Monday, September 28, 2009

Hidup di atas Papan Catur


Catur. Aku sangat menggilainya! Dahulu, siang malam itulah kepedulianku. Pernah semalaman tidak ketiduran hanya kerana 1 perlawanan yang panjang. Berbulan-bulan tidak berlengang dari komputer, kerana bertarung di alam maya. Keghairahan itu tidak pernah hilang hinggalah aku mengenal erti sebenar kehidupan. Melalui perjalan hidupku itu, ingin aku rungkaikan sebuah ibrah yang tersemat.

Kehidupan permainanku ini bermula seawal di tahun 3 persekolahan. Sedang asyik beberapa orang bermain dengan jubin-jubin kecil, tudung-tudung botol dan kad-kad permainan keanak-anakan, aku berkenalan dengan buah-buah kenit itu. Ku lihat sahabatku ketika itu Afiq Mohd Lazim dan Hanis bermain dengan teriakan-teriakan mereka. Aku melihat dan tertanya-tanya. Dari sana ku kenal sebuah permainan yang begitu tragis menempelak akal dan jiwa yang selama ini ligat tanpa sebarang arah dan matlamat.

Itulah permainanku sejak itu. Pada waktu itu, aku tidak kenal Kasparov, Fisher, ataupun mana-mana Grand Master sekalipun. Jilid-jilid kitab khithah (strategi) pertarungan tidak pernah ku sentuh. Apa yang ku tahu, aku mesti menang setiap perlawanan. Dengan kepandaianku, keagressifan dan kelicikanku, aku menang. Kalahku adalah untuk sebuah pengajaran, yakni membuahkan sebuah lagi kejayaan. Dan kemenangan itu, membuatku kehausan dalam memburu kemenangan.

Semasa di sekolah menengah, berbekalkan hanya satu strategi; 3 Steps Check-Mate Variation, aku melangkah ke peringkat kebangsaan. Peringkat terbuka dan tertutup. Kekadang menang, ada buah tangan ke rumah. Kekadang kalah, pulang dengan seribu satu alasan. Baru aku mengerti, aku perlukan lebih kekuatan dan bekalan, bukan setakat strategi picisan itu.

Sepanjang alam persekolahanku, aku mengkajinya sehabisnya strategi-strategi catur yang terbuku di kitab-kitab lama. Aku kembali aktif ketika itu bila ketemu seorang sahabat; Wak, Naib Johan Negeri Sembilan. Dengannya aku mempelajari prediction, mengira-ngira pemikiran lawan, hingga 9 10 move ke hadapan. King Gambit percaturan kegemarannya, dan aku telah semakin fleksibel dengan King Opening Variable ku. Dan aku, mempraktikkannya, memantapkan taktik yang sama, hingga aku mahir menggunakannya.

Menentang pemain negeri ini, 3 perlawanan, kami seri setiap perlawanan. Setiap kali perlawanan, 2 jam masa dibazirkan. Baru aku tahu makna sebenar permainan ini. Senang je. Apabila sudah menjadi rutin, segalanya menjadi mudah, tanpa dorongan semangatpun, aku mampu memenangkannya.

Apabila di matrikulasi, tidak ku sangka Wak sekolej denganku. Kami mula merangka perancangan untuk membuat kumpulan menentang catur kumpulan. Segala pengalaman dan permasalahan tentang catur dikongsi bersama. Walau sejam setiap malam, untuk merangkul kejuaraan. Aku pun tak tahu dari mana datang kekuatan, tapi kumpulan kami, SAYUR namanya, menang tanpa halangan.

Aku dengan langkah berani, mengorak langkah ke terbuka peringkat dewasa. Dan nasibku tidak sebaik yang ku sangka. Walau dengan pengalaman dan pengetahuanku, aku tewas di tangan wakil-wakil Malaysia itu. Namun rakan-rakanku, berdiri gagah di atas podium. Rakan-rakanku yang banyak belajar dan menghafal dari buku-buku Grand Master itu.

Benar! Mereka ini, tidak pernah lengang dari buku-buku catur itu. Siang malam, membaca dan membayangkan. Namun aku enggan. Kerana bagiku, aku ialah aku. Bukan buku-buku itu yang mewarnaiku.

Tanpa aku sedar, tanpa pengalaman itu, aku kini sudah mencapai hadku...

Tanpa aku sedar, aku tidak perlu mengulangi kesilapan orang-orang terdahulu... untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang berbanding mereka.

Kita tidak perlu jatuh di lubang yang sama...

Bermimpilah,
Pasti kau rasa dekat dengan awan.

Bacalah,
Pasti kau menggapainya!

MEMBACALAH!!!



~~*~~


Hanya mereka yang benar-benar ingin memahami, dapat memahami makna sebenar di sebalik karangan panjang ini...

Apa kaitannya dengan hidup ini?

Apa kaitannya dengan dakwah kita?

2 comments:

ibnuajmain said...

syukran 4 da reminder ya akhi....

iya... kosa kata itu: MEMBACA ..... amat berat bagi sesiapa yang memahami.. cuma yang tinggal kini hanyalah mereka yang mahu..dan terus mahu maju.....atas relung ini.... ku harap, ku dikuatkan olehNya....

Abu Khalid said...

Kita mempunyai banyak peluang dalam membuat pilihan di dunia ini

Dan setiap kali langkah dan pilihan yang kita buat, kita akan belajar sesuatu

Dalam banyak perkara kita boleh belajar secara "try and error"

Namun di sana, kita kena sedar, akan ada limitnya dalam segala yang kita lakukan. Kita mesti belajar dari pengalaman orang lain.

Sperti ana, kerjaya ana dalam catur terhad kepada peringkat tertentu, hanya kerana ana enggan belajar dari pengalaman orang lain. Ana mahu mencipta arus, yang segalanya ana sendiri yang cetuskan.

Which, boleh. Tapi untuk pergi jauh, sorry la.

Jadi, membacalah. MENUNTUTlah, lagi2 dalam aktivisme dakwah. Yang mana sangat jauh matlamatnya... Yang mana kita tiada masa yang cukup untuk belajar sendiri semua perkara... Mengulang kembali semua kesalahan...

Bukan membaca tau.. Tapi MEMBACA, MEMBACA, MEMBACA... Mantapkan tsaqafah kita, yang akan ke medan perang pemikiran. Hujah kita perlu teguh, DAN DIBUKTIKAN DENGAN AMAL.

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]