Tiada lagi kasih
Tersenyum daku apabila teringatkan saat-saat diri ini mencari garisan cahaya ilahi. Sungguh tidak terlintas di minda, yang aku akan menyerahkan diri ini hanya kerana nasyid-nasyid layu. Namun, itulah hakikatnya.
Pada jiwa-jiwa gelap yang jarang menyiram air-air minuman jiwa, akan tersentuh mendengar bait-bait yang membelai dirinya. Tidak kurang juga, adanya manusia yang memerlukan sentapan jiwa yang menggoyahkan pegangan jahiliyyahnya, hingga ia sanggup tunduk di bawah arahan ilahi.
Tetapi, aku tetap dan masih percaya, dakwah yang kita buat ini perlu penuh dengan kasih sayang. Jiwa yang mengisi ini perlu padat dan sendat dengan cahaya ilahi, hingga melimpah ke jiwa orang yang ditujunya.
Mungkin kerana itu, aku hingga kini masih menghargai sentuhan-sentuhan nasyid lembut (kecuali nasyid jiwang menyembah perempuan, juga yang mengajak zina-d-i-p-t). Ia mengingatkan aku, di luar kelompok kita, sangat ramai orang yang masih belum merasai cinta di celah bait-bait kita. Kerana itu mereka tidak pernah mengendahkan segala kata-kata mahupun penulisan kita.
Bertapak dalam dunia pentarbiyyahan dan dakwah ini, aku merasa kesal melihat sebahagian akh kita yang memperlekehkan penasyid-penasyid ini dalam dakwah mereka. Bukan kerana tidak menghargai jasa mereka yang mementingkan kesyadidan (kekerasan/keseriusan), tetapi kesal dengan sikap kita yang menidakkan usaha dakwah yang dilakukan oleh orang lain.
Ia tidak berhenti setakat itu sahaja.
Peristiwa demi peristiwa, mengajarku untuk berinteraksi antara teori dan amal. Ia tidak mudah. Padahal, seorang muslim itu diajar oleh Rasulnya, untuk berlaku jujur dalam setiap perkara. Apa yang ada di hatinya, apa yang ada dikata-katanya, dan pada amalannya adalah satu semata-mata. Ia tidak hipokrit, menipu dunia dan dirinya sendiri.
Kita mula menimbang amalan kita dan membandingkan dengan kelompok lain yang kononnya kurang kefahaman berbanding apa yang kita tahu. Di sana letaknya kesilapan iblis, apabila ia berkata kepada Allah:
"Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau menciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah..."(Sad 38: 76)
Akhirnya ia dicampak keluar dari syurga, ke dalam neraka buat selama-lamanya.
"Wadah istimewa"
Mengapa agaknya aku berbicara mengenai perkara ini? Ia bermula apabila aku melihat umat islam semakin jauh dari perpaduan. Isu palestin baru-baru ini, yang secara teorinya sepatutnya menyatukan ummah, menunjukkan reaksi sebaliknya.
Semua orang sibuk hendak memenangi isu, memenangi hati peminat. Semua orang berebut hendak melaksanakan demo yang paling ramai peserta. Semua ingin akhirnya suara mereka, bukannya risalah ilahi ini didengar. Logo mereka paling dikenali dan persatuan mereka paling banyak menyumbang untuk perjuangan palestin.
Bunyinya sedikit pesimis bukan?
Itulah kita. Kita sudah menutup pintu hati kita daripada penyatuan atas akidah ini. Kita selama-lamanya sudah menetapkan untuk meragui niat baik jemaah-jemaah lain. Kita sudah membataskan kemenangan islam ini, hanya akan menjadi milik kita, melalui pintu jemaah ini. Biarkanlah jemaah lain menangisi kekalahan mereka.
Kita tidak pernah merasakan kemenangan jemaah lain, merupakan suatu kejayaan buat dakwah. Itu mereka, dan ini aku. Untukmu agamu, dan untukku agamaku.
Betapa miskinnya jiwa kita berbanding Abu Dardak yang berselendang merah. Di hadapan musuh ISLAM, pedang Rasulullah dihunus dengan penuh kebanggaan dan rasa tinggi diri. Dihayun dengan penuh rasa bangga diri. Dan Rasulullah membenarkan izzah itu.
Namun di hadapan para sahabatnya seusai perang, pedangnya tunduk. Diri nya kembali merasa rendah. Dia hanya seorang hamba di sisi Allah. Dia hanya seorang individu dalam jemaah islam yang besar.
"Ya Allah ya tuhanku, jangan lah kerana tarbiyyah dan ketakwaan yang Kau anugerahkan kepadaku, menyebabkan aku rasa tinggi diri berbanding umat islam yang lain.Ya Allah, jangan lah kau jadikan segala usrah, dakwah dan tarbiyyah sebagai fitnah buatku, menjadikan aku ujub, riak dan takabbur.Peliharalah aku dari penyakit-penyakit hati ini, penyakit hati yang sama yang menyebabkan neraka ditempah khas buat bani israel"
3 comments:
Mohd Faez Bachok like this
Sometimes, Hussaini likes this also.
tak sangka. tahniah!
Post a Comment