Monday, November 16, 2009

Jangan seronok mengumpul angka-angka 0!





Di sekitar angka kosong

Tidak dapat dinafikan, dunia ini telah memaksa seluruh anggota para daei untuk melaksanakan amal islaminya, dakwah kepada Allah. Sesiapa dari kalangan para daei, atau orang yang 'memahami' islam, quran dan segala isinya, namun masih belum nampak kepentingan dakwah, sesungguhnya masih buta mata hatinya.

Pernah aku kongsikan sebelum ini, betapa pentingnya asas gerakan kita ini dibina daripada sumber-sumber Al-Quran dan Sunnah, dan diberikan ruh kekuatan tambahan daripada gerak kerja orang-orang sebelum kita. Maka, telah berkata Syakib Arsalan Rahimahullah:

"Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan tersendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?"

Saat-saat manis pasti dirasai ketika kita sama-sama membuat resolusi di program-program kita. Kita bersepakat untuk melaksanakan perancangan itu mengikut fleksiveliti di lokaliti masing-masing, melihat kepada waqi' yang punya karenah-karenahnya yang tersendiri. Begitulah gambaran yang Syeikh kita telah berikan kepada kita. Kita bukan tugasnya mengumpul resolusi, dengan mengumpul orang-orang yang tidak mampu melaksanakannya. Kita takut, pada muktamar mendatang, kita akan tetap dengan resolusi yang sama tanpa peningkatan amal, mungkin juga tanpa amal sama sekali.

Dan poin yang paling penting ialah, dakwah kita bukan dakwah untuk meramaikan, tapi membina. Membina orang-orang yang berNILAI.

Mungkin ada daripada kita, yang masih belum mampu berperancangan, sekadar mengikut cadangan-cadangan, taujih-taujih, arahan-arahan mas'ul mereka untuk melaksanakan dakwah di tempat mereka. Kadang-kadang, kemelut jiwa atas kegagalan meramaikan orang akan menyebabkan jiwa sedikit memberontak. Jiwa mereka meronta-ronta, seakan terkorban bersama terkorbannya jiwa-jiwa orang yang mereka DF selama ini.

"Dakwah ini ada masa hadapan?"

Persoalan itu sangat rapat, mampir dan kerap kali bermain di pundak mereka. Terasa sangat tidak yakin dengan pertambahan yang tidak ketara dalam kumpulan mereka.

"Mengapa kita tidak kumpulkan satu dewan orang untuk bersama kita, supaya dakwah kita sehebat Kumpulan B?"

Ikhwah akhwat yang kucintai,

Kita mampu untuk mengumpulkan mereka semua. 100 orang, 1000 orang, malah seluruh lokaliti yang seramai 20,000. Dan kita juga boleh minta mereka semua bersemangat melakukan perkumpulan besar-besaran. Minta dilantik seorang ketua yang akan melakukan pidato penuh semangat yang akan membuatkan mereka bangkit berdemonstrasi di lokasi-lokasi strategik.

Namun, angka-angka 0 ini tidak akan tahan dengan semburan-semburan air itu. Angka-angka 0 itu, akan lari bertempiaran jika ada antara mereka ditangkap oleh FRU. Dan hampir kesemua mereka tidak mahu bergelar ikhwah mahupun akhwat jika yang ditangkap itu diseksa dan dipenjara terus. Mereka akan terus lesap, tanpa mampu dipanggil lagi.

Hasilnya? Kembali 0. Itulah hasilnya jika asas penubuhan sebuah gerakan itu atas dasar suka-suka sahaja. Tanpa ruh Allah dalam diri mereka. Tanpa pembinaan jiwa, untuk mereka akhirnya dapat menjadi seperti pembina mereka juga, membina orang yang lebih ramai lagi. Jika mati ditetak sekalipun pembina itu, dakwah akan tetap mengalir, kerana adanya barisan yang jiwanya tidak kosong ini.

Kenangkan perang Hunain, buat pertama kalinya tentera islam melebihi lawannya. 12,000 askar islam dikumpulkan. Namun, hanya 100 orang islam dari kalangan ahlul badar, uhud yang mampu mara ke hadapan, tidak minggir ke belakang, tidak berpatah balik tatkala ada ura-ura akan kekalahan islam.

Kenangkan demontrasi-demonstrasi yang berlaku di zaman ini. Dengan kecanggihan perhubungan kini, bukan susah untuk menyebarkan maklumat tentang demonstrasi-demonstrasi itu. Tapi, berapa kerat yang mampu tetap kekal dengan pendirian mereka, pendirian mereka yang tertulis di baju-baju mereka dan sepanduk-sepanduk mereka tatkala berhadapan dengan polisi-polisi yang menghampiri?

Kekuatan. Semangat untuk benar-benar berjihad, sanggup MATI untuk deen Allah bukan calang-calang ciri-ciri islami. Ianya lahir dari akidah yang benar-benar tulen. Ianya berasal daripada ibadah yang soheh, yang penuh penghayatan dan pengharapan kepadaNya. Ia bukan lahir daripada pembacaan beribu-ribu buku, tapi sejauh mana praktik dan amal yang menyebabkan penuh kematangan pengalaman, dengan keimanan yang sudah puas diuji, namun tetap diuji-uji lagi, hingga ia benar-benar mantap. Imannya itu sudah benar-benar mantap dan teruji, hingga dirinya sanggup ditabrak peluru. Tidak menyesal walau sekelumit. Tiada penyesalan atas segala tapak di atas jalan dakwah yang penuh mujahadah ini. Itulah kekuatan yang diperlukan, yang tidak bisa dapat melalui perkumpulan sahaja.

Ia memerlukan pembinaan. Ia memerlukan perkongsian. Ia memerlukan penghayatan. Ia perlukan pengamalan. Ia memerlukan ujian. Ia memerlukan MASA untuk disebatikan segala itu dengan kehidupan jiwa-jiwa ini. Hingga pada akhirnya lahirlah jiwa yang punya NILAI!

Daripada tarbiyyahlah mereka tercipta. Tarbiyyah dengan celupan ilahi.


Bagaimana pula amal kita?

Tanpa kita sedari pula, segala usaha kita juga ada nilai. Nilai robbani itu tidak ada hanya pada individu-individu sahaja. Namun, nilai individu itu dizahirkan melalui segala amalan seharian dan bagaimana seorang individu itu 'bergerak' sepanjang hidupnya. Di sinilah pentingnya kita muhasabah kembali, adakah amal yang kita laksanakan dalam perjalanan dakwah ini mempunyai nilai? Atau tidak jauh bezanya dengan amal-amal orang biasa, yang mengajak kepada jahiliyyah?

1 comment:

the mujaddid said...

salam..
this is very true..
jazakallah 4 the entry..
moga mmpu mnyalakan iman dan mencahayakan hati2 yg masih berbolak balik dan berkeluh kesah..
inilah jalan kami
~on earth with mission~

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]