Monday, May 6, 2013
Pasca PRU13
PRU 13. Di mataku ia lain berbanding PRU-PRU yang lepas.
Inilah kali pertama aku membuang undi, dan inilah kali pertama aku terlibat secara langsung dalam proses memancing undi.
Hakikatnya, mana-mana pilihanraya adalah suatu proses pemilihan pemimpin. Ia tidak lebih daripada itu. Namun, apabila bercakap tentang politik (kuasa) yang melibatkan manusia yang pelbagai latar belakang dan pentarbiyahan, akhirnya hasilnya berbeza.
Justeru itu, aku melihat aku sepatutnya berbeza.
Berbeza matlamatnya. Berbeza pendekatannya. Kerana melalui kaca mata islam, aku melihat demokrasi ini hanyalah sebagai alat, bukannya akidah atau keimanan terhadap mana-mana falsafah selain islam. Ia merupakan alat untuk akhirnya cita-cita islam dapat direalisasikan dalam masyarakat yang majmuk dan luas ini.
Melihat kepada mehwar yang kita sedang lalui dan hadapi kini, ternyata matlamat jangka masa pendek yang ingin kita capai juga berbeza daripada parti-parti gergasi yang lain. (kita masih kerdil)
Mensasarkan untuk mentarbiyah masyarakat dan bersama-sama dengan perubahan politik semasa, ternyata PRU13 telah meletakkan kita setingkat lebih tinggi daripada fasa-fasa sebelumnya.
Tidak pernah aku melihat tentera segigih ini dalam mana-mana parti politik pun. Ia mencerminkan kejayaan kita, jika penglibatan kita dalam PRU kali ini adalah untuk mentarbiyah disiplin dan kemahiran ahli.
Kita tidak pernah gagal mengedepankan calon-calon berkualiti yang dipercayai oleh rakan, disegani oleh lawan. Tidak pernah dalam sejarah politik Malaysia, adanya gerakan sebegini.
Kita semakin matang dari masa ke masa.
Benar, kegagalan menjatuhkan regim BN akan mendatangkan mudarat lain. Bukan sahaja kepada Parti-parti politik yang sedang cuba bersaing ini, malah kepada negara secara umumnya.
Namun di sana, ia memberikan ruang kepada dakwah ini semakin besar dalam kepompongnya yang tersendiri. Walaupun PR tidak menang secara mutlak, namun kedudukannya dalam kerajaan semakin kukuh, +7 kerusi parlimen + 71 kerusi DUN, memberikan lebih ruang kepada gerakan-gerakan islam untuk semakin melebar dalam masyarakat.
Memuhasabah gerakan dakwah ini;
Kini, kader-kader dakwah tidak lagi berfikir secara sempit. Dunia dakwah ini semakin luas dan praktikalitinya semakin dirasai. Fikrah yang dibina selama ini, terasa belum cukup diceduk, dan belum cukup diluah dileburkan dalam masyarakat.
Masyarakat yang selama ini terlihat asing, seolah-olah meminggirkan para duat rupa-rupanya mampu menerima mereka malah, menanti-nantikan tangan-tangan duat membimbing mereka.
Para not-yet-muslim yang selama ini terpinggir daripada calon-calon dakwah, rupa-rupanya sangat mudah menerima kata-kata para duat dan pada diri mereka mempunyai potensi yang sangat besar. Malah tidak melampau jika aku katakan, kemenangan dakwah akan tercapai secara automatik apabila dakwah ini sampai kepada mereka. Ia akan meletup dan akan meleyapkan dominasi satu-satu bangsa terhadap agama ini, terhadap negara ini.
Ikhwah akhawat yang selama ini terlihat kurang berdaya, rupa-rupanya hanya perlu disalurkan kekuatan mereka, menghasilkan suatu kekuatan yang tidak pernah kita rasakan selama ini.
Benar, setiap akh dan ukht itu mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Teori amal jamaei yang selama ini dicanang-canang, hanya berhasil apabila sama-sama dipraktikkan.
Tarbiyah yang praktikal ini juga telah berjaya menapis para pahlawan. Menjadikan pasukan ini benar-benar mantap. Membezakan ahli cakap-cakap sahaja dengan mereka yang beramal.
Aku menantikan saat-saat bahagia kemenangan dakwah ini. Aku ingin berada pada masa itu, ia semakin hampir. Kejayaan itu semakin hampir.
Aku semakin percaya dan percaya. Semakin optimis masanya akan tiba.
Kita masih mahu bersedih kerana kalimah 'inikalilah'? Bukankah kita melihat politik ini dari kaca mata yang berbeza?
Abu Khalid,
Hamba Allah, Kuli Dakwah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment