Friday, August 2, 2013
Langkah diteruskan
Hari-hari berlalu dengan pantas. Jiwa-jiwa yang hidup akan dapat melihat slogan Islam di mana-mana. Janji kemenangan yang pasti semakin menghampiri. Mereka mendapat kemenangan psikologi, manakala orang-orang yang lemah makin terhimpit dek kesempitan jiwa dan motivasinya, hinggakan tiada pengharapan yang dapat lahir dari jiwa nan kelam itu.
Di seluruh buana, merentasi sempadan dunia, takbir dan laungan kebangkitan terdengar di mana-mana. Umat yang suatu ketika dahulu tidur, rupa-rupanya memiliki potensi iman dan jihad yang sangat menebal yang tidak pernah dapat dibayangkan oleh sang pemerintah mahupun penjajah.
Suatu ketika dahulu, sang pemula lahir dalam umat yang sebegitu. Islam dipandang sebagai suatu ritual keagamaan yang kering dan mandul. Terpenjara di mihrab-mihrab rumah ibadat, atau hanya di bahu tok imam dan bilal. Tidak pernah terbayang, akhirnya Islam akan kembali memberi sumbangannya kepada dunia.
Dakwah lahir dalam bentuk idea yang comprehensif. Tidak pernah dalam sejarah sejak kejatuhan dinasti Islam, wujud suatu kefahaman jitu tentang luasnya makna keislaman, dan begitu dalamnya seseorang itu mampu untuk menghayati islamnya dan indahnya dakwah hinggakan seluruh dunia islam tidak lagi pelik mendengar perkataan ‘jihad’ dan ‘dakwah’.
Hari ini, aku menjadi saksi kebangkitan ummah. Allah telah menangguhkan kemenangan bagi mempersiapkan generasi yang baharu ini. Allah telah mentakdirkan kekalahan demi kekalahan, sebagai suatu ujian yang mematangkan kaum muslimun. Hingga kebatilan tidak wujud dari dalam diri mereka. Melayakkan mereka untuk memimpin bumi Allah ini berbekalkan kekuatan jiwa dan bekalan pengalaman.
Menghadapi mehnah dan tribulasi itu bukan suatu yang mudah. Logik akal manusia tidak akan mampu bertahan, namun itulah sunnatullah yang berlaku di sepanjang sejarah manusia. Padahal, ummah baru diuji tidak sampai 100 tahun! Suatu masa yang secara relatifnya, sangat pendek berbanding kejatuhan-kejatuhan tamadun yang lain.
Ya, jangan kita lupa bahawa kejatuhan ini adalah suatu pengulangan yang berlaku atas kelalaian kita sendiri. Kegagalan untuk memahami bahawa hidup ini adalah suatu perjuangan melawan kebatilan, akan menyebabkan kita tersungkur sekali lagi.
Jangan kita hancurkan sesama Islam dalam mengharungi perjuangan ini, kerana kita perlu tahu siapakah musuh kita yang sebenarnya. Jangan mudah tertipu dek tipu daya iblis yang mengaturkan segala makar. Jangan menyerang sehinggalah musuh yang sebenar keluar dari kubu mereka.
Sedarlah, perjuangan sekarang adalah persiapan jiwa-jiwa yang akan terus mengepalai dakwah ini. Dan perjuangan sekarang juga adalah perjuangan untuk mengeluarkan musuh dari kubu mereka. Hingga ruas bertemu ruas, pedang bertemu pedang.
Sabarlah, jangan mudah ternadah dengan provokasi, propaganda syaitani. Buka matamu dan teruskan bekerja. Susun saf ummah agar ianya benar-benar utuh. Dan bersiap sedia untuk melawan musuh yang sebenar.
Semoga Allah menetapkan hati kita di atas saf ini.
Abu Khalid,
Hamba Allah, Kuli Dakwah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment