Thursday, December 24, 2009

Cinta menghindar kesamaran






Mengharung karat dunia dengan ketakwaan




"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah. Dan setiap orang hendaklah memikirkan apakah yang telah disediakan untuk hari esok (Akhirat), bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang dilakukan kamu"

(Al-Hasyr 59: 18)

Memikirkan seputar kehidupan di dunia ini, orang-orang beriman yang sentiasa merujuk Al-Quran dan As-Sunnah akhirnya akan memahami, dunia ini hanyalah sekadar sebuah jambatan menuju Akhirat yang kekal abadi. Ketakwaanlah yang akan memelihara tubuh genit hamba ini, dalam meniti jambatan yang penuh lubang-lubang dan marabahaya.

Orang-orang yang bertakwa akan sentiasa merasa takut, serba salah dan malu dilihat Penciptanya, andai diri berlaku sumbang di atas jambatan itu. Juga perasaan itu akan menguasai diri, jika ada sekelumit rasa di dalam hati, sayang terhadap jambatan itu mengatasi kerinduaan matlamat akhirnya, bertemu destinasi yang nan indah. Perasaan yang hebat itu, adalah kerana muraqabah, yakni merasakan adanya al-hafiz, yang memelihara dan mengawasinya pada setiap ketika. Merasai bahawa ALLAH SENTIASA BERSAMANYA, walau kadang kala, diri tampak keseorangan di pinggir jambatan, sambil membaling-baling batu ke dalam lautan kemaksiatan.

Allah senantiasa sayang akan hambaNya yang bertakwa kepadaNya, hingga diri itu sentiasa diingatkan betapa destinasi itu sangat dekat dengannya, dan untuk ke sana, perlu ada pembekalan yang mencukupi. Asas kepada dakwah kepada Allah itu adalah ketakwaan yang memacu langkah, dan di setiap langkah itu, perlu difikirkan pembekalan agar tidak lapar atau terkandas di dalam perjalanan.

Di sana, seorang daei yang bertakwa, berusaha dengan bersungguh-sungguh pada setiap saat dan tahunnya, agar kepastian akan kejayaan akhir itu tercapai. Hati para daei yang bertakwa akan sentiasa memeriksa amalnya, kemakrufan dan kemungkaran yang dilakukan itu dimuhasabahkan agar benar-benar tertegak selari dengan misi akhir yang tiada keraguaan kepadanya.

Seorang daei yang bertakwa pasti akan berusaha sepenuh hatinya, untuk sebuah amal yang qowi (kuat, berkesan) yakni dakwah yang akan menjadi rantaian amal yang kekal abadi walau diri sudah tinggal tulang dan menjadi sisa-sisa dunia. Anak-anak binaannya, bukan sahaja ramai pada kuantiti tetapi dipastikan keutuhan kualitinya, kerana fiqh dakwah mengajar betapa dakwah kita adalah untuk penumpuan, bukan meramaikan. Amal sebeginilah yang akan memastikan rantai itu, bukan sahaja panjang, tetapi berterusan hingga hari kebangkitan.

Pembekalan itu juga, mengingatkan para daei yang bertakwa, bahawa tidak diketahui akan bila waktu dan ketika, nyawa akan ditarik dan tubuh akan diusung ke permakaman. Tidak diketahui bilakah waktunya, seorang daei itu mampu meraih rehatnya. Rehat daripada sebuah episod perjuangan yang panjang. Mungkin perjalanan ini pendek, dengan pembekalan yang sedikit, namun jiwa yang penuh berahi (ghirah) bertemu ilahi. Atau mungkin perjalanan panjang, dengan pembekalan yang banyak, namun tidak diketahui akan lesu ataupun masih bermaya jiwa seorang pemuda.

Di sini, seorang daei perlu memikirkan momentum dakwahnya itu, kerana dia mungkin seorang pejuang kini, pejuang di barisan hadapan, namun ketuaan yang memamah diri, menumbuhkan penyakit lupa dan penyakit hati yang menjanjikan azab.



Ahli ibadah yang tertipu



"Dan jangalah kamu jadi seperti orang-orang yang telah lupakan Allah dan Allah jadikan mereka lupakan diri mereka sendiri. Merekalah orang-orang yang fasiq."

(Al-Hasyr 59: 19)


Bertahun-tahun, malah berpuluh-puluh tahun di atas jalan dakwah ini, tidaklah menyahkan godaan syaitan, namun mengumpannya untuk melaksanakan syahadatul batilnya tanpa henti, malah dengan pelbagai bisikan yang tidak pernah terfikirkan oleh kita.

Bersaf-saf binaan dakwah. Berpuluh-puluh sekolah. Beratus-ratus figura-figura. Berjuta-juta harta. Semua itu diinfaq dan diusahakan oleh seorang daei yang gigih itu. Masa yang lama, tidak pernah dipersia walau sedetik untuk agenda selain dakwah semasa hidupnya. Pada ketika itu, syaitan-syaitan gedik mampir, membisikkan kata nista terus ke dalam sukma seorang daei hingga dia merasakan bahawa amalnya sudah menggunung. Perasaan cukup. Perasaan hebat. Perasaan islami sudah mencair dalam masyarakat. Hingga akhirnya dirinya rasa sudah selamat dan seakan-akan syurga sudah terhampar di hadapannya.

Nauzubillahumin zalik. Seorang daei lama yang lupa, akan akhirnya duduk diam dan mengharapkan penyambung-penyambung rantaian amal yang melaksanakan tugas mereka. Diri yang sedang dimamah usia, sudah mula ingin mengecap segala hasil dakwah, sedang hakimiyyah Allah di muka bumi ini belum lagi tertegak. Hak Allah masih lagi tidak diraih secara mutlak di setiap inci bumiNya. Daei-daei yang lupa ini, hingga lupa bahawa Allah telah mengecop mohor Fasiq ke dahi mereka lupa kepadaNya. Kepada mereka yang telah berjanji taat setia kepadaNya, tetapi dalam masa yang sama tertipu dengan diri sendiri, pencen tanpa gaji daripada jalan dakwah tanpa kesenangan ini.

Semua ini merupakan sebuah pengajaran dan peringatan kepada golongan muda, agar kelak, cita-cita luhur kita tidak tinggal angan-angan, kerana kelemahan jiwa di penghujung usia, mengkhianati sebuah kerangka yang dibina bersama. Kembali tidur selepas jaga, adakah dosa yang lebih sia-sia daripada ini?




Erti sebuah kemenangan



"Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni syurga. Penghuni-penghuni syurga itulah orang-orang yang beruntung."

(Al-Hasyr 59: 20)

Berteriaklah! Cemburulah kita akan figura-figura yang telah berjaya! Dalam tangisan ini, aku sangat cemburu terhadap mereka. Mereka telah mencapai apa yang telah kita sama-sama ikrarkan suatu masa dahulu. Menjeritlah!!! Kita mungkin tidak berpeluang menjadi sehebat mereka di akhirat sana.

Akh Ariff, terkorban jiwa nya setelah hanya 4 jam merentasi sebuah perjalanan baru, dengan bidadari dunia yang sudah berjanji akan menemaninya di Adni suatu hari nanti. Hari yang penuh keindahan. Keindahan bersua ilahi dan bertemu seorang isteri yang selama ini hanya sempat bersua muka. Akhi, semoga kelak ntuma berbahagia berbulan madu di sana!!! Doa aku sentiasa bersamamu.

Syeikh Hasan Basyir, pejuang dakwah yang tidak pernah mengenal lelah dan lesu. Setiap saat dalam hidupnya adalah untuk ummat, hingga matinya juga di tanah orang. Beribu kilometer dari tanah air. Mandinya jenazah juga hanya ditangan bangsa-bangsa lain yang tidak pernah mengenali beliau dan amalnya. Tubuh itu disambut ribuan jiwa. Tanah Sudan menyaksikan ribuan pemuda solat dan berdoa untuknya buat sekian kali. Dan tanah itu menangis, kerana seorang pejuang mengharumkannya sudah tamat tugas, pergi menghadap rabbul izzati. Yang ada hanyalah tubuh harum yang tersimpan, terpelihara di dalam turob-turob itu.

Syurga. Destinasi terakhir. Lambang kejayaan seorang Mukhlisin. Orang ikhlas, jauh daripada kepentingan dunia yang sia-sia. Fana dan menipu. Menipu sebuah hakikat kebahagiaan dan kejayaan.

Seringkali mereka yang lemah motivasi kerana kurangnya hubungan dengan ayat-ayat Allah dan janji-janji Ar-Rasul. Tidak putus-putus Allah menjanjikan kemenangan itu bersama pejuang syurganya. Dan tiada makna segala kegagalan di dunia ini. Ia tidak pernah menyesakkan jiwa seorang yang jelas arah kemenangannya. Dunia ini tidak lain umpama kudis yang perlu dirawat, bukannya digaru hingga akhirnya semakin parah dan merebak. Menyakitkan, mencacatkan dan mencemar sebuah keindahan.



No comments:

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]