Monday, November 30, 2009

Kita ditarbiyyah menjadi jahiliyyah






The Arrivals, suatu pendedahan


Hari ini, manusia sibuk mengejar kekayaan dunia. Mereka bekerja siang dan malam, bukan sahaja untuk memastikan anak, isteri mendapat keperluan asas semata-mata, namun pelbagai kehendak-kehendak lain yang terasa sangat penting, seiring dengan kehendak dunia. Itulah yang berlaku dalam sistem kapitalis; manusia berebut-rebut mendapatkan perkara yang tidak perlu bagi mereka kerana persaingan dengan lawan.

Walau dalam keruntuhan sistem ini sekalipun, manusia tidak mahu keluar dari sistem ini, kerana mereka sudah tersekat di dalamnya, dan tidak mampu hidup di luar sistem ini. Kita boleh lihat betapa sempitnya pemikiran manusia di seluruh dunia yang tidak mahu mengambil sistem lain walhal duit-duit mereka sudah bertukar menjadi kertas biasa, lebih murah berbanding kertas-kertas tisu tandas yang melata.

Mereka tidak sedar, sistem ini adalah suatu sistem untuk mewujudkan hamba-hamba hutang dunia, menjadi hamba kepada pemiutang, menjadi hamba kepada manusia. Keuntungan daripada sistem ini hanya akan diperoleh secara mutlak oleh mereka yang memegang kunci pintunya. Mereka yang selain daripadanya (99% daripada penduduk dunia), hanya menjadi robot yang bekerja, dengan mulut yang tidak mampu bersuara, telinga dipekakkan dan mata yang ditayangkan segala kepalsuan.

Robot ini, bukan sahaja bekerja tanpa henti umpama hamba, namun mereka tertipu kerna minda mereka telah dikawal oleh ejen-ejen propaganda yang mereka akur padanya. Mereka tenteram padanya, mereka rasa selamat dengannya dan gembira menyembahnya. Mereka menjadikannya suatu ilah baru, diperhambakannya. Mereka menjadi hamba, dan mereka gembira.

Dengarkan cita-cita mereka, sungguh, hanya dunia ini menjadi matlamat, kerana hati mereka sudah tertutup, telinga sudah tersumbat, dan di antara mereka dan al-Haq itu ada dinding (Fussilat 41: 5).

Cita-cita mereka adalah dunia. Segala-galanya adalah untuk dunia, untuk meraih keenakan dunia. Akhirat pada mereka adalah mitos dan islam pada mereka adalah suatu ketahyulan. Andai suatu realiti tidak dapat diraih dengan kuderat dan kemampuan, itulah masanya untuk kembali pada tuhan. Hanya tuhan yang dapat melawan kuasa mistik dan keangkeran, begitulah islam di pandangan mereka, sebagai the last resort. Keimanan adalah suatu keraguan tentang hakikat ketuhanan, kealiman merupakan suatu sendaan. Ketaataan merupakan suatu ketaksuban kepada suatu kefanatikan, dari kefanatikan itulah lahirnya penganut yang sesat.

Pemimpin merekalah yang memimpin pandangan umum mereka mengenai segala sesuatu, termasuk perihal agama dan kehidupan.


"Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi ini sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya"

(Al-Kahf 18: 7)


Minda kita dikawal oleh mereka

Bila aku menyatakan bahawa pemikiran ini dikawal dan diacu oleh para pemimpin, tidaklah aku bermaksud untuk berbicara tentang politik sempit BN mahupun PR. Bukan juga semata-mata berkata kepimpinan Perdana Menteri Negara kita. Tetapi aku berkata tentang Khalifah Barrack Obama dan sokongan suatu kuasa besar di belakangnya. Kuasa besar yang menguasai Federal Reserve, dan ekonomi dunia. Kuasa besar yang menapis segala maklumat di seluruh dunia. Kuasa besar yang menguasai segala syarikat-syarikat fesyen, makanan, senjata, dan syarikat-syarikat besar yang kita kagumi seluruh dunia. Dunia kini di genggaman mereka.




Anda berhak untuk tidak bersetuju, namun hakikatnya, merekalah yang memandu hala tuju negara dan dunia. Pemimpin kita juga tidak terlepas daripada tunduk dan akur kepada jari telunjuk mereka.

Melalui segala media massa; televisyen, surat khabar, iklan, majalah, ucapan-ucapan pemimpin, silibus pendidikan kita; propaganda disebarkan. Ia bertujuan agar kita menjadi hamba yang sebenar-benarnya hamba. Kita kononnya diberikan kebebasan suara, namun, itu hanyalah suratan di dalam perlembagaan. Masih ada 'akta keselamatan dalam negara' di seluruh dunia.

Minda kita sudah sepenuhnya dikuasai, hatta apabila tentera syaitan ini menyerang mana-mana negara sekalipun, kita merasakan itulah yang terbaik untuk dunia. Itu yang berlaku di luar negara.

Tentera syaitan ini tidak segan-segan menunjukkan kedajjalan mereka dalam segala tindak tanduk mereka. Dalam filem mereka, dalam lagu mereka, dalam buku-buku mereka, dll, dan kita merasakan itulah gurauan yang digemari dunia kini.

Bila kristian dipermainkan, kita merasakan itulah kekolotan agama itu. Bila islam dipermainkan, kita ingin bersuara, namun kesemua orang-orang kita sudah tewas mindanya. Suara mereka hanya mampu dikeluarkan dalam Friendster, Facebook dan Blogspot sahaja. Mereka tidak sanggup melawan arus yang dibawa oleh pemimpin mereka di seluruh dunia. Itulah kebebasan suara.

Kebebasan suara dengan penjajahan minda.


Sunday, November 29, 2009

Phase 3 [Pt. 2]

Phase 3 [Pt. 1]

Phase 3 [First Official Trailer]

Taujih buat adindaku






"Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.

Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu,

(Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya).

dan demi sesungguhnya Kami Mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan.

oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.

dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin."

(Al-Hijr 15: 94-99)


Friday, November 27, 2009

Masih tersisa kah cinta?





Luka di hati masih terbuka

Parut itu masih belum kering sepenuhnya, seakan baru. Trauma dalam diri, membuatkan aku mengambil keputusan tidak pulang ke rumah selagi diri masih belum berjaya merubatinya. Ia nya masih perit terasa. Puas disekang air mata, lagi-lagi apabila duduk sendirian dalam kesunyian. Aku berharap Allah memberikan aku kekuatan mengharungi hidup ini yang tidak pasti.

Tinggallah aku di Serdang berseorangan, beraya bersama warga-warga taman yang sudah 'berkampung' di kawasan perumahan ini. Kini, mereka tidak perlu ke kampung kerana taman inilah kampung mereka. Anak-anak dan cucu-cucu mereka akan datang ke taman ini, menyambut eid al-adha bersama.

Seronok membanting tulang semasa kenduri di pagi raya. Surau kami begitu meriah dengan penduduk juga tetamu dari luar. Aku tidak perlukan alasan untuk menolong mereka membasuh pinggan mangkuk, melapah binatang korban dan memasaknya. Menyibukkan diri ini merupakan suatu cara effektif menangani masalah jiwa.

Kerna kadang-kadang kemaruk itu datang kerana minda terawang-awang memikirkan tentang orang yang sudah pergi. Dan lupa akan keberadaan ilahi. Yang sepatutnya menjadi motivasi diri. (13: 28)



Kenangkan cinta Ibrahim dan Ismail

Mari kita merenung kisah cinta Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya, Nabi Ismail a.s. Semenjak meninggalakan si anak di Mekah, Nabi Ibrahim a.s tidak serik-serik ke Mekah untuk menziarahi anaknya, kerinduannya hanya dibalas dengan perjumpaan dengan 2 orang menantunya pada 2 kali penziarahan itu.

Pada kali ketiga, barulah Nabi Ibrahim dapat bertemu dengan anaknya. Dan pada perjumpaan itu, dalam kerinduan itu, beginda telah diberikan suatu arahan yang sangat berat untuk dilaksanakan, iaitu penyembelihan Nabi Ismail a.s.;

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI).
Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian.

(Ash-Shaaffaat 37: 101-108)

Peristiwa ini, jika dibacakan di hadapan jiwa-jiwa yang keras, pasti tidak akan terasa apa pun. Tetapi, pada orang-orang yang beriman, natijahnya akan bergetar hatinya (Al-Anfal 8: 2). Akan bergoncang-goncang jiwanya dan akan meleleh air mata keinsafan atas pengorbanan 2 insan mulia ini.

Betapa cintanya kepada Maha Pencipta, hingga anak-beranak ini sanggup berpisah buat sekelian kalinya keranaNya. Betapa taatnya mereka kepada Allah Az-Zawajalla, melebihi segalanya-galanya, hatta jiwa mereka sanggup dikorbankan. Walau tampak seperti tiada tujuan.

Eid al-adha kali ini mengajar aku erti pengorbanan dan ujian. Pengorbanan kasih sayang seorang kekasih hati yang dipulangkan kembali kepadaNya. Dan ujian untuk terus kekal di atas jalan penuh onak dan duri. Jalan dakwah yang memerlukan aku menghadapinya, walau betapa berkecamuknya jiwa ini, walau datang badai, ribut sekalipun. Walau digoda pelbagai kenikmatan duniawi. Akan ku, serahkan segala cinta itu, tanpa bersisa, kepadaMu ya Allah.

Aku bersyukur kerana murobbi-murobbiku, rakan-rakanku, anak-anak binaanku tidak serik-serik menadahkan tangan mereka memohon kemaslahatanku dan dakwah kita ini. Semoga kalian beroleh baraqah dunia akhirat. Syukrulillah, Syukran alaikum.


Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

(Al-Ankabut 29: 2)

Thursday, November 26, 2009

Muhasabah Cinta




Matahari itu terbit atau terbenam?

Semalam, sebelum warga BADAR pulang ke perkampungan masing-masing, untuk menyambut kemenangan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail atas pengorbanan mereka, seorang ikhwah cilik turut sama bertandang ke BADAR. Persinggahan sementara, sebelum bertolak ke perkampungannya di Republik Kelantan.

Sempat berbual sementara. Katanya baru habis suatu tamrin khusus dengan ikhwah di Malaysia Timur, sesudah tamat PMR. Beliau baru sahaja tamat PMR dan baru beberapa bulan berada dalam sistem tarbiyyah. Suka bersoal jawab, aku bertanya suatu soalan bonus;

"Haa.. Di pondok tu selama 3 minggu, dah hafaz berapa hadis dah?"

"Arbain (40), Insya-Allah"

"Em, bagus-bagus"

Jawabannya ringkas. Tapi memukul kepalaku dari maghrib itu, hingga keesokan harinya. Suatu muhasabah buat diri ini. Setelah sudah lama ditarbiyyah dan mentarbiyyah.

Pernah sekali UQY hadir memberikan ceramah dalam tamrin intensif kami pada tahun 2006. Melihat kami penuh bersemangat, beliau mengeluarkan satu qarar (ketetapan) untuk kami yang menjadi pesertanya;

"Habis tamrin sebulan ni, semua orang kena hafaz semua 42 hadis dan juzuk amma"

Ramai yang mempersoalkan 'arahan' tersebut. UQY berasa pelik melihat sikap kami ketika itu. Sikap bermalas-malasan dan ingin mencari alasan. Dan hasilnya, anda boleh agak apa yang berlaku.

Melihatkan hayatku dalam tarbiyyah ini, banyak yang ku berjaya garap di sepanjang perjalanan ini. Ku harus akui, usrah dan segala program tarbiyyah itu bukan proses penyuapan ilmu semata-mata, tetapi merupakan suatu asbab untuk diri ini lebih memberikan perhatian kepada tarbiyyah diri, tarbiyyah dzatiyyah.

Apabila bercakap tentang tarbiyyah dzatiyyah dan kebersungguhan dalam mentarbiyyah diri, aku berasa malu dengan para pakcik yang terlebih dahulu mengenal dakwah tarbiyyah ini. Kisah mereka semasa zaman muda mereka terlampau menakjubkan. Terlampau banyak kisah yang ku dengar. Aku berdoa agar diberikan taufik oleh Allah untuk dapat memberikan kisah-kisah terbaik kepada kalian. Semoga bermanfaat untuk diri dan dakwah kita.

Seorang akh itu, zaman mudanya, tidak pernak berlengang daripada Al-Quran dan Buku-buku islami. Jiwanya penuh dengan izzah islamiyyah dan setiap hujahnya dari quran dan hadis. Bukan main banyak ayat-ayat Allah yang diingat di luar kepala, menjadi bekal sepanjang jalan dakwah.

Seorang akh itu, semasa mudanya, tidak pernah meninggalkan solat subuh berjemaah di masjid walaupun terpaksa berjalan kaki selama 30 minit mengharungi salji tebal dan cuaca yang sejuk di bumi Amerika itu.

Seorang akh itu, pada sewaktu mudanya, tidak pernah ternampakkan oleh anak-anaknya di rumah pada waktu malam. Setiap malam, beliau akan sibuk dengan usrah dan segala macam kepentingan tarbiyyah kita.

Seorang akh itu, semasa mudanya, rumahnya cuma ada almari baju, tilam tidur, tikar dan peralatan dapur kerana duitnya tiada kecuali untuk keperluan asas keluarga. Selebihnya akan diinfakkan kepada dakwah. Hasilnya anda boleh lihat sekarang.

Seorang akh itu, sewaktu mudanya, tidak ada bisnes sampingan kecuali untuk penjanaan dana dakwah. Merekalah yang menerbitkan majalah Ummi dan majalah-majalah lain. Bukan untuk perolehan duit poket mereka, tetapi untuk kelestarian dakwah di bumi ini.

Diri ini berasa malu melihat pengorbanan mereka-mereka yang menjadi tunjang kepada dakwah kita ini. Lihatlah betapa bersungguhnya mereka ketika muda mereka. Jauh rasanya untuk dibandingkan dengan amal pemuda kini. Suara mereka begitu lantang kedengaran di seluruh negara atas pengorbanan mereka, walhal mereka ketika itu juga seusia dengan kita kini.

Suatu suara kecil membisik ke dalam jiwaku;

"Dengan kesungguhanku yang tak seberapa, mampukah momentum ini bertahan hingga ke akhir hayat?"

Aku melihat diriku seperti matahari yang menyinari sekarang. Ia berada di ufuk (seperti gambar di atas). Namun aku tidak tahu, samada ia sedang terbit atau terbenam. Aku tidak pasti, samada kini merupakan zaman kebangkitanku, atau sedang meniti kesuraman malam. Aku semakin tidak pasti.


Sunnatullah di hutan memberikan kita suatu pencerahan




Dan kini, mata ini tidak putus-putus menyaksikan tumbangnya pohon-pohon tua. Jatuhnya menimpa sebahagian pohon-pohon yang baru ingin tumbuh. Pohon itu jatuh kerana sudah begitu lama dimamah usia. Dan malangnya kerana kanopi hutan itu tidak cantik terbina, maka yang ada hanyalah pohon-pohon di lantai hutan, yang sedang mencari-cari cahaya.

Tapi sesungguhnya, Allah memelihara hutan itu, kesemua pohon-pohonan renek di lantai hutan itu mendongak ke atas, ruang yang ditinggalkan pohon tua itu. Ternyata, ada jaringan cahaya yang memancar dan seolah memanggil-manggil pohon-pohon renek itu ke angkasa. Pohon-pohon renek itu, dengan pantas menyahutnya. Tidak terkira banyaknya pohon-pohon renek yang tumbuh hari demi hari, menggantikan pohon tua tadi. Mereka akhirnya melengkapkan kanopi hutan yang tidak lengkap itu.


~~*~~



Tuesday, November 24, 2009

Mencari alasan yang hilang




Tarbiyyah untuk semua

Dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar ini, kita sering menggunakan program-program umum sebagai wasilah tarbiyyah (Medium pendidikan) kita. Tajmi' umum (Perkumpulan umum) digunakan untuk menakung segala logam-logam itu, seterusnya dijalankan proses pemilihan dan penyusunan khusus dalam siri tarbiyyah mengikut peringkat iman, fikrah (pemikiran), tsaqafah (pengetahuan) dan amal mereka. Di sana letaknya sistem usrah dan pendekatan fardhi yang dicanang-canang di merata-rata.

Tanpa mencela uslub mana-mana gerakan lain, kita melihat perlunya daurah-daurah kita dilakukan dari masa ke masa untuk memberikan mereka fikrah dan tsaqafah secara umum supaya dapat berlakunya tajnid (pemeringkatan) fikrah dan seterusnya amal mereka. Kita melihat program-program kita secara objective oriented, bukannya program oriented agar tarbiyyah ahli itu benar-benar terlaksana.

Di setiap program kita, para murobbi akan berbincang tentang apakah kekurangan anak-anak binaan mereka yang perlu mendapat perhatian semasa daurah atau apa-apa wasilah tarbiyyah dilaksanakan. Kesemua ini dilaksanakan untuk membentuk peribadi muslim seperti yang tercatat dalam 10 muwasofat tarbiyyah, agar ummat yang syumul dengan keislaman yang syumul dapat dibina. Mengharapkan redha Allah semata.




The art of saying NO!

Namun, ikhwah akhwat yang ana kasihi sekalian,

Tidak ramai di kalangan ummat ini memahami gerak kerja yang dilakukan ini. Jikalau faham pun, mereka tidak benar-benar faham betapa pentingnya setiap program yang direncana itu untuk diri mereka. Mereka menyangka bahawa program-program yang ada itu, hanyalah untuk memenuhkan takwim tahunan mereka, atau sekadar untuk nampak sibuk bekerja di setiap senggang masa. Alangkah malangnya setiap daripada kita.

Mereka tidak sedar betapa ruginya ummah dengan kita hanya datang program 'separuh hari', atau 'tidur sepanjang hari' atau 'berborak-borak sepanjang program' atau 'berYM ketika berprogram'. Dan sangat-sangat-sangat-sangat-sangat rugi jika mereka tidak datang kerana alasan-alasan yang mereka fikir sangat konkrit untuk mereka tidak hadir ke program dengan tiada walau secebis rasa bersalah di hati mereka. Come on la.

"Ana dah janji nak keluar dengan kawan-kawan ana"

"Ana ada meeting kolej la"

"Ana ada program anak angkat di sekolah berhampiran"

Sebagai seorang murobbi, kita wajib kebal mendengar segala alasan yang diberikan. Tidak perlu nangis, rasa marah, rasa rugi. Al-maklum, kita bukan wujud dalam sistem tarbiyyah ini untuk mendengar alasan. Dan kita tidak rugi apa-apa dengan ketidak hadiran mereka. Kita hanya perlukan orang yang bersungguh-sungguh dalam jihad ini.

Keretapi ini akan pergi mengikut schedule nya, dan orang yang ragu-ragu dan lambat-lambat, akan ditinggalkan (pernah nampak keretapi berundur?). Keretapi ini akan singgah di setiap stesen, dan akan mengambil penumpang, walaupun hanya seorang di sana. Perjalanan ini perlu diteruskan.

Seringkali, mereka akan menyangkal hujah kita kerana mereka sudah berjanji atau merancang program-program mereka lebih awal lagi. Malah, sebelum diberitahu, mereka sudah lebih dahulu merencana perancangan-perancangan itu.

Soalku,

Jika kita sudah merancang untuk berjumpa kawan di Mines (contohnya), dan tiba-tiba pensyarah kita menangguhkan kuliah ke tarikh tersebut, apa yang kita akan beritahu kepada pensyarah kita?

Adakah kita akan beritahunya;

"Maaf Dr, saya dah janji nak keluar jalan-jalan dengan kawan saya di Mines. Saya tak dapat nak hadir kuliah Dr. Sori la ya."

Atau kita akan kata;

"Ok. Saya ada perjumpaan dengan kawan sebenarnya, tapi saya akan minta cancel. Dia sure akan faham punye."

Soalannya, mengapa ya kita sanggup katakan ya pada pensyarah kita, dan sanggup ketepikan perjanjian dengan sahabat ataupun bos kita?

Kerana, kita datang ke universiti adalah untuk belajar. Segala apa yang kita buat adalah untuk belajar, kerana itu kita berada di universiti kita. Segala yang lain adalah perkara sampingan yang perlu disampingkan apabila datang tuntutan untuk program-program belajar itu datang. Belajar merupakan prioriti kita.

Nah, kita datang ke dunia untuk apa?


"Sesungguhnya orang-orang yang dicabut nyawanya oleh malaikat dalam keadaan menzalimi sendiri (Muslimin Mekah yang tidak mahu berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah), mereka (para malaikat) bertanya, "Bagaimana kamu ini?" Mereka menjawab, "Kami orang-orang yang tertindas di bumi (Mekah)." Mereka (para malaikat) bertanya, "Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah (berpindah-randah) di bumi itu?" Maka orang-orang itu tempatnya di neraka jahannam, itu seburuk-buruk tempat kembali"
(An-Nisa' 4: 97)



Sunday, November 22, 2009

Dari mana datangnya motivasi itu




Hidup ini memerlukan motivasi

Setiap hari, dalam setiap nafas yang terhembus. Dalam setiap lafaz kata yang terungkapkan itu, mengalir sebuah azam dan tekad yang membara. Motivasi ini memberikan erti kepada kehidupan setiap individu yang meraba-raba hala-tuju hidupnya. Natijah daripada individu yang bermotivasi ini, lahirlah jutaan individu lain yang sebegitu.

Suatu ketika dahulu, sebelum mengenal hakikat diri, kita mendapat motivasi daripada lagu-lagu yang sangat variasi. Dari timur, barat dan dalam negara, semuanya terdengar di mana-mana. Terpulang kepada minat dan kecenderungan setiap pemilik hati untuk memilihnya. Ada lagu-lagu mainstream untuk mereka yang menghayati lirik kehidupan. Ada lagu-lagu rock, hiphop dan savage bagi yang berjiwa syadid. Ada boyband bagi yang menghayati cinta dan rindu.

Jiwa melompat-lompat mendengar kerancakan alunan muzik diadun bersama suara. Lirik yang puitis dengan suara seakan-akan menangis mendesak jiwa untuk turut sama merasakan kesedihan ditinggalkan kekasih, walau diri belum pernah berpunya. Diri ini tidak pernah lekang dari mendengar lagu-lagu liar ini walau di mana sahaja berada.

Apabila hidayah menerjah kedalam akal dan hati, segalanya berubah arah. Kiblat cinta tidak lagi dituju kepada manusia yang tidak pernah lupa untuk alpa. Motivasi itu tidak lagi lahir daripada kedasyatan muzik yang membara, namun nasyid ketuhanan dengan mesej hanya kepadaNya. Bercinta hendaklah secara halal, demi Allah. Belajar hendaklah bersungguh-sungguh, demi Allah. Bekerja, hendaklah dengan Itqan (Professional), demi Allah. Segalanya sudah dipaksikan kerana Allah, bersama Allah, dengan merasai Cinta Allah.

Nasyid-nasyid membawa mesej ukhuwwah, mengingatkan kita akrab persahabatan. Nasyid yang menegur kita untuk belajar bersungguh-sungguh, masuk IPT, barulah boleh bercinta di IPT kelak (CUDIPT). Nasyid yang mengajar kita untuk berbuat baik sesama jiran, menjadi muslim yang menjaga akhlaknya. Nasyid yang menyeru kita untuk berhijrah, seperti berhijrahnya para muhajirin meninggalkan kemewahan mereka. Nasyid yang menggambarkan suasana 1/3 malam itu, dengan taubat nasuha yang menyucikan jiwa itu.

Iman yang melimpah-limpah, menghasilkan tempias-tempias keimanan, menyebarkan jaringan keimanan dan mengajarkan kita apa itu jalan dakwah. Jalan dakwah yang satu itu, sukar tapi mengasyikkan. Nasyid yang layu itu, dengan suara seperti keluar, tetapi tidak mahu keluar dari halkum mereka. Mesej penuh lembut membelai, seakan tidak cukup untuk memacu kelajuan dakwah yang sudah mula keras dan tegas ini.

Musuh-musuh yang jelas di hadapan mata itu, membuatkan kita enggan menerima mesej sayu dengan penuh lenggokan yang memabukkan perasaan. Apatah lagi jika ia membawa mesej kecintaan yang tidak tentu arah lagi. Merimaskan dan melalaikan.

Kita memerlukan semangat yang membara dengan jihad yang tiada taranya. Lalu kita dapat merasai ruhnya melalui suara-suara ikhwah kita yang sedang giat berjuang di Indonesia dan serata dunia. Suara-suara mereka menggamit jiwa yang selama ini leka. Semangat mereka kita pinjam, menjadi bekalan sepanjang jalan ini.

Di program-program kita, kita nyanyikan bersama dengan sepenuh teriakan, agar di sepanjang dakwah, dengan rakan atau tanpa rakan, suara-suara itu kembali bermain di sebalik gegendang telinga, memotivasi diri ketika sudah mula dalam kemurungan dan ketakutan. Semangat pemuda itu meronta-ronta dalam diri kita.

Ikhwah-ikhwah ini seakan sedang memujuk kita dalam setiap bait kata mereka. Memujuk dan melonjakkan perasaan kita. Sekaligus dakwah kita juga mengalirkan semangatnya.


Jangan lupa membuka mushafmu

Seorang daei yang ikhlas di jalan Allah. Dengan ilmu yang sudah bertimbun-timbun, mantap di dada, seharusnya mula sedar dan merasa, bahawa motivasi mereka hendaklah datang dari ayat-ayat Allah secara lansung.

Semangat yang mereka rasa itu, hendaklah lahir dari semangat rasul dan para sahabat yang terakam dari kisah-kisah dan ruh para sahabat. Seolah-olah Allah berbicara dengan kita, seolah-olah Rasulullah sedang bersama kita. Seolah-olah kitalah yang dimaksudkan oleh Allah sebagai pembela agamaNya.

Di setiap detik kita, bacaan Al-Quran itulah segala-galanya. Kerana itulah bacaan kita, kerana itulah hafalan kita, kerana itulah amalan kita, kerana itulah dakwah kita, kerana itulah tarbiyyah kita. Hanya dari sana, lahirnya iman kita.

Semoga kita sedar, dari mana motivasi kita datang sekarang. Sesungguhnya kita adalah apa yang kita baca, apa yang kita dengar, apa yang kita amal;
  1. Muzik Liar?
  2. Nasyid Gersang?
  3. Nasyid Haraki?
  4. Al-Quran?

22 November 2009.




Lama... Cukup lama aku menantikannya...

Setelah sekian lamanya. Sudah 23 tahun aku tidak berbicara dengan bapaku, abi. Ianya suatu penyiksaan batin yang tidak pernah ku sedari hingga aku bebas dari belenggunya. Aku juga tidak tahu bagaimana ia bermula. Namun yang pastinya, aku bukan seorang anak yang baik di mata abi.

Membesar sebagai seorang budak-budak, kemudian remaja yang sangat comel, tetapi berganda-ganda nakalnya, menyebabkan abi berkeras denganku dalam setiap sesuatu. Badan ini sudah lali dengan tali pinggang dan cebisan-cebisan hanger sebagai hukuman setiap perbuatan kurang warasku (baca: kerja-kerja gilaku). Dan begitu juga jiwa ini. Ia mengeras dan menyimpan sesuatu yang orang-orang melayu namakan sebagai dendam. Namun, aku mengenalnya sebagai ego. Ego seorang kanak-kanak yang baru bertatih di bumi ilahi ini. Tidak pernah puas mempelajari setiap apa yang disaksikan, dan gemar belajar daripada kegagalan sendiri, berbanding mengambil iktibar daripada kata-kata mereka yang lain.

Di sana, lahirnya kasih sayang seorang ibu yang membesarkan dengan penuh ketelitian. Setiap adik-adikku pasti perasan yang ibu melayanku lebih baik daripada semua. Dan mereka semestinya tidak tahu mengapa. Kerana aku ketandusan kasih sayang abi. Kami tidak pernah berkata-kata, jauh sekali bermesra.

Aku tidak pernah mendapat kata-kata penghargaan sepanjang hidupku daripada abi, walau setinggi mana kejayaanku. Dari segi pelajaran, dari segi penglibatan dalam sukan, dan serba serbi, aku hanya mendapat puji dan saguhati daripada seorang yang bergelar, ummi.

Aku akui, ada beberapa kesalahan besar yang aku lakukan yang membuatkan aku tidak pernah mendapat senyuman. Dan aku pernah merasakan bahawa ia tidak akan dimaafkan sama sekali. Namun, hukuman dan penderitaan ini seakan sangat berat untuk ditanggung oleh tubuh kecil lagi comel ini.

Pedih mendengar kata-kata sahabatku dalam sebuah perkongsian;

"Walau ana sudah berada dalam sistem usrah ini, namun naqibku yang utama tetaplah ayah ana sendiri..."

Terasa cemburu tidak terkira. Walau abi juga seorang pejuang, aku masih belum mampu menjadikan beliau sebagai panduanku. Ego dalam diri memujukku agar meneruskan perjuangan menentang kebatilan, walaupun ayahku ku sendiri tidak ku kenal.

Ummi bimbang melihat aku yang membesar mengharungi dunia dakwah ini, namun tidak rapat dengan ayah sendiri, lalu ummi meminta dengan nada penuh kesedihan;

"Baik-baik lah dengan abah tu, ummi tak pernah tengok along baik dengan abah. Mana ada ayah dengan anak yang macam ini."

"Along hanya akan berbaik dengan abah jika abah layan along macam anak dia. Along dah buat macam-macam untuk senangkan hati abah. Sekarang, segalanya terpulang kepada abah sahaja."

Ego dalam diri menghambur kata-kata persis anak durhaka yang tak sedar dek untung. Ianya berterusan tanpa kesal di hati sehingga hari itu.

Kepulangan ummi ke rahmatullah telah mengubah banyak perkara. Antaranya, ia telah mencairkan bongkah-bongkah keegoaan antara ayah dan anak ini. Mencairkan segala halangan yang membantah penyatuan dua jiwa itu. Ia lantas tunduk kepada permintaan ummi yang tidak putus-putus diulang-ulang.

Buat kali pertamanya, kami bersuara dalam sebuah gelombang bunyi yang bertali arus dengan frekuensi yang sama. Aneh, aku terasa sayang dan rugi kerana baru kini ku rasa kasih sayang seorang ayah.


Teks SMS daripada abi

Mesejnya ringkas dan merungkai air mata. Menjadikan hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiranku yang paling bermakna:

"Semoga hari2 yg mendatang dirahmati dan kita kekal di dalam perjuangan hingga ke akhir hayat."

Terima kasih abi
Terima kasih ummi

Terima kasih banyak-banyak Ya Allah



Bahagia seluruh semesta
Bermula dari keluarga
Dari titisan susu ibu tercinta
Mengalirlah sungai kasih abadi

Tumbuh dari keringat ayah
Kita perah pengorbanannya
yang melimpah
Derai air matanya mengalir
Di darah kita membina cita-cita

Rentaslah seribu laut (serta)
Kembaralah ke seluruh alam
Takkan kau temui
Semurni cinta
Keluarga

Langkah remajamu
Ditusuk sembilu
Kembara dewasamu
Diamuk nafsu

Ingatlah pesan Ibu
Kenanglah pesan Ayah
Kembalilah
Ke jalan Allah...

Sayangi keluarga
Di situlah bahagia...

Wednesday, November 18, 2009

Biarlah tangan orang lain yang mengubahnya




Mari kita berlipur lara lagi

Di suatu zaman lampau, di suatu tempat yang jauh, di sebuah kampung yang harmoni, tinggal sekelompok manusia yang hidup bahagia bersama. Diketuai oleh seorang ketua yang berkarismatik yang sangat berpengetahuan. Kampung ini di bawah jajahan Khalifah Amir. Mereka redha dengan Khalifah Amir, dan Khalifah Amir redha dengan mereka.

Diceritakan lagi, sudah menjadi visi Khalifah Amir ini, ingin meluaskan jajahan takluknya, agar seramai mungkin orang di atas bumi Tuhan ini, merasai keindahan sistem yang dibawanya. Tidak terlintas di fikirannya untuk menakluk bumi sekadar suka-suka ataupun dirinya dikenang saat kemangkatan. Semuanya adalah untuk menegakkan kebenaran. Syahadatul Haq.

Setiap peperangan itu, pasti mendapat sokongan rakyat kerana mereka juga mempunyai kesedaran tentang apa yang ingin dilaksanakan oleh pemimpin mereka. Rakyat akan memberikan bantuan berupa tenaga kerja, tenaga buruh, bahan-bahan asas, logam, senjata, kenderaan, makanan, minuman dan apa sahaja kepada Khalifah Amir dan tenteranya, supaya sama-sama mendapat saham kemenangan.

Pada suatu hari yang lain, wakil Khalifah Amir datang ke kampung tersebut dan memberitahu ketua kampung bahawa tentera-tentera baru pulang dari medan perang, dan mereka berharap dapat singgah di kampung tersebut untuk beristirehat. Permintaan itu disambut oleh ketua kampung, mewakili penduduk kampung yang lain, dengan berbesar hatinnya. Inilah saat yang ditunggu-tunggu. Mengembirakan tentera itu, merupakan kegembiraan mereka.

Maka ketua kampung itu, mengarahkan anak-anak buahnya mencari perkakas-perkakas untuk mempersiapkan makanan dan minuman. Kepada penduduk kampung, diarahkan agar setiap seorang daripada mereka membawa sebaldi air susu sebelum keesokan harinya, agar tempayan gergasi yang diletakkan di tengah-tengah kampung itu penuh dengan susu-susu segar, buat santapan tentera-tentera yang gagah perkasa itu.

Maka, seluruh penduduk kampung pun bertebaran ke ladang-ladang tenusu mereka, untuk melaksanakan amanat yang telah diberi, membawa sebaldi air susu.

Dibuatnya cerita, seorang penduduk, yang dirahsiakan namanya, telah terfikir suatu idea yang bernas lagi bijak;

"Daripada aku susah-susah nak pergi jauh-jauh ke ladang aku, nak perah susu lagi, apa kata jika aku bawa sebaldi air biasa (plain water) sahaja? Kalau sebaldi air ni dah campur ke dalam susu yang berbaldi-baldi yang banyak tu, bukan orang perasan pun..."

Dengan perasaan malas dan berpuas hati dengan kebijaksaan diri, lelaki tadi terus ke tengah kampung tersebut pada malam harinya, ketika tiada siapa yang melihat dia, kecuali Allah Yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.

Maka pada keesokan harinya, tentera-tentera yang gagah dalam kepenatan mereka, tiba di kampung dengan disambut oleh penduduk-penduduknya, termasuklah lelaki rahsia yang pemalas tadi. Tidak sabar-sabar mereka meluru ke tempayan besar yang mengandungi susu segar berkhasiat penuh krim disukai ramai, kerana khabar dari kampung-kampung lain mengatakan bahawa lembu di sini bukan main sedap susunya. Kesemua askar ini, tidak mampu menyembunyikan lidah mereka ketika ketua kampung perlahan-perlahan membuka tudung tempayan susu... .... ....

Dan terkejutnya setiap daripada mereka, yang memenuhi tempayan tersebut bukannya susu, tetapi Air Biasa!





Biarlah orang lain yang bekerja

Seakan sukar diterima. Namun itulah hakikatnya, bila semua orang berlepas tangan daripada melaksanakan tanggungjawab qawiy (yang paling utama, berkesan, KUAT) itu. Bila semua peserta di atas pentas Dakwah Tarbiyyah itu saling menundingkan jari, maka, ummah yang akan menjadi mangsa.

Hanya kerana 'seorang' yang malas dan 'mencari-cari alasan' dengan 'bijaksana' dan 'hikmah'nya, akhirnya tentera-tentera yang terpaksa menerimanya. Cukuplah cerita santai ini untuk menggambarkan natijah sifat berat tulang kita.

Bagi yang masih belum dapat memahami cerita itu lagi, izinkan aku memberikan sedikit pencerahan. Lelaki misteri tadi rupa-rupanya bukanlah satu-satunya orang yang berfikir untuk bermalas-malasan. Rupa-rupanya, jauh di benak pemikiran semua orang, mereka mengharapkan orang lain akan membawa susu, dan mereka mengharapkan semua orang membawa susu. Al-maklum, sekiranya susu dan air bercampur, ia tidak akan merosakkan susu tersebut melainkan kepekatannya yang akan berkurang. Pada keesokan harinya, semua orang, termasuk 'pesalah-pesalah' yang ada merasa terkejut, kerana hasil carca-marba mereka, kerja cincai-cincai mereka, akhirnya, semua orang membawa air biasa dan hasilnya bukanlah air susu, tetapi air biasa!

Begitu juga kita dalam kehidupan kita sehari-hari. Dalam kita melaksanakan tugas kita sebagai 'abid dan khalifah di muka bumi Allah ini, seharusnya kita sedar bahawa pertanggungjawaban (taklifan) itu jatuh ke atas setiap daripada kita. Kelak, di hari pengakhiran itu, kita akan dipersoalkan secara fardhi oleh Maha Pencipta.

Pernah sekali di kawasan kediamanku, sedang semua orang duduk di rumah masing-masing. Bermesra dengan sahabat-sahabat mereka, bermain dengan anak-anak mereka, berkomunikasi dengan televisyen mereka, sibuk dengan YM mereka. Semua orang 'saling harap-mengharapkan antara satu sama lain' untuk mengumandangkan azan di surau. Semua orang masing-masing menunggu panggilan itu, walaupun sudah sampai waktunya. Dan bila sudah lewat, barulah semua mereka bertolak ke surau dan saling salah-menyalahkan.

Tragedi tragis ini tidak berlaku di kawasan aku sahaja. Alangkah malangnya nasib umat islam yang sudah sedia menderita sekarang, kerana ia berlaku di mana-mana. Mereka menyatakan bahawa ia merupakan suatu amal fadhu kifayah. Taklifan itu jatuh kepada kelompok, tidak pada individu. Namun mereka lupa, bahawa fardhu kifayah itu adalah objective oriented.

Maksudnya, bukan asalkan terlaksana oleh walau seorang. Tetapi, ASALKAN BERJAYA. Berjayanya fardhu kifayah pada azan adalah pada berkumandangnya azan pada waktunya. Berjayanya fardhu kifayah mandi jenazah dan solat jenazah, adalah apabila jenazah selesai diuruskan. Dan berjayanya fardhu kifayah dakwah adalah pada kembalinya seantero ummat itu kepada islam! Ya. Jika mereka itu masih berpendapat dakwah islam itu fardhu kifayah, maka terimalah hakikat bahawa ia telah jatuh wajib, kerana dakwah kita masih gagal.

Gagal menerembusi hati-hati insan, gagal membentuk masyarakat islami, gagal mewujudkan negara yang betul-betul berteraskan islam, gagal membela nasib ummah di seluruh dunia, gagal mengembalikan keamanan dunia seperti dahulunya di bawah pimpinan khalifah.

Sayangnya, jika diteliti dengan lebih dalam lagi, masalah itu bukan lahir daripada kelompok manusia yang tidak faham islam, tetapi ia lahir seburuk itu dari kelompok 'kita' lagi. Ikhwah akhwat yang sudah lama ditarbiyyah, yang sudah mendapat kefahaman islam, lebih senang 'melihat' sahaja orang lain mencari hati-hati untuk dipaut. Kita melihat sahaja ikhwah akhwat lain bersusah payah, berkorban itu dan ini untuk melaksanakan usrah itu. Kita sekadar melihat (dan komen panjang lebar) melihat ikhwah akhwat lain memberikan taujih, memberikan daurah tanpa kita sedar, bukanlah menjadi hobi di kalangan ikhwah akhwat itu untuk memberikan ceramah berjam-jam, namun kerana memahami hakikat tanggungjawab! Tanggungjawab yang berat!!!

Sayangnya, dalam saff dakwah ini, kita sering berlambat-lambatan dan lebih suka pass baton kepada orang lain dengan alasan kurang ilmu, kurang masa, kurang keyakinan, kurang kacak, kurang duit, kurang pandai bercakap, kurang macam-macam. Kita bukan beralasan pada orang lain, kita beralasan pada diri sendiri, kerana di akhirat kelak, kita yang akan ditanya. Dan pada waktu itu, alasan kita sudah tidak diterima.



Seandainya Rasulullah juga berkata begitu

Dakwah islam ini bukannya perkara yang mudah dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW, di zaman Mekah itu. Di sana, kita akan nampak banyak ruang yang boleh dijadikan alasan oleh Rasulullah untuk tidak melaksanakannya. Pada zaman itu, pengangkutan tidaklah sehebat sekarang. Pada zaman itu, sistem komunikasi tidaklah secanggih sekarang. Dan pada waktu itu, kaum kafir Quraisy sedang taksub dengan penyembahan Lata, Uza dan rakan-rakan, menyebabkan tentangan terhadap dakwah itu sangat hebat. Ia tidak segampang (sesenang) zaman-zaman selepasnya.

Jika Rasulullah beralasan, tidak mahu melakukan kerja itu, pastinya Abu Bakar As-Siddiq akan mati dalam kekufuran. Pastinya Umar Al-Khattab juga akan mati kekufuran. Sedangkan, merekalah yang telah menerajui ummah ketika penyebaran islam besar-besaran itu. Di awal zaman mekah, Abu Bakar As-Siddiq lah yang paling aktif berdakwah. 5 daripada sahabat yang masuk islam di tangannya itu adalah antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Kita juga maklum tentang kehebatan pemerintahan Umar Al-Khattab, yang Parsi dan Rom tumpas di tangannya. Semuannya ini tidak akan berlaku, jika Rasulullah mahu beralasan.

Kita masih ingin memberikan sebaldi air biasa?



~~*~~


Monday, November 16, 2009

Antara Cinta dan Cita-cita



Mereka itu tiada cita-cita

Aku pelik melihat mereka sehari-hari. Tidur dan jaga mereka adalah untuk dakwah. Siangnya bekerja sekadar untuk sesuap nasi yang mengisi kekosongan perut mereka, memadamkan kerlipan empty tank fuel kereta mereka dan membayar gaji lanun-lanun di jalan raya (tol). Malam pula jarang pulang menemui bantal busuk tercinta. Seringkali mereka tidur di markas dakwah kerana tidak sempat pulang pada masanya, dan bila bangun, terus kembali mencari sesuap nasi itu.

Aku pelik melihat mereka. Mereka bukan orang-orang biasa dengan latar belakang pendidikan yang biasa. Mereka adalah pelajar-pelajar cemerlang di sekolah mereka, di kampus mereka dan di mana-mana sahaja. Namun, baru beberapa tahun mengenal tarbiyyah, segala-gala cita-cita dikorbankan untuk ke-maslahatan dakwah ini. Mereka meletakkan prioriti mereka hanya pada ummah yang dibimbangi saban hari. Mereka sanggup tidak menjawat jawatan tinggi dan yang menjanjikan gaji yang lumayan, semata-mata demi untuk menjaga binaan yang mereka teliti selama ini. Ada yang sanggup tolak jawatan menjadi jurutera, cukup sekadar menterjemah kitab-kitab lama untuk tatapan semua. Ada yang sanggup kekal selamanya di lokaliti, sekadar menjaja di gerai-gerai untuk memastikan zaman gelap dakwah itu tidak berulang. Ada yang sanggup menutup kitab kejuruteraan, dan pergi ke Mesir untuk membetulkan bacaan qurannya sambil mempelajari bahasa arab. Ada yang sanggup berulang dari Serdang ke Semenyih setiap hari agar keluarga dakwah yang dibina bersama ini dapat memperkukuhkan dakwah bersama, dengan tamayyuz bukan tamayyu' di universiti mereka. Aku cemburu dengan mereka.

"Sesungguhnya Allah membeli dari orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung."
(At-Taubah 9: 111)

Mengejar keseronokan abadi

Kita sepatutnya pandai membezakan sama ada perkara yang sedang kita buat (akan buat etc) adalah suatu keperluan atau kehendak. Kita NAK buat atau KENA buat.

Semua orang ada kehendak mereka. Semua orang ada minat mereka. Ya. Semua orang ada nafsu yang meluap-luap untuk mereka turuti. Tetapi itu bukan sifat seorang muslim.

Semua insan pernah menyimpan impian. Semasa fasa jahili, pastinya cita-cita dan impian kita jauh berbeza berbanding ketika hati sudah disinari iman. Nafas-nafas daei kini sudah memenuhi rongga dadanya. Gelora-gelora, tekanan udara di dada, memberikan suatu semangat penghidupan, yang disuburi dengan iman tadi. Ianya akan memandu impian sang daei, untuk berimpian selari dengan apa yang diimpikan oleh para pencinta islam yang lain.

Cita-cita mereka kini hanyalah kemuliaan islam ATAU kematian. Hidup secara kaffah-nya islami dengan berteraskan kalimah tauhid, tanpa tercemar hatta sesaat pun dengan hawa nafsu manusia. Atau kematian di atas sungai perjuangan ini, yang akan membawa ke lautan penuh kenikmatan. Hanya kematian sebegitu yang akan membawa erti kepada daei. Hanya kematian sebegitu yang akan menjadi REHAT kepada para daei yang benar.

Tidak dapat disangkal, niat dan perasaan cinta akan perkara-perkara yang telah para daei cintai dulu kadang-kala akan lalu di minda dan jiwa mereka, umpama angin di padang pasir. Datang sekali sekala, dengan pasir sarat pada waktu lainnya, membuatkan sang daei tidak dapat benar-benar fokus kepada perjalanannya itu. Angin, membentuk ribut pasir, membuatkannya tidak dapat melihat keindahan oasis di hadapan. Jika sang daei tidak cukup kuat dan tidak mengenal tekad, ribut pasir itu akan membuatkan cita-cita murni mereka itu karam buat selama-lamanya.

Di sinilah letaknya kepentingan mujahadah untuk tajarrud. Di sinilah pentingnya semangat ketabahan untuk tetap berada dalam islam total.

Kemanisan-kemanisan lalu, tidak mahu lagi dijadikan KENANGAN!!! Tidak mahu berpaling walau seinci, kerana ia akan melemahkan cita-cita! Kecantikan wajah itu. Kemanjaan setiap gerak gerinya. Keseronokan bermain permainan komputer. Keghairahan menonton layar perak. Keseronokan berdansa. Keseronokan bermain gitar, sambil menyanyi dengan variasi ton suara. Keindahan musik-musik rock yang menggetarkan jiwa. Kegelisahan yang mencabar di hadapan papan catur. Keindahan berenang di bawah cahaya matahari yang menenangkan. Perasaan yang tidak dapat digambarkan ketika bertanding pelbagai acara sukan dan kesenian. Kesemua itu tidak dapat menyaingi keluhuran cita-cita kini. Andai kesemua kenangan itu masih terbayang, simpanlah ia, agar ketemu semula di jannah. Kerana dunia ini hanya sementara, tiada ruang untuk menyesal.







Marilah bersama-sama meletakkan batu asas itu

Selamat tinggal jahiliyyah. Itu kata-kataku. Perubahan itu tidak akan berlaku, perubahan dunia ini tidak akan berlaku, jika tidak dimulakan oleh diri kita sendiri.

Ucapkanlah sayonara jahiliyyah ini dengan penuh penghayatan dalam hati. Dengan lantang dalam kalbu. Hingga ia berbekas, merundung kesedihan syaitan-syaitan itu dan membuatkan telinga-telinga hati itu tersentak.

Hingga tiada saat lagi yang mampu dihabiskan dengan syaitan-syaitan itu. Cerita lama suka duka bersama mu, biarlah menjadi kisah silam yang tidak ingin dibelek lagi. Syaitan itu, kini bukan lagi penghias diri, namun musuh suatu cita-cita.





Sepi benar senja ini
Bayunya semilir, menganak ombak kecil
Jalur ufuk pula mengemas terang
Kapal dan layar terkapar

Mengapa nantikan senja
Barukan terdetik, pulang ke pengkalan
Gusar malam menghampiri
Ku tewas di lautan

Tuhan layarkanku ke arah cintaMu
Tuntuniku menggapai redhaMu
Rimbunan kasihMu ku berteduh
KepadaMu ya Tuhan
Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan

Biar Kau menjadi saksi
Tulus tangisku kala dini hari
Kesempatan yang hanya sebentar
Moga keikhlasanku terlakar
Berikanlah ku hidayah
Agar dikuatkan iman yang lemah
Moga diberkati hidup ini
Menuju bahagia yang kekal abadi

Harapanku moga dikurniakan
Manisnya iman berpanjangan
Moga lautan hilang gelora

Jangan seronok mengumpul angka-angka 0!





Di sekitar angka kosong

Tidak dapat dinafikan, dunia ini telah memaksa seluruh anggota para daei untuk melaksanakan amal islaminya, dakwah kepada Allah. Sesiapa dari kalangan para daei, atau orang yang 'memahami' islam, quran dan segala isinya, namun masih belum nampak kepentingan dakwah, sesungguhnya masih buta mata hatinya.

Pernah aku kongsikan sebelum ini, betapa pentingnya asas gerakan kita ini dibina daripada sumber-sumber Al-Quran dan Sunnah, dan diberikan ruh kekuatan tambahan daripada gerak kerja orang-orang sebelum kita. Maka, telah berkata Syakib Arsalan Rahimahullah:

"Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan tersendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?"

Saat-saat manis pasti dirasai ketika kita sama-sama membuat resolusi di program-program kita. Kita bersepakat untuk melaksanakan perancangan itu mengikut fleksiveliti di lokaliti masing-masing, melihat kepada waqi' yang punya karenah-karenahnya yang tersendiri. Begitulah gambaran yang Syeikh kita telah berikan kepada kita. Kita bukan tugasnya mengumpul resolusi, dengan mengumpul orang-orang yang tidak mampu melaksanakannya. Kita takut, pada muktamar mendatang, kita akan tetap dengan resolusi yang sama tanpa peningkatan amal, mungkin juga tanpa amal sama sekali.

Dan poin yang paling penting ialah, dakwah kita bukan dakwah untuk meramaikan, tapi membina. Membina orang-orang yang berNILAI.

Mungkin ada daripada kita, yang masih belum mampu berperancangan, sekadar mengikut cadangan-cadangan, taujih-taujih, arahan-arahan mas'ul mereka untuk melaksanakan dakwah di tempat mereka. Kadang-kadang, kemelut jiwa atas kegagalan meramaikan orang akan menyebabkan jiwa sedikit memberontak. Jiwa mereka meronta-ronta, seakan terkorban bersama terkorbannya jiwa-jiwa orang yang mereka DF selama ini.

"Dakwah ini ada masa hadapan?"

Persoalan itu sangat rapat, mampir dan kerap kali bermain di pundak mereka. Terasa sangat tidak yakin dengan pertambahan yang tidak ketara dalam kumpulan mereka.

"Mengapa kita tidak kumpulkan satu dewan orang untuk bersama kita, supaya dakwah kita sehebat Kumpulan B?"

Ikhwah akhwat yang kucintai,

Kita mampu untuk mengumpulkan mereka semua. 100 orang, 1000 orang, malah seluruh lokaliti yang seramai 20,000. Dan kita juga boleh minta mereka semua bersemangat melakukan perkumpulan besar-besaran. Minta dilantik seorang ketua yang akan melakukan pidato penuh semangat yang akan membuatkan mereka bangkit berdemonstrasi di lokasi-lokasi strategik.

Namun, angka-angka 0 ini tidak akan tahan dengan semburan-semburan air itu. Angka-angka 0 itu, akan lari bertempiaran jika ada antara mereka ditangkap oleh FRU. Dan hampir kesemua mereka tidak mahu bergelar ikhwah mahupun akhwat jika yang ditangkap itu diseksa dan dipenjara terus. Mereka akan terus lesap, tanpa mampu dipanggil lagi.

Hasilnya? Kembali 0. Itulah hasilnya jika asas penubuhan sebuah gerakan itu atas dasar suka-suka sahaja. Tanpa ruh Allah dalam diri mereka. Tanpa pembinaan jiwa, untuk mereka akhirnya dapat menjadi seperti pembina mereka juga, membina orang yang lebih ramai lagi. Jika mati ditetak sekalipun pembina itu, dakwah akan tetap mengalir, kerana adanya barisan yang jiwanya tidak kosong ini.

Kenangkan perang Hunain, buat pertama kalinya tentera islam melebihi lawannya. 12,000 askar islam dikumpulkan. Namun, hanya 100 orang islam dari kalangan ahlul badar, uhud yang mampu mara ke hadapan, tidak minggir ke belakang, tidak berpatah balik tatkala ada ura-ura akan kekalahan islam.

Kenangkan demontrasi-demonstrasi yang berlaku di zaman ini. Dengan kecanggihan perhubungan kini, bukan susah untuk menyebarkan maklumat tentang demonstrasi-demonstrasi itu. Tapi, berapa kerat yang mampu tetap kekal dengan pendirian mereka, pendirian mereka yang tertulis di baju-baju mereka dan sepanduk-sepanduk mereka tatkala berhadapan dengan polisi-polisi yang menghampiri?

Kekuatan. Semangat untuk benar-benar berjihad, sanggup MATI untuk deen Allah bukan calang-calang ciri-ciri islami. Ianya lahir dari akidah yang benar-benar tulen. Ianya berasal daripada ibadah yang soheh, yang penuh penghayatan dan pengharapan kepadaNya. Ia bukan lahir daripada pembacaan beribu-ribu buku, tapi sejauh mana praktik dan amal yang menyebabkan penuh kematangan pengalaman, dengan keimanan yang sudah puas diuji, namun tetap diuji-uji lagi, hingga ia benar-benar mantap. Imannya itu sudah benar-benar mantap dan teruji, hingga dirinya sanggup ditabrak peluru. Tidak menyesal walau sekelumit. Tiada penyesalan atas segala tapak di atas jalan dakwah yang penuh mujahadah ini. Itulah kekuatan yang diperlukan, yang tidak bisa dapat melalui perkumpulan sahaja.

Ia memerlukan pembinaan. Ia memerlukan perkongsian. Ia memerlukan penghayatan. Ia perlukan pengamalan. Ia memerlukan ujian. Ia memerlukan MASA untuk disebatikan segala itu dengan kehidupan jiwa-jiwa ini. Hingga pada akhirnya lahirlah jiwa yang punya NILAI!

Daripada tarbiyyahlah mereka tercipta. Tarbiyyah dengan celupan ilahi.


Bagaimana pula amal kita?

Tanpa kita sedari pula, segala usaha kita juga ada nilai. Nilai robbani itu tidak ada hanya pada individu-individu sahaja. Namun, nilai individu itu dizahirkan melalui segala amalan seharian dan bagaimana seorang individu itu 'bergerak' sepanjang hidupnya. Di sinilah pentingnya kita muhasabah kembali, adakah amal yang kita laksanakan dalam perjalanan dakwah ini mempunyai nilai? Atau tidak jauh bezanya dengan amal-amal orang biasa, yang mengajak kepada jahiliyyah?

Wednesday, November 11, 2009

Hati ini tidak pernah puas bercinta





Cinta di bawah pohon tarbiyyah

Cinta di hati bersuara lagi. Kata-katanya samar-samar. Berbisik-bisik dalam hingar-bingar di sekitarnya. Walau tahu ada bisikan itu, si peminjam jiwa tetap tidak dapat mendengar luahannya, yang masih tenggelam dalam hingar-bingar tadi.

Peminjam jiwa ini lantas pergi ke suatu ceruk yang sedikit sunyi, cuba memahami setiap lafaz-lafaz yang tersimpan dek hati yang kecil ini. Ia memuntahkan segala bingkisannya, mendedahkan segala cintanya, merembeskan keluh kesahnya. Hati itu jelas sedang dalam persimpangan, kabur pilihan dan keyakinannya. Gusar andai diri berasa sangsi akan keimanan sendiri.

Sedang diri merasa keresahan itu, datang seorang murobbi yang tidak pernah serik-serik membimbing diri ini. Hati ini merasa sangat riang, hanya dengan memandangnya. Berada bersamanya, walau tanpa sepatah kata, segala kerinduan terubat, penyakit hati sirna, kesangsian hilang dan masalah selesai.

Diri ini tidak tahu mengapa, namun tazkirah yang terkeluar dari mulut sang murobbi itu tidak pernah gagal memecahkan empangan air mataku. Ianya pecah, seiring dengan mengalirnya cecair yang membasahi pipi yang mungil ini. Basah, sebasah hati. Namun, ianya terasa sangat hangat, terasa lebih selesa andai ia dibiarkan meluncur terus ke dagu, membasahi sejemput janggut dan terus menitik ke tangan kananku.

Terasa diri ini ghurur. Terasa diri ini sangat sombong. Terus diri ini meneropong segala amal yang penuh cacat cela. Najis kemaksiatan yang kecil itu, rasanya umpama gunung yang sangaat berat. Bukan gunung biasa, tetapi gunung najis yang hina dan menghinakan. Malu rasanya, apabila gunung najis ini seolah-olah sedang bertenggek di bahu pelaku maksiat ini, yaitu diri ini sendiri. Berat dan menghinakan sungguh gunung ini, terasa malu di hadapan sahabat dan kenalan handai, apatah lagi di hadapan Tuhan. Diri ini menginsafi, kerana pernah sesaat, dunia ini sangat seronok diamati, hingga pada sesaat itu, terlupa akan Ilahi rabbi.

Begitulah tarbiyyah ini mengajarkan diri. Beginilah tarbiyyah ku rasai. Indah, mencerahkan, mengairi hati yang gersang, lompong kerana diisi dengan dunia yang menggoncang perasaan, bukan menenangkan.

Begitulah murobbi memainkan wataknya. Menghiasi segenap ruang hati dan perasaan, menambatnya dengan kasih sayang ilahi. Ia juga mengajarkan diriku ini untuk mengasihani. Hanya perasaan itu, sudah cukup untuk membuat diri ini mabuk mencari kekasih hati, meledakkan keimanan di hati, meraih kemenangan deen ilahi.


Cintaku tidak pernah bertepi

Adikku, hanya Allah az-zawajalla mengerti bagaimana kejolaknya hati menerima panggilanmu. Dirimu dalam keresahan itu, dengupan perasaan mu itu, kerunsingan fikiranmu itu, saratan kerinduan itu, timbunan intelektual itu... aku pernah rasai. Percayalah. Namun, hati abangmu ini tidak tenang setenang mimik muka kacaknya itu.

Kekadang lidah ini petah berhujah, bukan kerana banyak pengetahuan, tetapi cemas digoncang kemelaratan emosi yang tebal itu. Kekadang lidah ini keras kelu tiada kata, kerana otak sedang ligat mengira-ngira, takutnya tidak terkata, takutnya kerana tahu kata-kata itu umpama pedang. Perlu dihunus, tapi diriku memegang mata dan hulunya agar tidak mencederakan hatimu wahai adikku. Rela dibasahkan kedua-dua tangan ini dengan darah itu, sedang setiap celahan tangan itu menanggung luka yang dalam, asalkan hatimu tidak tergores akan keganasan pedang itu. Begitu tersusun kata-kataku dibina.

Adikku, dalam ketelitian ku itu, aku akur betapa lemahnya diri. Aku gusar tidak terkira andai dirimu merasa keringnya jiwa bila bersamaku. Takut jika bertambah pula kucar kacir duniamu bila memandang mukaku. Gelapnya jiwa ini, takutnya menyebarkan jajahan zulumat ke dalam jiwamu yang mulus itu. Rendahnya tahap ilmu di dada, memaksa aku tidak putus-putus menuntutnya, namun jelas, masalahmu adalah masalahku, ia tidak pernah selesai. Kebersamaan kita yang akan merungkai ikatannya, ia akan kekal matang dengan kematangan usia kita bersama.

Terasa semakin gusar perasaan melihat matamu yang berkaca-kaca menelan segala tohmahan dan kata-kata kerasku. Sedarlah adikku, keras kata-kata ini bukan bermaksud meremukkan hati mu, namun ia untuk menggugah perasaan lembut itu, agar tidak terbawa-bawa dengan perasaan takutmu itu. Lembut kata-kataku bukan untuk membuai perasaan, mengangkat dirimu semata-mata, namun itulah pengikat cinta kita.


Khilaf kita sepatutnya menyatukan hati kita

Adikku, sedarkah kau kita begitu berbeza? Abangmu ini lahir dari rahim yang berbeza dan berbeza pula latar belakangnya. Lahirnya diriku dalam biah yang berbeza dengan suapan ilmu yang berbeza. Setiap sel dalam badanku mengharungi jerih perih yang berbeza, namun setiap daripadanya tidak pernah henti berzikir memuji Tuhan kita. Ia tidak pernah henti meronta-ronta andai diriku tidak berada di atas landasanNya. Dan dengan landasanNya, hatiku yang bertasbih ini merasai ketenangan tidak terkira. Itulah yang menyatukan kita.

Cinta kepada Allah yang Maha Esa itulah penyatuan kita. Ikatan akidah melalui syahadah dan penyaksian terhadapannya, akan mengikat hati kita, mengungkaikan segala khilaf sesama kita.

Sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagi hati kita yang berkecamuk ini. Mungkin tidak pernah kau sedari, hati ini semakin mengenali dirimu. Setiap gerak gerimu ternyata tidak asing buatku. Aku tidak pasti secinta mana dirimu terhadapku, namun hatiku ini tidak pernah puas menyintaimu, kerana aku tahu dikaulah yang akan menyambung amalanku, andai sekujur tubuh ini tumbang dicabuk tirani.

Cintaku ini memaksa diriku semakin ingin tahu tentang dirimu dan akhirnya semakin aku mengenalimu. Malangnya adikku, sering kali aib kita terserlah di sepanjang perjalanan ini. Ia menggugat keutuhan cinta kita. Ia kerap kali menyebabkan diri ini menyimpan ketuat di hati, yang membesar menanamkan benci. Benci dalam cinta, menumbuhkan komplikasi dalam cinta kita.

Jika dikau memahami, pasti kau akan mengetahui mengapa aku menimbulkan persoalan ini, bukan sekadar mengundang sebuah episod kebencian, namun ingin menegur jika jahiliyyah itu menjadi benteng yang akan membunuh cinta yang murni lagi suci. Itulah yang kerap kali menjadi pucuk-pucuk muda khilaf, yakni maksiat dalam diri.

Jika masih juga lahir khilaf atas kerendahan ilmu pengetahuan dan pengalaman, maka maafkanlah wahai adikku, berhusnuzonlah sesama kita, izinkan pengalaman dan masa ini mengajar diriku yang hina ini untuk menjadi abang yang lebih baik dari masa ke masa. Itu janjiku, aku akan pastikan diri ini semakin baik setiap hari, semakin kuat keimanan dari masa ke masa. Untuk membimbingmu. Itu janjiku, peganglah ia. Andai tersasar diriku, ku mohon pada mu, dengan cinta yang mengikat kita, maka peganglah tanganku, bimbinglah aku kembali menghadapNya.


Dunia ini mengajar kita praktik ke syurga

Adikku, dunia ini menghimpit kita dengan segala permasalahannya. Himpitan ini menyebabkan jiwa kita merasai suka duka silih berganti. Setiap kerja serba tak kena. Hingga kita sering menyalahkan Tuhan tanpa sedar kita. Jalan yang lurus itu terasa sangat banyak likunya. Menjadikan kita keliru ke mana harus di bawa diri ini. Di mana seharusnya di bawa segala janji setia yang selama ini dibina dalam diri. Lambaian syurga itu tidak lagi terbayang di mata.

Segala-galanya tampak sukar di depan kita. Cukupkah ilmu kita? Cukupkah masa kita? Cukup kuatkah diri? Cukup layakkah diri untuk menjadi secemerlang mungkin dalam semua arena?

Sejarah mengajar kita lagi. Dunia ini akan memberikan pengajaran yang besar bagi orang yang mencelikkan hatinya untuk mendengar kuliah dunia.

Adikku, tentera-tentera Badar juga pernah merasai keperitan kita ini. Malah lebih lagi. Kita saksikan betapa kecilnya bilangan mereka berbanding tentera kufar. Pandangan kasar akan menggambarkan kekalahan mutlak, kematian yang dijanji, dan syahid yang dicita pasti dikecapi. Namun, dari mana datangnya keyakinan itu?

Dari mana datangnya keyakinan semangat remaja Muaz dan Muawwiz menebas Abu Jahal? Mana datangnya keyakinan para sahabat yang membunuh saudara mara mereka? Dari mana datangnya keyakinan hamba-hamba sahaya itu memberantakkan tuan-tuan mereka?

Dari angka mereka kah? Dari kepandaian mereka berperangkah? Dari kelengkapan perang mereka yang tak seberapa itu kah?

Sedarlah saudaraku, mereka semua beriman bahawa Allah itu ADA. Kekurangan yang mereka rasai itu, menyebabkan mereka lebih beriman kepada Allah. Sepenuhnya. Tidak iman mereka pada senjata mereka. Bukan pada masa yang mereka ada. Bukan juga pada akal mereka itu.

Di dunia inilah, keimanan kita akan tetap diuji, setiap masa. Yakinkah kita pada Allah? Hanya itu persoalan untuk semua mehnah dan tribulasi itu.

Itulah jawapanku, untuk semua persoalan mengenai DUNIA, jika ia masih membelit pemikiranmu, menghambat nalurimu.

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]