Wednesday, November 11, 2009

Hati ini tidak pernah puas bercinta





Cinta di bawah pohon tarbiyyah

Cinta di hati bersuara lagi. Kata-katanya samar-samar. Berbisik-bisik dalam hingar-bingar di sekitarnya. Walau tahu ada bisikan itu, si peminjam jiwa tetap tidak dapat mendengar luahannya, yang masih tenggelam dalam hingar-bingar tadi.

Peminjam jiwa ini lantas pergi ke suatu ceruk yang sedikit sunyi, cuba memahami setiap lafaz-lafaz yang tersimpan dek hati yang kecil ini. Ia memuntahkan segala bingkisannya, mendedahkan segala cintanya, merembeskan keluh kesahnya. Hati itu jelas sedang dalam persimpangan, kabur pilihan dan keyakinannya. Gusar andai diri berasa sangsi akan keimanan sendiri.

Sedang diri merasa keresahan itu, datang seorang murobbi yang tidak pernah serik-serik membimbing diri ini. Hati ini merasa sangat riang, hanya dengan memandangnya. Berada bersamanya, walau tanpa sepatah kata, segala kerinduan terubat, penyakit hati sirna, kesangsian hilang dan masalah selesai.

Diri ini tidak tahu mengapa, namun tazkirah yang terkeluar dari mulut sang murobbi itu tidak pernah gagal memecahkan empangan air mataku. Ianya pecah, seiring dengan mengalirnya cecair yang membasahi pipi yang mungil ini. Basah, sebasah hati. Namun, ianya terasa sangat hangat, terasa lebih selesa andai ia dibiarkan meluncur terus ke dagu, membasahi sejemput janggut dan terus menitik ke tangan kananku.

Terasa diri ini ghurur. Terasa diri ini sangat sombong. Terus diri ini meneropong segala amal yang penuh cacat cela. Najis kemaksiatan yang kecil itu, rasanya umpama gunung yang sangaat berat. Bukan gunung biasa, tetapi gunung najis yang hina dan menghinakan. Malu rasanya, apabila gunung najis ini seolah-olah sedang bertenggek di bahu pelaku maksiat ini, yaitu diri ini sendiri. Berat dan menghinakan sungguh gunung ini, terasa malu di hadapan sahabat dan kenalan handai, apatah lagi di hadapan Tuhan. Diri ini menginsafi, kerana pernah sesaat, dunia ini sangat seronok diamati, hingga pada sesaat itu, terlupa akan Ilahi rabbi.

Begitulah tarbiyyah ini mengajarkan diri. Beginilah tarbiyyah ku rasai. Indah, mencerahkan, mengairi hati yang gersang, lompong kerana diisi dengan dunia yang menggoncang perasaan, bukan menenangkan.

Begitulah murobbi memainkan wataknya. Menghiasi segenap ruang hati dan perasaan, menambatnya dengan kasih sayang ilahi. Ia juga mengajarkan diriku ini untuk mengasihani. Hanya perasaan itu, sudah cukup untuk membuat diri ini mabuk mencari kekasih hati, meledakkan keimanan di hati, meraih kemenangan deen ilahi.


Cintaku tidak pernah bertepi

Adikku, hanya Allah az-zawajalla mengerti bagaimana kejolaknya hati menerima panggilanmu. Dirimu dalam keresahan itu, dengupan perasaan mu itu, kerunsingan fikiranmu itu, saratan kerinduan itu, timbunan intelektual itu... aku pernah rasai. Percayalah. Namun, hati abangmu ini tidak tenang setenang mimik muka kacaknya itu.

Kekadang lidah ini petah berhujah, bukan kerana banyak pengetahuan, tetapi cemas digoncang kemelaratan emosi yang tebal itu. Kekadang lidah ini keras kelu tiada kata, kerana otak sedang ligat mengira-ngira, takutnya tidak terkata, takutnya kerana tahu kata-kata itu umpama pedang. Perlu dihunus, tapi diriku memegang mata dan hulunya agar tidak mencederakan hatimu wahai adikku. Rela dibasahkan kedua-dua tangan ini dengan darah itu, sedang setiap celahan tangan itu menanggung luka yang dalam, asalkan hatimu tidak tergores akan keganasan pedang itu. Begitu tersusun kata-kataku dibina.

Adikku, dalam ketelitian ku itu, aku akur betapa lemahnya diri. Aku gusar tidak terkira andai dirimu merasa keringnya jiwa bila bersamaku. Takut jika bertambah pula kucar kacir duniamu bila memandang mukaku. Gelapnya jiwa ini, takutnya menyebarkan jajahan zulumat ke dalam jiwamu yang mulus itu. Rendahnya tahap ilmu di dada, memaksa aku tidak putus-putus menuntutnya, namun jelas, masalahmu adalah masalahku, ia tidak pernah selesai. Kebersamaan kita yang akan merungkai ikatannya, ia akan kekal matang dengan kematangan usia kita bersama.

Terasa semakin gusar perasaan melihat matamu yang berkaca-kaca menelan segala tohmahan dan kata-kata kerasku. Sedarlah adikku, keras kata-kata ini bukan bermaksud meremukkan hati mu, namun ia untuk menggugah perasaan lembut itu, agar tidak terbawa-bawa dengan perasaan takutmu itu. Lembut kata-kataku bukan untuk membuai perasaan, mengangkat dirimu semata-mata, namun itulah pengikat cinta kita.


Khilaf kita sepatutnya menyatukan hati kita

Adikku, sedarkah kau kita begitu berbeza? Abangmu ini lahir dari rahim yang berbeza dan berbeza pula latar belakangnya. Lahirnya diriku dalam biah yang berbeza dengan suapan ilmu yang berbeza. Setiap sel dalam badanku mengharungi jerih perih yang berbeza, namun setiap daripadanya tidak pernah henti berzikir memuji Tuhan kita. Ia tidak pernah henti meronta-ronta andai diriku tidak berada di atas landasanNya. Dan dengan landasanNya, hatiku yang bertasbih ini merasai ketenangan tidak terkira. Itulah yang menyatukan kita.

Cinta kepada Allah yang Maha Esa itulah penyatuan kita. Ikatan akidah melalui syahadah dan penyaksian terhadapannya, akan mengikat hati kita, mengungkaikan segala khilaf sesama kita.

Sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagi hati kita yang berkecamuk ini. Mungkin tidak pernah kau sedari, hati ini semakin mengenali dirimu. Setiap gerak gerimu ternyata tidak asing buatku. Aku tidak pasti secinta mana dirimu terhadapku, namun hatiku ini tidak pernah puas menyintaimu, kerana aku tahu dikaulah yang akan menyambung amalanku, andai sekujur tubuh ini tumbang dicabuk tirani.

Cintaku ini memaksa diriku semakin ingin tahu tentang dirimu dan akhirnya semakin aku mengenalimu. Malangnya adikku, sering kali aib kita terserlah di sepanjang perjalanan ini. Ia menggugat keutuhan cinta kita. Ia kerap kali menyebabkan diri ini menyimpan ketuat di hati, yang membesar menanamkan benci. Benci dalam cinta, menumbuhkan komplikasi dalam cinta kita.

Jika dikau memahami, pasti kau akan mengetahui mengapa aku menimbulkan persoalan ini, bukan sekadar mengundang sebuah episod kebencian, namun ingin menegur jika jahiliyyah itu menjadi benteng yang akan membunuh cinta yang murni lagi suci. Itulah yang kerap kali menjadi pucuk-pucuk muda khilaf, yakni maksiat dalam diri.

Jika masih juga lahir khilaf atas kerendahan ilmu pengetahuan dan pengalaman, maka maafkanlah wahai adikku, berhusnuzonlah sesama kita, izinkan pengalaman dan masa ini mengajar diriku yang hina ini untuk menjadi abang yang lebih baik dari masa ke masa. Itu janjiku, aku akan pastikan diri ini semakin baik setiap hari, semakin kuat keimanan dari masa ke masa. Untuk membimbingmu. Itu janjiku, peganglah ia. Andai tersasar diriku, ku mohon pada mu, dengan cinta yang mengikat kita, maka peganglah tanganku, bimbinglah aku kembali menghadapNya.


Dunia ini mengajar kita praktik ke syurga

Adikku, dunia ini menghimpit kita dengan segala permasalahannya. Himpitan ini menyebabkan jiwa kita merasai suka duka silih berganti. Setiap kerja serba tak kena. Hingga kita sering menyalahkan Tuhan tanpa sedar kita. Jalan yang lurus itu terasa sangat banyak likunya. Menjadikan kita keliru ke mana harus di bawa diri ini. Di mana seharusnya di bawa segala janji setia yang selama ini dibina dalam diri. Lambaian syurga itu tidak lagi terbayang di mata.

Segala-galanya tampak sukar di depan kita. Cukupkah ilmu kita? Cukupkah masa kita? Cukup kuatkah diri? Cukup layakkah diri untuk menjadi secemerlang mungkin dalam semua arena?

Sejarah mengajar kita lagi. Dunia ini akan memberikan pengajaran yang besar bagi orang yang mencelikkan hatinya untuk mendengar kuliah dunia.

Adikku, tentera-tentera Badar juga pernah merasai keperitan kita ini. Malah lebih lagi. Kita saksikan betapa kecilnya bilangan mereka berbanding tentera kufar. Pandangan kasar akan menggambarkan kekalahan mutlak, kematian yang dijanji, dan syahid yang dicita pasti dikecapi. Namun, dari mana datangnya keyakinan itu?

Dari mana datangnya keyakinan semangat remaja Muaz dan Muawwiz menebas Abu Jahal? Mana datangnya keyakinan para sahabat yang membunuh saudara mara mereka? Dari mana datangnya keyakinan hamba-hamba sahaya itu memberantakkan tuan-tuan mereka?

Dari angka mereka kah? Dari kepandaian mereka berperangkah? Dari kelengkapan perang mereka yang tak seberapa itu kah?

Sedarlah saudaraku, mereka semua beriman bahawa Allah itu ADA. Kekurangan yang mereka rasai itu, menyebabkan mereka lebih beriman kepada Allah. Sepenuhnya. Tidak iman mereka pada senjata mereka. Bukan pada masa yang mereka ada. Bukan juga pada akal mereka itu.

Di dunia inilah, keimanan kita akan tetap diuji, setiap masa. Yakinkah kita pada Allah? Hanya itu persoalan untuk semua mehnah dan tribulasi itu.

Itulah jawapanku, untuk semua persoalan mengenai DUNIA, jika ia masih membelit pemikiranmu, menghambat nalurimu.

5 comments:

Anonymous said...

ya akhi.. izin di copy...

abdmajeed said...

"Adikku, hanya Allah az-zawajalla mengerti bagaimana kejolaknya hati menerima panggilanmu. Dirimu dalam keresahan itu, dengupan perasaan mu itu, kerunsingan fikiranmu itu, saratan kerinduan itu, timbunan intelektual itu... aku pernah rasai. Percayalah. Namun, hati abangmu ini tidak tenang setenang mimik MUKA KACAKnya itu."

Ana x faham la perenggan ni...
Hehe...

Salam ukhuwwah ya akhi =)

Abu Khalid said...

Akhi,
Itu kiasan yang tinggi
Asif kerana mengelirukan nta

Abu Khalid said...

Anon..
Silakan-silakan

Tak sertakan nama ana pun tidak mengapa
Semoga bermanfaat untuk semua

:)

Anonymous said...

salam akhi...semoga terus dengan cinta ini,,tambahkan lagi..muazzin

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]