamat BM dalam Marotib Amal itu. Awas saudaraku, masih ku ingat kata-kata seorang pak ustaz ini,

"Jika nta nak hilang semua usrah-usrah yang nta bawa tu, berikhtilatlah"
(Ustaz A, 2008)

Jangan kerana ingin tegakkan ibadah, maksiat terlaksana. Dan kita semua sudah sedia maklum, tutuplah pintu maksiat itu, dengan ibadah, dengan membuka pintu-pintu pahala dengan Baitul Muslim.



  • Saya ni dah bersedia ke nak kahwin ni?
Soalan ini adalah soalan NAK ATAU TIDAK. Ia bukan berkenaan BOLEH ATAU TIDAK BOLEH. Sesungguhnya pilihan di tangan anda.

Dan apabila bercakap pilihan itu, kita sendiri yang buat, kita sendiri kena lihat sejauh mana kefahaman kita mengenai hakikat perkahwinan dalam islam. Maqasidnya, Rukunnya etc. Maknanya, pembacaan dan perkongsian perlu lebih meluas. Di sini letaknya kepentingan perbincangan sebegini.

Aku benar-benar bersyukur kerana wujudnya ikhwah-akhwat indonesia yang sudi menulis berkenaan hal ini, kerana ku saksikan betapa mandulnya produksi buku islami di Malaysia.

Jika diri sudah jelas sejelas-jelasnya akan hal ini, sudah pasti pilihan itu boleh dilakukan.

Jangan kita menjadi hamba yang menjadikan harta, rumah, kereta, akademik, WANG sebagai berhala. Yang kepadanya tempat kita bergantung.

Tapi ingat, ini tidak memberikan ruang kepada mereka-mereka yang malas untuk berusaha, sekadar tawakkal semata.

Bergantunglah pada Allah.




  • Ada ke ikhwah atau akhwat untuk saya?
Soalan ni soalan cepu emas juga. Kita sering melihat diri ini serba kekurangan. Dengan aib silam, kekurangan fizikal, kekurangan materi... yang sebenarnya akan ter-setel dengan sendiri jika masing-masing itu ikhlas dan faham kehendak perkahwinan yang berkah itu.

Ramai orang yang sekadar menunggu panggilan ilahi, seakan-akan akan datang putera atau puteri idaman yang mencari-cari mereka. Menanti "The Frog Prince". Jika tampak berusaha, macam terhegeh-hegeh pula. Dah nampak macam gatal sangat nak kahwin pun ada.

Ketahuilah sesungguh takdir telah ditentukan. Dakwat sudah kering dan pena telah diangkat. Jodohmu, Rezekimu dan Ajalmu, segalanya sudah ditentukan.

Kita tahu bahawa kita akan mati juga akhirnya, namun kita tetap terus berusaha merubat penyakit kita. Agar kita menjadi hamba yang benar-benar bersyukur, atas segala nikmat yang dikurnia Allah.

Kita tahu bahawa rezeki kita telah tercatat. Masih terngiang-ngiang kata-kata Sang Murobbi,

"Kalau sumur kering, minta sahaja sama Allah..."
... Tapi kita terus gigih berusaha kini. Belajar dengan tekun. Bekerja dengan keras. Untuk mencari secicip rezeki itu untuk keluarga kita.

Begitu juga dengan jodoh. Ya, ia sudah ditentukan. Dan anda ada peranan dalam mendapatkannya. Jangan dikenang dek perigi mencari timba, jika itu kemusykilan yang timbul. Kita turuti sahaja kehendak agama kita, sebagaimana yang telah digariskan dalam kisah-kisah para sahabat dan sahabiah yang masyur,,,




  • Saya bimbang tak kawin pula. Akhwat dah la "jauh" lebih ramai berbanding ikhwah...
Ikhwah akhwat yang ana kasihi sekalian,

Secara idealnya, itulah masyarakat yang ingin kita bentuk. Apabila individu-individu yang benar-benar faham tanggungjawab mereka sebagai manusia ini, mendirikan baitul dakwah. Yang akan melahirkan du'ah, yang bakal menerajui pengislahan masyarakat kita ini.

Tetapi realitinya kini, nisbah ikhwah akhwat sangat tidak seimbang. Jangankan di lokaliti, malah malaysia dan seluruh dunia juga begitu.

Pernah seorang ikhwah Indonesia menyatakan sedemikian rupa juga. Itulah cerminan dunia kini. Ada ikhwah (yang otai ni) yang berani menyatakan, nisbah ikhwah kepada akhwat ialah 1:9 !!!

Jadi bagaimana ingin dibentuk ya masyarakat islam kita? Apakah nasib akhwat kita ini. Berkahwin di hujung usia atau sekadar menanti bidadari lelaki di syurga?

Sahabatku,

Fitnah terhadap orang bujang yang menimpa dulu dan kini, fitnah itu lebih berat ditanggung oleh kaum perempuan.

Bermusyawarahlah dengan kelompokmu, sungguh, tidak sedikit ikhwah yang mengecapi nikmat iman dan islam hanya setelah berkahwin dengan ukhtuna. Si suami hanya mengenal jalan dakwah setelah perkahwinan.

Tidak sedikit pula akhwat kita yang hilang sudah tsiqahnya terhadap jalan ini, setelah bernikah dengan ikhwah fillah. Terhalang dakwah si isteri setelah menikah dengan ikhwah itu sendiri.

Dan sepanjang pemerhatianku, ramai sahaja aku lihat ikhwah-ikhwah ini (yang minoriti ini), yang belum berpunya, dan belum berencana untuk berkahwin, sedang ribuan akhwat memerlukan mereka. ~Aih, ramai yang lebih selesa menunggu perigi mereka. Atau sibuk dengan dakwah, dan takut binaan itu akan terganggu apabila mereka disibukkan dengan proses BMsasi.

Renung-renungkanlah...

Bagiku, pabila mengenang perkara ini, ada satu perkara yang perlu dilakukan:::
Dakwah ikhwah perlu diperhebat...!
Jangan biarkan saudara perempuan kita terkapai-kapai tanpa bimbingan,
Terkesima atas kelalaian dan kemalasan kita!!!


~~*~~


Post kali ini adalah sekadar perkongsian dan luahan perasaan, atas pemerhatian penulis. Pastinya ada kena mengena dengan ikhwah akhwat. Kalau terasa tu, alhamdulillah, semoga rasional menerima pendapat orang lain.

I'diluu (Berlaku adillah)

Erti sebuah Kemenangan


Siapa yang tidak pernah berhadapan dengan kegagalan? Gagal dalam akademik? Gagal dalam pekerjaan? Gagal dalam hubungan? Gagal dalam masyarakat? Gagal dalam persatuan? Gagal dalam Dakwah dan Tarbiyyah? Gagal dalam hidup?

Semua orang mengalaminya. Tidak kira kegagalan minor mahupun major.

Kalah dalam pertandingan. Gagal dalam percintaan. Ditinggalkan orang yang tersayang. Jatuh dalam mendaki menara ilmu. Rasa terasing dengan rakan sebaya. Disisih daripada masyarakat. Ditolak dakwah dan segala pujuk rayu. Bagaimana ya perasaan kita ketika itu?

Kegagalan membuatkan kita seolah-olah diselubungi kegelapan yang sangat pekat. Jiwa terasa resah dan dada menjadi sangat sempit. Akal yang rasional, mahupun segala hujjah-hujjah teori tidak dapat mematahkan kebuntuan. Ketika itu, diri dilambung perasaan yang tidak menentu. Konflik, dilema yang menerpa, membuatkan diri ini takut untuk membuat sebarang keputusan. Gelap, hingga gagal dalam mencari cahaya-cahaya yang menawarkan bantuan. Pada waktu itu, putus asa kerap kali menjadi pilihan utama dalam mengharunginya.

Sungguh malang orang yang berperasaan sedemikian. Kerana Allah telah berfirman:

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan (begitu sahaja), padahal Allah belum mengetahui orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."
(At-Taubah:16)

Dan di ayat lain, Allah telah menyatakan:

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata lagi bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar."
(Ali-Imran:142)

Ikhwah akhwat yang ku sayangi,

Semua orang pasti akan diuji Allah di dunia ini. Kerana itulah sebabnya kita dicampakkan ke dunia yang sementara.
Namun segalanya berbalik kembali kepada kayu ukur yang kita gunakan untuk kita menilai dunia ini...

Apakah kayu ukur yang menentukan bahawa kita telah berjaya mahupun gagal?
Kita meletakkan gagal ataupun berjayanya kita dengan melihat samada kita berjaya melepasi sasaran kita atau tidak.
Kita melihat samada objektif kita tercapai atau tidak.
Jika kita berjaya membuat sebagaimana yang dirancang, maksudnya kita berjaya.
Jika kita gagal melaksanakannya, maksudnya kita gagal.

Aku pasti, ikhwah akhwat yang hebat-hebat ini, semestinya menyimpan ambisi-ambisi yang melangit tinggi. Dan ntum semua sedang berusaha dengan gigihnya ke arah itu,

Untuk dakwah ntum,
Untuk kerjaya ntum,
Untuk akademik ntum,
Untuk ... ntum,

Namun sedarlah, kita seharusnya menilai berjaya atau tidak kita ini, menurut neraca Allah. Apakah neraca itu?
Sudah tentulah dengan mengambil kira sejauh mana kita mencapai matlamat kita sebagai manusia. Soalan dan jawapan skema. Dah beratus kali kita dengar.

Menjadi 'Abid (51:56)
Menjadi Khalifah (2:30)

Jika kita sedang melaksanakan tugas kita itu. Janganlah kita takut akan kegagalan, kerana kita sentiasa sedang menang. Sedang berjaya.

Tanpa mempedulikan kata mereka. Kerana kita bukan hamba mereka.

Itulah yang dirasai oleh para sahabat, salaf as-soleh. Tiada apa yang mampu membuatkan mereka gusar. Semua itu enteng sahaja. Jika kita benar-benar memahaminya, maka kita akan jelas mengapa,,, mereka rela buat apa sahaja demi islam. Mampukah kita? Insya-Allah sahabat-sahabatku. Aku yakin ntum mampu. Ntum mampu menggapainya...

Selagi ruh islam itu, HIDUP dalam diri kita... Berlandaskan fitrah insani



"Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman."
(Ali-Imran:139)


"Ingatlah wali-wali Allah itu, tidak ada rasa takut pada mereka, dan mereka tidak bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan sentiasa bertaqwa."
(Yunus:62-63)


"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang memperoleh KEMENANGAN!!!"
(At-Taubah:20)

Bersabarlah... Sesungguhnya Allah kan ada...
La Tahzan, innaLlaha ma'ana...

Selamat berjaya
Selamat kembali
Selamat kembali kepada FITRAH
Selamat hari raya
Semoga terus berjaya, buat selamanya

Friday, September 18, 2009

Berlabuhnya tirai itu


Ramadhan kali ini mengajarkan aku erti pengibadahan yang berbeza. Kenikmatan, kepuasan dan ujian yang disediakan untukku agar pembaikan itu berlaku.

Andai ditanya, apa pengajaran terbesarku, ini jawapannya:

"Seandainya ia menemukan hakikat tentang sesuatu, maka hakikat itulah yang berbicara dan ia tidak perlu membuat pengakuan."

"Apabila anda melihat Ja'maah yang banyak bicara, maka pembicaraannya itu merupakan bukti tentang koleksi amalnya yang kecil."

Aku terpaksa mengharungi tarbiyyah bertahun-tahun untuk memahami maksud di sebalik kata-kata ini. Berbuku-buku buku-buku ditelaah untuk mendapatkan ma'nanya. Semoga kita sama-sama mendapat maksud sebenar kata-kata Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid ini.

Tahniah kepada beliau yang telah berjaya mendidik jiwaku melalui kesemua karya penulisannya.

Tidak sabar untuk belajar dan perjuangkan ilmu baru pula.

Taqabbalah hu minna waminkum!

Tuesday, September 8, 2009

Ku Tatapi Wajahnya


Liku-liku dalam tarbiyyah ini sangat mengasyikkan. Bagi mereka yang menghayatinya, akan terasa manis yang amat. Akan berbekas dalam jiwa mereka indahnya tarbiyyah, indahnya islam. Lantas, akan terlahirlah individu-individu hebat itu.

Telah berkata seorang ustaz;

"Apabila ana melihat wajah-wajah rakan ana dalam usrah, ana seakan sedang memandang sahabat-sahabat Ar-Rasul s.a.w."

Ikhwah akhwat sekalian,
Terasakah ntum akan bahangnya? Begitu hebatnya islam dalam membentuk jejaka-jejaka emas ini. Hanya mereka yang serius bersama, akan dapat merasainya.

Aku sedikit demi sedikit memahami kata-kata al-ustaz. Bilaku diam-diam merenung wajah-wajah mereka ini, mengetahui kisah-kisah hidup mereka yang semakin mencerah setelah beramal ini, aku semakin memahami maksud di sebalik kata-kata yang pendek itu.

Aku dapat melihat ciri-ciri Usman ibn Affan pada diri MAI.

Aku dapat melihat ciri-ciri Al-Bara' Ibn Malik pada diri MHK.

Aku dapat melihat ciri-ciri Ikrimah ibn Abi Jahal pada diri MAB.

Aku dapat melihat ciri-ciri Muaz ibn Jabal pada diri MHA.

Aku dapat melihat ciri-ciri Abu Bakar As-Siddiq pada diri MSAH.

Aku dapat melihat ciri-ciri At-Tufail ibn Amr ad-Dawsi pada diri TMT.

Aku dapat melihat ciri-ciri Khalid Al-Walid pada diri ABG.

Aku dapat melihat ciri-ciri Abu Ubaidah ibn Jarrah pada diri 3MS.

Aku dapat melihat ciri-ciri Amr ibn Jamuh pada diri MNZJ.

Aku dapat melihat ciri-ciri Mus'ab ibn Umair pada diri HAA.

Bestnya islam, Syoknya Tarbiyyah...


Izinkan aku berkongsi salah satu kisah yang mengesankan aku sepanjang berada di medan ini:

Kisahnya bermula dengan aku dan seorang sahabatku, TMT bertolak ke Nilai atas permintaan seorang ikhwah ini. Aku pergi ke sana dengan menaiki kereta, manakala TMT menaiki kenderaan berjenama KTM. Kami berkumpul di sebuah tempat di Nilai, menunggu usainya perbincangan sahabatku HAA dan barisan mutarobbinya.

Sebelum operasi dimulakan, sekitar jam 1 pagi, aku dan TMT, mendengar permintaan penuh sahabatku itu. Mendengar setiap kata-katanya, kami tergamam. Hampir menitis air mata ini.

"Bagaimana akhi? Boleh tak tolong ana ni?"

"Insya-Allah akhi, untuk nta akhi", balasku, takde la selamba sangat. Penuh penghayatan di situ.

"Kalau macam tu, biar ana dan Afifi (mungkin nama sebenar) yang pandu dahulu ke sana, nanti masa balik nanti, minta tolong nta dan TMT ya...", pinta HAA.

"Insya-Allah akhi"...

Kami masuk ke tempat duduk belakang kereta, dan tidak lama kemudian Afifi masuk ke dalam. Dengan penuh senyuman, Afifi bertanya, "Ntum pun nak ke Johor ke?"

"Hehe", kami berdua sekadar senyum kambing. Seakan-akan mengiayakan soalannya. Biasalah, murobbi ni kerjanya bagi tanda-tanda je, tak payah jawab soalan pun takpe.

Sepanjang perjalanan ke Muar itu, aku dan TMT tidur seenaknya, kerna ada tugas lain menanti kami kelak. Sampai di rumah Afifi di Muar, ibu dan bapa Afifi pelawa kami masuk untuk berbasa-basi dan minum-minum. Waktu itu, sudah jam 3.30 pagi.

Sambil HAA berbual panjang, aku dan TMT minta izin untuk membasuh muka dan bertahajud, sayang jika tidak digunakan peluang itu. Selepas itu, kami semua saling kenal-mengenal, taaruf mengikat ukhuwwah. Afifi penuh kegembiraan dapat balik bertemu ibu dan ayahnya. Terpancar di mukanya cahaya-cahaya riang itu.

Kemudian HAA berkata, "Makcik Pakcik, kami minta diri dulu, esok kami ada hal di KL, jam 7"

"Balik KL? Bukan balik JB ke?", sedikit terkejut terlukis di wajah mereka.

"A'ah, bukan ke abg HAA kata yang abg akan ke JB?", Afifi menyibuk mencelah.

"Sebenarnya memang plan asalnya begitu, dan saya pun dah janji pada Afifi untuk hantarnya pulang. Alang-alang on the way. Tiba-tiba kami kena beri ceramah pula pagi esok, jadi saya batalkan hasrat saya pulang kampung"

"Tapi saya dah janji pada Afifi untuk hantarnya pulang. Saya datang sekarang ni untuk hantar Afifi, lepas ni, MHK dan TMT akan pandu terus ke KL."

"Abg datang jauh-jauh niuntuk hantar saya je?", mata Afifi berkaca-kaca. Tak mampu aku gambarkan emosi dan keadaan pagi yang segelap zulumat itu. Aku dan TMT tabah dengan senyum kambing kami lagi.

"Ya Allah, terima kasih banyak-banyak ye nakkk...", Ibu Bapa Afifi tak mampu nak cakap banyak, suara mereka terlekat di halkum yang basah, menahan sebak.

Dari cermin sisi kereta, aku melihat keluarga itu melambai-lambai dengan penuh sentuhan perasaan. Jiwa kecilku ini, tidak dapat menahan keterharuan akan indahnya akhlak sahabatku yang begitu menepati janjinya. Yang pastinya dilakukan atas dasar kasih sayang... Kasih sayang kepada saudara seislamnya...

Bestnya islam, Syoknya Tarbiyyah...

Thursday, September 3, 2009

Kemanusian Manusia



Usai membeli buku-buku di FIB semalam, ana berkesempatan iftar di Masjid Jamek, KL. Masjid yang sangat old-school. Dan yang paling menarik ialah, masjid itu tidak pernah lengang dari pengunjung, baik muslim mahupun non-muslim. Masjid tua di celah-celah Kuala Lumpur ini banyak menyimpan nostalgia. Dan semalam, sangat ramai yang berbuka bersama di sana. Juadahnya.... ~Wah sangat lumayan...

Tidak cukup dengan air mineral dan nasi daging masak kurma + ikan masin, ada bubur lambuk, pisang, kurma mariami, kurma dam, air oren, air limau lagi. Semoga Allah memberkati insan-insan yang menyumbang buka puasa kami ini,,, dan ketahuilah bahawa mereka mendapat pahala puasa kami semua yang berbuka di sana (kira-kira 100 orang) tanpa dikurangkan sedikitpon,,,

Namun, sambil membaca buku sedang menunggu membuka, ana berasa sangat terkilan melihat 'akhlak' pengunjung-pengunjung masjid ini. Seolah ana dibentangkan hadis Ar-Rasul::: "Jika tidak malu, berbuatlah sesukamu"

Ada yang selamba sahaja ambil pisang dari pinggan sebelah, kerana dia dah makan pisangnya sendiri (jam 645 petang). Ada yang datang, ambil makanan orang di sebelah dan diletakkan dalam beg. Kemudian tunggu seperti yang lain-lain juga. Ada yang sangat lapar dan ambil sebanyak-banyak-banyaknya makanan, dan akhirnya membazir. Dan yang paling ramai ialah, selepas makan terus pulang ke tempat masing-masing tanpa menoleh kepada jemaah yang berkerumun nak solat magrib. Terkedu melihat dakwah mereka yang berharap dapat menarik hati mereka berjamaah ini... Namun disambut dengan dingin, tanpa ruh islami.

Lantas ana teringat akan perkongsian kami ikhwah di rumah tentang buku Maalim fit Toriq karya Syed Qutb. Bab 1: Petunjuk Sepanjang Jalan. Akhirnya Syed Qutb telah berkata bahawa masa depan itu pasti milik islam, kerana hanya islam yang mampu menjadikan manusia itu manusia! Kerana ia agama modul, agama fitrah. Ia seiringkan manusia dengan Pencipta, manusia lain dan alam...

Tamadunnya tamadun bukan kerana majunya ia, tetapi bagaimana islamnya ia
Manusianya manusia bukan kerana kepandaian atau kecantikan, tetapi keislaman

Namun,
MANUSIAKAH KITA?
ADAKAH KITA BERAMAL DENGAN ISLAM?
ATAU KITA AKAN TERUS DIPANDANG JELEK?

Ikhwah akhwat sure dah jadi manusia kot...
YE KE?
KITA NI DAH JADI MANUSIA?

Termenung ana beberapa ketika, saat semalam dalam kemelut ummah ini. Ana gusar, andai kita yang dalam tarbiyyah ini juga tiada beza dengan mereka yang lain, yang ingin kita dakwahin. Dan ana takut, dengan tidak berlandaskan iman dalam melaksanakan amal islami, tanpa taqarrub ilallah, kita ini umpama robot dakwah tanpa hati dan akal. Takut andai kita ini hanya jadi hamba yang tidak bebas, menjadi hamba kepada naqib, bukan Allah!!!

Dan bila naqib dan ikhwah lain menjadi ilah kita, kita akan perhatikan betapa tidak islaminya amal kita. Kita akan lihat ikhwah akhwat yang mengabaikan hak ibu bapa mereka. Balik rumah dua tahun sekali, tapi jenguk ibu bapa pun idak. Sibuk dengan amal dakwah, kata mereka. Jangan terkejut jika ada ikhwah akhwat yang menengking ibu bapa mereka sendiri. Yang bermasam muka dan mencemih. Kita akan lihat ikhwah akhwat yang tidak kenal ajk surau setempatnya. Kita akan lihat ikhwah akhwat yang tidak pernah mempedulikan jiran tetangganya. Tidak pernah bertegur sapa dengan anak-anak yang bermain di depan rumah mereka, sedang mereka kata mereka dakwah kerana Allah, berdakwah kepada Allah... Tak perlu ana sebut satu-satu...

Semua orang patutnya dah jelas bab ni,,,

Akademik kita, cara kita memandu di jalan raya, cara hidup kita, makan kita, hubungan dengan rakan-rakan kita, dengan famili kita, dengan sesiapa sahaja di sekeliling kita, malah dengan suami atau isteri, dengan anak-anak kita, kerap kita abaikan... Tapi depan ikhwah akhwat bukan main baik lagi...

Tidakkah kisah-kisah para sahabat Ar-Rasul menjadi pengajaran buat kita?

Macam ni ke nak jadi khalifah?




Tuesday, September 1, 2009

Warkah untuk Ummi: T-T


Seorang ummi itu...

Seorang ummi itu...

Seorang ummi itu,,,

Sukar untuk aku gambarkan pengorbanannya. Kasih sayang yang diberikannya padaku, hinggakan aku terasa, seolah-olah akulah yang paling istimewa di sisinya.

Aku dilahirkan, dibesarkan dalam kepayahannya.
Sedang dia menuntut di universiti, terpaksa memilih sama ada 2:
Kasih sayang seorang anak atau ijazah yang kukuh.
Maka aku menjadi pilihannya.

Dan dengan jerih payah,
Aku dan adik-adikku dibesarkan.
Walau hidup tidak seberapa, namun kemanisannya tetap terasa,
Kerna dia seronok melihat pohon-pohon ini bercambah,
berbunga, dan berbuah.
Kamilah yang menjadi hiburannya sehari-hari.
Kadang-kadang tidak semua 'hiburan' ini menghiburkan hati.
Namun tidak pernah sekali langkah itu berhenti.

Aku membesar, belajar...
Memberontak...
Dan belajar kembali...
Menentang...
Dan belajar kembali,

Begitu tekad diriku memburu dunia,
Ummi tidak pernah lepaskan aku ke sana,
tanpa iringan doa dan usaha,
Yang akhirnya AKU MENJADI AKU kini,,,












Aku tidak sanggup berkarya panjang lebar lagi
Pagi ini tidaklah suram pada semua orang
Namun, padaku, kini ku temui gelita
Pernah aku temui dahulu gelita ini,
Namun ia terus hilang pabila cahaya yang hangat itu menyinari...

Ummi dulu mengidap kanser payudara, peringkat 2 daripada 4
Terus satu langkah tekad diambil,
Rela dikorbankan mahkota wanita itu untuk memelihara nyawa
Yang tidak mungkin dapat dicagar dengan apa pun materi
Buat kami, yang masih merindukan kasih sayangnya

Hari ini, selepas hampir 2 tahun saat pulihnya,
Kami kembali bersedih
Ummi kini disahkan berada di peringkat 4 daripada 4
Sel-sel perosak itu sedang marak ke seluruh anggota
Sekarang hati (hepa) sudah tumpas, esok entah bahagian yang mana
Tidak ramai yang sanggup mengubatinya, seolah tiada daya lagi
Masa demi masa,
Aku kembali bingung
Namun, melihat senyumannya,
Jiwa dan hatiku
Seolah bumi tandus ditimpa hujan

Aku sedar, bersedih bukan sikapnya seorang hamba Allah
Yang masih punya Allah
Selagi akidah ini terikat kukuh

Buat adik-adikku,
Singkapkanlah tangisanmu,
Hiburkanlah ummuna
Jagalah hatinya, walau ia seteguh berlian, namun layanlah ia ibarat kaca,
Yang tidak akan pernah kita sanggup melihat calarnya ia,
Retak jangan,
Apatah lagi pecah berderai...
Janganlah kamu semua berputus asa,
Kerana bukan itu yang ummuna pinta dari kita yang dibinanya,,,
Susunlah jari jemarimu...
Berdoalah agar Allah memberkati hidup kita bersama...
Semoga bertemu di jannah...
Aku dan kamu semua, sudah kuat bukan?
Kita bukan lagi kita yang dahulu bukan?
Semoga bertemu di jannah,,
Membentuk keluarga indah ini di sana...
Berdoalah lagi dan lagi
Berdoalah lagi dan lagi
Berdoalah lagi dan lagi

Semoga Ramadhan ini yang paling indah buat seorang ummi itu

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]