Tuesday, April 27, 2010

Jalan Kemenangan





Menjejaki perjuangan yang penuh ranjau ini, ramai orang yang masih meraba-raba ke mana hala tuju nasihat dan amaran yang mereka sama-sama kongsi dan sampaikan. Hasilan akhir pada pandangan mereka, diserahkan kepada Allah dan untuk Allah semata-mata.


Tidak kurang pula ada pihak yang bercita-cita begitu tinggi dalam menggariskan matlamat perjuangan mereka. Mereka mengharapkan dari usaha mereka ini, akan lahir perubahan yang besar kepada Dunia. Kata mereka, kemenangan itu sebuah kepastian. Dan tidak dapat Islam membuahkan kemanisannya kepada seantero dunia, tanpa ia menjadi suatu kuasa besar yang menguasai.


Menyangka hakikat itu, mereka berjuang bersungguh-sungguh untuk memenangi hati semua orang. Mereka bercakap dengan penuh lantang, menawarkan solusi, untuk akhirnya mereka semua keluar dari kesengsaraan kini. Itu yang mereka percaya. Mereka berharap, suatu hari nanti, mereka akan menjadi pemerintah yang dengan kuasa mereka itu, semua orang akan akur, akur dengan arahan mereka, sekaligus akur dengan arahan dan larangan Allah. Dunia islam terbentuk begitu.


Ada pula orang-orang Hanif yang inginkan perubahan itu dibuat beransur-ansur, sehingga pada awal perjuangan mereka toleransi ideologi dan pencairan akidah dilaksakan. Alangkah tertipunya mereka, kerana tidak pernah walau satu pun perubahan dunia terlaksana dari mana-mana langkah tersebut. Seandainya mereka berjaya memenangi peperangan tersebut, pastinya hasilnya antara dua:




1. Mereka akan kembali kalah di tangan penyokong mereka sendiri.





2. Mereka akan menghasilkan penderitaan, bukan kesejahteraan yang ditawarkan oleh islam.



Di sana letaknya kepentingan kita memahami Manhaj Perubahan (Manhaj Taghyir) yang dilaksanakan oleh Pakar Revolusi, Ar-Rasul Muhammad SAW (Semoga kita tidak putus-putus berselawat ke atas baginda).


Perubahan bermula dengan individu, setiap individu, individu demi individu hingga akhirnya lahir keluarga, masyarakat, negara yang benar-benar Islam. Benar-benar Islam!


Pentarbiyyahan yang mereka lalui, bukan hanya dikaburi oleh angan-angan tinggi hingga diri lalai dan leka dari menyibukkan diri dengan zikrullah.


Pentarbiyyahan yang mereka lalui bukan semata-mata untuk mengumpulkan orang-orang baik, budak-budak nerd, budak-budak surau, atau kaki-kaki nasyid inteam dan pendengar setia IKIM. Pentarbiyyahan mereka itu adalah tarbiyyah yang mengubah. Mengubah dari Hitam ke Putih. Kafir ke ISLAM. Jahiliyyah ke ISLAM. Kumpulan Lagha kepada Jemaah DAKWAH.


Pentarbiyyahan yang mereka lalui, hingga seorang pencuri mampu menyelimutkan mahkota emas Kisra Parsi untuk diserahkan kepada ketuanya. Seorang penzina tidak henti-henti meminta pemimpinnya untuk menghukumnya. Seorang yang tidak pernah rasa apa-apa ketika membunuh anak perempuannya, berasa sangat kasihan seandainya seekor ayam disembelih dengan kasar. Seorang yang sangat membenci kelompok islam, menjadi pendokongnya yang paling kuat, hingga menangis-nangis kerana tidak dapat mati kerananya. Seorang peminum arak menuangkan bertong-tong arak yang disayanginya. Seorang yang bengis menjadi sangat bertanggungjawab, hingga tidak sanggup sekiranya walau seekor bughal mati kelaparan dalam negaranya. Rakyat-rakyat tidak pernah sanggup menerima rasuah atau menipu dalam isu timbangan jual beli.


Segala-galanya bermula dengan tarbiyyah itu, jika masih diserahkan diri untuk melaluinya.


Persoalannya, adakah perubahan itu wujud dalam diri kita? Atau kita yang ditarbiyyah masih tiada beza dengan kita yang dulu. Masih terikatkah tangan dan kaki? Masih tuli kah telinga? Masih butakah mata? Masih ingkarkah hati?

1 comment:

Muhammad said...

Syukran. Ibrah yang mendalam. Post yang matang hehe.

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]