Tuesday, June 29, 2010

Hasil Muhasabah 1



(Sila klik gambar di atas untuk tumbesaran yang sihat)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh wamaghfiratuh waridhwanuh,

Ikhwah dan Akhawat,
Saudara dan Saudari seakidah denganku yang ana kasihi,

Proses muhasabah berkala narawastuilmu sudah berakhir pada 2:53 petang, 29 Jun 2010 dengan 61 responden.

Kepada yang telah menunaikan tanggungjawab anda, ana ucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa kalian. Semoga Allah membalasnya dengan kebaikan yang banyak di sisinya.

Dari pemerhatian secara kasar, dapatlah kita menilai bahawa blog ini ada manfaatnya, cumanya proses pembaikan perlu dilaksanakan dari masa ke masa, dalam pelbagai aspek.

Walaubagaimanapun, perlu ana terangkan bahawa dalam penulisan ana di blog ini, sengaja ana menvariasikan mode penulisan kepada mode novel, penyentuhan jiwa, artikel, fakta, gambar, cetusan pemikiran; semuanya dengan cara penulisan yang berbeza untuk mengelakkan sesetengah orang daripada kita ini, jemu dengan cara penulisan yang sama.

Tambahan pula, tidak ramai yang suka baca post yang panjang-panjang. Tapi, ramai pula yang tidak gemar membaca sekadar artikel pendek yang tiada penceritaan yang jelas. Begitu juga dengan kelas-kelas pemikiran manusia yang berbeza. Kita belum lagi bercakap tentang sesetengah akh kita yang fobia membaca.

Harapannya agar akhirnya blog ini mampu memenuhi keperluan semua, tetapi ana sedar ana hanya lah seorang manusia biasa. Semoga Allah memberikan kita cetusan idea, untuk akhirnya kita dapat meraih formula yang paling tepat untuk mengubati penyakit ummah ini.

Formula yang telah Allah berikan kepada rijal-rijal yang beramal sebelum kita, yang akhirnya dengan pengalaman dan pemahaman mereka, dakwah yang kita lalui kini sangat jelas matlamat dan caranya.

Bak kata Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid:

"Allah telah mengurniakan kepada mereka (para pendakwah) kata-kata yang fasih, mendalam dan luar biasa. Mereka (dapat) simpulkan pemikiran dakwah mereka dengan kata-kata yang ringkas dan dapat dijadikan usul atau dasar yang penting bagi pendakwah islam selepas mereka. Ia menjadi kata-kata penunjuk arah jalan dan pengucapnya dianggap sebagai guru di dalam dakwah islam."

(Muntalaq, Bab 12)


Thursday, June 24, 2010

Muhasabah Cinta

























Masa berlalu dengan pantas. Sudah hampir 200 pos yang telah ana kongsikan bersama ntum. Harapannya agar ianya bermanfaat untuk ntum, walau di belahan bumi mana ntum berada, kerana agama ini akan membuatkan kita tidak sanggup duduk diam, tidak kira di mana sahaja kita berada.

Ana sedar, mustahil untuk ana mencapai kesempurnaan hakiki, kerana manusia itu diciptakan dengan 1001 kelemahan yang ana harapkan dengan kebersamaan kita ia akan diperbaiki hari demi hari.

Begitu juga dengan blog ini, yang ana harapkan menjadi wahana tarbiyyah kita bersama. Oleh itu, bagi memperbaiki kekurangan di segala segi blog ini, sukalah ana sekiranya ntum dapat membantu ana merefleksi diri. Di bawah banner blog ini, ana sertakan satu pilihan jawapan muhasabah. Harapnya ntum dapat menilai mengikut budi bicara ntum.

Jika ada apa-apa muhasabah lain yang tidak mampu dizahirkan di pilihan jawapan itu, tiadalah salahnya jika ntum mengorbankan masa barang 2 3 minit untuk menaipkan butirannya di ruangan komen, insya-Allah ana akan respon secepat yang mungkin, dengan kapasiti ana sebagai seorang manusia.

Semoga dakwah kita dapat diperkasakan.

Wallahua'lam


Hussaini,
Kuli dakwah, Hamba Allah.

Wednesday, June 23, 2010

Ini Sejarah



Anda adalah manusia merdeka yang seharusnya berhak memiliki pandangan objektif terhadap sejarah, bukan justeru menjadi korban opini umum yang telah terbentuk akibat pembacaan yang salah terhadap sejarah.

Tuesday, June 22, 2010

Tarbiyyah Kita





























Hak anda apabila anda berada di dalam sistem Tarbiyyah ini

Mendapat tarbiyyah secara terus dari IKRAM dalam program-program umum dan khususnya.

Ditarbiyyah dalam kelompok katibah setiap bulan dalam sesi-sesi daurah dan aktiviti-aktiviti lainnya.

Mendapat latihan khusus dalam usrah masing-masing bagi memantapkan segala segi ahli-ahli usrah. Minimum secara mingguan.

Mendapat sentuhan peribadi naqib dari hati ke hati pada setiap masa.


Kepada mana-mana anggota jemaah ini yang tidak mendapat mana-mana haknya, bolehlah mengingatkan naqib masing-masing tentang betapa azabnya seksa di neraka kelak.

Jangan lupa, anda juga ada tanggungjawab anda sebagai ahli dalam sistem tarbiyyah ini. Belajarlah untuk memberi.

Pada banyak keadaan, kita mengatur macam-macam perancangan, namun Allah jualah yang menentukan.


Menjadi hamba Al-Hawa



Hawa nafsu tidak pernah puas!

Seorang perajurit memulakan perjalanan tarbiyyahnya dengan bekalan yang sangat besar. Hadis 1 Arbain memberikan suatu momentum yang cukup kuat. Niat. Niat diikhlaskan, hanya untuk meraih redha Allah semata-mata.

Jika sebelum ini, memasuki rumah tarbiyyah ini melalui pelbagai pintu, dengan pelbagai impian dan hasrat yang menggunung tinggi, kini tidak lagi. Ia menanam tekad untuk menghapuskan cita-cita selain menggapai jannah, kebahagiaan di alam abadi. Kerana semua selainnya itu fana'. Semuanya itu akan sirna bersama sirnanya dunia pada hari yang disebut-sebut.

Wanita impian itu akan mati. Harta yang melimpah akan diwariskan. Nama akan dilupakan. Segalanya sia-sia. Hanya Allah yang akan kekal selamanya...

Permulaan yang baik untuk seorang akh itu adalah dengan niat yang benar di awalannya. Namun, memegang kebenaran itu tidak semudah yang digambarkan. Menjadi suatu fitrah dan tabiat jalan ini, penuh dengan segala mehnah dan tribulasi yang kerap kali menggugah jiwa.

Umpama api yang memanaskan tembikar, daei seharusnya merasakan segala cabaran itu adalah untuk mematangkan imannya secara praktikal. Tidak seharusnya seorang daei itu gugur dalam segala mehnah itu dan menyalahkan Allah atas kegagalannya itu. Namun, gugurnya daei di medan amal adalah suatu perkara biasa di alam dakwah ini, segala dugaan ini seumpama penapis-penapis untuk membezakan antara sepah dan manisan. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas dapat melepasinya.

Jangan terkejut jika kejatuhan seorang daei itu bermula dengan perkara-perkara kecil dengan lagha-lagha kecil sahaja.

Semuanya bermula apabila seorang daei itu mula mendengar kata-kata al-hawanya. Sudah mula merasakan bahawa dosa-dosa kecil itu perkara-perkara rutin biasa yang tidak mampu dihindari. Semakin lama semakin tidak kisah berlumuran dengannya, mengumpul titik demi titik hitam di hati. Hingga akhirnya hati itu sudah terlampau gelap untuk nur islam menembusinya.

Malang jika seorang daei itu tidak menyedari betapa al-hawa ini tidak pernah puas. Ia tidak pernah menunjukkan kecukupan. Mereka yang menjadi hamba kepadanya akan penat, penat menuruti segala kehendaknya di setiap sela masa. Hinggakan akhirnya baru daei itu sedar, ia sudah jauh tersasar.

Masa merupakan aspek yang sangat penting dalam tarbiyyah. Kita mengandaikan hijrah ini merupakan perkara penting kerana ia mengubah walau 1 darjah haluan seorang muslim itu, selepas masa yang lama, 1 darjah itu bahkan akan menjadikan seorang muslim itu beribu batu jauh daripada sasaran awal jahiliyyahnya, semakin dekat dengan islam. Itu baru 1 darjah! Bagaimana jika 180 darjah perubahan? Pasti ia sampai ke sasaran.

Dan bagaimana pula jika kita menukar haluan berpuluh-puluh darjah daripada sasaran islam kita? Hingga akhirnya kita sangat jauh dari syurga...


Segalanya bermula dengan perkara lagha!

Tidak sedikit orang yang bertanya kepada aku tentang perkara ini. Bolehkah dilaksanakan? Bagaimana jika sudah tidak tahan lagi untuk dilakukan?

Aku sudah mula merasai betapa berkesannya belajar melalui pengalaman. Dan dalam Dakwah Tarbiyyah ini, aku merasakan kunci yang hilang untuk membuka gerbang kejayaan itu adalah Tajarrud. Keberjayaan kita dalam perjuangan ini, bergantung kepada sejauh mana kita mengasingkan diri daripada Jahiliyyah (Tajarrud daripada Jahiliyyah).

Sedarlah kita akan memenangi pertarungan ini dengan izin Allah, dengan bantuan tentera-tenteranya yang terpilih. Yang mengetepikan hawa nafsu mereka dan memilih merasa dengan wahyu. Merasakan maslahat ummah itu lebih diutamakan berbanding maslahat peribadi mereka sendiri.

Perubahan itu hendaklah dilaksanakan dengan sekeras mungkin, kerana kita tidak pernah tahu bila usia kita akan berakhir, namun yang pastinya ia pasti akan berlaku.

Bagaimana ingin dikekang nafsu yang meluap-luap? Banyakkan berpuasa, sesungguhnya ia akan menguatkan hati kita. Melatih jiwa agar tidak tertipu dengan kehendak al-hawa. Mengingatkan jiwa agar sentiasa berzikir memuji Allah.

Aku akui, kadang-kala kita tidak dapat menahan diri untuk melaksanakan segala aktiviti lagha tersebut. Manusia ada jatuh dan bangunnya.

Dalam hal ini, "laksanakanlah" lagha di luar pengetahuan "manusia" yang lain. Dibimbangi ia akan menjadi fitnah ke atas para duat. Cakap tak serupa bikin. Dibimbangi akhirnya dalam kelompok kita ini, lagha dianggap perkara biasa malah dibangga-bangga. Jika berlakunya perkara ini, biah hilang, ruh tarbiyyah hilang, segalanya akan gagal.

Sunday, June 20, 2010

IKRAM







Permulaan yang baik, dengan niat yang terbaik


Ikhwah akhwat yang ana kasihi, sayangi dan cintai kerna Allah;

Hari ini, Allah menjadi saksi,

Kita juga menjadi saksi sesama kita,

Seluruh rakyat Malaysia, malah seluruh dunia menyaksikan betapa,

KERJA DAKWAH DAN TARBIYYAH KITA BARU SAHAJA BERMULA.



Ayuh genggamkan kepalmu,
Hayunkan ia tinggi-tinggi ke angkasa,
Capailah langit yang tinggi itu dengan sepenuh tekad dan usaha,
Dengan tawakkal yang tiada taranya,
Ayuh! RAIH KEMENANGAN!



Puluhan tahun telah kian berlalu
Jamaah dibina tanpa jemu
Pahit getir kita harung bersama
Manis juang nikmatnya terasa

Dalam usrah kita subur tarbiah
Janji setia dipatuhi
Dalam gerak kita menyusun langkah
Amalan syura diyakini

Azam digenggam penuh tabah
Membina IKRAM untuk ummah
Ukhuwah teras kegemilangan
Syariah menjadi pegangan

Demi redha Allah
Kita menjulang dakwah
Berpandukan al-Qur’an
Menuruti as-Sunnah
IKRAM wadah perjuangan




Hari ini, persoalan tentang post Jun 2010, terjawab.





Tuesday, June 15, 2010

Celaka





Adakah kita taasub?



Berdoalah agar Allah menjadikan kita taasub hanya terhadap rumah kita iaitu ISLAM

Bukan tandas di dalamnya semata-mata

Takutnya diri andai suatu hari nanti, orang taasub kepada ustaz-ustaz dan pemimpin-pemimpin di dalamnya hingga sanggup mengkhiati Tuan empunya rumah

Juga takut andai orang berada dalam rumah, tapi hanya mengenal ruang tamunya

Juga takut jika mereka berada dalam rumah tersebut tetapi perasaannya sama sahaja dengan suasana di luar, masih ada tempias-tempias dari luar yang membasahi penghuninya, akibat kecuaian terlupa menutup tingkap...

Ketahuilah sesungguhnya, tiada individu yang mampu menzahirkan islam secara sepenuhnya, itulah gunanya amal jamaei

Kita memerlukan kesatuan antara KITA SEMUA, bukan penceraian, untuk menentang kufar yang tercela

Dan tiada makna amal jamaei jika secara jamaei jauh dari ketakwaan atau secara jamaei saling takfir antara jamaah-jamaah lain

Hanya Iman dan Ukhuwwah yang mampu memberikan kita kekuatan untuk terus dalam amal ini.


~~*~~


Ulangkaji tajuk-tajuk lepas menjelang Hari Kelahiran.

Saturday, June 12, 2010

Ada apa dengan 120 minit?




Apa yang anda boleh lakukan dengan 120 minit?

Menulis sekurang-kurangnya 2 pos panjang di dalam blog

Menyiapkan set sempel untuk projek master

Melaksanakan 1 halaqah mingguan dengan adik-adik

Membaca 3 juzuk al-Quran

Menghafaz 2 muka surat al-Quran

Membaca 100 muka surat buku

Menyiapkan 1 slaid pembentangan Daurah

Menyampaikan 1 sesi daurah

1 Mesyuarat yang boring

Pergi balik Seremban 2 dari Serdang

DF 3 orang baru di Surau Kolej

Borak-borak dengan 2 orang anak usrah

Menyudahkan penulisan dan pembacaan thesis yang tidak sudah-sudah

YM dengan entah berapa ramai ikhwah

Jimat 120 minit untuk bangun 120 minit lebih awal pada esok hari

Dapat sampaikan 2 bab bedah buku

Main bola di taman bersama dengan anak-anak jiran

Main teka-teki dengan anak-anak jiran yang masih bersekolah rendah

Mengemas rak buku dan rumah yang tidak pernah kemas-kemas

Dengar beberapa recording nasyid dan taujihat

Masak sendiri di rumah, tidak perlu bazir duit di kedai orang

Borak-borak pasal hal-hal dunia dengan teman serumah (1 sesi)

Spy kegiatan harian anak-anak usrah

Habis tu, kenapa perlu tengok bola?

Thursday, June 10, 2010

Main internet




Main internet atau pakai internet?

"Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurauan..."
(Al-Hadid 57: 20)

Pernah sekali seorang al-Hafiz cilik, berumur sekitar 7 tahun, ditanya suatu soalan;

"Selain membaca quran dan mengkaji ilmu agama, apa yang anda lakukan di waktu lapang?"

Maka jawabannya juga dengan ayat quran. Bermain. Jawapannya penuh dengan ruh, ber-nas, dan sangat jujur. Fitrah seorang manusia juga, ingin menghiburkan hatinya, jauh dari permasalahan dan tanggungjawab.

Namun, usia mendidik kita untuk mengerti, tidak semua apa yang kita suka itu baik untuk kita dan ummah ini. Selalunya, rasa malas terpaksa dilawan, komik terpaksa disimpan, permainan komputer terpaksa di-uninstall untuk kita fokus terhadap pelajaran yang kita sedang perjuangkan, untuk pekerjaan yang kita kerjakan, dan untuk dakwah yang kita sedang baiki dari masa ke masa.

Ya. Kita perlu menentukan samada di setiap apa yang kita buat itu, adakah kita mengikut al-hawa (hawa nafsu) ataupun mengikut al-wahyu (Al-Quran dan Sunnah) yang kita katakan kita beriman kepadanya dan menjadikannya landasan hidup kita.

Perhatikan apa yang anda sedang buat sekarang. Ketika anda membaca blog ini, adakah anda berniat membacanya, atau sekadar mengisi ruang masa yang anda sendiri tidak tahu apa yang patut anda lakukan sekarang.

Perhatikan tab-tab lain di internet browser anda sekarang. Adakah anda perlu membuka tab-tab tersebut, atau anda melakukannya kerana anda tidak tahu apa yang perlu anda lakukan?

Ramai yang tidak sedar, selama mereka membuka komputer, laptop, super-komputer, ipod, dan internet mereka, mereka melakukannya hanya kerana suka-suka. Tanpa sebarang matlamat, dan akhirnya, tanpa sedar mereka, mereka sudah kehilangan 5, 6, 7, 8 jam di hadapan komputer, hanya dengan blog-hopping, check-check email sendiri, lihat twitter, lihat mukabuku israel, main-main buzz ym, tukar-tukar status di mukabuku israel, profile hopping, bermain permainan kanak-kanak di mukabuku israel dan pelbagai perkara mungkar yang pada awalnya mereka tidak terniat pun untuk dekati. Ia bermula dengan (mungkin) niat ikhlas untuk mengetahui apakah perkembangan Flotilla di Berita Harian.

Yosh! Berapa ramai yang sedar dan tahu, secara spesifik, apa yang akan dilakukannya semenjak kali pertama men-double klik icon internet browser di desktop mereka?

Adakah kita menggunakan internet, ataupun membuang masa kita dengan bermain dengannya?


Ikhwah akhawat sekalian,

Begitulah peri pentingnya kita memulakan setiap apa yang kita buat itu dengan niat. Dengan doa. Dengan matlamat yang jelas. Agar tidak mudah syaitan menghasut dan menjadikan kita waswas/keliru.

Memahami perkara itulah, dalam menggerakkan dakwah ini, kita menggariskan amal qowiy dan amal dhaif, agar kita mengutamakan awlawiyat, prioriti yang lebih prioriti dalam kerja kita. Ada perkara yang perlu kita utamakan dan ada yang kita jalankan sekadarnya sahaja, supaya tidak menjejaskan amal yang mempunyai lebih keutamaan tadi itu.

Mengapa?

Kita harus memahami bahawa di luar sana, terdapat sangat banyak pilihan amal yang kita boleh laksanakan dan memahami bahawa usia kita ada batasnya dan masa itu ada tuntutannya, kita memerlukan diri kita ini melaksanakan kerja yang benar-benar terbukti muntijahnya (keberkesanannya).

Kita tiada masa untuk dibazirkan kerana masa itu adalah kehidupan. Kehidupan kita, kehidupan teman seakidah kita dan kehidupan ummah ini.



Dakwah kita ini main-main?

Hati ini bergetar tatkala mendengar rintihan seorang akh, mengadu betapa peritnya kerja dakwah yang dilaksanakannya. Segala macam usaha yang dilaksanakan oleh akh bertahun-tahun lamanya seolah-olah sia-sia.

"Semua ana dah buat... Call dah... Makan dah... Jaulah dah... Macam-macam... Tinggal ana ni tak bitau kat dia je lagi: Ana betul-betul nakkan nta sangat-sangat-sangat! Join la usrah ana"

Pada hari ini, aku berfikir dan mentafsir. Mengapa sebahagian daripada membuahkan hasil dalam dakwahnya, sedangkan sebahagian yang lain masih berada dalam status cuba-cuba. Malah ia melarat bertahun-tahun lamanya. Menjadi kebimbangan aku, rijal-rijal ini akan mula naik bosan dan memilih untuk menjadi pemerhati semata-mata.

Benar kita menyerahkan keberolehan kita kepada Allah semata-mata. Namun, disebalik kejayaan dan kegagalan para pendakwah ini, aku melihat kepada suatu sunnatullah kepada dakwah kita.

Hakikat bahawa untuk akhirnya kita berjaya dalam dakwah ini, kita tidak main-main.

Jangan salah faham. Aku sangat-sangat yakin, sangat ramai rijal yang menyerahkan jiwa dan raga mereka untuk dakwah ini. Sangat ramai rijal yang menjadikan matlamat hidupnya semata-mata untuk melihat kebangkitan semula islam. Dan sangat ramai rijal yang merencana segala planat dakwah mereka, agar akhirnya berjaya dakwah mereka menembusi jiwa-jiwa di sebalik tembok-tembok sekolah-sekolah ahli-ahli sihir.

Aku juga yakin, betapa ramai pendakwah yang memahami konsep amal qowiy dan amal dhaif yang dengannya itu mereka beramal, tidak mahu mempersia-siakan masa, harta dan tenaga mereka.

Tetapi berapa ramai orang yang benar-benar 100% fokuskan dakwah mereka 100% untuk pembinaan mad'u-mad'u (anak usrah mereka sendiri) yang itu sahaja amal qowiy mereka sebenarnya.

Berapa ramai yang berusrah, tetapi perbincangan umpama halaqah umum untuk mentajmi orang ke dalam usrah semata-mata?

Berapa ramai yang menyampaikan pengisian dalam usrah, namun dalam hati anak-anak usrah mereka, ceramah dalam radio IKIM itu lebih berfaedah daripada apa yang dilontarkan oleh naqib mereka itu sendiri?

Berapa ramai orang yang masih melaksanakan usrah umpama mesyuarat yang boring, yang rutin, yang ritual, yang kering, yang tiada nilai islami, yang mendesakkan, yang anak usrah terasa terbeban dengannya?

Berapa ramai orang pula yang sanggup menghabiskan masa untuk berhubung dengan anak usrah saban hari untuk memastikan hanya islam yang menghiasi kehidupan sasaran dakwah itu?

Berapa ramai orang yang tanpa ragu-ragu dapat menyatakan, hidupku adalah untuk mentarbiyyah orang-orang ini, orang-orang yang lebih aku sayangkan daripada diriku sendiri sekalipun?

Main-main... Ini serius.

Aku risau jika apa yang aku sembangkan ini, terdengar seolah-olah pidato retorik pemimpin politik. Risau jika apa yang terlihat di minda rakan-rakan sekalian seolah petikan-petikan ideal yang dicetus-cetus hingga akhirnya semua orang ingin melaksanakannya, menghampiri hasil suatu idealism.

Sedarlah ikhwah akhawat sekalian, islam dan dakwah ini adalah kerja yang praktikal. Apa yang dihujani oleh kalamullah, dalam al-quran, kisah-kisah pengorbanan dan pejuangan para anbiya dan pendakwah terdahulu, walau terdengar umpama mimpi-mimpi tak real di telinga kita, ianya suatu yang benar. Dengan izin Allah, tiada dapat orang-orang musyrik menghalang kemaraan tekad kita, tatkala ia membakar sehebat semangat pendahulu dakwah ini.

Kemaraan dakwah ini akan bermula dengan tercetusnya semangat tanpa berbelah bagi para pejuangnya untuk 100% perolehan dunianya dikorbankan untuk mendapat hasil di akhirat.

Persoalannya, sanggupkah kita? Kerana dakwah ini bukan pada kata-kata semata-mata.

Tugas mentarbiyyah kita adalah tugas yang sangat berat dan kita tiada ruang untuk mengabaikannya walau seminit pun. Tugas kita adalah untuk mentarbiyyah orang-orang yang bakal menjadi pemimpin-pemimpin ummah ini.

Kitalah yang akan menjadi murobbi kepada Khalifah ummah ini.


Ya Allah,
Tidak aku berharap menjadi pemimpin ummat,
Namun aku sangat berharap agar aku dapat melahirkannya.

Wednesday, June 9, 2010

Mendekati iblis



Tiada lagi kasih

Tersenyum daku apabila teringatkan saat-saat diri ini mencari garisan cahaya ilahi. Sungguh tidak terlintas di minda, yang aku akan menyerahkan diri ini hanya kerana nasyid-nasyid layu. Namun, itulah hakikatnya.

Pada jiwa-jiwa gelap yang jarang menyiram air-air minuman jiwa, akan tersentuh mendengar bait-bait yang membelai dirinya. Tidak kurang juga, adanya manusia yang memerlukan sentapan jiwa yang menggoyahkan pegangan jahiliyyahnya, hingga ia sanggup tunduk di bawah arahan ilahi.

Tetapi, aku tetap dan masih percaya, dakwah yang kita buat ini perlu penuh dengan kasih sayang. Jiwa yang mengisi ini perlu padat dan sendat dengan cahaya ilahi, hingga melimpah ke jiwa orang yang ditujunya.

Mungkin kerana itu, aku hingga kini masih menghargai sentuhan-sentuhan nasyid lembut (kecuali nasyid jiwang menyembah perempuan, juga yang mengajak zina-d-i-p-t). Ia mengingatkan aku, di luar kelompok kita, sangat ramai orang yang masih belum merasai cinta di celah bait-bait kita. Kerana itu mereka tidak pernah mengendahkan segala kata-kata mahupun penulisan kita.

Bertapak dalam dunia pentarbiyyahan dan dakwah ini, aku merasa kesal melihat sebahagian akh kita yang memperlekehkan penasyid-penasyid ini dalam dakwah mereka. Bukan kerana tidak menghargai jasa mereka yang mementingkan kesyadidan (kekerasan/keseriusan), tetapi kesal dengan sikap kita yang menidakkan usaha dakwah yang dilakukan oleh orang lain.

Ia tidak berhenti setakat itu sahaja.

Peristiwa demi peristiwa, mengajarku untuk berinteraksi antara teori dan amal. Ia tidak mudah. Padahal, seorang muslim itu diajar oleh Rasulnya, untuk berlaku jujur dalam setiap perkara. Apa yang ada di hatinya, apa yang ada dikata-katanya, dan pada amalannya adalah satu semata-mata. Ia tidak hipokrit, menipu dunia dan dirinya sendiri.

Kita mula menimbang amalan kita dan membandingkan dengan kelompok lain yang kononnya kurang kefahaman berbanding apa yang kita tahu. Di sana letaknya kesilapan iblis, apabila ia berkata kepada Allah:

"Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau menciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah..."
(Sad 38: 76)
Akhirnya ia dicampak keluar dari syurga, ke dalam neraka buat selama-lamanya.



"Wadah istimewa"

Mengapa agaknya aku berbicara mengenai perkara ini? Ia bermula apabila aku melihat umat islam semakin jauh dari perpaduan. Isu palestin baru-baru ini, yang secara teorinya sepatutnya menyatukan ummah, menunjukkan reaksi sebaliknya.

Semua orang sibuk hendak memenangi isu, memenangi hati peminat. Semua orang berebut hendak melaksanakan demo yang paling ramai peserta. Semua ingin akhirnya suara mereka, bukannya risalah ilahi ini didengar. Logo mereka paling dikenali dan persatuan mereka paling banyak menyumbang untuk perjuangan palestin.

Bunyinya sedikit pesimis bukan?

Itulah kita. Kita sudah menutup pintu hati kita daripada penyatuan atas akidah ini. Kita selama-lamanya sudah menetapkan untuk meragui niat baik jemaah-jemaah lain. Kita sudah membataskan kemenangan islam ini, hanya akan menjadi milik kita, melalui pintu jemaah ini. Biarkanlah jemaah lain menangisi kekalahan mereka.

Kita tidak pernah merasakan kemenangan jemaah lain, merupakan suatu kejayaan buat dakwah. Itu mereka, dan ini aku. Untukmu agamu, dan untukku agamaku.

Betapa miskinnya jiwa kita berbanding Abu Dardak yang berselendang merah. Di hadapan musuh ISLAM, pedang Rasulullah dihunus dengan penuh kebanggaan dan rasa tinggi diri. Dihayun dengan penuh rasa bangga diri. Dan Rasulullah membenarkan izzah itu.

Namun di hadapan para sahabatnya seusai perang, pedangnya tunduk. Diri nya kembali merasa rendah. Dia hanya seorang hamba di sisi Allah. Dia hanya seorang individu dalam jemaah islam yang besar.


"Ya Allah ya tuhanku, jangan lah kerana tarbiyyah dan ketakwaan yang Kau anugerahkan kepadaku, menyebabkan aku rasa tinggi diri berbanding umat islam yang lain.

Ya Allah, jangan lah kau jadikan segala usrah, dakwah dan tarbiyyah sebagai fitnah buatku, menjadikan aku ujub, riak dan takabbur.

Peliharalah aku dari penyakit-penyakit hati ini, penyakit hati yang sama yang menyebabkan neraka ditempah khas buat bani israel"

Sunday, June 6, 2010

Ke arah matlamat baru



Bila bidang kerja akan meluas, relung pembacaan juga perlu diperluaskan.

Thursday, June 3, 2010

Update: Talian Hayat Gaza D030610 H2026



(klik gambar untuk tumbesaran yang sihat)

(jika anda mahukan amal yang lebih muntijah, boleh add gambar ke dalam wadah mukabuku israel dan tag kawan-kawan anda. nescaya mereka akan suka dan sayangkan anda)

(jangan lupa basmalah, bagi mereka yang beriman)

(jangan lupa berniat nak datang, bagi mereka yang imannya tidak terbius, bisu dan bacul)

(jangan lupa untuk doa pada Allah banyak-banyak agar anda berjaya hadir tepat pada masanya dan objektif, agar bangunan kedutaan US runtuh tercapai)

(jangan lupa tinggalkan nafsu syawat, ego dan wasilah-wasilah maksiat anda di rumah masing-masing sebelum mampir ke tempat kejadian)

(dah datang nanti, jangan jadi penonton sahaja)

(itu sahaja. kalau terserempak dengan penulis di tempat kejadian, sila jangan buat-buat tak nampak. bagi akhawat pula, sila hadam baik-baik artikel senyum)

Update: Talian Hayat Gaza D030610 H1417


Buktikan kebersamaan dalam perjuangan LL4G dengan turun beramai-ramai ke DEMO BESAR-BESARAN BANTAHAN TERHADAP KERAJAAN ISRAEL ZIONIS 4 Jun 2010 (Jumaat) 2.00ptg berkumpul di Tabung Haji Jalan Tun Razak ke Kedutaan US.

Sebarkan!

*Pernah terfikir mengapa kita asyik serang Kedutaan US? Kerana tiada kedutaan Israel di negara kita. Tambahan pula, US merupakan ayah emas kepada Israel durjana.

*Ingat. Bawa IMAN, bukan NAFSU yang sia-sia.

*Ingat. Datanglah jika anda peduli. Kalau tak datang tu, faham-faham la ek. Sendiri mau ingat.

Update: Talian Hayat Gaza D030610 H0811


Semalam, dikhabarkan kesemua 12 rakyat Malaysia yang ditangkap, sudah dibebaskan. Mereka dihantar ke Jordan dan sudah dapat dihubungi oleh keluarga mereka di Malaysia.

Kita masih menunggu khabar sohih tentang apa yang benar-benar berlaku di atas kapal sepanjang serangan biadab itu dilaksanakan.

Selama ini, apa yang kita dengar dan kita baca, datang dari mulut busuk tentera-tentera Israel Zionis Syaitoni sahaja.

Wednesday, June 2, 2010

Update: Talian Hayat Gaza D020610 H0500


Pagi ini, dalam Malaysia Hari Ini (MHI), Ustazah Mahizah (Zaujah Ustaz Hasanuddin, Pengerusi Aqsa-Syarif, yang kini ditahan oleh Yahudi Syaitoni) akan membicarakan isu bantuan. Sila tonton dan sebarkan berita mengenainya.

Sekiranya kita peduli.

Update: Talian Hayat Gaza D020610 H0457




[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]