Thursday, October 31, 2013

Mutiara Hikmah Syeikh MM

PENINGGALAN MUTIARA HIKMAH Syeikh Mustafa Mahsyur

Di antara mutiara-mutiara kalimah hikmahnya yang sentiasa segar dalam pemikiran para pendakwah selepasnya adalah seperti berikut :

PERTAMA :

“Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah saw dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah swt. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan).

Rasulullah saw menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan persatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini.”

KEDUA :

“Jalan dakwah tidak ditaburi dengan bunga-bunga, tetapi merupakan satu jalan yang susah dan panjang kerana sesungguhnya antara yang hak dengan yang batil ada pertentangan yang nyata.

a. Ia memerlukan kesabaran dan ketekunan memikul bebanan yang berat.
b. Ia memerlukan kemurahan hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera tanpa putus asa dan putus harapan.
c. Ia adalah usaha dan kerja yang berterusan dan hasilnya terserah kepada Allah di waktu yang dikehendakiNya.”

KETIGA :

“Wasilah dan langkah-langkah umum dalam dakwah tidak berubah, tidak bertukar ganti dan tidak melampaui tiga perkara ini :

1) ‘Imanul amiq’ (Iman yang mendalam)
2) ‘Takwin daqiq’ (Pembentukan yang rapi dan teliti)
3) ‘Amal mutawaasil’ (Usaha dan amal yang berterusan)

Dengan wasilah-wasilah inilah, amal dan usaha yang berterusan tetapi beransur-ansur mewujudkan serta membentuk individu, rumahtangga dan masyarakat yang muslim.

Dari situ dapatlah disediakan dasar dan asas Islam yang teguh dan kuat untuk menegakkan pemerintahan Islam (daulah Islam) di sebuah negara umat Islam lalu dicantumkan dengan daulah-daulah Islam di seluruh dunia untuk membangunkan daulah Islam sedunia iaitu kerajaan Islam yang merangkumi seluruh dunia Islam yang bersatu di bawah satu Khilafah Islamiah.

Ia bertanggungjawab untuk memimpin seluruh dunia, menjadi guru dunia dan mengarahkan perjalanannya demi kebahagiaan seluruh manusia dengan ayat-ayat Allah sehingga tiada lagi fitnah dan agama itu seluruhnya hanya untuk Allah.”

KEEMPAT :

“Satu dari sifat yang utama dan paling penting kepada pendokong dakwah ialah dia mesti menjadi contoh dan teladan yang baik bagi Islam yang diserukannya.

a. Dia mesti menunaikan segala rukun Islam, mengikuti sunnah dan cara hidup Rasulullah saw.
b. Dia menjauhi segala perkara yang syubhah dan meragukan.
c. Dia menjauhi segala perkara yang haram.
d. Dia sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkara yang kecil atau besar.
e. Di dalam rumahtangga, ahlinya mestilah beriltizam dengan segala ajaran Islam dan menjaga adab-adabnya.

Sesungguhnya keikhlasan pendokong dakwah dan kebulatan hatinya kerana Allah dan bagi dakwah Allah merupakan satu faktor yang sangat penting supaya dakwahnya berjaya menembusi dan menawan hati orang-orang yang diseru lantas mereka dengan senang hati menyambut baik seruan itu.

Mereka akan terpesona dengan seruannya jika dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tidak dicampur-adukkan dengan tujuan lain atau disadur dengan kepentingan duniawi.

1. Dia bercakap untuk dakwah.
2. Dia berjalan kerana dakwah.
3. Hidupnya adalah untuk dakwah, kerana dakwah dan bersama dengan dakwah.”

KELIMA :

“Mutu jamaah bergantung kepada mutu ‘harakah’ (gerakan), mutu ‘harakah’ bergantung kepada mutu ‘musyarakah’ (pergaulan), mutu ‘musyarakah’ bergantung kepada mutu ‘muhawarah’ (komunikatif, saling mempunyai sikap keterbukaan) dan mutu ‘muhawarah’ bergantung kepada bagaimana mutu ukhuwahnya (persaudaraannya)”.

Ya Allah, berilah kami petunjuk dan kemudahan untuk kami menjalani jalan dakwah ini berpandukan fiqh dakwah yang sahih dan terang sehingga kami benar-benar dapat berjalan di atasnya sebagaimana perjalanan para salafus soleh yang diberi keberkatan olehMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS


***

Sangat banyak pengajaran yang aku dapat daripada buku-buku beliau. Fiqh dakwahnya ialah bimbingan terbaik untukku di atas jalan ini.

Moga aku dapat mengikut jejak langkah beliau.



Abu Khalid,
Hamba Allah, Kuli Dakwah.

No comments:

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]