Thursday, January 28, 2010

Wajibkah cinta kita?





Hati-hati

Sayangnya kita pada Allah. Sayangnya kita pada Rasul. Sayangnya kita pada Islam. Dan sayangnya kita pada jemaah islam yang besar ini, membuatkan kita tidak puas-puas beramal. Siang dan malam diinfakkan untuk menggapai mardhotillah. Dalam semua perkara!

Hati ini tidak pernah nyaman jika setiap hari tidak membuka quran. Membaca kata-kata semangat dan nasihat-nasihat qudama dakwah. Dan, jika tidak pergi ke usrah, umpama tiada kehidupan. Jika sehari tidak menghubungi ikhwah, diri ini umpama sudah sesat dalam dunia dan kemaksiatan. Bersama mereka, kekuatan diri dibina. Terasa aman bahagia, semakin bertambah hamasah untuk beramal dan beramal. Dan amalan itu pula semakin menambah hamasah dan ukhuwwah, atas ikatan keimanan. Begitulah bahagianya orang-orang yang hatinya sentiasa rindu dan cintakan Allah. Mereka mabuk dalam kecintaan mereka.

Segala-galanya dibuat kerana cinta yang satu itu.

Hinggakan, jika ada daripada mereka yang mensyirikkan cinta. Mensyirikkan dengan cinta kepada kecantikan kekasih. Atau kekayaan atau kepandaiannya. Ataupun mensyirikkan dengan harta dan pangkat. Mereka ini, pasti akan setia dengan cinta hanya kepada Allah, apabila sudah merasai halawatul iman. Kemanisan iman yang tiada tara.

Jangan kalian menagih cinta Korea apabila mengahwini mereka. Kerana mereka mencintai kalian juga hanya kerana Allah yang Esa. Cinta mereka pasti lebih hangat lagi, kerana disandarkan pada keimanan, cinta sejati itu. Bukannya cintakan kalian kerana warna dan kegebuan kulit, keturunan, kepandaian mahupun kekayaan kalian semata-mata.

Mereka yang mabuk cinta ini. Pasti tidak tertanggung-tanggung cintanya. Hingga pada akhirnya, cinta itu terembes-rembes, terasa mencodak-codak ingin keluar dari diri mereka. Ingin diluahkan kepada orang lain. Juga kerana cintakan mereka keranaNya. Mereka sedar cinta ini perlu dikongsi dan juga kerana kasihan melihat orang di sekeliling mereka masih kering hatinya. Bertambah-tambah pula, kekasih mereka yang satu itu, mengarahkan mereka untuk menyebarkan cinta kepada semua. Mereka yang paling banyak berkongsikannya, merekalah kekasih yang paling setia.

Tidak putus-putus usaha mereka mencari mangsa untuk akhirnya turut sama mencintai pencinta. Di kala subuh, zohor, asar, maghrib, isya mereka. Di kala baring, duduk dan berdiri mereka. Mereka tidak pernah puas dan mengenal erti putus asa. Setiap celah kolej dan universiti diselak. Satu demi satu untuk akhirnya bertemu dengan permata-permata cinta itu. Mereka bukanlah orang yang akan sentiasa menonjol dan menunjukkan balung mereka, kerana mereka itu selalunya menyorok agar jiwa mereka tidak dinodai kehitaman hati para pembenci ilahi. Pencarian tidak mengenal henti.

Bermulalah hari-hari mereka, dalam cinta mereka, untuk mengislah hati-hati. Hati-hati itu, kadang-kadang sudah diceroboh anasir-anasir asing yang menghalang cinta suci dari menghuni. Mereka menjadi mangsa sistem pendidikan tidak islami, menjadi mangsa media yang menghantui, menjadi mangsa syaitani globalisasi. Hati mereka itu sudah gundah gulana, tetapi mujurlah ada insan-insan yang sangat mengasihani mereka ini, sentiasa mencari peluang di setiap sesi dan hari, agar mereka juga akan turut sama mengenali, apakah itu cinta.


Dayusnya cinta tanpa cemburu di jiwa

Seringkali, apabila jejaka-jejaka ini mengenal cinta. Dengan begitu ramai orang juga merasainya. Mereka merasa amat cemburu. Cemburu jika masih ada orang yang tidak merasai cinta. Jika masih ada jiwa-jiwa di sekeliling mereka. Terutama 'junior' yang lebih rendah kastanya, masih belum lagi merasai cinta. Mereka rimas melihat mereka dalam jahiliyyah mereka. Setiap kata-kata yang tiada erti ketauhidan itu, didengar umpama rambu-rambu, ajakan-ajakan ke neraka. Lalu mereka mencadangkan sesuatu yang bernas, tetapi mengetepikan soal cinta.

Mereka ingin agar akhirnya usrah ini diwajibkan untuk semua. Mereka ingin semua orang, dengan rela atau paksa, menganggotai usrah ini kemudian dicakap-cakap tentang cinta. Mereka ingin jiwa-jiwa ini dididik sebegitu, kerana majoriti orang-orang di kolej mereka, pengetua, presiden pelajar dan semua buruh-buruh di tempat mereka kebanyakannya sedang memuji cinta. Mereka merasakan itulah yang terbaik untuk semua.

Mereka lupa, jiwa ini bukan untuk dipaksa-paksa. Rasulullah juga tidak mendidik jiwa para sahabat sebegitu. Dakwah dengan cinta ini, sangat lembut sentuhannya. Bukankah kita ini Ibadurrahman (Surah Furqan, ayat 70-an)? Bukankah mata kita tidak pernah melihat, kecuali dengan pandangan kasih sayang?

Mahukah kita lihat, semakin ramai orang membenci kita, bukan kerana apa yang kita bawa, atau kita cintai, tetapi kerana sentuhan kita yang tiada rasa cinta. Terasa kering dengan kitab-kitab yang kita bawa, ukhuwwah bagai tiada makna. Jiwa-jiwa yang gagah dan basah itu, tidak dapat dihasilkan dalam majlis penuh kekeringan seperti itu. Dan jiwa itu lari dengan hasutan yang akan mereka lemparkan kepada kita. Agar akhirnya tiada orang yang mahu bersama kita lagi dalam cinta ini. Mereka semua merasakan kejelekan cinta syok sendiri kita. Dan mereka bukan sahaja membenci kita, malah risalah ini juga. Mereka bukan sahaja tidak mendokong risalah ini, malah mengajak orang untuk menentangnya. Itulah yang terjadi di mana-mana kini. Bila kita sudah mula memaksa perasaan cinta.

Cinta yang berperingkat ini juga tidak akan sempurna jika kita secara peribadi tidak pernah merasainya. Jika kita tidak pernah mengatakan kecintaan dan mengajak orang secara peribadi bersama kita, jangan harap kita akan dapat mendidiknya jadi seperti kita. Kalaupun kita mampu mendidik dengan 'teori-teori' tanpa praktik itu, kita pasti tidak akan mampu berdiri sebegitu lagi seandainya kita berpindah ke tempat lain. Kerana sebenarnya cinta itu ada pada sistem, bukan pada diri kita. Ia bukan lahir dari diri kita. Ia lahir dari buku, dari sistem halaqah, dari tempat kita.

Maka, saudara-saudariku. Carilah cinta. Cintailah Ia. Pastikan dirimu menyebarkan perkataanmu penuh dengan perasaaan cinta. Jangan pernah diri ini rasa ingin laju, rasa terburu-buru sekadar ingin mempunyai ramai jiwa, namun tiada cinta.

Cinta ini lahirnya dari hati. Kurniaan ilahi. Maka pintalah padaNya. Ia kan memberi, dan itulah bekalanmu untuk kekasih-kekasihmu juga turut mencari. Satu-demi-satu. Perlahan-lahan, tanpa gelojoh, kita akan pasti memenangi hati-hati.







Hussaini.
Dalam kesakitan anggota.
Namun hati penuh dengan cinta.
Yang juga dibalas dengan cinta.
Alhamdulillah.

Tuesday, January 26, 2010

Masjid Melayu 2





Nah! Lihatlah bagaimana adab mereka dalam majlis ilmu.
Seakan-akan tidak ditarbiyyah dengan adab menuntut ilmu dalam hadis 2 Arbain.
:)


Mencari Pemuda Kahfi Melayu...
Mencari Pemuda Kahfi yang bersopan santun...
Pencarian diteruskan~

~~*~~

Gambar sekadar hiasan, bukan untuk menyerang mana-mana anggota ikhwah. Tetapi memberikan gambaran pemahaman kita tentang etika dalam majlis ilmu.

Aku sendiri secara peribadi lebih gemar berbaring dalam majlis-majlis sebegini. Sudah masanya aku menjadi lebih melayu. (Atau tidak?)

Monday, January 25, 2010

Masjid Melayu



Jarum pendek menunjukkan digit 6. Perlahan-lahan aku menutup pindu depan rumah. Membiarkan ia tidak berkunci, ikhwah lain masih sedang bersiap-siap untuk ke surau. Dengan memakai baju sejuk ber-hud, enjin kereta dihidupkan. Fikiran terawang-awang sambil menunggu enjin dipanaskan. Kesejukan pagi menggigit tulang hamba-hambanya yang belum mandi pagi ini, juga memaksa diri bersabar menanti enjin betul-betul bersedia menerjah keluar dari kawasan perumahan. Destinasinya ialah Masjid UPM. Seorang sahabatku akan mengisi ceramah pada pagi ini, ba'da subuh.

Sesampainya di masjid, rakaat sudah didirikan. Aku sekadar menjadi makmum masbuk. Sedang diri berma'thurat berseorangan, kelihatan orang sudah mula berkumpul di suatu sudut masjid sebesar dua padang bola sepak itu. Dan mereka semuanya berumur sekitar 50-an, 60-an. 'Rehal yang memuliakan al-Quran' diangkat menuju ke sana. Semua orang melakukan perkara yang sama, sambil tangan yang satu lagi memegang mushaf.

Ustaz AQ segera memulakan majlis. Sekitar 20-23 orang membentuk ladam kuda menghadap sang ustaz. Dari pengamatanku, aku yang paling muda di situ, 3 tahun lebih muda daripada sang ustaz. Bersila dan kusyuk membaca quran dan mendengar syarahannya. Surah ali-Imran ayat 27-35, huraian Syed Qutb dalam fi zilalnya. Mantap perkongsiannya, tidak hairanlah pakcik makcik yang mendengar ini begitu setia datang setiap minggu.

Tamat sahaja perkongsian itu, semua jemaah bersalam-salaman, sedang aku asyik meneliti musyafku dan baru ingin bangkit, datang seorang pakcik berjubah putih kepadaku. Wajahnya ceria seakan-akan datang untuk merisikku untuk dijadikan menantu. Ataupun datang untuk memujiku selaku seorang anak muda yang begitu mulia hadir ke majlis seperti ini, sedang rakan-rakan seusia denganku baru pulang dari kelab-kelab malam. Em, selalu sahaja perkara ini terjadi kepadaku. Pernah dahulu, seorang pakcik, selesai sahaja solat, dia memandangku sambil tersengih-sengih. Sudah puas menatap wajahku yang mungil ini, dia lantas menghulurkan not berwarna merah kepadaku. Aku menerima seadanya. "Baguh lhgo mu ni nok, rajhing-rajhing la maghi balai laghi yghe".

Kita kembali kepada cerita kita tadi. Maka terjadilah perbualan antara kami;

Pakcik : Anak ni datangnya dari mana?

Hussaini : Saya dari UPM pakcik, sedang buat Master sekarang ni. (sedikit tersipu-sipu)

Pakcik : Oh, anak ni tinggal di mana?

Hussaini : Saya tinggal dekat simpang sana tu pakcik, dengan kawan-kawan.

Pakcik : Anak ni ada belajar adab dalam majlis ilmu? (Nada berubah kepada sedikit menengking)

Hussaini : Er... Er... Takde pula pakcik, kenapa? (tertanya-tanya)

Pakcik : Pakcik nampak tadi anak ni duduk menghadap ustaz kita yang mulia tu.

Orang lain elok je duduk bersila, tapi kaki anak menjulur menghala ustaz tadi.

Apa anak ni tak belajar adab ke?

Macam ni ke sikap pelajar master?

Anak ni tak diajar ke?

Ayah asal mana? Kerja apa?

Pakcik malu tengok anak melayu cam gini.

Hussaini : Maaf ya pakcik, saya tak sengaja. Saya tidak biasa duduk bersila ni. Lagipun saya tidak tahu pula ada adab sebegitu.

Pakcik : Hormat la sikit orang lain. Kalu tak boleh sangat bersila, duduk kat belakang je. Pakcik tengok orang yang duduk belakang tu boleh je bersila.

Hussaini : Maaf ya pakcik.

Pakcik : Lain kali datang sini, cuba buat macam yang pakcik cakap tadi.

Hussaini : Ya, nanti saya cuba.

Pakcik : CUBA tau...
Hussaini : Insya-Allah saya cuba...


Ketawa ustaz AQ mendengar kisahku ini. Aku terkejut dengan apa yang menimpaku. Memang ya betul salahku juga yang tidak memahami kondisi-kondisi dalam majlis-majlis ilmu golongan veteran ni. Memang salah aku juga, sebab kurang bab-bab adab Melayu ni. Memang aku bukanlah seorang Melayu tegar. Kami memang tidak dilatih dalam suasana sedemikian, melayan adat-adat Melayu yang entah ke mana.

Walaupun pernah bersekolah di Sekolah Melayu Kuala Kangsar, sebuah kilang Orang Melayu berakal British, namun sepanjang aku di sana, tidak pernah pula majlis-majlis ilmu agama diadakan di sana. Totally sekular. Kalaupun ada majlis-majlis agama, adalah majlis-majlis formal di tempat-tempat formal ataupun bersama mereka seusiaku semasa di PLKN, Matrik dan Universiti. Dan sepenuhnya kelas agamaku tentunya bersama-sama ikhwah akhwat yang tidak pernah peduli soal ini.

Namun bukan itu persoalan yang membuatkan aku tersentak. Jiwa memberontak itu aku pujuk. Jiwa ini perlu dididik selari dengan deen-Nya. Ia perlu dipelihara dengan ketakwaan dan kesabaran.

Aku terfikir betapa sempitnya pemikiran masyarakat umum (cuba untuk tidak over-generalise). Mereka patutnya melihat betapa kurangnya belia yang sudi mampir ke masjid-masjid dan surau-surau. Apatah lagi ke majlis ilmu. Kempen mesra masjid ternyata gagal dalam percubaan aku kali ini. Patutlah tiada anak muda yang sudi menghadirinya. Sudahlah kering dengan ukhuwwah, senioriti pula dipinta dari mereka yang hadir.

Juga aku memuhasabah betapa tugas mengislah masyarakat bukan tugas enteng jika sel-sel masyarakat ini sendiri tidak dirawat, pemahaman agama mereka masih di sekitar apa yang mereka pelajari di zaman berkitab kuning dahulu. Jika agama yang mereka faham masih sesempit dahulu.

Sekadar perkongsian untuk semua. Suka jika sekiranya ada sebarang teguran buat diri yang masih ingin belajar ini.

Tuesday, January 19, 2010

Prostaziatul 'Alam





Malam siang berlalu. Gerhana kesyahduan tiada berkesudahan. Teori pembebasan hamba-hamba oleh ISHAB dan SA Maududi, mengajar kita bahawa revolusi islam bukan sekadar revolusi biasa. Hanya ia yang akan berjaya kerana sistem nilai yang ditawarkannya, dan perlaksanaannya memerlukan pelaksana yang benar-benar memahami hakikat sebuah pembebasan manusia. Pembebasan daripada penghambaan sesama manusia, kepada penghambaan hanya kepada Allah.

Tiada keraguan lagi akan kewajiban kita melaksanakan islam di dunia ini, bukan sekadar dalam diri dan doa kita semata-mata. Hakikat ini sejajar dengan kewajiban kita untuk melaksanakan dakwah kepada Allah. Untuk menggapai Mardhatillah (Keredhaan Allah). Benar, Rasulullah tidak meminta jawatan-jawatan di Madinah. Baginda dilantik oleh penduduknya tanpa mengira bangsa dan agama. Dan akhirnya kita belajar bahawa sibghah (celupan) Allah ini bukan untuk diri kita sahaja. Namun, ia perlu tertegak di seluruh dunia, dan dalam semua aspek kehidupan. Ya, sekecil-kecil adab masuk tandas, hingga pentadbiran negara. Syariah Allah di setiap keadaan diri. Dengan itu, setiap makhluk di langit dan BUMI akan bertasbih kepada Allah. Bukan sekadar bertasbih di atas sejadah atau ketika bercinta sahaja. Pada waktu itu, ketika kita sudah laksanakan islam sepenuhnya, dengan dakwah kita yang sudah sepenuhnya tersebar, kita mengharapkan kita sudah laksanakan tugas kita. Selagi belum, kita tidak layak untuk berehat walau sejenak, malulah wahai diri!

Apabila ditawarkan pangkat, harta dan wanita untuk menghentikan dakwah, Rasulullah sama sekali tidak berfikir 2 3 kali untuk menolaknya. Hinggakan, jika diberikan bulan dan matahari sekalipun, ia tidak dapat membayar mahar sebuah perjuangan. Perjuangan atas ketakwaan mencari keredhaan.

Prinsipnya jelas, LAILAHAILLALLAH MUHAMMADURRASULULLAH. Penafian tuhan selain Allah dan baiah Ar-Rasul sebagai pemandu jemaah manusia itu. Berdirinya sebuah dakwah itu, dengan akidah yang jelas. Berdirinya sebuah perjuangan itu, dengan perjuangan membentuk jiwa-jiwa Robbani, tanpa pencemaran walau setitik fikrah/pemikiran jahiliyyah. Seluruh nyawa dan harta mereka diserahkan untuk Allah.

Perjuangan ini, bukan sekadar perjuangan mengumpulkan orang. Ia perjuangan mengumpulkan jiwa-jiwa ISLAMI! Ianya perjuangan membina jiwa-jiwa ISLAMI! Kita tidak mengharapkan sistem pendidikan sekular kini, dapat melahirkan rijal-rijal yang sanggup mati dan muflis kerana islam. Ianya mustahil.

Jadi, sebarang usaha untuk meraih simpati melalui kempen-kempen pilihanraya, mengumpulkan mereka dan kemudian dengan sistem islam yang ditegakkan, ingin mendidik rakyat jelata, hanya lah sebuah usaha yang sia-sia. Usaha untuk menempatkan orang-orang yang bersimpati dengan kita untuk menjadi jurubicara buat kita, kemudian barulah mendidiknya juga merupakan suatu usaha yang sia-sia. Seorang General Tentera ketika zaman jahiliyyah tidak layak menjadi seorang tentera sekalipun dalam sistem islam yang mulia. Sistem ini sangat agung, kerana di setiap inci sistemnya, ia melaksanakan ketakwaan pada Allah. Ia bukan sekadar nama, atau sekadar sebuah negara dengan undang-undang menindas semata-mata. Ia datang dengan semulajadi, berperingkat dan seiring dengan pembentukan jiwa peribadi.

Kita ada ramai ikhwah akhwat yang menjawat semua jawatan kini. Dari menteri, ADUN, jutawan, perniaga berjaya, pengarah jabatan, TNC, dekan, pensyarah, tutor, pelajar post-graduan, dan berbagai-bagai jawatan-jawatan besar dan hebat yang awalnya diharapkan dapat membantu pengembangan sebuah fikrah di penjuru-penjuru bumi. Itulah niat awal penglibatan, tiada lain kecuali untuk ilahi.

Namun, ramai yang lupa dengan matlamat itu. Mereka disibukkan dengan kerja mereka, hingga tidak sudi memberikan masa dan tenaga. Mereka disibukkan jiwa hingga hanya mampu memberikan harta.

Berikan aku seorang tukang kebun yang menyerahkan jiwa nya sepenuhnya kepada Allah, akan aku ubah dunia.

Kita ada ramai ikhwah akhwat. Kita ada semua jawatan. Kita ada jawatan itu, kita ada jawatan ini, kita ada jawatan itu, kita ada jawatan ini. Yang kita tidak ada ialah Pendakwah.



Friday, January 15, 2010

Kita sangka kita sihat





Hari ini

Hari ini, aku bangun dari tidur dan melihat betapa hodohnya dunia. Ia penuh dengan kemungkaran, kemurungan dan penipuan. Tiada orang yang benar-benar gembira berada di dalamnya. Mereka sentiasa dalam ketakutan dan kesedihan. Hari-hari yang mereka lalui adalah sama dan terasa tiada makna.

Hari ini, aku melihat betapa indahnya dunia digambarkan oleh televisyen dan majalah-majalah hiburan. Terasa ingin menerjah masuk ke dalam layarannya. Semuanya kelihatan cantik, menawan, menyeronokkan, mengenyangkan, menenangkan. Dunia itu, sangat mengiurkan. Ibarat syurga. Aku tidak sabar-sabar untuk menggapainya. Dunia itu terasa sangat dekat dengan diri, hingga ia memisahkan ku daripada sebuah realiti.

Hari ini, aku membaca kisah-kisah pembunuhan di dada-dada akhbar. Dipenggal. Dipancung. Dibunuh dalam almari. Ditinggalkan dalam lori. Dibom. Disembelih. Dilemaskan. Cucu bunuh nenek. Anak bunuh mak dan ayah. Suami bunuh isteri.

Hari ini, aku menyaksikan kemaksiatan melata. Mereka berpesta seks di malam tahun baru masihi (kristiani). Mereka mabuk dengan air kencing syaitan. Menari hingga ke pagi. Dan membuang bayi-bayi. Ada yang menjadi mangsa kemaruk seksualiti kekasih, seorang hingga 14 orang. Ada yang sengaja menjadi mangsa, secara personal atau kepada kumpulan. Kes perlacuran tidak pernah berhenti. Pornografi membanjiri bumi. Pelacur diimport dari serata negeri dan luar negara.

Hari ini, aku menjadi saksi bahawa tiada siapa boleh lari daripada riba'. Semenjak di universiti sudah diperangkap oleh kerajaan sendiri hingga sudah bersuami masih tersepit di celah-celah digit dan subsidi. Ramai, tidak kira bangsa dan agama, menjadi mangsa kerakusan kapitalis yang membolot. Orang asyik menyalahkan Ah Long yang opurtunis, sedang di sebalik tirai, gigi-gigi palsu emas mengatur senyuman dan ketawa-ketawa kecil.

Hari ini, aku melihat bangsa dan agama mengemis di bumi sendiri. Mereka berasa rendah diri dan motivasi. Perasan sedang bebas merdeka, walau jiwa tidak dimiliki mereka. Sekadar menjadi boneka. Boneka kepada penjajah-penjajah keparat yang tidak pernah senang melihat kita taat kepada Pencipta. Mereka ingin kita semua tunduk di bawah telunjuk mereka. Selama-lamanya.

Hari ini, aku menangisi kejatuhan martabat ummah yang tidak pernah disedari ummatnya. Suatu sistem agung yang melindungi dan menjaga maslahat semua sudah runtuh. Namun, ummat sendiri yang meluruhkannya. Mereka, dalam gembira mereka, dalam tidur mereka, telah melakar suatu sejarah yang tidak tertanggung bodohnya. Hingga seorang Sultan yang bertakwa juga tidak mampu menghalang karamnya bahtera ummah. Ummah yang tidur, yang karam, tidak pernah sedar hakikat ini, kerana mereka semua, dalam diam dalam hati, menyebelahi tirani. Hebatnya tirani meraih simpati.

Hari ini, aku menyaksikan, sistem tirani masih gah di seluruh dunia. Merekalah ustaziatul alam. Hingga mereka meninggalkan kita dengan meninggalkan anjing-anjing peliharaan mereka menjaga kita semua. Siapa sahaja yang cuba memberontak dan cuba mengejutkan mangsa-mangsa lain, akan digigit dan dilumatkan. Anjing-anjing bodoh ini, mengacu-acu lengan dan kaki kita yang putus untuk menakut-nakutkan mangsa-mangsa yang lain. Tiada siapa yang berani lagi selepas itu. Kini mereka juga ingin menjadi seperti anjing-anjing itu. Cuba-cuba menyalak dan menggembirakan hati penjajah dari jarak jauh. Malangnya, penjajah lebih suka anjing-anjing lama dan kerabat mereka untuk menjilat kasut mereka. "If you know a brand, why do you choose another brands?"

Hari ini, aku melihat mangsa-mangsa keadaan ini sedang marah dan melenting kerana ada orang cuba mencuri nama tuhan mereka. Sedang selama ini mereka menyembah penjajah. Baru hari ini, aku nampak kepedulian mereka tentang agama mereka. Atau, mereka sedang pedulikan hak mereka sebagai sebuah bangsa. Al-maklum, tuhan sebuah bangsa cuba dikongsi bersama. Diberi betis, inginkan paha!

Hari ini, aku sedar, kita tidak pernah miliki apa-apa sejak terjajahnya jiwa raga, harta dan tanah kita. Kita umpama lembu-lembu yang sedang tunggu untuk disembelih. Cubalah makan banyak-banyak, anda lah yang akan menjadi mangsa kesayangannya. Tiada apa-apa yang boleh diharapkan daripada sistem jahiliyyah ini. Mereka tidak pernah jujur memberikan kita apa-apa. Mereka memberikan kita rumput-rumput segar dan dedak-dedak itu, untuk akhirnya mereka nikmati hasilnya.

Hari ini, aku mengajak semua orang-orang yang masih memiliki jiwa mereka untuk memikirkan masalah sebenarnya! Jangan hampiri tempat penyembelihan itu! Jangan cepat melatah dan menghulurkan leher di hujung pisau hanya kerana mahukan ianya cepat berakhir!!!



Kita menyangka kita sihat

Huk! Huk! Huk!

Bila kita batuk, kita sangkakan kita batuk, jadi kita hirup sesudu dua ubat batuk. Dan tidur dengan lena, dengan harapan ia akan melega. Tidur sambil tersenyum.

Bila kita demam, kita sangkakan kita demam, jadi kita makan dua biji ubat yang bisa menyembuhkan semua jenis penyakit, panadol namanya. Diminum seteguk air mineral. Dan tidur dengan lena, dengan harapan ia akan melega. Tidur sambil tersenyum.

Bila kita selsema, kita sangkan kita demam, ditelan antibiotik dan vitamin C. Seterusnya, ulang langkah 1 dan 2. Tidur sambil tersenyum.

Bila kita mengantuk dan pening-pening, kita sangkakan kita kurang rehat atau mungkin juga Migrain kita bakal menyerang kembali. Lalu kita tidur.

Tidak pernah dalam hemah kita untuk berjumpa dengan pakar perubatan, untuk mengesahkan kita terjangkit H1N1!!! Dan akhirnya, kita terkubur dalam kebodohan.





Wednesday, January 13, 2010

Andai masa dapat ku putarkan




Stargate SG-1, merentasi 4 Dimensi

Pernahkah dikau terfikir untuk memutarkan kembali masa? Mehnah dan tribulasi dalam hidup ini, selalu menekan jiwa orang-orang yang diuji. Jiwa dihimpit hingga merasakan diri boleh melakukan dengan lebih baik jika diberikan peluang buat kali kedua kerana selalunya kegagalan adalah kerana kecuaian diri daripada fokus melaksanakan amal yang sepatutnya dilaksanakan pada masa-masa tertentu.

Apabila seorang itu di universiti, gagal memperoleh keputusan peperiksaan yang diimpikan, lidah akan ringan berkata;

"Kalau aku studi betul-betul malam tadi, tak tidur, pasti aku akan dapat jawab soalan peperiksaan dengan baik"


Orang-orang yang gagal sedang dalam ketidak puas hatian dan terbayang-bayang balasan yang bakal diterima. Tak dapat kerja, dibuang universiti, disisihkan oleh rakan-rakan, diperlekehkan oleh keluarga. Semua itu berlegar-legar di kepala. Tiada sekelumit rasa bersyukur atas nikmat-nikmat lain yang Allah kurniakan. Dirinya tidak sudah-sudah menyesal, menangis tidak berlagu.

"Jika ibuku masih hidup, pasti akan aku turuti segala kemahuaanya. Akan aku gembirakannya setiap masa. Tidak akan aku habiskan masaku di hadapan komputer semata-mata ketika pulang ke kampung... Jika ibu masih ada..."

"Jika aku dapat kembali ke masa lampau, pasti aku akan mengawal nafsuku. Tidak aku turutinya. Tidak aku hayunkan parangku ke tengkuk dia. Sekarang kepalaku sudah berkarung hitam, menunggu masa untuk digantung..."

"Akan ku putarkan masa ini ke masa lepas, masa aku darjah satu... Akan aku habiskan masaku dengan belajar bersungguh-sungguh di saat orang lain sedang sibuk dengan permainan mereka..."

...

...

...



Itulah yang disuratkan oleh Allah dalam kalamnya, dalam surah An-Naba:


"Sesungguhnya Kami telah peringatkan kepadamu (orang kafir) azab yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang diperbuat oleh kedua tangannya, dan orang kafir berkata; "Alangkah baiknya seandainya dahulu aku jadi tanah""

(An-Naba' 78:40)


Betapa siksanya azab yang Allah telah sediakan buat orang-orang kafir. Orang-orang yang kufur, ya engkar kepadaNya.

Jiwa mereka (orang-orang yang diazab) ketika itu sangat-sangat-sangat berharap agar mereka dapat terlepas dari kekufuran itu. Mereka berharap sangat-sangat agar dapat memutarkan masa kembali.

Bukan diputarkan sehingga masa maut menerpa mereka. Bukan diputarkan sehingga dewasa mereka. Bukan juga diputarkan hingga zaman belia mereka. Bukan sekadar diputarkan hingga zaman remaja mereka. Bukan zaman kanak-kanak mereka. Bukan juga zaman mereka masih kain yang tidak berwarna. Sebelum itu lagi!!!

Ya. Orang-orang kafir, penyesalan mereka yang amat kelak, bukan sahaja berharap mereka tidak diciptakan, semasa menjadi nutfah (campuran air mani itu), namun mereka berharap dengan sepenuh pengharapan agar masa dapat diputar beribu-ribu tahun ke belakang. Hingga Nabi Adam a.s. tidak pernah diciptakan sama sekali!!!!

Mereka berharap agar mereka kekal menjadi tanah yang dihinjak-hinjak. Tanah itu lebih mulia berbanding mereka yang kufur.

Mereka berharap agar mereka tidak pernah berjanji setia, berbaiah, dan ber-aku janji dengan Allah sama sekali.


"Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman), "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab, "Betul (Engkau tuhan kami), kami bersaksi." (Kami lakukan ini agar semasa hari kiamat kamu tidak mengatakan, "Sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap ini..."

(Al-A'raf 7: 72)

Jelaslah sifat ber-kalau itu adalah konsekuensi ketidak-imanan seseorang pada qada dan qadar Allah. Ia adalah tanda-tanda orang-orang telah gagal dalam hidupnya, yang secara nyata adalah untuk pengabdian kepada Allah semata-mata. Dan ia seputar penyaksian terhadap rububiyyah, uluhiyyah dan hakimiyyah Allah.




Apa kaitannya dengan aku yang berdakwah ini? Aku bukan orang kafir!!!

Hidup ini adalah sebuah ujian keutuhan keimanan. Seperti ujian seorang kekasih untuk melihat betapa kasih dan setianya si kekasihnya kepada kekasihnya kepada kekasihnya kepada kekasihnya.

Sepanjang hidup ini, kita akan sentiasa diberikan pilihan. Di depan kita, akan dibentangkan al-Haq dan al-Batil. Ianya juga adalah cerminan pilihan kita di akhirat kelak, samada syurga atau neraka. Tiada jaminan buat kita di zaman ini, apakah kita akan 'memilih' syurga di penghujung nafas itu. Malah, tiada jaminan samada pilihan kita tepat atau tidak. Hanya Allah yang tahu.

Tiada jaminan untuk kita, walau semulia mana pun kita sekarang. Maka bersedialah dan sentiasalah pinta keampunan dari Allah. Semoga Allah menerima taubat kita. Usahlah kerana kegelapan silam menyebabkan kita putus asa dalam kehidupan. Semoga jalan islam yang kita pilih akan membimbing kita ke arah pertemuan yang penuh baraqah dengan Allah, dengan jiwa yang salima.

Janganlah Allah jadikan kita golongan yang tercicir di dunia dan akhirat. Yang malas bekerja, yang bertangguh-tangguh melaksanakan sebuah kewajiban menyelamatkan ummat dari penderitaannya. Takutnya diri jika terbangun dari tidur di hujung usia diri, saat rambut sudah beruban. Memandang dunia dengan penuh kesedihan, penuh keputus asaan, menangisi sebuah penyesalan, kerana kehancuran ummah atas kelalaian kita yang pernah mendapat sentuhan ini.

Dan akhirnya pada hujung sela-sela nafas itu, diri tidak dapat menanggung sebak ketakutan, mengenang apakah azab yang akan menimpa diri di akhirat kelak kerana sepanjang usia dihabiskan dengan hal yang sia-sia. Syahadah, suatu perjanjian untuk mengagungkan hakikat ketuhanan, hanya tinggal sendaan di bibir.

Apakah nasib kita kelak? Andai diri ini ditakdirkan futur dari jalan yang penuh dengan pancaroba ini. Andai diri sudah tidak sanggup merasai bebat beban sunnatullah jalan nubuwwah...

...

...

Takutnya andai diri masih membenarkan syaitan bertenggek di telinga, membisikkan suara-suara halus mereka, yang penuh dengan kenistaan




Monday, January 11, 2010

Marquee




Marquee (Baca: M-A-R-K-I) adalah sebuah perkataan inggeris yang dicuri dari bahasa perancis. Bermaksud sebuah khemah yang besar. Digunakan untuk acara-acara besar seperti rumah terbuka perayaan, majlis perkahwinan, sarkas dan peristiwa-peristiwa lain.

Ketika suatu ijtima' umum tabligh di Sepang pada tahun lepas, beberapa MARKI telah didirikan untuk melindungi 200,000 pengunjungnya. Setiap khemahnya itu, boleh memuatkan sehingga berpuluh ribu orang. MARKI juga didirikan secara sementara dalam MAHA 2006 (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Perlancongan Malaysia) sebelum pameran berikutnya (tahun 2008), tapak tetap didirikan di MARDI Serdang, hasil sambutan yang amat menggalakkan setiap tahun.

Begitulah pentingnya MARKI dalam kehidupan seharian. Mungkin ada yang mencantikkannya dengan pelbagai warna, bentuk dan jenis kain yang digunakan. Mungkin ada juga yang menambahkan hiburan padanya untuk menarik orang ke dalamnya. Dan mungkin juga ada orang yang membuatkan pengunjung MARKI selesa dengan penghawa dingin dan macam-macam lagi. Namun, hakikatnya jelas. MARKI adalah sebuah khemah sementara yang digunakan untuk teduhan orang-orang disekeliling sambil diri mereka melaksanakan kegiatan mereka, tidak kira di mana mereka berada, mengikut kesesuaian kerja-kerja mereka.

Ummah pada hari ini dipecahkan dan disiat-siatkan. Mereka cuba lari ke penjuru lain dunia, namun malangnya seluruh dunia sudah tidak selamat untuk mereka, hatta ke bawah tanah pun. Akhirnya, mereka terpaksa menjadi pengikut yang setia kepada musuh akidah mereka, malah menjadi lebih setia berbanding hamba-hamba yang lain. Kita akan melihat Turki itu lebih Eropah daripada Eropah itu sendiri, dari segala segi!

Malangnya kita, selepas tumbangnya perisai kita. Selepas runtuhnya rumah kita yang melindungi ummah secara total. Khilafah, yang melindungi ummah selama ini, akhirnya tumbang di tangan Mustafa Kamal (Semoga laknat Allah bersamanya). Keruntuhan suatu sistem agung yang juga meruntuhkan perpaduan ummah. Menjadikan setiap daripada mereka umpama kambing biri-biri kurus, berkurap dan tidak berbulu di tengah padang pasir Sahara.

Tahun baru 2010, akan menyaksikan perubahan-perubahan baik untuk umat islam seluruhnya (Amin). Kita harus memainkan peranan kita di setiap lokaliti dan nic kita berada. Kita harus mendirikan perisai ummah ini di mana kita baring, duduk dan berdiri. Dirikanlah MARKI di mana-mana. Himpunkan orang di dalamnya, lindungilah dirimu dan mereka, dan bersamalah mengenal pencipta. Isi lah lompong-lompong hati dengan islam. Semoga Allah menitipkan kepada nya dengan ketakwaan hanya kepadanya. Ya, pastikan MARKI-MARKI sebegini didirikan di tempatmu. Hapuskan semu, ragu-ragu dalam dirimu!

Kemudian, akan kita gabungkan MARKI-MARKI kita perlahan-perlahan untuk memastikan kesatuan itu berlaku di setiap peringkat. MARKI ini akan membesar hingga tiada titisan hujan kemaksiatan yang mampu menodai insan-insan di bawah MARKI kita, di watan kita. Dengannya, kita akan mencapai IKRAM (Kemuliaan). IKRAM yang akan menyebabkan lebih ramai orang menyahut dakwah kita dari kalangan muslim dan non-muslim. Hingga dakwah itu tidak lagi terpencil dalam bilik-bilik kita dan blog-blog kita. Ia akan tersebar ke seluruh alam dan menjadikan semuanya IKRAM.

Semestinya, IKRAM itu hanya boleh dicapai dengan ISLAM.



Sunday, January 10, 2010

Buat mereka yang benar-benar SERIUS!!!



Mustafa Masyhur
1. Fiqh Dakwah Jilid 1
2. Fiqh Dakwah Jilid 2


Syed Qutb
1. Inilah Islam (Hazaddeen)
2. Masa depan untuk Islam (Mustaqbalu hazaddeen)
3. Hari Esok untuk Islam
4. Masyarakat Islam
5. Di bawah panji-panji Islam
6. Beberapa studi tentang Islam (Dirasatul islamiyyah)
7. Petunjuk di sepanjang Jalan (Ma'alim fit toriq)
8. Tafsir di bawah bayang-bayang al-Quran (Fi zilalil quran) - Juzuk 25,26,27, 28, 29, 30.


Hassan Al-Banna
1. Himpunan Risalah Al-Banna

~Antara semalam dan Hari ini
~Dakwatuna
~Kepada Para Pemuda
~Bingkisan Jihad
~Muktamar Khamis
~Risalah Ta'lim

2. Memoar Hasan Al-Banna (Mudzakkiratud Dakwah wad Daiyah)



Muhammad Ahmad Ar-Rasyid
1. Langkah Bermula (Muntalaq)
2. Hambatan-hambatan Dakwah (Awaiq)
3. Pelembut Hati (Raqaiq)
4. Life Making (Sinaatul Hayah)
5. Khittah Dakwah (Al-Masaar)
6. Bencana Fitnah (Fadaeh Fitan)


Muhammad Al-Ghazali
1.Pilar-pilar kebangkitan Ummah


Hasan Hudaibi
1. Pendakwah, bukan penghukum (Daei wa la qudo')


Jum'ah Amin Abdul Aziz
1. Tarikh Al-Ikhwan Al-Muslimun Jilid 1
2. Tarikh Al-Ikhwan Al-Muslimun Jilid 2 (Bacaan tambahan untuk benar-benar memahami WAQI)
3. Tarikh Al-Ikhwan Al-Muslimun Jilid 3 (Bacaan tambahan untuk benar-benar memahami impak dakwah ikhwan dalam masa 10 TAHUN!!!)


Ab'ul 'Ala Al-Maududi
1. Proses Revolusi Islam (Versi Indonesia dan Yayasan Terengganu)
2. Proses Pembinaan Negara Islam (Versi Pustaka Salam)


Lajnah Ikhwan
1. Prinsip-prinsip gerak Al-Ikhwan Al-Muslimun


Taufik Yusuf Waei
1. Gerakan-gerakan Islah (Buku Pink)



Barang siapa yang membunuh masanya, sesungguhnya sama saja dengan membunuh dirinya sendiri, kerana waktu adalah kehidupan itu sendiri. (ISHAB, 1938)


Hanya syahid menjadi rehat kita. Antara amal dan kata-kata ada suatu jurang yang besar.

Thursday, January 7, 2010

Cinta anta-anti (Episod 1)








Dakwah kita pernah mengisi setiap ruang yang ada

Pada tahun 70-an, gerakan dakwah begitu pesat hingga memberikan kesan yang besar kepada kesedaran islam di Malaysia pada waktu itu. Ianya pesat, hingga dakwah mengisi banyak ruang di celah-celah masyarakat ketika itu. Masyarakat islam yang ketika itu, amat pelik jika berbicara tentang islam, dan para ulama dianggap sangat asing, namun ianya berubah dengan mendadak.

Kaum perempuan sudah mula bertudung, dan kaum lelaki sudah mula meninggalkan seluar pendeknya. Agama juga bukan sekadar amal di surau atau masjid sahaja. Dakwah semakin luas ke media dan setiap lapisan masyarakat hingga tahun 90-an. Remaja dan Belia pada ketika itu sangat terkedepan, malah ikhwah dari negara-negara lain turut datang ke Malaysia untuk meminta tunjuk ajar ikhwah di Malaysia, melihat perkembangan dakwahnya. Pada waktu itu, sekolah-sekolah islah tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Ikhwah menghiasi hidupnya dengan bacaan quran dan lagu-lagu jihad arab yang sangat tegas dan bersemangat. Teringat lagi lagu "Al-Ardhu lana wal-Qudsu lana" dan "Tahanina" yang tidak henti-henti kedengaran dalam kereta buruk keluarga kami ketika itu. Kadang-kala, lagu nasyid Nada Murni dan Nahwan Nur memberikan ruh islami yang "praktikal" sedang abi dan ummi membina Baitul Muslim kami.

Pada tahun ~1998, suatu gelombang baru media menusuk ke dalam masyarakat. Masyarakat yang pada awalnya hanya terdedah kepada lagu-lagu mainstream inggeris, mendayu-dayu tradusional melayu, dan rock kapak spring, sudu, etc., menerima gelombang baru dari dari barat. Kumpulan Nsync, Backstreet Boys, WestLife, Five, Moffats menghiasi corong radio dengan sambutan yang sangat padu daripada remaja-remaji. Ditambah pula dengan pengenalan TV Satelit Parabola Astro dan Internet yang membuka remaja-remaji kita kepada dunia luar yang lebih ganas lagi. Ketika itu, masyarakat dan media sedang mencipta ilah baru yang lebih ditaati lagi. Pada waktu ini, suatu ilah bernama "Hedonisme" dicipta dan dibentuk dan dimasyarakatkan.

Ya. Dahulu ada gelombang sebegini, namun dakwah telah melemahkannya. Dan yang paling penting, penggerak dakwah (Muharrik) terasing daripada terkena serangan sedemikian. Perkembangan dakwah tidak terencat kerana serangan itu. Muharrik masih dapat melindungi keluarganya dan nizomul usroh daripada berdiplomasi dengan hedonisme. Sukar untuk mencari keluarga ikhwah yang ada TV pada waktu itu. Kerana ia seolah-olah membawa musuh ke dalam rumah. Mentarbiyyah dzatiyyah anak-anak dengan jahiliyyah. Hingga pada waktu itu, ketika abi menjual keretanya Proton Saga Iswara (No. Plat: TQ 2885), ada satu spek yang sangat menarik minat pembelinya:

"Kereta ini tidak pernah kedengaran suara di dalamnya selain quran dan nasyid... Alhamdulillah"


Aku pada ketika itu, sangat bangga akan ketegasan keluarga kami dalam melaksanakan syariat sepenuhnya. Jauh daripada jahiliyyah walau sepatah kata. Membina izzah dalam diri hingga kini.

Aku percaya, fenomena ini tidak berlaku dalam kelompok kita sahaja. Seluruh Malaysia, pengemban-pengemban dakwah semakin bertambah dari hari ke hari dari semua sudut dan wajihah-wajihah islam. Pada waktu itu, benih-benih ditanam, hingga terasa hanya tinggal masa untuk pokok itu membesar, dan buah-buah ranumnya dapat dinikmati bersama.







~~*~~


Sengaja diletakkan gambar askari, bukan gambar penuh nilai kasih sayang, sangat-sangat ingin menghindar jiwa lemah-longlai bila membincangkan isu ini.

Ini serius!






Maksiat seorang hamba




Apabila Abdullah bin Ubai lari

Sirah di mata pejuang islam, bukan setakat tatangan ilmu penyejuk kalbu. Ia umpama suatu kitab besar buat mereka yang ingin merasai ruh perjuangan pejuang-pejuang awal dahulu. Itulah yang kita patut rasakan apabila 300 orang tentera islam, diketuai seorang munafik bernama Abdullah bin Ubai menarik diri dari peperangan. Alasannya mudah, perang itu tidak diberkati Allah. Umpama membunuh diri, mati katak tanpa restuNya. Sedangkan Rasul sedang berbaju besi di kalangan mereka.

Tinggallah sekitar 600 orang pejuang islam yang benar-benar ikhlas. Keikhlasan tanpa keraguan sama sekali. Jiwa dan harta mereka serahkan untuk islam. Sahabat-sahabat dari pelbagai latar belakang dan usia, mara ke hadapan, menghadap 3000 orang pejuang musyik durjana. Hati mereka tenang dalam panas cuaca, namun berkobar penuh motivasi. Kelengkapan kini jauh lebih lengkap berbanding perang badar yang serba kekurangan. Malah mereka lengkap dengan askar di pelbagai kedudukan. Walau dengan perasaan geram ingin sahaja dibunuh tentera-tentera yang lari itu, namun langkah tetap diatur. Satu demi satu, menuju bukit uhud.

Askar-askar yang patuh ini, telah teruji keupayaan mereka dalam perang badar. Telah teruji ukhuwwah mereka semasa hijrah dan selepasnya. Telah teruji ketaatan mereka melawan Qainuqa'. Akidah mereka yang paling pekat dan paling bersih hingga lulus ke perang antara dua akidah yang tidak pernah bertoleransi. Mereka meninggalkan kenikmatan cuaca di Madinah, makanan-makanannya, anak dan isteri serta harta-harta mereka yang nyaman, untuk suatu pembuktiaan kehambaan, bukan sekadar meraikan nafsu mainan syaitan.

Mereka disusun dalam saff yang sangat rapi, dengan posisi strategi berlandaskan wahyu ar-rasul yang ma'sum. Hinggakan seluruh pasukan kuda merasai hujan anak panah yang sangat lebat. Panglima-panglima quraisy juga mati dalam perlawanan individu. Hinggakan 15 orang perempuan penyorak quraisy tidak dapat menahan pengunduran hero-hero mereka dari medan. Allah telah menanamkan bibik-bibik kecintaan kehidupan dalam diri mereka hingga mereka merasai ketakutan yang amat melihat seorang demi seorang rakan mereka gugur dicantas tentera kebenaran.

Anehnya. Anehnya. Anehnya. Dalam keyakinan yang pasti itu, para pemanah islam di atas bukit uhud gagal menahan nafsu mereka. Gugurnya tentera Quraisy bersama harta mereka. Satu per satu. Jatuhnya pedang-pedang ternama. Jatuhnya perisai gah. Jatuhnya baju-baju perisai. Jatuhnya harta-harta. Menyilaukan pandangan mereka dari jarak jauh.

Hati mereka menjerit-jerit andai harta itu tidak sempat mereka miliki, hanya kerana ia jauh dari mereka. Membayangkan ia lebih pantas dimiliki sahabat-sahabat yang beradu kekuatan secara lansung itu, yang secara terus merentap harta-harta itu dari badan musuh-musuh mereka. Ia membuatkan badan mereka gagal menahan sapaan syaitan, nafsu membuak-buak meminta agar jangan dizalimi hak diri. Aku ada bahagian aku. Inilah masanya. Aku perlu ke sana. Kita sudah menang. Dan aku ada hak aku. Aku akan menuntutnya.

Maka, engkarlah beberapa orang yang engkar dari arahan rasulullah. Turun mereka dari bukit uhud. Membiarkan ketua pemanah dan beberapa yang lain terkapai-kapai, terpinga-pinga, umpama layang-layang tidak bertali. Nafsu serakah menang, ia menguasai dan menumbuhkan kecintaan dunia ke dalam jiwa-jiwa pejuang.

Hingga akhirnya datang dari belakang mereka, pedang-pedang tajam. Menghancurkan badan mereka, menghancurkan kekuatan umat islam, menghancurkan harapan kemenangan. Menghancurkan hati-hati orang yang beriman.

Hancur luluh, kerana Allah menarik nilai kemenangan islam, hanya kerana jiwa mereka dinodai kemaksiatan. Hanya kerana maksiat mereka, seluruh ummat islam menanggung derita. Hanya kerana mereka yang mendakwa mereka beriman itu gugur, seluruh kekuatan islam lumpuh. Kemaksiatan bukan sahaja mematikan hati mereka, namun ia merebak di kalangan mereka, hingga akhirnya semua terkesima. Mereka lupa kekuatan itu datang hanya kerana Allah bersama mereka.

Putusnya hubungan mereka dengan Allah, maka, mereka menempah binasa untuk seluruh batallion pejuang-pejuang yang beriman. Hanya kerana mereka.




"Ya Allah, peliharalah aku daripada kemaksiatan yang Kau benci"

"Ya Allah, janganlah Kau memutuskan ikatan hati-hati kami kerana maksiat yang kami sukai"

"Ya Allah, janganlah Kau biarkan ummat ini terus menderita hanya kerana aku masih tidak putus-putus melanggar arahanMu"




Memercik kilatan
Dari rempuh pedang pahlawan
Syuhada

Amarah memuncak dalam dada Khalid
Dan Abu Sufian dibayangi syaitan
Dan sekelip mata
Gurun pun bergema
Laungan syahadah
Gempita amarah menerpa
Dan berkibarlah panji-panji
Syuhada

Gurun jadi merah
Dada dibusar panah
Dengan pedang Alloh
Kemenangan kan terserah

Mendoakan wiranya
Gunung jadi saksi
Setia pun mula goyah
Nafsu pun menerjah
Khazanah mula mengabur mata

Ooo .. panji dilepaskan
Ooo.. Nabi amat pedih
Mendoakan wiranya
Yang terlalu alpa
Dan sedang mabuk harta

Musyrikin berpesta
Di tengah laut darah
Bergelimpangan para pejuang Muslimin
Oo.. Pedihnya

Gurun jadi merah
Dada dibusar panah
Dengan pedang Allah
Kemenangan kan terserah
Gunung jadi saksi
Setia pun mula goyah
Nafsu pun menerjah
Khazanah mula mengabur mata

Monday, January 4, 2010

Palestine Will Be Free





~~*~~


Seorang akh pernah berkata kepadaku,

"Teruskan berjuang, kita akan bersolat bersama di Masjidil Aqsa satu hari nanti"

Menitis air mata mendengarkan kata-kata itu. Walaupun kedengaran mustahil, namun itulah semangat yang sangat tinggi, tidak dapat dicapai oleh semangat mereka-mereka yang lemah. Semakin kuat kaki ini mengharungi setiap langkah dan liku-liku kehidupan.

Tiada masa tuk berpangku tangan. Setiap titis peluh dan darah, tidak akan sirna ditelan masa. Segores luka di jalan Allah akan menjadi saksi pengorbanan.




Keliru memilih haluan





Luangkan masa anda untuk menonton video ini. Semoga diberikan kekuatan untuk membuat pilihan sepanjang di alam fatamorgana. Benar, generasi kini diserang ad-Dajjal dari segenap ruang. Berikan masa kepada diri untuk menilai al-Haq dan al-Batil.

Kini saat untuk berubah!






Sunday, January 3, 2010

Dunia ini mudah




Yang terasa sukar itu dakwah!

Tersohor kisah seorang akh yang sangat menepati masa (haaritsun 'alal waqtun). Dia tidak pernah lewat ke liqa'. Hinggalah pada suatu hari, pertubuhannya memerlukan wang daripada ahli untuk membuka kantor mereka. Hari berlalu hingga pada pertemuan berikutnya akh tersebut hadir lewat, tidak seperti kebiasaannya.

Apabila ditanya, dikatakan pada hari tersebut, akh tersebut menaiki kenderaan awam dan berjalan dari rumahnya.

"Bukankah akhi ada basikal?"

"Basikalku ada dalam tanganmu sekarang, gunakanlah ia untuk pembinaan kantor dakwah kita", katanya sambil memberikan sejumlah wang kepada sang naqib.

Sikap sedemikian bukan senang didapati kini. Namun, dalam dunia tarbiyyah ini, rijal-rijal sebegini terus dan terus dicetak. Semuanya sanggup mengorbankan segala-galanya, asalkan dakwah tetap mekar. Asalkan makin ramai insan-insan mendapat sentuhan robbani. Mereka ini terus itsarkan kepentingan ummah berbanding kepentingan diri sendiri.

Senang dibicara, namun payah terlaksana. Seandainya iman dalam diri tidak dapat berbicara.



Musykilahku hanya dakwah

Pada awal tarbiyyahku, mengikut pengalaman mereka yang lebih tua daripadaku, usrah ini umpama sebuah keluarga yang saling lengkap melengkapi dalam mengharungi samudera kehidupan ini. Di sinilah ahli-ahlinya saling berkongsi masalah-masalah yang menghantui hidupnya.

Setelah lama bergelumang di dalamnya. Setelah memahami fikrah islamiyyah. Setelah mendengar banyak kisah-kisah anbiya, para sahabat dan pejuang dakwah yang lain, diri ini kian memahami, hidup ini hanyalah untuk dakwah. Kita adalah pendakwah sebelum segala sesuatu. Bahkan tiada masa untuk melayan hawa nafsu yang meliar. Arah hidup ini dipandu 100% oleh Al-Quran dan As-Sunnah, kerna diri memahami, jambatan ini suka menghambat pelintas-pelintas yang berani bermain-main di tepian sambil mengambil gambar laut yang terbentang luas.

Jika hidup ini untuk dakwah, maka tiada masa untuk berfikir selain tentang islam dan ummah. Kemaslahatan diri hanyalah agar tetap dapat hidup di atas jalan ini, itupun sudah ditentukan Allah rezeki. Jadilah kita umpama Saidina Abu Bakar, tidak meninggalkan apa-apa untuk keluarganya, selain Allah dan Rasul. Betapa yakinnya dirinya dengan ketentuan ilahi. Dunia ini letaknya di tangan, bukan menyorok di sebalik kedut-kedut hati.

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]