Saturday, November 20, 2010

Indahnya Syahid



Mereka gembira!

Kematian, pasti akan dirasa oleh semua makhluk yang bernyawa. Betapa enaknya hidup mereka, atau derita sekalipun, hari bersejarah itu pasti akan tiba.

Bila masa yang telah ditetapkan itu datang, tidak akan dapat diawalkan atau dilewatkan walau satu mikro saat sekalipun. Walaupun kita tidak mengingininya. Walaupun kita belum lagi puas meratah dunia. Walaupun masih banyak lagi kerja-kerja pejabat mahupun kerja-kerja dakwah tersisa.

Dalam malas atau semangat kita. Dalam huru hara atau tenangnya dunia. Hari pengakhiran itu akan datang menjergah tanpa pintaan atau keengganan kita. Waktu itu, barulah semua manusia benar-benar mengiktiraf takdir bukan di tangan mereka.

Waktu itu, manusia merasai seribu satu macam penyeksaan yang tidak mampu digambarkan dari pengamatan luaran. Baik fizikal yang terseksa, ataupun batin yang merana segala derita. Ia merupakan suatu igauan, malah dari lintasan hati yang pertama.

Saksikan kehebatan Tuhan KITA. Saksikanlah betapa hinanya KITA di sisiNYA. Betapa lemahnya KITA selaku hamba kepada NYA. Saksikanlah sebuah hakikat kematian:

Tiada siapa boleh menjamin pengakhiran kita

Cuba baca blog ini:



Alangkah indahnya pengakhiran bagi mereka yang syahid di jalanNya,



"Orang-orang yang mati syahid tidak merasakan sentuhan kematian melainkan seumpama salah seorang di antara kamu dicubit."

[Hasan sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain. Berkata al-Tirmizi: Hadis ini hasan sahih gharib. Berkata al-Albani: Hasan sahih. Lihat Sahih Sunan al-Tirmizi – no: 1668. (Kitab Keutamaan Jihad, Bab Berkenaan keutamaan di perbatasan Jihad).]

Wednesday, November 17, 2010

Nilai sebuah pertemuan





Sebuah pertemuan

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan?
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman


Tidak sedikit orang yang bertanya kepadaku tentang masa depan usrah kita. Betapa ramai orang yang awalnya ragu-ragu, lama-kelamaan meninggalkan jalan ini dan akhirnya berjuang untuk menghancurkan binaan dakwah yang telah dibina sejak sekian lama. Mereka lupa binaan ini bukan sekadar binaan sebuah jamaah kampung, tetapi inilah intisari ummah, jamaah islam seluruhnya.

Ramai juga yang merasakan perjuangan ini suatu yang sia-sia. Tatkala saudara-saudara Tabligh siang malam mereka melaksanakan gash dari pintu ke pintu. Saudara Hizbi kita setiap masa mereka penuh dengan mesyuarat dan program, malah memimpin perjuangan di medan. Begitu juga Saudara Salafi kita yang membaca beratus-ratus, malah beribu-ribu kitab, seterusnya menulis ribuan artikel. Kita masih berjumpa sekali seminggu, sekali sebulan.

Mungkinkah usaha kita yang 'slow' lagi 'sedikit' ini membuahkan impak maksima yang kita idam-idamkan? Mampukah kejayaan islam itu mengalir dari celah-celah jari orang-orang yang begitu kecil usahanya?

Aku juga pernah meragui, aku juga pernah sangsi terhadap apa yang kita lakukan ini. Risau bukan kepalang yang semua yang kita lakukan ini, jikalau dalam kesesatan, maka segalanya akan sia-sia, bahkan mengundang neraka. Sehinggalah aku dalam kegembiraan, menemui ayat ini:

"Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan kami, benar-benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat baik ".
( Surah al Ankabut : 69 )

Ikhlaskan niat dan berjuanglah. Berjuang, berjihad dengan sesungguh-sungguh jihad. Allah tidak akan menzalimi hambaNya yang beriman, bertaqwa kepadaNya. Janganlah ragu-ragu selagi kita benar-benar ikhlas menuntun di atas jalan ini. Petunjuk itu pasti akan dianugerahkanNya. Malah Allah tidak akan mensia-siakan ketaqwaan kita.

Dari masa ke masa, muhasabahlah setiap langkah kita itu. Jangan biarkan diri kita menyembah selain Allah. Jadilah insan yang benar-benar rabbani, yang menjadikan segala-galanya bersumberkan dan bermatlamatkan Allah. Pastikan segala apa yang kita serap dan hadam itu, benar-benar islam, dan akhirnya pastikan ia tidak tamat sekadar dalam halaqah sementara itu sahaja.

Tarbiyyah kita, bukan sekadar untuk meramaikan. Apa gunanya badan gemuk (besar), tetapi menderitai banyak penyakit?

Tarbiyyah kita adalah untuk setiap individu (afrad) dalam jemaah ini. Apa yang kita harapkan hasil pertemuan-pertemuan itu, bukan sekadar amal, tetapi harapannya lebih besar lagi.

Kita harapkan, dari pertemuan itu, akan terjadinya perubahan.

Perubahan, dari sekadar tahu, kepada faham. Daripada sekadar sekadar faham setiap minggu, kepada lahirnya perubahan amali setiap individu. Daripada beramalnya individu itu setiap hari, akhirnya mampu membuatkan ia menjadi fikrah yang bermain-main dalam fikirannya, tindak-tanduknya setiap masa, menjadi ad-deen sepenuhnya.

Al-akh (afrad) bukan sekadar menjadikan fikrah itu berlegar dalam fikiran, perasaan dan nota-nota hidupnya, malah islam yang dipelajari itu, akan melimpah-limpah ke sekelilingnya. Ia akan mewarnai setiap amal perbuatannya, setiap tutur katanya, malah melalui sinar matanya.

Akhirnya, al-akh menjadikan hidupnya untuk berdakwahkan fikrah ini kepada semua orang di sekelilingnya. Ia dengan sepenuh niat ingin membumikan dakwah islam ini ke seluruh masyarakat, bangsa, negara dan dunia ini. Hingga akhirnya ia sanggup membayar perjuangan ini dengan apa sahaja.

Ia berjuang untuk akhirnya fikrah islamnya itu memenangi setiap pertarungan dengan musuhnya. Ia mahu hanya Allah menjadi matlamat semua manusia, dan al-akh sanggup menggadaikan apa sahaja untuk mencapainya.

Ia sanggup menggadaikan hartanya, kereta, rumah, pekerjaannya, akademiknya, keluarga, segala-galanya... hinggalah, malah sanggup menggadaikan nyawanya sendiri.

Ia sedar, tanpa pengorbanan total itu, mustahil akan tertegaknya hakimiyyah ilahi. Selagi darah masih terasa mahal, maka ummat ini masih jauh dari kemenangan dan kemuliaan. Maka mereka menawarkan darah mereka, untuk menyirami pusara-pusara jahiliyyah.

Ya, tarbiyyah kita menawarkan hijrah. Ia bukan suatu permainan yang sia-sia.

Kita memahami sunnatullah perasaan dan hati insani, yang memerlukan masa untuk akhirnya dapat melaksanakan hijrah dalam dirinya, hingga akhirnya islam mengalir 100% dalam dirinya. Usrah kita, setiap perjumpaan kita itu adalah untuk ke arah itu. Walau seperlahan mana sekalipun, yang penting adalah pembaikan.

Ikhwah akhawat sekalian,

Maka sedarlah kita semua, bahawa perubahan itu tidak akan berlaku jika kita masih lagi sama. Jika kita masih liat untuk merubah diri kita.

Dan sedarlah betapa pentingnya pertemuan itu untuk melahirkan perubahan itu. Perubahan sehingga kita akan mati kerana apa yang kita perjuangkan. Kita bukan sekadar mati dalam syahadah tetapi mati kerana syahadah yang kita lafazkan. Sepertimana semua para sahabat yang menegakkannya di medan jihad. Sepertimana Hasan Al-Banna dan Syed Qutb yang meraihnya.

Apa yang kita akan dapat setiap minggu itu yang akan menjadi punca mati kita. Setiap tafsir, hadis, sirah, buku yang disyarahkan; itu lah yang membunuh kita. Kita akan mati kerananya. Bukankah ia lebih berharga daripada nyawa kita sendiri?

Berhentilah tidur dalam pertemuan itu. Berhentilah terleka, terlupa untuk bersedia menghadapinya. Apatah lagi ponteng untuk menghadirinya!

Kalau kita benar-benar serius untuk syahid dan menggapai syurga.

Saturday, November 13, 2010

Ad-Deen 01


Orang yang faham hidup untuk Islam


Procrastinator: Explanationsss coming soon!

Thursday, November 11, 2010

Di sekitar Narawastu Ilmu





Apakah itu narawastu ilmu?
Apakah itu kemanisan ilmu?
Apakah itu keharuman ilmu?
Apakah itu kelazatan ilmu?

Bilakah kita dapat merasainya?

Itulah apabila setiap ilmu yang kita dapat itu menambah pengetahuan kita tentang Allah. Apabila dengan ilmu yang diperoleh, dengan hidayah dan kasih sayang yang dirasai itu, kita semakin mengenal Allah. Apabila dengan ilmu, menambah keakraban kita dengan Al-Kholiq, Allah Az-Zawajalla.

Maksud ilmu, bukan untuk menghasilkan bijak pandai semata-mata. Ia bukan untuk menghasilkan pakar dalam bidang-bidang tertentu; sains, matematik, sejarah, psikologi malah syariah sekalipun. Tapi adalah untuk melahirkan sebuah nilai kemulian, iaitu takwa.

Dengan ilmu, seorang hamba mengetahui maksud penciptaanya. Dengan ilmu seorang perdana menteri mengetahui kerendahannya. Dengan ilmu, seluruh umat manusia mengetahui kedudukannya di sisi robb. Mengetahui nilai mereka dengan setiap apa yang mereka kerjakan. Mengetahui bahawa setiap perbuatan mereka akan ada pembalasannya. Akan adanya surga dan neraka. Akan adanya alam yang abadi. Dan akan sesungguhnya mereka hanyalah menumpang di dunia ini, bukan tinggal selama-lamanya mengumpul harta sia-sia.

Bila seorang muslim, berilmu, ia tidaklah menjadikannya ujub hingga menghina orang yang kurang berilmu berbanding dirinya. Namun sedar dan tahu bahawa ilmu itu, pengetahuan itu juga akhirnya milik Allah, akan menyebabkan dirinya tidak henti-henti menuturkan ilmu-ilmu itu sehingga ia benar-benar tertanam kukuh di dalam hatinya. Ya, ilmu bukan sahaja penuh di otak, tapi ia membumi subur di dalam hati. Di dadanya, hingga mampu membunuh hujah-hujah syaitan durjana.

Dengan ilmu, imannya tidak akan terpenjara dalam dirinya. Ia akan melihat sejarah orang-orang terdahulu yang juga beriman dengan ilmu, akhirnya tidak meng0ngkong diri mereka di masjid-masjid dan biara-biara. Ilmu itu akan membuatkan imannya meronta-ronta, ingin menggerakkan setiap otot yang ada dan mengerahkan segala keringat hingga ke hujung nyawanya.

Hakikat ilmu itu akan membawa orang yang berilmu itu untuk berdakwah di jalan Allah, seterusnya menjual segala yang ada pada tubuh badannya di jalan Allah berjihad di jalanNya hingga tiada lagi darah yang mampu keluar mengalir untuk memperoleh maksud perjuangannya.

Ilmu yang ada akan mengajar hamba yang berilmu itu bahawa dunia ini hanyalah platform sebelum tibanya hari pembalasan. Dan maut akan menjelma, maka kautlah sebanyak mungkin hasil dunia untuk perolehan di akhirat. Ilmu itu menyebabkan orang yang berilmu tidak lagi ingin membazirkan masanya bergelumang dalam perasaan yang tidak pasti. Ia akan mencodak-codak tidak keruan ingin menggapai kematian dalam kemulian yang kedudukannya itu jauh lebih mulia daripada maksud-maksud lain dunia. Ia akan sentiasa berfikir, bagaimana akhirnya ia dapat mati syahid. Pengetahuannya tentang bidadari syurga yang sangat mengiurkan, menyebabkan perasaan rindu pada mereka tidak dapat dibendung lagi. Mereka ingin mati syahid hari ini juga!

Namun apabila seorang itu berilmu, jihadnya juga dengan ilmu bukan ikut-ikutan. Hamasahnya juga terbimbing dengan ilmu, maka ia tidaklah gelojoh mengejar matlamatnya, melainkan menjadi orang yang terancang setiap hayun langkahnya, agar matlamatnya itu akhirnya berada dalam genggaman kedua belah tangannya.

Itulah yang menjadi intisari ayat pertama yang diturunkan kepada Rasul. Bacalah; walhal Rasulullah tetaplah seorang ummi hingga ke hujung hayatnya. Ingin mengajar kita, siapakah tuhan yang sebenarnya; "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan".

Tahu. Hanya dengan pengetahuan, akan berbuahnya keimanan. Dan keimanan itu, hanya dengan pengetahuan dapat melahirkan tindakan. Dan amal itu, hanya dapat terarah dengan betul, berada dengan haq atas tariqul haq ini jika sekiranya dilaksanakan dengan ilmu juga.

Itulah rahsia mengapa datangnya al-Fahmu sebelum ikhlas. Seseorang yang tidak faham, tidak akan pernah dapat melahirkan keimanan dalam dirinya. Walau serendah manapun ilmu di dada, yang pentingnya faham dan imani.

Dan timbalah ilmu sebanyak mungkin, agar semakin dekat dirimu dengan tuhanmu...

Wahai manusia, bebaskanlah diri anda dari penjara kejahilan!

Wednesday, November 3, 2010

Sharing Online: Hadharah 1


Ini adalah video pertama ana, secara online sharing, untuk berkongsi idea mengenai topik yang sebelumnya ana gagal untuk menyampaikannya.

Tapi perkongsian ini terhad dalam sekitar ~5 minit sahaja. Kalau dapat daurah 2 hari pun best juga ni (Semalam demand untuk dapat whiteboard, kali ini demand masa pula... huhu)



Ana juga sempat merakamkan 1 lagi video mengenai buku Pilar-pilar kebangkitan ummah. Asif kalau banyak mengarut, tak susun pun kata-kata. 1st timer lah katakan...


Semoga bermanfaat... yosh!

"Bila penggiat DOTA sanggup untuk habiskan 24 jam untuk berlatih DOTANYA,
Bila ulat-ulat buku sanggup untuk tidak tidur malam demi menghabiskan wirid mereka,
Bila penggemar-penggemar porn di satu tempat di UPM sanggup mengambil risiko, untuk menonton porn mereka secara berjemaah,
Bila kaki-kaki perempuan sanggup menghabiskan gaji bulanan untuk mendapatkan keseronokan bersama awek-awek mereka,

Mengapa kita masih ragu-ragu untuk bersungguh-sungguh mentarbiyyah diri?
Untuk mentarbiyyah ahli?
Tidak cukupkah izzah dan himmah di hati?
Tidak cukupkah janji kemenangan yang pasti?
Tidak cukupkah syurga dan bidadari yang menanti?"


Tuesday, November 2, 2010

Hadharah (Peradaban)


Secara umumnya, peradaban bermaksud:

Kehadiran secara mutlak, yakni kehadiran dari suatu pengalaman manusiawi yang terkoordinasi secara alami sehingga mampu membentuk teladan manusiawi bagi kehidupan dengan segenap dimensi dan aspeknya, berusaha mempersembahkannya kepada bangsa-bangsa lain agar mereka mencontohnya, dan berjalan mengikut alurnya atas dasar keyakinan bahwa hal itu adalah teladan manusiawi yang patut untuk diikuti.

(Prof Dr Abdul Hamid Al-Ghazali, Pilar-pilar kebangkitan umat)



~~*~~

Susahnya nak simpulkan apa yang ada dalam kepala ana ni, kena ada white board juga ni

Tak pun ana coret sikit kat blog ni kan? em, boleh try, tungguuu...

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]