Sunday, November 22, 2009

Dari mana datangnya motivasi itu




Hidup ini memerlukan motivasi

Setiap hari, dalam setiap nafas yang terhembus. Dalam setiap lafaz kata yang terungkapkan itu, mengalir sebuah azam dan tekad yang membara. Motivasi ini memberikan erti kepada kehidupan setiap individu yang meraba-raba hala-tuju hidupnya. Natijah daripada individu yang bermotivasi ini, lahirlah jutaan individu lain yang sebegitu.

Suatu ketika dahulu, sebelum mengenal hakikat diri, kita mendapat motivasi daripada lagu-lagu yang sangat variasi. Dari timur, barat dan dalam negara, semuanya terdengar di mana-mana. Terpulang kepada minat dan kecenderungan setiap pemilik hati untuk memilihnya. Ada lagu-lagu mainstream untuk mereka yang menghayati lirik kehidupan. Ada lagu-lagu rock, hiphop dan savage bagi yang berjiwa syadid. Ada boyband bagi yang menghayati cinta dan rindu.

Jiwa melompat-lompat mendengar kerancakan alunan muzik diadun bersama suara. Lirik yang puitis dengan suara seakan-akan menangis mendesak jiwa untuk turut sama merasakan kesedihan ditinggalkan kekasih, walau diri belum pernah berpunya. Diri ini tidak pernah lekang dari mendengar lagu-lagu liar ini walau di mana sahaja berada.

Apabila hidayah menerjah kedalam akal dan hati, segalanya berubah arah. Kiblat cinta tidak lagi dituju kepada manusia yang tidak pernah lupa untuk alpa. Motivasi itu tidak lagi lahir daripada kedasyatan muzik yang membara, namun nasyid ketuhanan dengan mesej hanya kepadaNya. Bercinta hendaklah secara halal, demi Allah. Belajar hendaklah bersungguh-sungguh, demi Allah. Bekerja, hendaklah dengan Itqan (Professional), demi Allah. Segalanya sudah dipaksikan kerana Allah, bersama Allah, dengan merasai Cinta Allah.

Nasyid-nasyid membawa mesej ukhuwwah, mengingatkan kita akrab persahabatan. Nasyid yang menegur kita untuk belajar bersungguh-sungguh, masuk IPT, barulah boleh bercinta di IPT kelak (CUDIPT). Nasyid yang mengajar kita untuk berbuat baik sesama jiran, menjadi muslim yang menjaga akhlaknya. Nasyid yang menyeru kita untuk berhijrah, seperti berhijrahnya para muhajirin meninggalkan kemewahan mereka. Nasyid yang menggambarkan suasana 1/3 malam itu, dengan taubat nasuha yang menyucikan jiwa itu.

Iman yang melimpah-limpah, menghasilkan tempias-tempias keimanan, menyebarkan jaringan keimanan dan mengajarkan kita apa itu jalan dakwah. Jalan dakwah yang satu itu, sukar tapi mengasyikkan. Nasyid yang layu itu, dengan suara seperti keluar, tetapi tidak mahu keluar dari halkum mereka. Mesej penuh lembut membelai, seakan tidak cukup untuk memacu kelajuan dakwah yang sudah mula keras dan tegas ini.

Musuh-musuh yang jelas di hadapan mata itu, membuatkan kita enggan menerima mesej sayu dengan penuh lenggokan yang memabukkan perasaan. Apatah lagi jika ia membawa mesej kecintaan yang tidak tentu arah lagi. Merimaskan dan melalaikan.

Kita memerlukan semangat yang membara dengan jihad yang tiada taranya. Lalu kita dapat merasai ruhnya melalui suara-suara ikhwah kita yang sedang giat berjuang di Indonesia dan serata dunia. Suara-suara mereka menggamit jiwa yang selama ini leka. Semangat mereka kita pinjam, menjadi bekalan sepanjang jalan ini.

Di program-program kita, kita nyanyikan bersama dengan sepenuh teriakan, agar di sepanjang dakwah, dengan rakan atau tanpa rakan, suara-suara itu kembali bermain di sebalik gegendang telinga, memotivasi diri ketika sudah mula dalam kemurungan dan ketakutan. Semangat pemuda itu meronta-ronta dalam diri kita.

Ikhwah-ikhwah ini seakan sedang memujuk kita dalam setiap bait kata mereka. Memujuk dan melonjakkan perasaan kita. Sekaligus dakwah kita juga mengalirkan semangatnya.


Jangan lupa membuka mushafmu

Seorang daei yang ikhlas di jalan Allah. Dengan ilmu yang sudah bertimbun-timbun, mantap di dada, seharusnya mula sedar dan merasa, bahawa motivasi mereka hendaklah datang dari ayat-ayat Allah secara lansung.

Semangat yang mereka rasa itu, hendaklah lahir dari semangat rasul dan para sahabat yang terakam dari kisah-kisah dan ruh para sahabat. Seolah-olah Allah berbicara dengan kita, seolah-olah Rasulullah sedang bersama kita. Seolah-olah kitalah yang dimaksudkan oleh Allah sebagai pembela agamaNya.

Di setiap detik kita, bacaan Al-Quran itulah segala-galanya. Kerana itulah bacaan kita, kerana itulah hafalan kita, kerana itulah amalan kita, kerana itulah dakwah kita, kerana itulah tarbiyyah kita. Hanya dari sana, lahirnya iman kita.

Semoga kita sedar, dari mana motivasi kita datang sekarang. Sesungguhnya kita adalah apa yang kita baca, apa yang kita dengar, apa yang kita amal;
  1. Muzik Liar?
  2. Nasyid Gersang?
  3. Nasyid Haraki?
  4. Al-Quran?

2 comments:

Unknown said...

zaman kini, muzik itu saluran utama.
agak sukar seseorang untuk memisahkan muzik dalam kehidupannya.
tak kisah ia muzik baik, nasihat, atau cinta keterlaluan.

yup.. apa yang kita dengar, itulah kita.
pendengaran itu perlu dianalisis dulu baik buruknya.
jika tidak ia terus terngiang2 dalam jiwa kita.
lagi lagu2 lagha barat, yang boleh menyebabkan kita ternyanyi tanpa di sedari.

ana said...

huhu terkesan sungguh kat ana .. hafazan surah payah nak lekat tapi lirik nasyid laju je ..huhu

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]