Thursday, January 28, 2010

Wajibkah cinta kita?





Hati-hati

Sayangnya kita pada Allah. Sayangnya kita pada Rasul. Sayangnya kita pada Islam. Dan sayangnya kita pada jemaah islam yang besar ini, membuatkan kita tidak puas-puas beramal. Siang dan malam diinfakkan untuk menggapai mardhotillah. Dalam semua perkara!

Hati ini tidak pernah nyaman jika setiap hari tidak membuka quran. Membaca kata-kata semangat dan nasihat-nasihat qudama dakwah. Dan, jika tidak pergi ke usrah, umpama tiada kehidupan. Jika sehari tidak menghubungi ikhwah, diri ini umpama sudah sesat dalam dunia dan kemaksiatan. Bersama mereka, kekuatan diri dibina. Terasa aman bahagia, semakin bertambah hamasah untuk beramal dan beramal. Dan amalan itu pula semakin menambah hamasah dan ukhuwwah, atas ikatan keimanan. Begitulah bahagianya orang-orang yang hatinya sentiasa rindu dan cintakan Allah. Mereka mabuk dalam kecintaan mereka.

Segala-galanya dibuat kerana cinta yang satu itu.

Hinggakan, jika ada daripada mereka yang mensyirikkan cinta. Mensyirikkan dengan cinta kepada kecantikan kekasih. Atau kekayaan atau kepandaiannya. Ataupun mensyirikkan dengan harta dan pangkat. Mereka ini, pasti akan setia dengan cinta hanya kepada Allah, apabila sudah merasai halawatul iman. Kemanisan iman yang tiada tara.

Jangan kalian menagih cinta Korea apabila mengahwini mereka. Kerana mereka mencintai kalian juga hanya kerana Allah yang Esa. Cinta mereka pasti lebih hangat lagi, kerana disandarkan pada keimanan, cinta sejati itu. Bukannya cintakan kalian kerana warna dan kegebuan kulit, keturunan, kepandaian mahupun kekayaan kalian semata-mata.

Mereka yang mabuk cinta ini. Pasti tidak tertanggung-tanggung cintanya. Hingga pada akhirnya, cinta itu terembes-rembes, terasa mencodak-codak ingin keluar dari diri mereka. Ingin diluahkan kepada orang lain. Juga kerana cintakan mereka keranaNya. Mereka sedar cinta ini perlu dikongsi dan juga kerana kasihan melihat orang di sekeliling mereka masih kering hatinya. Bertambah-tambah pula, kekasih mereka yang satu itu, mengarahkan mereka untuk menyebarkan cinta kepada semua. Mereka yang paling banyak berkongsikannya, merekalah kekasih yang paling setia.

Tidak putus-putus usaha mereka mencari mangsa untuk akhirnya turut sama mencintai pencinta. Di kala subuh, zohor, asar, maghrib, isya mereka. Di kala baring, duduk dan berdiri mereka. Mereka tidak pernah puas dan mengenal erti putus asa. Setiap celah kolej dan universiti diselak. Satu demi satu untuk akhirnya bertemu dengan permata-permata cinta itu. Mereka bukanlah orang yang akan sentiasa menonjol dan menunjukkan balung mereka, kerana mereka itu selalunya menyorok agar jiwa mereka tidak dinodai kehitaman hati para pembenci ilahi. Pencarian tidak mengenal henti.

Bermulalah hari-hari mereka, dalam cinta mereka, untuk mengislah hati-hati. Hati-hati itu, kadang-kadang sudah diceroboh anasir-anasir asing yang menghalang cinta suci dari menghuni. Mereka menjadi mangsa sistem pendidikan tidak islami, menjadi mangsa media yang menghantui, menjadi mangsa syaitani globalisasi. Hati mereka itu sudah gundah gulana, tetapi mujurlah ada insan-insan yang sangat mengasihani mereka ini, sentiasa mencari peluang di setiap sesi dan hari, agar mereka juga akan turut sama mengenali, apakah itu cinta.


Dayusnya cinta tanpa cemburu di jiwa

Seringkali, apabila jejaka-jejaka ini mengenal cinta. Dengan begitu ramai orang juga merasainya. Mereka merasa amat cemburu. Cemburu jika masih ada orang yang tidak merasai cinta. Jika masih ada jiwa-jiwa di sekeliling mereka. Terutama 'junior' yang lebih rendah kastanya, masih belum lagi merasai cinta. Mereka rimas melihat mereka dalam jahiliyyah mereka. Setiap kata-kata yang tiada erti ketauhidan itu, didengar umpama rambu-rambu, ajakan-ajakan ke neraka. Lalu mereka mencadangkan sesuatu yang bernas, tetapi mengetepikan soal cinta.

Mereka ingin agar akhirnya usrah ini diwajibkan untuk semua. Mereka ingin semua orang, dengan rela atau paksa, menganggotai usrah ini kemudian dicakap-cakap tentang cinta. Mereka ingin jiwa-jiwa ini dididik sebegitu, kerana majoriti orang-orang di kolej mereka, pengetua, presiden pelajar dan semua buruh-buruh di tempat mereka kebanyakannya sedang memuji cinta. Mereka merasakan itulah yang terbaik untuk semua.

Mereka lupa, jiwa ini bukan untuk dipaksa-paksa. Rasulullah juga tidak mendidik jiwa para sahabat sebegitu. Dakwah dengan cinta ini, sangat lembut sentuhannya. Bukankah kita ini Ibadurrahman (Surah Furqan, ayat 70-an)? Bukankah mata kita tidak pernah melihat, kecuali dengan pandangan kasih sayang?

Mahukah kita lihat, semakin ramai orang membenci kita, bukan kerana apa yang kita bawa, atau kita cintai, tetapi kerana sentuhan kita yang tiada rasa cinta. Terasa kering dengan kitab-kitab yang kita bawa, ukhuwwah bagai tiada makna. Jiwa-jiwa yang gagah dan basah itu, tidak dapat dihasilkan dalam majlis penuh kekeringan seperti itu. Dan jiwa itu lari dengan hasutan yang akan mereka lemparkan kepada kita. Agar akhirnya tiada orang yang mahu bersama kita lagi dalam cinta ini. Mereka semua merasakan kejelekan cinta syok sendiri kita. Dan mereka bukan sahaja membenci kita, malah risalah ini juga. Mereka bukan sahaja tidak mendokong risalah ini, malah mengajak orang untuk menentangnya. Itulah yang terjadi di mana-mana kini. Bila kita sudah mula memaksa perasaan cinta.

Cinta yang berperingkat ini juga tidak akan sempurna jika kita secara peribadi tidak pernah merasainya. Jika kita tidak pernah mengatakan kecintaan dan mengajak orang secara peribadi bersama kita, jangan harap kita akan dapat mendidiknya jadi seperti kita. Kalaupun kita mampu mendidik dengan 'teori-teori' tanpa praktik itu, kita pasti tidak akan mampu berdiri sebegitu lagi seandainya kita berpindah ke tempat lain. Kerana sebenarnya cinta itu ada pada sistem, bukan pada diri kita. Ia bukan lahir dari diri kita. Ia lahir dari buku, dari sistem halaqah, dari tempat kita.

Maka, saudara-saudariku. Carilah cinta. Cintailah Ia. Pastikan dirimu menyebarkan perkataanmu penuh dengan perasaaan cinta. Jangan pernah diri ini rasa ingin laju, rasa terburu-buru sekadar ingin mempunyai ramai jiwa, namun tiada cinta.

Cinta ini lahirnya dari hati. Kurniaan ilahi. Maka pintalah padaNya. Ia kan memberi, dan itulah bekalanmu untuk kekasih-kekasihmu juga turut mencari. Satu-demi-satu. Perlahan-lahan, tanpa gelojoh, kita akan pasti memenangi hati-hati.







Hussaini.
Dalam kesakitan anggota.
Namun hati penuh dengan cinta.
Yang juga dibalas dengan cinta.
Alhamdulillah.

2 comments:

Nawfal Fathel said...

ingin mengajak mereka kepada cinta, kita perlukan sentuhan cinta kita kepada mereka agar mereka bisa bercinta dengan pencinta yang maha cinta.

cinta ini variasi~

Abu Khalid said...

Bergembiralah wahai saudara-saudaraku kerana saya berharap insya-Allah kita termasuk orang-orang ynag menjawab seruan Allah pada hari ketika Dia berseru kepada orang-orang yang berseru kepadaNya:

"Di mana orang-orang yang saling mencintai keranaKu? Di mana orang-orang yang saling menziarah keranaKu? Di mana orang-orang yang duduk satu majlis keranaKu?

Hari ini, Aku menaungi mereka dalam naunganKu, iaitu pada hari tiada naungan selain naunganKu."

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]