Lagu berkumandang bertukar-tukar. Sekejap irama balada. Sekejap lagi menjadi lagu dangdut jiwang. Kemudian bertukar kepada selawat yang dilagukan, acapella. Tanganku menonyoh-nonyoh punat-punat di dashboard kereta. Mencari-cari lagu kegemaran, sedang Iqbal di belakang sibuk menjerit-jerit:
"Nak nombor 7, nak no 7"
Mengapa, aku pun tak tahu. Tapi Iqbal, adik bongsuku adalah penggemar lagu Track no. 7 untuk setiap album nasyid. Tidak kira kumpulan mana mendendangkannya; Inteam ke, UNIC ke, FarEast ke, memang menjadi kegemarannya Track no. 7. Apabila lagu Track no. 7 sudah habis kedengaran, dia akan menjerit lagi. Meminta untuk lagu itu diputarkan sekali lagi.
Sebagai seorang murobbi yang memang tidak pernah sanggup melihat adik-adikku, terutama adikku yang berumur 7 tahun ini leka dengan hiburan mereka, aku tidak pernah melayan telatahnya. Aku akan sentiasa skip Track no. 7 untuk mengikat hati kami. Bukan jarang-jarang, malah tidak pernah aku membiarkan Track no. 7 kedengaran, selagi aku di dalam kereta (selagi aku dalam keadaan sedar dan tidak gila sekejap).
Itulah rahsia kemesraan aku dan Iqbal.
"Biarlah Iqbal tu Along", kata ummi yang sedang memandu kenderaan kami. Aku lantas mengalah sambil memandang Iqbal dengan wajah yang garang dibuat-buat. Iqbal tersengih menampakkan gigi-gigi susunya. Puas, keinginannya dipenuhi. Seorang abang terpaksa akur kepada kehendaknya.
Ummi lantas berbincang denganku tentang pengalaman-pengalaman bersama anak-anak muridnya. Tentang masalah-masalah yang menimpa. Dan tajuk tarbiyyah seringkali dibincangkan bersama, di samping tajuk BM yang tidak putus-putus meniti di bibir seorang ibu itu.
Bersama ummi, kadang kala aku merasakan bahawa aku adalah seorang Kaunselor. Di kala yang lain, aku terasa menjadi seorang Penasihat rumah tangga. Di kebanyakan hari, aku merasakan akulah mursyidul 'am yang menguruskan dakwah di atas bumi ini, dengan ummi di sisi. Dialah ibu, dialah teman, dialah rakan.
Masalah demi masalah kami rungkai bersama. Tidak jarang juga kami berbeza pendapat, tapi entahlah denganku, perbezaaan pendapat itu tidak pernah kekal lama. Ummi memang seorang penyokong setia di belakangku. Masakan tidak, hampir setiap hari kami berborak bersama melalui telefon. Tapi keadaan seperti hari ini, tidak pernah sama seperti hari-hari biasa.
Perbualan kami terasa lebih dekat dengan kami bersua muka. Entah kenapa aku terasa rindu yang amat sangat, walhal ummi ada di hadapanku, sedang mencemih mukanya sambil mengomel-ngomel masalah lain pula. Aku memandang muka risaunya itu, sambil kata-kata seakan-akan tidak terbit dari mulutnya. Keadaan sangat sunyi, walhal Track no. 7 masih kedengaran dan ummi masih meluahkan perasaannya padaku.
..........
Aku merenungnya, perlahan-lahan mulutku terbuka. Dan mataku terbeliak. Ia mengecil perlahan-lahan, menahan terjahan air mata yang tidak mampu diempang lagi.
"Ummi, along nak pegang tangan ummi boleh?", bibirku terketar-ketar. Kata-kataku timbul tenggelam.
Segala-galanya bertukar menjadi bisu. Suatu misteri perasaan sudah aku ungkai. Dengan pantas aku menggapai tangannya. Muka ummi kini tidak lagi dalam keserabutan. Senyuman terukir di bibirnya. Masih aku ingat lagi.
"Along rasa sangat pelik sangat. Along tahu ummi... Ini mimpi sahaja... Tapi ummi dah tiada di sisi Along. Along kehilangan ummi... Along rindu ummi sangat-sangat... Ummi... Along takut..."
Dalam tangisan dan getaran, aku peluk tangannya. Aku cium puas-puas. Aku sedar pada waktu itu aku sedang bermimpi, ilusinya ganjil, tetapi terasa sangat nyata. Aku mengambil kesempatan itu untuk mengubat segala kerinduanku. Tanganya kukepal dengan kedua tanganku, sambil mataku tertutup rapat. Bayu udara dari dalam kereta masih terasa di telinga. Tangan ummi yang gempal itu masih melekat dengan tangan dan mukaku.
Tapi ia tidak lama.
Aku buka mata. Hari sudah petang, azan asar kedengaran. Air mata membasahi telinga. Aku lantas duduk dan meraba-raba pipi yang mula kebasahan. Hatiku meronta-ronta sakit perasaan rindu yang amat dalam.
Aku terpinga-pinga perlukah meludah dalam keadaan itu (Ludah 3 kali ke kiri: jika bermimpi buruk: Rujuk Riadus Solihin). Aku tidak pasti, mimpi itu suatu kemudaratan atau keberuntungan. Namun, yang pasti, ia menjadi tazkirah yang sangat berkesan di hatiku.
Tazkirah suatu kematian yang menanti. Samaada buruk atau baik penamatnya.
Dan memperingatkan aku untuk mengasihani dan memberi. Andai inilah satu-satunya masa untuk menyalurkan cinta, saat ia tidak berguna bila nyawa tiada. Bila jasad sudah terkujur, lafaz cinta kekal menjadi lafaz yang tersimpan.
No comments:
Post a Comment