Friday, January 15, 2010

Kita sangka kita sihat





Hari ini

Hari ini, aku bangun dari tidur dan melihat betapa hodohnya dunia. Ia penuh dengan kemungkaran, kemurungan dan penipuan. Tiada orang yang benar-benar gembira berada di dalamnya. Mereka sentiasa dalam ketakutan dan kesedihan. Hari-hari yang mereka lalui adalah sama dan terasa tiada makna.

Hari ini, aku melihat betapa indahnya dunia digambarkan oleh televisyen dan majalah-majalah hiburan. Terasa ingin menerjah masuk ke dalam layarannya. Semuanya kelihatan cantik, menawan, menyeronokkan, mengenyangkan, menenangkan. Dunia itu, sangat mengiurkan. Ibarat syurga. Aku tidak sabar-sabar untuk menggapainya. Dunia itu terasa sangat dekat dengan diri, hingga ia memisahkan ku daripada sebuah realiti.

Hari ini, aku membaca kisah-kisah pembunuhan di dada-dada akhbar. Dipenggal. Dipancung. Dibunuh dalam almari. Ditinggalkan dalam lori. Dibom. Disembelih. Dilemaskan. Cucu bunuh nenek. Anak bunuh mak dan ayah. Suami bunuh isteri.

Hari ini, aku menyaksikan kemaksiatan melata. Mereka berpesta seks di malam tahun baru masihi (kristiani). Mereka mabuk dengan air kencing syaitan. Menari hingga ke pagi. Dan membuang bayi-bayi. Ada yang menjadi mangsa kemaruk seksualiti kekasih, seorang hingga 14 orang. Ada yang sengaja menjadi mangsa, secara personal atau kepada kumpulan. Kes perlacuran tidak pernah berhenti. Pornografi membanjiri bumi. Pelacur diimport dari serata negeri dan luar negara.

Hari ini, aku menjadi saksi bahawa tiada siapa boleh lari daripada riba'. Semenjak di universiti sudah diperangkap oleh kerajaan sendiri hingga sudah bersuami masih tersepit di celah-celah digit dan subsidi. Ramai, tidak kira bangsa dan agama, menjadi mangsa kerakusan kapitalis yang membolot. Orang asyik menyalahkan Ah Long yang opurtunis, sedang di sebalik tirai, gigi-gigi palsu emas mengatur senyuman dan ketawa-ketawa kecil.

Hari ini, aku melihat bangsa dan agama mengemis di bumi sendiri. Mereka berasa rendah diri dan motivasi. Perasan sedang bebas merdeka, walau jiwa tidak dimiliki mereka. Sekadar menjadi boneka. Boneka kepada penjajah-penjajah keparat yang tidak pernah senang melihat kita taat kepada Pencipta. Mereka ingin kita semua tunduk di bawah telunjuk mereka. Selama-lamanya.

Hari ini, aku menangisi kejatuhan martabat ummah yang tidak pernah disedari ummatnya. Suatu sistem agung yang melindungi dan menjaga maslahat semua sudah runtuh. Namun, ummat sendiri yang meluruhkannya. Mereka, dalam gembira mereka, dalam tidur mereka, telah melakar suatu sejarah yang tidak tertanggung bodohnya. Hingga seorang Sultan yang bertakwa juga tidak mampu menghalang karamnya bahtera ummah. Ummah yang tidur, yang karam, tidak pernah sedar hakikat ini, kerana mereka semua, dalam diam dalam hati, menyebelahi tirani. Hebatnya tirani meraih simpati.

Hari ini, aku menyaksikan, sistem tirani masih gah di seluruh dunia. Merekalah ustaziatul alam. Hingga mereka meninggalkan kita dengan meninggalkan anjing-anjing peliharaan mereka menjaga kita semua. Siapa sahaja yang cuba memberontak dan cuba mengejutkan mangsa-mangsa lain, akan digigit dan dilumatkan. Anjing-anjing bodoh ini, mengacu-acu lengan dan kaki kita yang putus untuk menakut-nakutkan mangsa-mangsa yang lain. Tiada siapa yang berani lagi selepas itu. Kini mereka juga ingin menjadi seperti anjing-anjing itu. Cuba-cuba menyalak dan menggembirakan hati penjajah dari jarak jauh. Malangnya, penjajah lebih suka anjing-anjing lama dan kerabat mereka untuk menjilat kasut mereka. "If you know a brand, why do you choose another brands?"

Hari ini, aku melihat mangsa-mangsa keadaan ini sedang marah dan melenting kerana ada orang cuba mencuri nama tuhan mereka. Sedang selama ini mereka menyembah penjajah. Baru hari ini, aku nampak kepedulian mereka tentang agama mereka. Atau, mereka sedang pedulikan hak mereka sebagai sebuah bangsa. Al-maklum, tuhan sebuah bangsa cuba dikongsi bersama. Diberi betis, inginkan paha!

Hari ini, aku sedar, kita tidak pernah miliki apa-apa sejak terjajahnya jiwa raga, harta dan tanah kita. Kita umpama lembu-lembu yang sedang tunggu untuk disembelih. Cubalah makan banyak-banyak, anda lah yang akan menjadi mangsa kesayangannya. Tiada apa-apa yang boleh diharapkan daripada sistem jahiliyyah ini. Mereka tidak pernah jujur memberikan kita apa-apa. Mereka memberikan kita rumput-rumput segar dan dedak-dedak itu, untuk akhirnya mereka nikmati hasilnya.

Hari ini, aku mengajak semua orang-orang yang masih memiliki jiwa mereka untuk memikirkan masalah sebenarnya! Jangan hampiri tempat penyembelihan itu! Jangan cepat melatah dan menghulurkan leher di hujung pisau hanya kerana mahukan ianya cepat berakhir!!!



Kita menyangka kita sihat

Huk! Huk! Huk!

Bila kita batuk, kita sangkakan kita batuk, jadi kita hirup sesudu dua ubat batuk. Dan tidur dengan lena, dengan harapan ia akan melega. Tidur sambil tersenyum.

Bila kita demam, kita sangkakan kita demam, jadi kita makan dua biji ubat yang bisa menyembuhkan semua jenis penyakit, panadol namanya. Diminum seteguk air mineral. Dan tidur dengan lena, dengan harapan ia akan melega. Tidur sambil tersenyum.

Bila kita selsema, kita sangkan kita demam, ditelan antibiotik dan vitamin C. Seterusnya, ulang langkah 1 dan 2. Tidur sambil tersenyum.

Bila kita mengantuk dan pening-pening, kita sangkakan kita kurang rehat atau mungkin juga Migrain kita bakal menyerang kembali. Lalu kita tidur.

Tidak pernah dalam hemah kita untuk berjumpa dengan pakar perubatan, untuk mengesahkan kita terjangkit H1N1!!! Dan akhirnya, kita terkubur dalam kebodohan.





1 comment:

Anonymous said...

'Hari ini, aku menangisi kejatuhan martabat ummah yang tidak pernah disedari ummatnya.'

Sgt menyentuh qalbi....

sob-sob...

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]