Friday, November 27, 2009

Masih tersisa kah cinta?





Luka di hati masih terbuka

Parut itu masih belum kering sepenuhnya, seakan baru. Trauma dalam diri, membuatkan aku mengambil keputusan tidak pulang ke rumah selagi diri masih belum berjaya merubatinya. Ia nya masih perit terasa. Puas disekang air mata, lagi-lagi apabila duduk sendirian dalam kesunyian. Aku berharap Allah memberikan aku kekuatan mengharungi hidup ini yang tidak pasti.

Tinggallah aku di Serdang berseorangan, beraya bersama warga-warga taman yang sudah 'berkampung' di kawasan perumahan ini. Kini, mereka tidak perlu ke kampung kerana taman inilah kampung mereka. Anak-anak dan cucu-cucu mereka akan datang ke taman ini, menyambut eid al-adha bersama.

Seronok membanting tulang semasa kenduri di pagi raya. Surau kami begitu meriah dengan penduduk juga tetamu dari luar. Aku tidak perlukan alasan untuk menolong mereka membasuh pinggan mangkuk, melapah binatang korban dan memasaknya. Menyibukkan diri ini merupakan suatu cara effektif menangani masalah jiwa.

Kerna kadang-kadang kemaruk itu datang kerana minda terawang-awang memikirkan tentang orang yang sudah pergi. Dan lupa akan keberadaan ilahi. Yang sepatutnya menjadi motivasi diri. (13: 28)



Kenangkan cinta Ibrahim dan Ismail

Mari kita merenung kisah cinta Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya, Nabi Ismail a.s. Semenjak meninggalakan si anak di Mekah, Nabi Ibrahim a.s tidak serik-serik ke Mekah untuk menziarahi anaknya, kerinduannya hanya dibalas dengan perjumpaan dengan 2 orang menantunya pada 2 kali penziarahan itu.

Pada kali ketiga, barulah Nabi Ibrahim dapat bertemu dengan anaknya. Dan pada perjumpaan itu, dalam kerinduan itu, beginda telah diberikan suatu arahan yang sangat berat untuk dilaksanakan, iaitu penyembelihan Nabi Ismail a.s.;

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI).
Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian.

(Ash-Shaaffaat 37: 101-108)

Peristiwa ini, jika dibacakan di hadapan jiwa-jiwa yang keras, pasti tidak akan terasa apa pun. Tetapi, pada orang-orang yang beriman, natijahnya akan bergetar hatinya (Al-Anfal 8: 2). Akan bergoncang-goncang jiwanya dan akan meleleh air mata keinsafan atas pengorbanan 2 insan mulia ini.

Betapa cintanya kepada Maha Pencipta, hingga anak-beranak ini sanggup berpisah buat sekelian kalinya keranaNya. Betapa taatnya mereka kepada Allah Az-Zawajalla, melebihi segalanya-galanya, hatta jiwa mereka sanggup dikorbankan. Walau tampak seperti tiada tujuan.

Eid al-adha kali ini mengajar aku erti pengorbanan dan ujian. Pengorbanan kasih sayang seorang kekasih hati yang dipulangkan kembali kepadaNya. Dan ujian untuk terus kekal di atas jalan penuh onak dan duri. Jalan dakwah yang memerlukan aku menghadapinya, walau betapa berkecamuknya jiwa ini, walau datang badai, ribut sekalipun. Walau digoda pelbagai kenikmatan duniawi. Akan ku, serahkan segala cinta itu, tanpa bersisa, kepadaMu ya Allah.

Aku bersyukur kerana murobbi-murobbiku, rakan-rakanku, anak-anak binaanku tidak serik-serik menadahkan tangan mereka memohon kemaslahatanku dan dakwah kita ini. Semoga kalian beroleh baraqah dunia akhirat. Syukrulillah, Syukran alaikum.


Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

(Al-Ankabut 29: 2)

No comments:

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]