Wednesday, April 28, 2010

Tarbiyyah Dzatiyyah



Yang perlukan tarbiyyah itu, kita

Kejayaan tarbiyyah ini, untuk membentuk jiwa-jiwa mukmin, tidak terletak kepada Tarbiyyah Jama'iyyah (Tarbiyyah dalam jemaah/sistem) atau Tarbiyyah Madaniyyah (Tarbiyyah di medan/masyarakat). Keberjayaan produktiviti seorang akh itu, tidak bergantung kepada apa yang didapatinya dalam liqo' mingguan, daurah bulanan, mukhayyam setiap sem, jaulah setiap tahun, rehlah yang tidak habis-habis dan segala aktiviti-aktiviti yang dirancang bersama.

Kejayaan tarbiyyah itu, tidak 100% kerana hebatnya seorang naqib. Atau sejauh mana IKRAM kawasan mahupun negeri aktif melaksakan marathon programnya. Ia bukan didasarkan atas semua itu semata-mata.

Apa yang membezakan antara seorang akh yang mencapai muwasofat muslimnya (10 ciri-ciri khusus muslim impian) dan seorang lagi akh yang juga dalam sistem tarbiyyah, tetapi masih lagi lambat-lambat, merangkak-rangkak dalam perubahan diri, adalah Tarbiyyah Dzatiyyah. Dengan izin Allah, kuncinya adalah Tarbiyyah Dzatiyyah.

Cabaran dalam mentarbiyyah pada zaman ini, tatkala ada banyak pilihan di depan mata, adalah untuk membentuk individu-individu yang bukan sahaja ditarbiyyah secara fardhi, secara jamaei, secara praktikal di medan, tetapi juga (paling utama), mampu mentarbiyyah diri sendiri. Kesedaran inilah, kunci utama yang paling susah nak dibina dalam diri manusia. Menjadi pengikut, dalam masa yang sama, menjadi pemimpin kepada mad'unya selepas memimpin diri sendiri.

Tarbiyyah Dzatiyyah yang aku fahami adalah itu. Bagaimana seorang akh mampu melihat semua perincian sifat-sifat muslim itu dengan seteliti mungkin, dan memuhasabah pencapaian dirinya saban hari. Saban hari pula, menghasilkan perubahan tanpa disuruh-suruh. Mereka ini, yang ingin perubahan dalam diri, pastinya tidak merasa berat untuk menghadiri mana-mana majlis perubahan. Juga tidak pernah berkira-kira masanya untuk merubah orang lain kerana tahu, ia merupakan suatu pentarbiyyahan juga.

Seorang akh yang faham ini, pasti di setiap lapang masanya, adalah untuk memperkasa akidah, ibadah, akhlak, jasad, tsaqafah, menghargai masa, menghargai orang lain, menghargai diri sendiri, bermujahadah, dan istiqamah melaksanakannya. Melaksanakan segala wajibat usrahnya dengan saksama.

Setiap masanya, tidak pernah serik membaca al-quran, mentadabbur ayat-ayatnya, menghafal setiap bait dan kata, bermuayasyah dengan hadis baginda, membaca karya-karya pejuang dakwah, meneliti setiap saat sirah dan sejarah, menghafal puisi-puisi indah, beriadah dan lain-lain lagi.

Hinggakan, di setiap masanya, ingin berada dalam kelompok ikhwah, agar tidak luput dari kesedaran mereka, akan amal kerja berterusan mereka itu.



Masih ada yang keliru

Malangnya, masih ada di kalangan ikhwah yang masih berada dalam dunia angan-angannya. Mereka tekun dengan tarbiyyah mereka, secara jamaie atau secara dzatnya, hingga tiada masa melayan dunia.

Pelik? Tapi benar. Aku juga pernah melalui saat-saat itu, ketika zaman idealku dulu.

Pabila diri terbangun dari mimpi dan mula sedar tang mana dunia yang benar-benar dunia, tidak henti-henti diri ini berusaha untuk benar-benar bangun-bangun dan tidak tidur-tidur. Setiap masa diteguknya minuman tenaga Livita dan Redbull, supaya tidak kembali mengantuk.

Siang baca buku, rehat kejap, kemudian liqa... liqa... dihalaqahkan... halaqah... sehingga akhirnya mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Rakan-rakan, ditinggalkan sehingga diri sendiri menjadi fitnah kepada kelompok dakwah. Pelajaran terabai, mengharapkan pertolongan Allah semata-mata.

Sedarlah, Tarbiyyah Dzatiyyah bukan sekadar pada Quran, Hadith, Sirah dan tambahan: jogging 2 jam setiap minggu (ikhlaskan niat). Marilah kita bersama-sama membentuk insan yang benar-benar manusia. Yang benar-benar mentarbiyyah diri menjadi seorang ayah yang paling baik. Menjadi suami yang paling bertanggungjawab. Menjadi pekerja yang paling cemerlang. Menjadi pelajar yang paling rajin. Menjadi abang yang paling hensem, di mata adik-adiknya. Menjadi jiran, kawan-kawan, rakan sekolej yang paling disukai.

Marilah mendidik hati untuk menjadi Murobbi yang paling bagus. Menjadi Mutarobbi yang paling taat dan proaktif. Menjadi hamba Allah yang paling kuat beramal.

Bukankah ini ciri-ciri yang ada pada Rasul kita?

Jika kita masih sayang pada Jemaah Dakwah ini. Jika kita masih sayang pada Tarbiyyah yang kita lalui ini.

Sempurnakanlah Tarbiyyah Dzatiyyahmu. Secara menyeluruh.

3 comments:

Unknown said...

syukran atas nasihat.
banyak arab nya akh.. hehe, tapi ana buat2 paham. insyaAllah

Insan Biasa said...

Salam..Cantik gambar ironman..hehe

ijalceritera said...

Berat benar nasihat. Perkasakan mutabaah amal....kuikuikui

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]