Sunday, November 22, 2009

22 November 2009.




Lama... Cukup lama aku menantikannya...

Setelah sekian lamanya. Sudah 23 tahun aku tidak berbicara dengan bapaku, abi. Ianya suatu penyiksaan batin yang tidak pernah ku sedari hingga aku bebas dari belenggunya. Aku juga tidak tahu bagaimana ia bermula. Namun yang pastinya, aku bukan seorang anak yang baik di mata abi.

Membesar sebagai seorang budak-budak, kemudian remaja yang sangat comel, tetapi berganda-ganda nakalnya, menyebabkan abi berkeras denganku dalam setiap sesuatu. Badan ini sudah lali dengan tali pinggang dan cebisan-cebisan hanger sebagai hukuman setiap perbuatan kurang warasku (baca: kerja-kerja gilaku). Dan begitu juga jiwa ini. Ia mengeras dan menyimpan sesuatu yang orang-orang melayu namakan sebagai dendam. Namun, aku mengenalnya sebagai ego. Ego seorang kanak-kanak yang baru bertatih di bumi ilahi ini. Tidak pernah puas mempelajari setiap apa yang disaksikan, dan gemar belajar daripada kegagalan sendiri, berbanding mengambil iktibar daripada kata-kata mereka yang lain.

Di sana, lahirnya kasih sayang seorang ibu yang membesarkan dengan penuh ketelitian. Setiap adik-adikku pasti perasan yang ibu melayanku lebih baik daripada semua. Dan mereka semestinya tidak tahu mengapa. Kerana aku ketandusan kasih sayang abi. Kami tidak pernah berkata-kata, jauh sekali bermesra.

Aku tidak pernah mendapat kata-kata penghargaan sepanjang hidupku daripada abi, walau setinggi mana kejayaanku. Dari segi pelajaran, dari segi penglibatan dalam sukan, dan serba serbi, aku hanya mendapat puji dan saguhati daripada seorang yang bergelar, ummi.

Aku akui, ada beberapa kesalahan besar yang aku lakukan yang membuatkan aku tidak pernah mendapat senyuman. Dan aku pernah merasakan bahawa ia tidak akan dimaafkan sama sekali. Namun, hukuman dan penderitaan ini seakan sangat berat untuk ditanggung oleh tubuh kecil lagi comel ini.

Pedih mendengar kata-kata sahabatku dalam sebuah perkongsian;

"Walau ana sudah berada dalam sistem usrah ini, namun naqibku yang utama tetaplah ayah ana sendiri..."

Terasa cemburu tidak terkira. Walau abi juga seorang pejuang, aku masih belum mampu menjadikan beliau sebagai panduanku. Ego dalam diri memujukku agar meneruskan perjuangan menentang kebatilan, walaupun ayahku ku sendiri tidak ku kenal.

Ummi bimbang melihat aku yang membesar mengharungi dunia dakwah ini, namun tidak rapat dengan ayah sendiri, lalu ummi meminta dengan nada penuh kesedihan;

"Baik-baik lah dengan abah tu, ummi tak pernah tengok along baik dengan abah. Mana ada ayah dengan anak yang macam ini."

"Along hanya akan berbaik dengan abah jika abah layan along macam anak dia. Along dah buat macam-macam untuk senangkan hati abah. Sekarang, segalanya terpulang kepada abah sahaja."

Ego dalam diri menghambur kata-kata persis anak durhaka yang tak sedar dek untung. Ianya berterusan tanpa kesal di hati sehingga hari itu.

Kepulangan ummi ke rahmatullah telah mengubah banyak perkara. Antaranya, ia telah mencairkan bongkah-bongkah keegoaan antara ayah dan anak ini. Mencairkan segala halangan yang membantah penyatuan dua jiwa itu. Ia lantas tunduk kepada permintaan ummi yang tidak putus-putus diulang-ulang.

Buat kali pertamanya, kami bersuara dalam sebuah gelombang bunyi yang bertali arus dengan frekuensi yang sama. Aneh, aku terasa sayang dan rugi kerana baru kini ku rasa kasih sayang seorang ayah.


Teks SMS daripada abi

Mesejnya ringkas dan merungkai air mata. Menjadikan hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiranku yang paling bermakna:

"Semoga hari2 yg mendatang dirahmati dan kita kekal di dalam perjuangan hingga ke akhir hayat."

Terima kasih abi
Terima kasih ummi

Terima kasih banyak-banyak Ya Allah



Bahagia seluruh semesta
Bermula dari keluarga
Dari titisan susu ibu tercinta
Mengalirlah sungai kasih abadi

Tumbuh dari keringat ayah
Kita perah pengorbanannya
yang melimpah
Derai air matanya mengalir
Di darah kita membina cita-cita

Rentaslah seribu laut (serta)
Kembaralah ke seluruh alam
Takkan kau temui
Semurni cinta
Keluarga

Langkah remajamu
Ditusuk sembilu
Kembara dewasamu
Diamuk nafsu

Ingatlah pesan Ibu
Kenanglah pesan Ayah
Kembalilah
Ke jalan Allah...

Sayangi keluarga
Di situlah bahagia...

6 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

Salam akhi, selamat mengharungi cabaran dengan umur yg baru..

(hrp2 nta phm)

Abu Khalid said...

Salam akhi

Syukran jazilan, insya-Allah ana faham

Banyaknya percubaan mengomen nta, terharu ana dibuatnya

Abu Khalid said...

Tulisan kali ni penuh kontroversi sikit,

Ada makna2 tersirat yang ingin ana kongsikan. Bukan semata-mata berkongsi aib di zaman jahiliyyah.

Kenangkan hubungan kita dan keluarga. Al-maklum tidak sedikit ikhwah yang mengabaikannya. Kata mereka, begitulah ayah dan anak berinteraksi, sedang mereka lupa pusat dakwah mereka adalah keluarga.

Ana bersyukur kerana ana sempat merasainya..

Nurul Ruqaiyah said...

Selamat Hari Lahir Along!!!!

*dah terlambat wish.

Text dari abi:
Semoga kita semua akan bersama semula di sana.


Along,
Doakan abi juga kuat seperti naqib2 lain..


Dari aku yang Paling cemburu dengan kasih sayang ummi terhadapmu.

-Angah-

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]