Thursday, December 3, 2009

Jalan Dakwah itu ibarat rantai




Membentuk rantaian amal

Di sepanjang jalan ini, kita akan diuji dengan segala macam mehnah dan tribulasi. Ia datang dari dalam dan luar tubuh seorang daei. Kadangkala, mehnah itu datang dengan penyiksaan batin dan zahir. Dan kadangkala, ia datang dengan segala macam nikmat yang ditawarkan. Berbahagialah mereka yang melepasi dengan jayanya. Amat rugilah orang yang terkandas di sepanjang jalan itu.

Jalan itu sangat panjang, yang akan mengorbankan daei-daei yang tidak sabar-sabar meraih hasil. Jalan itu sangat banyak liku, duri, onak dan cabaran, hanya mereka yang ikhlas dan menyerahkan segala-galanya untuk agama Allah, akan sanggup menelan segala kepahitan. Namun di dalam kepahitan itu, tersimpan kemanisan yang tidak terhingga, ukhuwwah yang akan membuatkan jalan ini terasa dekat dan senang. Barulah terasa, jalan dakwah yang seakan sangat panjang ini, rupa-rupanya ada matlamat yang sangat jelas, destinasi yang tiada kekaburan padanya. Cuma kadang-kadang mata ini sedikit berdebu dek selalunya bermain dengan kekotoran di sepanjang perjalanan.

Kepada mereka yang baru ingin bertatih merentas lautan penuh cabaran itu, ketahuilah bahawa sesungguhnya generasi-generasi sebelum kita pernah mengharungi ujian yang jauh lebih mencabar. Mereka mengharungi detik-detik itu dengan serba kekurangan materi dan segala-gala. Pengalaman itu mengajar mereka untuk melabur dengan lebih lagi, menyediakan bekal untuk para mujahidin selepas mereka. Bekal dengan kekuatan iman, bekal dengan ilmu, bekal dengan nasihat-nasihat, bekal dengan segala platform, bekal dengan segala kenderaan, bekal dengan segala harta benda.

Kadang-kadang generasi baru ini kurang untuk menghargainya. Kita tidak sedar betapa sukarnya jalan ini dibina. Kita lupa bahawa mereka berada dalam jalan dakwah ini, bukan hanya untuk menikmati hasil orang-orang sebelum kita, tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar lagi.

Tugas kita hanyalah menyambung kerja-kerja itu, agar anak-anak kita pula dapat merasai bantuan kita, lantas menggapai kemenangan dengan tangan-tangan mereka.

"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini."

[Syeikh Mustafa Masyhur]




2 comments:

zahidzuhri said...

ada plak yang terlalu bersemangat dan mempersoalkan apa yang orang lain buat, terlupa apa yang dia buat...hoho...pengalaman mengajar dan membina kematangan...

Anonymous said...

Generasi baru ini bukan sahaja perlu meneruskan usaha ini tetapi untuk merealisasikan suatu hasil yang lebih baik dan lebih mantap dari hasil sebelumnya....

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]