Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar !!!
Allah masih memberikan kita jiwa yang beriman, yang merasakan semua teguran itu significant kepada diri kita. Semua teguran itu adalah buat kita, bukan orang lain. Dan semoga kita dapat merasakan segala teguran itu adalah datang dari Allah bukanlah semata-mata datang dari sahabat kita yang serba kekurangan itu. Dan alangkah indahnya jika kita dapat merasakan bahawa teguran yang Allah beri itu datang bukan sahaja melalui kata-kata, malah kita merasakan pada setiap masa dan keadaan kita, kita ditegur oleh Allah untuk kebaikan kita. Itulah nikmatnya menjadi pendukung agama Allah, kerana Allah tidak akan membenarkan agama nya ini dipikul oleh orang-orang yang fasik lagi sesat.
Aku juga sering merasa itu, sering merasa teguran Allah itu di setiap langkahku.
~~*~~
Setelah beberapa hari post Nilai Ukhuwwah Kita, ana tulis dan kepilkan dalam blog ini, ternyata ada beberapa orang ikhwah yang terkesan. Pada yang dapat merasai betapa besarnya ukhuwwah yang akan kita jana bersama, alhamdulillah, banyak-banyakkanlah bersyukur kepada Allah.
Yang ana takutkan adalah; ada ikhwah yang merasakan tulisan itu sebagai suatu teguran sinis secara terbuka yang dilayangkan hingga seolah-olah membunuh keterbukaan kita bersama. Tidak! Akhi, sekali-kali tidak!
Ana secara ikhlasnya ingin merasai segala apa yang ana ada ini sebagai hak milik ntum juga. Ya, milik ntum sebagai ikhwah yang menjadi penunggang kuda dakwah ini! Ya benar, kita ada hak milik kita juga, privasi kita dan etc. Tapi ingatlah ikhwah sekalian, bukankah kita telah menjual jiwa dan seluruh harta kekayaan kita kepada Allah?
Adakah kita sudah merasainya? Atau kita masih gagal merasainya?
Adakah kita sudah merasai dakwah dan islam itu sendiri lebih mahal dan berharga berbanding apa-apa sahaja di atas muka bumi ini? Adakah kita sudah dapat merasai sahabat kita, ukhuwwah kita ini lebih bermakna berbanding hiburan-hiburan dunia?
Jika belum, ana meragui niat kita berada di atas jalan ini. Jika belum, ana meragui kebolehan kita untuk memimpin ummah ini, jika kita masih mementingkan diri kita dan perut kita semata-mata.
Ikhwah sekalian,
Ana sangat teringin ukhuwwah kita sehebat Ikrimah bin Abu Jahal yang sanggup mengorban jiwa dan raga kerana ikhwah tercinta. Juga ana ingin ukhuwwah kita sehebat muhajirin dan ansar yang sanggup mengorban harta, isteri dan kepentingan dunia demi menyahut seruan dakwah dan jihad. Ana impikan dapat merasai ukhuwwah seperti Abu Ayyub Al-Ansori ketika dia menawarkan segala-galanya miliknya kepada Abdul Rahman bin Auf. Ana ingin merasai kehebatan ukhuwwah ketika Abu Bakar menahan lubang makhluk berbisa itu dengan tangannya. Ana ingin merasai ukhuwwah itu, apabila para ikhwah mujahid al-ikhwan al-muslimun sanggup diseksa dengan 1001 macam penyeksaan, daripada mendedahkan aktiviti dakwah ikhwah yang lain dan pergerakan jemaah ini.
Nah! Di mana nilai ukhuwwah kita? Adakah kita menilai ukhuwwah kita di tahap yang sama?
Apabila al-ustaz kita membacakan sebuah hadis berkenaan hak seorang sahabat, saudara seislam yang hinggakan dibenarkan masuk rumah seorang sahabat yang lain tanpa kebenaran sahabat itu sendiri dan minum air di dalamnya, yang kita lihat itu adalah peluang atau itsar? Yang kita lihat itu hak atau tanggungjawab? Yang kita empatikan itu tangan yang di atas atau tangan yang di bawah?
Betapa mulianya Abdul Rahman bin Auf ketika dia menolak tawaran sahabatnya. Betapa besarnya jiwa para sahabat yang akhirnya ketiga-ketiga mereka mati kehausan. Betapa hebatnya para sahabat yang tidak merasakan walau secubitpun kepala kambing itu.
Ikhwah sekalian,
Ana malu, ana merasa sangat malu jika di saat ada ikhwah yang memerlukan bantuan daripada ana sendiri, ana gagal memberikannya kerana ketiadaan masa, modal atau apa-apa sahaja yang diperlukan itu.
Dan betapa malu dan sedihnya ana, ya akhi, jika di saat ntum memerlukan pertolongan itu, jiwa ana merasa berat untuk melaksanakannya kerana sibuk dan lalai dengan dunia.... Hingga akhirnya mata berpinar-pinar dan hati terasa penuh dengan kegelapan yang tidak mampu dicuci lagi.
Teringat kisah seorang akh yang tiada duit kemudian dia menghubungi ikhwah lain, ternyata akh itu meminjam duit untuk dipinjamkan kepada akh lain yang memerlukannya. Kerana akh itu juga tiada wang.
Di mana kita sekarang ini? Di manakah jiwa kita?
No comments:
Post a Comment