Para anbiya' (nabi-nabi) merupakan golongan yang sangat istimewa. Mereka adalah segolongan manusia yang terpilih dari bangsa mereka. Dari kumpulan, bangsa atau kelompok mereka, para anbiya' inilah yang paling baik dari segala segi. Merekalah yang paling baik nasabnya, paling kental semangatnya, paling halus akhlaknya, paling cantik tubuh badannya, paling kuat fizikalnya dan paling pintar berbicara lagi pintar berfikir. Mereka ini ma'sum dan telah dijanjikan tempat yang kekal abadi di akhirat sana bersama pengikut-pengikutnya yang taat lagi setia.
Para syuhada' merupakan golongan manusia mati sedang hati mereka menegakkan syahadatul haq islam. Penyaksiannya sempurna dari sudut hati, percakapan dan AMAL. Hingga matinya juga kerana ISLAM. Rasulullah telah menjanjikan syurga tanpa hisab kepada mereka dengan para bidadari yang perawan menunggu mereka di gerbang syurga.
Manusia mana yang tidak cemburu apabila memikirkan betapa istimewa nya manusia-manusia ini di sisi Allah, namun dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
"Di antara para hamba Allah terdapat sekumpulan manusia yang tidak tergolong sebagai para nabi-nabi dan syuhada', tetapi mereka dicemburui oleh para nabi-nabi dan syuhada' kerana kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah pada hari Qiamat"
Lalu (sahabat-sahabat) bertanya: "Ya Rasulullah, ceritakanlah kepada kami, siapakah mereka?"
Jawab baginda: "Mereka ialah orang-orang yang berkasih sayang di antara mereka kerana agama Allah walaupun mereka tidak mempunyai hubungan rahim dan tidak mempunyai harta kekayaan yang membolehkan mereka saling memberi di antara satu sama lain. Demi Allah, wajah-wajah mereka sentiasa berseri-seri dan mereka sentiasa berada dalam nur hidayah Allah. Mereka tidak berasa takut ketika orang ramai mengalami ketakutan dan mereka tidak bersedih ketika orang ramai dilanda kesedihan."(Hadith riwayat Abu Daud)
No comments:
Post a Comment