Kita semua meyakini, penulisan di blog bukanlah kerja kita yang asasi, apatah lagi yang utama. Namun, penglibatan dalam medan dakwah yang sangat komplikated dan medan yang semakin mencapah ini, mendesak kita untuk turut sama meluaskan capaian-capaian kita, tanpa melupakan kerja yang lebih qowiy iaitu pembinaan dalam kelompok-kelompok kecil itu.
Jauh di sudut hati, itulah niat yang tersimpan semenjak aku mula menulis di lapangan ini. Tarbiyyah tujuannya. Tidak lain daripada itu.
Blog yang aku bina dan aku ladeni saban hari ini, (malangnya) tidak aku sasarkan untuk aku berdakwah secara umum, tapi semata-mata untuk membina rijal-rijal yang membacanya. Itulah harapanku.
Membina diri ini dan mereka yang intima' di sekelilingku. Bersama-sama mengharungi Jalan Dakwah yang penghujungnya di Syurga yang sangat luas.
Aku memerhatikan bahawa penulisan di alam maya ini, merupakan satu tarikan yang amat kuat. Baik untuk mengajak kepada maksiat, ataupun sebaliknya. Tarikannya perlu diseimbangkan dengan adanya suatu tenaga yang dibina perlahan-lahan dalam usaha untuk menghancurkan tirani yang sedang bermaharajalela dalam vakum ini.
Diharapkan penulisan-penulisan ini, memberikan nafas-nafas baru kepada jiwa-jiwa yang aku sayangi di luar sana. Tidak kira ikhwah atau akhawat. Semoga kita sama-sama dapat tolong menolong saling tarik menarik menyelamatkan setiap seorang dari kita dalam berhadapan dengan berbagai-bagai tarikan tirani jahat. Adanya syaitan lagha komik, manga, anime, porno, fitnah, drama, dan macam-macam lagi tarikan yang akan menyebabkan jiwa kita lemah di alam nyata.
Betapa sukarnya menghadapi dunia hari ini.
Hanya Allah yang layak menjadi pengadil akan keikhlasan niat kita dalam berjuang.
Disebabkan itu, aku tidak pernah kisah seandainya ada di antara ntum yang ingin mengkopi pes mana-mana artikel yang pada ntum berguna. Malah jika ada yang ekstrim yang nak buat satu blog baru dan kopi pes setiap artikel aku pun tidak mengapa. Nak buat buku? Lepas itu jual dengan nama kalian pun, aku tidak peduli.
Namun, kadang-kadang, pada setiap hari-hari baharu, aku berasa terbeban jika tidak berpeluang untuk menulis walau secangkir dua kata. Terbeban dek kerana diri ini ketinggalan, berbanding jahiliyyah yang tidak pernah berhenti bekerja di setiap detik masa mereka.
Oleh itu, andai diri ini sudah terlalu sibuk hingga gagal bekerja di alam ini, maka gugahlah semangatku. Langkah kita di masa akan datang sangat-sangat ditentukan oleh usaha kita kini. Alangkah sesalnya kita, andai kerana rasa berat hari ini, jiwa kita terpaksa merasai seksa esok hari.
Ikhwah akhawat,
Penulisan ini, bukanlah sekadar lintasan-lintasan hati seorang perajurit yang nyaris-nyaris tumbang dalam perjuangannya. Ia bukan sekadar sebuah lukisan indah kanak-kanak yang baru belajar mengerti perasaan sendiri. Ia tidak diminta untuk dimengerti sebuah rasa hati.
Penulisan ini, bukanlah sekadar sebuah kompilasi karya-karya yang indah susunan ayatnya. Bukan tempat mengajar tatabahasa atau mengajar ayat-ayat puitis. Bukan sekadar itu.
Penulisan ini, bukanlah sekadar perkongsian cerita-cerita indah. Ataupun tempat berjenaka, menghiburkan jiwa-jiwa yang sedang hambar kerana ketagihan dadah hedonisme.
Penulisan ini, bukanlah untuk pengkhabaran khabar-khabar semasa penulisnya. Bukan sekadar ingin dikongsi berita-berita baharu tentang ummat islam seluruh dunia. Bukan semata-mata tempat seorang naqib memberikan arahan terbaru kepada mutarobbi-mutarobbinya.
Penulisan ini, bukanlah sekadar tempat berkongsi ayat-ayat Allah dan Hadis-hadis yang selama ini dibentangkan oleh generasi tua dalam bentuk yang kering. Hingga hati ini tidak sampai terkesan dengan makna yang sepatutnya sangat membasahkan itu.
Penulisan ini, bukanlah sekadar tempat dikongsi hasil-hasil pembacaan terbaru penulis, ilmu-ilmu baharu yang baru dicakupnya. Dengan menganggap wadah ini suatu bekas memuntahkan segala sisa-sisa ilmu. Menjadikan diri ini pelatih kinestatik yang berjaya.
Penulisan ini juga, bukan tempat untuk meluahkan perasaan, menunding jari atau menghentak tangan ke meja.
Ia lebih dari itu.
Harapannya lebih besar. Menggunung tinggi. Tarbiyyah yang dihadapi, mengajar diri untuk tidak memisahkan mana-mana bahagian dunia yang dilihat. Ianya satu, segalanya untuk mengenal pencipta, tanpa terpisah-pisah.
Niatku untuk akhirnya, penulisan ini mampu menjadi seperti penulisan penulis-penulis agung lain, yang mampu menggugah jiwa-jiwa, membina mereka menjadi seorang pembina bangunan ummah, mencakar langit biru.
Namanya, Narawastu Ilmu, dari Kamus Bahasa Melayu purba; Keharuman Akar Punca Ilmu Pengetahuan. Ia bukan sebuah nama atas kecantikan bahasanya semata-mata, namun itulah nama pertama yang aku dengar, ketika kali pertama pengorbanan kecil dan kudus ini dibuat. Untuk tekad meninggalkan cita-cita dunia nafsu serakah yang menggunung tinggi.
Hingga cita-cita kini hanya untuk kebahagiaan ummat.
Hingga cita-cita kini hanya untuk kebahagiaan ummat.
Semoga Allah menerima pengorbanan secuit itu. Semoga Allah menerimanya sebaris dengan amal-amal seterusnya.
Ikhwah akhawat yang aku kasihi, sayangi dan cintai;
Aku bawakan untuk kalian penulisan-penulisan ini, semoga cinta di antara kita makin mekar. Semekar bunga di taman.
Penulisan ini:
Terilham dari as-Syaheed
yang telah mengorak langkah menghidupkan balik
rasa rindu untuk bersama memahami nas-nas
dalam naungan amal haraki.
Ketika rasa meluap ingin menghayati kalam as-Rasul saw
dari hati seorang sahabat yang perit jerih membawa Islam
dengan darah dan air mata.
Walaupun kita tidak dianugerahi
kurniaan melihat dan menatap kekasih tertinggi,
namum amal yang kita ceburi
membayangi ‘aura’ zaman itu.
Moga curahan perasaan dan perkongsian ini datang dari
wangian wahyu dan bukan dari ‘al-hawa’.
Yiu Qiu Wai
No comments:
Post a Comment