Friday, March 22, 2013

Apa yang mengikat kita?

Gerakan dakwah itu sifatnya mengalir bagaikan air dalam sebuah masyarakat. Tersebar ke setiap inci tanah yang ada dan membasahi mereka, menyuburkan dan terus mengalir hingga seluruh dunia mendapat rahmatnya. Hingga akhirnya pokok-pokok tumbuh di serata alam. Mengindahkan, mendamaikan dan redup memayungi.

Gerakan itu, secara sunnatullahnya mustahil digerakkan oleh satu tubuh sahaja. Terdapat satu kata-kata menyatakan bahawa "manusia ini ialah makhluk sosial". Mereka mustahil hidup bersendirian, apatah lagi ingin bergerak, menempuh onak dan duri di sepanjang perjalanan yang dijanjikan kesukarannya.

Bergerak dalam suatu gerakan, dalam suatu perkumpulan atau jemaah itu, mewajibkan kita untuk terikat kepadanya dalam 3 hal:


  1. Ikatan Cinta (Intima' Athifi)
  2. Ikatan Pemikiran (Intima' Fikri)
  3. Ikatan Organisasi (Intima' Tanzimi)


Tanpa ketiga-tiga ikatan ini, suatu organisasi itu tidak dianggap sebagai organisasi, sekaligus mereka bukan gerakan namun hanyalah pecahan-pecahan yang terpancar-pancar.

Tanpa ikatan cinta, mustahil individu-individu itu dapat berlapang dada dengan segala kekurangan yang ada dalam gerakan tersebut. Tanpa adanya perasaan rindu, ia akan menjadi penghalang mereka untuk bertemu dengan sekerap-kerapnya, dan seringkali setiap pertemuan atau aktiviti itu dirasakan sebagai beban. Pada saat itu, husnuzon itu dirasakan sangat berat dan itsar itu mustahil, dan nantikanlah kehancuran organisasi tersebut. Ya, itulah ukhuwah di kalangan ahli dan kecintaan mereka kepada organisasi yang mereka kemudi bersama.

Tanpa ikatan pemikiran, atau keselarasan pemikiran sesama ahli, mereka akan membuat perkara yang berbeza. Matlamat dan pendekatan tidak akan selari dan setiap perbincangan adalah pembaziran masa yang tidak sudah-sudah. Segalanya tak muntij. Ketidak kufuan dalam pemikiran juga menyebabkan segala perkara dari sekecil-kecil perkara teknikal hingga kepada gagasan pemikiran dan hala tuju organisasi tidak dapat dicapai sampai bila-bila. Ahli-ahli akan bercakap dalam bahasa yang gagal difahami sesama mereka. Ahli-ahli akan membawa pemikiran mereka, mendahulukan pendapat mereka berbanding apa yang telah digariskan dan disepakati oleh ulama di dalam satu-satu organisasi itu.

Tanpa ikatan organisasi, tanpa penyusunan ahli, tanpa ikatan qiyadah dan jundi, tanpa adanya disiplin dalam perlaksanaan amal organisasi, maka apalah ertinya berada dalam suatu organisasi. Apa ertinya berada dalam suatu organisasi kalau tidak rela disusun? Tanpa ketaatan + thiqah ahli terhadap qiyadah dan keseriusan + kasih sayang qiyadah terhadap ahli, bagaimana mungkin suatu organisasi itu dapat bergerak? Tanpa adanya disiplin pada setiap ahli organisasi untuk mengikuti segala ketentuan yang ditetapkan, bagaimana keharmonian dalam organisasi itu dapat dikekalkan? Tanpa kesetiaan pada segala hasil perbincangan, bagaimana mungkin suatu perancangan itu boleh berjaya.

Jawapannya, bekerjalah sendiri. Anda tidak sesuai bekerjasama.

Sama-samalah kita bermuhasabah.


Abu Khalid,
Kuli Dakwah.

1 comment:

ENCIK MUSAB said...

Jalan Dakwah kita masih panjang
Untuk itu butuh perjuangan

Salam Ukhuwwah :)

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]