Matahari itu terbit atau terbenam?
Semalam, sebelum warga BADAR pulang ke perkampungan masing-masing, untuk menyambut kemenangan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail atas pengorbanan mereka, seorang ikhwah cilik turut sama bertandang ke BADAR. Persinggahan sementara, sebelum bertolak ke perkampungannya di Republik Kelantan.
Sempat berbual sementara. Katanya baru habis suatu tamrin khusus dengan ikhwah di Malaysia Timur, sesudah tamat PMR. Beliau baru sahaja tamat PMR dan baru beberapa bulan berada dalam sistem tarbiyyah. Suka bersoal jawab, aku bertanya suatu soalan bonus;
"Haa.. Di pondok tu selama 3 minggu, dah hafaz berapa hadis dah?""Arbain (40), Insya-Allah""Em, bagus-bagus"
Jawabannya ringkas. Tapi memukul kepalaku dari maghrib itu, hingga keesokan harinya. Suatu muhasabah buat diri ini. Setelah sudah lama ditarbiyyah dan mentarbiyyah.
Pernah sekali UQY hadir memberikan ceramah dalam tamrin intensif kami pada tahun 2006. Melihat kami penuh bersemangat, beliau mengeluarkan satu qarar (ketetapan) untuk kami yang menjadi pesertanya;
"Habis tamrin sebulan ni, semua orang kena hafaz semua 42 hadis dan juzuk amma"
Ramai yang mempersoalkan 'arahan' tersebut. UQY berasa pelik melihat sikap kami ketika itu. Sikap bermalas-malasan dan ingin mencari alasan. Dan hasilnya, anda boleh agak apa yang berlaku.
Melihatkan hayatku dalam tarbiyyah ini, banyak yang ku berjaya garap di sepanjang perjalanan ini. Ku harus akui, usrah dan segala program tarbiyyah itu bukan proses penyuapan ilmu semata-mata, tetapi merupakan suatu asbab untuk diri ini lebih memberikan perhatian kepada tarbiyyah diri, tarbiyyah dzatiyyah.
Apabila bercakap tentang tarbiyyah dzatiyyah dan kebersungguhan dalam mentarbiyyah diri, aku berasa malu dengan para pakcik yang terlebih dahulu mengenal dakwah tarbiyyah ini. Kisah mereka semasa zaman muda mereka terlampau menakjubkan. Terlampau banyak kisah yang ku dengar. Aku berdoa agar diberikan taufik oleh Allah untuk dapat memberikan kisah-kisah terbaik kepada kalian. Semoga bermanfaat untuk diri dan dakwah kita.
Seorang akh itu, zaman mudanya, tidak pernak berlengang daripada Al-Quran dan Buku-buku islami. Jiwanya penuh dengan izzah islamiyyah dan setiap hujahnya dari quran dan hadis. Bukan main banyak ayat-ayat Allah yang diingat di luar kepala, menjadi bekal sepanjang jalan dakwah.Seorang akh itu, semasa mudanya, tidak pernah meninggalkan solat subuh berjemaah di masjid walaupun terpaksa berjalan kaki selama 30 minit mengharungi salji tebal dan cuaca yang sejuk di bumi Amerika itu.Seorang akh itu, pada sewaktu mudanya, tidak pernah ternampakkan oleh anak-anaknya di rumah pada waktu malam. Setiap malam, beliau akan sibuk dengan usrah dan segala macam kepentingan tarbiyyah kita.Seorang akh itu, semasa mudanya, rumahnya cuma ada almari baju, tilam tidur, tikar dan peralatan dapur kerana duitnya tiada kecuali untuk keperluan asas keluarga. Selebihnya akan diinfakkan kepada dakwah. Hasilnya anda boleh lihat sekarang.Seorang akh itu, sewaktu mudanya, tidak ada bisnes sampingan kecuali untuk penjanaan dana dakwah. Merekalah yang menerbitkan majalah Ummi dan majalah-majalah lain. Bukan untuk perolehan duit poket mereka, tetapi untuk kelestarian dakwah di bumi ini.
Diri ini berasa malu melihat pengorbanan mereka-mereka yang menjadi tunjang kepada dakwah kita ini. Lihatlah betapa bersungguhnya mereka ketika muda mereka. Jauh rasanya untuk dibandingkan dengan amal pemuda kini. Suara mereka begitu lantang kedengaran di seluruh negara atas pengorbanan mereka, walhal mereka ketika itu juga seusia dengan kita kini.
Suatu suara kecil membisik ke dalam jiwaku;
"Dengan kesungguhanku yang tak seberapa, mampukah momentum ini bertahan hingga ke akhir hayat?"
Aku melihat diriku seperti matahari yang menyinari sekarang. Ia berada di ufuk (seperti gambar di atas). Namun aku tidak tahu, samada ia sedang terbit atau terbenam. Aku tidak pasti, samada kini merupakan zaman kebangkitanku, atau sedang meniti kesuraman malam. Aku semakin tidak pasti.
Sunnatullah di hutan memberikan kita suatu pencerahan
Dan kini, mata ini tidak putus-putus menyaksikan tumbangnya pohon-pohon tua. Jatuhnya menimpa sebahagian pohon-pohon yang baru ingin tumbuh. Pohon itu jatuh kerana sudah begitu lama dimamah usia. Dan malangnya kerana kanopi hutan itu tidak cantik terbina, maka yang ada hanyalah pohon-pohon di lantai hutan, yang sedang mencari-cari cahaya.
Tapi sesungguhnya, Allah memelihara hutan itu, kesemua pohon-pohonan renek di lantai hutan itu mendongak ke atas, ruang yang ditinggalkan pohon tua itu. Ternyata, ada jaringan cahaya yang memancar dan seolah memanggil-manggil pohon-pohon renek itu ke angkasa. Pohon-pohon renek itu, dengan pantas menyahutnya. Tidak terkira banyaknya pohon-pohon renek yang tumbuh hari demi hari, menggantikan pohon tua tadi. Mereka akhirnya melengkapkan kanopi hutan yang tidak lengkap itu.
~~*~~
2 comments:
Satu tamparan juga buat ana yg masih jadid lg....
Ana cemburu pada yang sudah lama, yang sudah sedia maklum tekad mereka dahulu.
Juga cemburu dengan generasi ntum yang masih baru, tapi menyahut seruan dakwah ini ini dengan sepenuh hati.
Biar jadid, dan menjadi mujaddid. Pembaharu generasi ummah yang lapuk.
Post a Comment