Tuesday, April 9, 2013

Bayi yang merah itu


Aku keluar dari tandas, selepas mengambil wudhu. Isteriku di atas katil, dengan misi di sebelahnya, dan bayi kecil terlentang diatas badannya.

Bayi itu ku angkat dan ku dekatkan bibirku ke telinganya. Bayi itu masih merengek-rengek, sudah rindukan asi. Air susu ibu.

"Allahu akbar, Allahu akbar", aku iqamat. 

Sungguh menakjubkan ciptaan tuhan, bayi yang berusia tidak sampai 5 minit itu terdiam. Diam, mendengar setiap lafaz agung itu.

"Lailaha illallah", dia masih terdiam. Matanya tertutup. Biasanya bila sudah berusia sehari dua, baru mata akan terbuka.

Aku letakkannya di tempat bayi, bayi itu perlu ditimbang dan menjalani beberapa prosedur sebelum kami sama-sama dapat menuju ke wad.

Aku lihat wajahnya yang tenang. Aku dekatkan lagi bibirku di telinganya. Ia terbaring di atas hamparannya, tangannya seolah-olah mahu mencapai sesuatu.

Aku mulakan dengan Al-Fatihah. Aku suka membacanya sebagaimana Syeikh Misyari Al-Afasi membacanya.

Kemudian, aku bacakan surah Ar-Rahman, surah kegemaran ummi. Malah menjadi maharnya.

Bait demi bait dilantunkan.

Aku lihat wajahnya semakin tenang, dan dia tersenyum!

Bayi yang masih merah ini & mukanya masih lebam, tersenyum? Masya Allah.

Aku terus membaca surah Ar-Rahman, hingga tersekat di satu ayat. Alamak kantoi la pulak dengan anak aku sorang ni, yang aku tak hafal habis surah Ar-Rahman.

Takpe, aku cuba cover. Aku baca Surah Ad-Dhuha.

Dia senyum lagi!

Kemudian aku baca surah Al-Nasr, berkongsi rasa gembira dengan seorang bayi. Kasi tazkirah kepadanya pada masa yang sama.

Kali ini, bayi itu tersenyum dengan lebih lebar lagi, malah tergelak ketawa menampakkan gusinya.

MasyaAllah anak abi, Subhanallah Maha Suci Allah yang menciptakan makhluknya dengan begitu cantik.

Aku dan isteri terkejut dengan gelak tawanya. Bayi yang merah itu.

Selesai membaca An-Nasr, aku baca pula An-Naba'. Seronok aku membaca di hadapan bayi itu, dan dia juga seronok senyum-senyum mendengarnya.

Bayi itu cuba-cuba buka mata, tapi cahaya bilik yang terang menyebabkan matanya silau. Aku halang cahaya itu daripada matanya, menghadang dengan tanganku. Dan matanya terbuka, memandangku sambil tersenyum. Matanya bulat, hitam.

MasyaAllah! Adakah aku bermimpi? Bayi itu masih merah. Masih merah.

Apabila tamat surah-surah tu, aku bacakan surah kegemaranku, Surah Al-Mulk. Tidak sempat habis baca, misi dah suruh keluar.

"Encik tunggu di luar ya, nanti kami panggil"

Betul juga. Lama sangat aku lepak dengan bayi itu dalam bilik bersalin ni.

***

Aku terlupa bagi salam kepadanya. Dalam perjalanan ke wad baru sempat beri salam

"Assalamualaikum anak abi. Selamat datang ke dunia ini. Dunia yang ada Ummi, Abi dan Abang Hadik"

Allah itu selalu ada bersama kita. Allah itu sentiasa ada. Allah itu sentiasa ada.


Abu Khalid,
Hamba Allah, Kuli Dakwah.

No comments:

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]