Wednesday, July 28, 2010

Telor-telor Malaysia





Dalam satu jaulah kami ke Terengganu, seorang akh, Amir sedang berurusniaga dengan seorang makcik penjual keropok lekor.

Lokasi: Kuala Kemaman
Masa: Waktu Dhuha



Amir: "Makcik, mak saya pesan supaya saya belikan keropok lekor untuknya. Tahan ke keropok ni sampai ke KL ni makcik?"

Makcik Misteri: "Mu nok makang krepok ni slalu ker awang weih?"

Amir: "Takde la selalu sangat saya datang Terengganu ni makcik. Ini pun kali pertama saya ke mari"

Kemudian makcik itu menyambung kerjanya seperti biasa, meninggalkan Amir terpinga-pinga.

Kami yang nakal ini, memandang dari jarak sederhana, sambil ketawa-ketawa kecil. Akh Amir masih keliru.


Ibroh: Jika tidak tahu, maka bertanyalah. Ilmu itu luas.



~~*~~


Dalam jaulah yang lain, kali ini ke Kelantan pula.

Lokasi: Kuala Berang, Hulu Terengganu
Masa: Waktu Asar



Awang: "Akhi, biar ana sajalah yang belikan jagung tu"

Kami diam, tanda setuju. Ada ikhwah yang cuba-cuba cakap syukran, tapi Awang dah keluar dari kereta Peugeot 908 RC kami tanpa pandang ke belakang. Hanya tangannya diseluk ke poket belakang, mengeluarkan kantung syilingnya.

Tidak lama kemudian, sesudah selesai membeli, Awang masuk ke dalam kereta bersama jagung harga istimewanya. Raut muka beliau ternyata dalam kekeliruan.

Ana tergelak nakal lagi.

Ana: "Akhi, ana tahu apa yang bermain di fikiran nta"

Awang: "Apa dia?" (Masih kebingungan)

Ana: "Pasti nta tertanya-tanya, macamana makcik-makcik jual jagung tu tahu nama nta kan?"

Awang: "Ha-ah..."


Ibroh: Ibroh yang sama


Tuesday, July 27, 2010

Adegan-adegan menyentak jiwa 2


Dalam sebuah muktamar tahunan sebuah wadah dakwah di malaysia, pada tahun 2007. Barisan kepimpinan sedang duduk di atas pentas sambil melihat audien-audien yang sedang memenuhi dewan persidangan. Seorang demi seorang.

Lantas seorang daripada barisan kepimpinan itu tampil ke lostrum sambil berkata:

"Ana rasa FIDAK 2015 perlu ditangguhkan kepada tahun 2016, 2017... Iya-lah kan, ikhwah akhawat selamba je lambat datang 5 minit , tidur semasa pembentangan dan bertangguh-tangguh buat dakwah..."


~~*~~



Sambil membaca tulisan di atas kain rentang; "Mimpi semalam adalah kenyataan hari ini", al-akh berkata;

"Patutnya tukar moto program kita ni, Mimpi semalam adalah mimpi hari ini"


~~*~~


"Akhi, nta tahu tak kenapa ana masih tsabat dalam dakwah walaupun dalam beberapa tahun ni, ana dilanda dengan pelbagai masalah dan ujian dari Allah. Tarbiyyah ana diabaikan, hak ana tidak tertunai, tapi ana masih lagi ada di sini hari ni?"

Al-Akh terdiam, setelah perkongsian yang sangat panjang dari sahabatnya mengenai penderitaan beliau, al-akh tidak lagi mampu berkata apa-apa. Dia terasa bersalah kerana sudah lama dia tidak mendengar khabar sahabatnya itu. Bertahun-tahun lamanya.

"Semuanya kerana nta pernah kata pada ana beberapa tahun yang lepas. Nta katakan pada ana yang nta akan membayangkan muka ana setiap kali nta membacakan doa rabithah. Nta pernah katakan bahawa ana tidak akan pernah berseorangan dalam dakwah ini, kerana nta akan sentiasa mendoakan ana."

Al-Akh itu sekali lagi terdiam. Terkedu. Jiwanya merasai betapa hangatnya ukhuwwah mereka. Terharu kerana ia tidak pernah menyangka bahawa ucapan kecilnya itu, telah membuatkan satu hati ummah ini menjadi kuat, umpama gunung yang memikul segala hasil bumi. Bahkan lebih kuat lagi.


~~*~~

"Makcik ingin ingatkan ntum tentang 3T. Ntum ingat baik-baik. Kalau ntum nak berjaya dalam dakwah ni, ntum kena kuat dalam 3T.

1. Tarbiyyah
2. Tarbiyyah
3. Tarbiyyah"


~~*~~


Dalam suatu syuro kampus, sebelum bersurai. Al-akh menunjukkan pokok dakwah mereka yang mereka telah buat sepanjang malam itu, hingga jam 3 pagi;

"Ntum lihat semua manusia dalam sistem tarbiyyah kita. Ingat baik-baik, mereka semua tidak confirm lagi bersama dengan kita. Kenapa?"

Berfikir sejenak.

"Mereka semua belum commit sepenuhnya dalam usrah kita?"

"Mereka belum bawa usrah lagi?"

"Mereka belum ditapis sepenuhnya lagi?"

Jawab akh tersebut.

"Kerana Allah yang memegang hati mereka. Terpulang pada Allah untuk menyatukan mereka bersama kita atau tidak. Pastikan setiap daripada kita mengikat jiwa kita kepada Allah setiap masa."


~~*~~


Perbualan antara 2 akh berkenaan Baitul Muslim;

"Akhi, nta taknak masuk meminang akhawat A ke? Lumayan tau, qowiy jiddan jiddan. Di bawah kelolaannya sahaja ada 500 akhawat yang lain!"

"Jangan bertawakkal dengan jumlah, bertawakkallah pada Allah, walau seramai mana sekalipun. Dalam sekelip mata Allah boleh memecahbelahkan mereka, dan akhirnya akhawat itu tiada nilainya"

"Kalau jumlahlah nilai harga diri seseorang itu"


Monday, July 26, 2010

Adegan-adegan menyentak jiwa




Pada suatu malam yang hening, sekumpulan mahasiswa berkumpul dalam kumpulan yang kecil. Mereka ragu-ragu dengan keupayaan mereka dalam menggerakkan dakwah di kampus mereka. Sehinggalah senior mereka bertanya satu soalan;

"Cuba kira pondan dan ikhwah yang join usrah di kampus kita. Mana yang lebih ramai?"


~~*~~


Seorang ukht bertanya kepada seorang ustaz yang sedang ligat di medan dakwah;

"Ana lihat ustaz ini siang malam usrah, dakwah, meeting dan macam-macam program tarbiyah. Bila ustaz ambil masa untuk membaca buku, bekalan menyampaikan semua ilmu-ilmu itu?"

"Ana membaca semua buku-buku bekalan itu sewaktu muda dahulu."


~~*~~


Di suatu majlis sesama ikhwah;

"Akhawat berasa kecewa dengan ikhwah yang tidak dapat bertahan qiamullail malam tadi. Mereka kecewa dengan sikap ikhwah yang satu hari nanti akan memimpin mereka. Ntum tidak malu kah ingin mengaku diri ntum sebagai bakal suami-suami mereka kelak?"

"Tolong ajar ana untuk menyembah Allah, bukan menyembah akhawat. Tolong ajar ana agar ana buat semua amal ibadah untuk Allah, bukan untuk kesukaan akhawat. Tolong pimpin ana supaya ana ikhlas kerana Allah, bukan bermatlamatkan nafsu kepada wanita bergelar akhawat."


~~*~~


Di sebuah pertemuan bersama seorang akh yang baru sahaja ingin membina koleksi bukunya, perpustakaan dakwahnya;

"Akhi, mari kita lumba siapa yang dapat kumpul paling banyak buku. hehehe"

"Taknaklah macam tu, mari kita lihat, siapa yang paling banyak membacanya."


Thursday, July 22, 2010

Anak-anak kecil




Pernah aku berkongsi dengan kalian tentang cerita dan rasa aku di awalan dakwahku. Pernah aku merintih seksanya batin di saat kematian ibu dan bapa, adik-beradik malah seluruh keluarga dakwah yang pernah dibina. Malah, rumah tempat kami berlindung terbakar hangus, tempatnya dirampas oleh penyanyi-penyanyi jalanan yang menipu semua penduduk kampung kami.


Bersendirian aku itu, tidak pernah menggagalkan diri untuk terus melangkah dan memaksa setiap tapak ini terhunjam teguh, terpasak di dalam tanah yang lembit lagi penuh lekit-lekit ini.




Hari demi hari, datang seorang demi seorang anak-anak kecil menghampiriku. Mereka merengek-rengek, memohon diberi sedikit asi agar terisi perut yang kosong dan terubat sakit kritikal di hati. Hari demi hari juga Allah memberikan secupak demi secupak rezeki dan sedikit demi sedikit anak-anak ini ku lihat tumbesarannya.


Ada anak-anak yang datang dalam keadaan yang lapar, ada juga yang kesunyian dan rindukan sentuhan kasih sayang. Dan tidak kurang yang datang untuk melihat besar atau kecilnya rumah usang yang kami duduki bersama ini. Begitulah, rumah yang usang, buruk dan kecil ini, tidak ramai yang mampu melihatnya sebagai rumah yang damai. Apa yang ada di hati mereka hanyalah penyaman udara, ataupun televisyen ataupun wifi yang ada di dalamnya. Itu yang membuatkan mereka lari ke rumah lain, walaupun kedamaian itu gagal diperoleh mereka.


Anak-anak yang tetap ingin bersamaku, di dalam rumah ini, tidaklah secomel mana. Lansung tidak dapat menyaingi kecomelan aku sewaktu aku seusia dengan mereka. Tapi tidak mengapalah ya... Mereka ini ku ajar bagaimana untuk melihat dunia melalui jendela. Ku ajarkan tentang keindahan pelangi. Ku ajarkan bagaimana untuk menanam pohon-pohon indah, agar seri dan kedamaian itu sama-sama ada di dalam rumah kami.

Lama kelamaan, rumah yang terbina ini sejengkal demi sejengkal mula menyerupai rumah, rumah secara skemanya. Di mana ada lompong, kecacatan dan kebocoran, kami akan sama-sama perbaiki. Bila lantai berdebu, akan ada anak-anak ini yang menyapunya keluar dari rumah yang disayangi ini. Kami tidak mahu debu-debu, sawang-sawang, habuk (baca: gumpalan habuk hitam dan menggelikan) di kipas syiling mengganggu gugat keselamatan dan kesihatan kami sekeluarga.


Perlahan-perlahan, kasih sayang terbina di antara kami. Hinggakan, telefonku adalah telefon mereka. Keretaku adalah kereta mereka. Kasutku adalah kasut mereka. Baju, seluar dan boxerku adalah juga milik mereka. Begitu juga sebaliknya.


Anak-anak ini, kini sudah dewasa. Aku yang semakin tua, janggut pun dah tumbuh sikit-sikit, mampu melihat mereka berdikari. Kadang-kadang mereka buat kejutan untukku, masakkan aku hidangan, dan meraikan hari jadiku.


Aku mengerlih ke luar tingkap. Di sana, aku dapat lihat sangat ramai anak-anak tidak beribu, tidak berayah. Aku memandang kesemua mereka sambil berlinang air mata. Tidak sanggup aku melihat mereka semua bergelumang dalam lumpur dan karat di luar sana. Kesunyian. Ketakutan. Kegelisahan. Kekuyupan, kebasahan dek air hujan yang sedang lebat.


Aku merenung mereka dari dalam rumah.




Aku merenung dengan lama...




Hingga akhirnya ada di antara anak-anak ku ini memandangku dengan perasaan yang hiba. Dia mengajak anak-anak yang lain juga turut sama memandang ke luar... Mereka berseloroh sesama mereka lantas mereka bertakbir. "Allahu akbar!!"


Pelik betul semangatnya... Aku memandang mereka dengan wajah mencurigakan... Apa ni?


Namun, mereka bergegas ke luar rumah dengan payung di tangan dan keazaman yang membara di wajah. Entah dari siapa mereka belajar buat muka pelik camtu,,,


Tidak lama kemudian, aku menangis lagi. Aku bersyukur kepada Allah atas hidayah yang diberikanNya kepada hamba-hambaNya.

Anak-anak ini menggendong bayi-bayi kecil di tangan mereka. Ada juga yang membawa bayi dewasa yang tidak sabar-sabar ingin belajar ilmu kehidupan denganku. Ia ingin segera keluar semula untuk mengambil lebih ramai anak-anak kecil.

Aku tersenyum gembira sedang melihat anak-anak baru ini. Ada yang menangis entah macam apa. Ada yang membisu kekeliruan punca. Ada yang semangat terlebih-lebih. Ada yang sedang bercakar-cakaran sesama mereka.

Tapi anak-anak ku yang sudah dewasa ini memintaku untuk merehatkan kelopak mata dan tubuh badan. Anak-anak baru ini mereka belai, beri makan, basuh berak mereka, diajarkan cerita hingga semuanya tidur dengan nyenyak di malam hari.


Bila semuanya sudah selesai, mereka (anak-anak lama, yang kurang comel tu) datang kepadaku dan meluahkan perasaan dan kepenatan mereka. Aku memberikan sekuntum dua kata. Hingga terubat kelelahan mereka dan akhirnya mereka dapat tidur dengan penuh azam di dada.


Aku melihat kesemua anak-anak ini tidur dengan nyenyak.

Jauh di dalam hati ku, aku berkata:

"Oh, tengoklah nanti kalau ada masa lapang nanti, aku carikan mak untuk korang"


Senyum itu sedekah :)


Bacalah




Semakin banyak buku yang dibaca oleh seseorang maka semakin mahir menemukan tempo dan tahu cara berhenti di saat-saat yang tepat. Semakin banyak pengalaman yang didapatkannya, maka bahasa akan mengalir dengan lebih mudah dari bibirnya dan dia bisa menaruh perhatian lebih banyak pada 2 hal yang penting dalam berkata-kata: empati dan kemampuan berbicara.

Mampu membaca buku teks bukanlah kemampuan bawaan. Kemampan untuk menguraikan huruf alfabet tidak berada dalam gen kita. Ia bukan hal yang alami- sebuah kemampuan yang kita dapatkan selama tahun-tahun pertama kita di sekolah; beberapa orang lebih sukses daripada yang lainnya.

Saat kita membaca, maka banyak bagian otak yang diaktifkan. Membaca adalah kombinasi dari mengenali simbol dan pola, menghubungkannya dengan suara dan mengumpulkannya menjadi suku kata sampai akhirnya kita mampu menginterpretasikan arti sebuah kata. Selain itu, kata itu harus diletakkan sesuai dengan konteks ia ditemukan, untuk menghasilkan erti.

(Dipetik sesedap rasa dari sebuah novel antarabangsa: Libri di Luca)

Friday, July 16, 2010

Takutnya...


Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra, dia berkata:

"Rasulullah saw bersabda:

"Allah berfirman:

"Golongan manusia yang pertama kali akan diadili kelak pada hari kiamat adalah:

Pertama, orang yang mati secara zahirnya mati syahid. Orang tersebut disidangkan lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang bakal diterimanya dan dia pun melihatnya. Akan tetapi, dia lalu ditanya:

"Apa yang telah engkau perbuat?"

Dia menjawab:

"Aku telah berperang kerana-Mu hingga terbunuh sebagai syahid."

Allah berfirman:

"Engkau dusta. yang benar adalah engkau berperang dengan niat supaya disebut sebagai jaguh dan engkau pun sudah mendapatkannya."

Selanjutnya, Allah memerintahkan (kepada malaikat) agar orang tersebut diseret mukanya hingga akhirnya deceplungkan ke dalam neraka.



Kedua, orang yang mempelajari ilmu Islam dan mengajarkannya kepada orang lain dan selalu membaca Al-Quran. Orang ini pun disidangkan, lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang akan diterimanya dan dia pun melihatnya. Akan tetapi, dia lalu ditanya:

"Apa yang telah engkau perbuat?"

Dia menjawab:

"Aku telah mempelajari ilmu islam dan mengajarkannya kepada orang lain serta selalu membaca Al-Quran kerana-Mu."

Allah berfirman:

"Engkau dusta.Yang benar adalah engkau mempelajarinya supaya engkau dikatakan sebagai orang 'alim dan selalu membaca Al-Quran supaya engkau disebut sebagai qari' (Orang yang lihai dalam membaca) dan engkau sudah mendapat semua itu."

Selanjutnya, Allah memerintahkan (kepada malaikat) agar orang tersebut diseret mukanya hingga akhirnya deceplungkan ke dalam neraka.



Ketiga. orang yang diberi kekayaan melimpah oleh Allah, yang digunakannya untuk banyak bersedekah. Orang ini pun disidangkan, lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang bakal diterimanya dan dia pun melihatnya.

Akan tetapi dia lalu ditanya:

"Apa yang telah engkau perbuat dengan hartamu?"

Dia menjawab:

"Tiada satu kesempatan pun yang ada di dalamnya Engkau suka agar seseorang mengeluarkan sedekah padanya, melainkan aku bersedekah di dalamnya kerana-Mu."

Allah berfirman:

"Engkau dusta. Yang benar, engkau mengeluarkan sedekah tersebut dengan niat agar engkau dikatakan sebagai dermawan dan engkau sudah mendapatkan julukan itu."

Selanjutnya, Allah memerintahkan (kepada malaikat) agar orang tersebut diseret mukanya hingga akhirnya deceplungkan ke dalam neraka.


Sumber: Riyadush Shalihin, Bab 1 : Iman kepada Allah.

Thursday, July 1, 2010

Bila usrah dieja Jei.Ai.= J.I.



Kenyataan Media

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)


30 Jun 2010

17 Rejab 1431



PERBEZAAN PENDAPAT HARUS DITANGANI SECARA ILMIAH

BUKAN DENGAN MELABEL



Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini mengenai kaitan di antara apa yang dilabel sebagai fahaman Wahabi dengan kumpulan pengganas serta yang mengaitkan pula beberapa tokoh dan NGO Islam dengannya. Sebagai sebuah organisasi Islam, IKRAM berpegang kepada jalan damai dalam mencapai matlamat dan visi Islam serta melakukan aktiviti mengikut lunas undang-undang yang sah.


IKRAM menganggap perbezaan pandangan dengan kumpulan fahaman Wahabi perlu ditangani menurut adab dan akhlak berbeza pendapat dalam Islam. Perbezaan pendapat harus ditangani dengan bijaksana melalui diskusi dan wacana ilmiah, sebaik-baiknya secara tertutup, dan bukan dengan perantaraan media. Usaha untuk mengaitkan perbezaan pendapat dengan memberi label adalah sesuatu yang tidak sihat, apatah lagi mengaitkan perbezaan ini dengan keganasan. Sebarang dakwaan yang dibuat perlu disokong dengan bukti yang kukuh bagi membolehkan bukti itu dinilai, yang terdakwa mengemukakan hujah balas dan dengan itu penganiayaan dan kezaliman terhindar.


Aktiviti keganasan tidak wajar dikaitkan dengan mana-mana aliran, kerana yang terlibat terdiri daripada pengikut pelbagai aliran. Mereka lahir daripada salah-faham terhadap Islam dan perjuangannya. IKRAM menyarankan pihak polis bertindak secara profesional, tidak memihak dan adil agar kepentingan negara dan setiap orang rakyatnya terjaga.


Umat perlu kembali kepada prinsip perbezaan pendapat, sesuatu yang mengkayakan kita, selagi kita mengamalkannya dengan baik. Semua pihak hendaklah bergerak kehadapan membina negara Malaysia yang harmoni, maju dan makmur serta saling bekerjasama membangun kehidupan masyarakat agar sejahtera dan maju.



Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad

Presiden

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)



Gambar : Ihsan Al-Akh Alwi Hasrat di Muka Buku Israel

Hisablah dirimu





“Dan Mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu telah memberikan kekalahan dua kali lipat kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kekalahan) ini?” Katakanlah: “Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri

(Surah Ali ‘Imran, 3: 165)


[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]