“Doakan aku mati syahid”, itulah yang terpacul keluar dari mulut Hamda, setiap kali mengucapkan salam perpisahan kepada sanak saudara dan sahabat andai.
Matanya membiaskan suatu keyakinan, dalam pada masa yang sama tersimpan pengharapan yang menggunung untuk dia bertemu dengan syahidnya. Itulah cita-cita tertingginya.
Dia sangat-sangat terinspirasi dengan syahidnya Amir Al-Khattab, pejuang pembebasan Chechnya dan Syeikh Ahmad Yasin, pengasas HAMAS di Palestin. Kisah-kisah mereka yang didengar di awal pentarbiyahan Hamda, menggelora perasaannya, hingga dia tidak bisa duduk diam. Tidak bisa duduk diam sehinggalah ke hari ini.
***
Mata Hamda tenang memerhatikan Terusan Suez menerusi jendela mini bus yang dinaikinya. “Di sinilah Ikhwah bertempur dengan British suatu masa dahulu”, bentak jiwanya.
Ikhwah, suatu golongan yang asing buatnya sebelum terjebak dengan dakwah dan tarbiyah.
Sesungguhnya, mereka yang beriman itu bersaudara (Al-Hujerat: 10)
Ikatan (‘a-qa-da) yang menyatukan bukan sekadar ikatan darah mahupun harta namun yang mengikat adalah kepercayaan yang mantap terhadap Tuhan, rabbul jalil. Sehingga akhirnya mereka sama-sama menjadi tentera fikrah. Setiap saat dirinya memikirkan tentang Rabb, menjalinkan ukhuwah atas nilai iman dan taqwa serta melaksanakan dakwah di jalanNya. Suatu manifestasi cinta kepada Rabb, juga cinta sesama manusia.
Hamda terdiam sementara. Mindanya terjerat memikirkan sesuatu.
“Bagaimanakah nasib ikhwah akhawat di Gaza?”
Tidak pernah terlintas di minda Hamda, ulang tahun kelahirannya yang ke-21 pada 14 November yang lepas, dia dihadiahkan dengan berita kematian saudaranya yang tidak putus-putus.
3600 pengeboman. 200 rumah ranap. 8800 rumah separuh binasa. 2200 syahid terdiri daripada anak-anak kecil dan wanita. 1500 cedera parah. 125 sekolah dibedil. 2 masjid musnah manakala 34 masjid separuh musnah. 1000 ekar tanah pertanian musnah. Segala kezaliman itu berlaku dalam masa 8 hari. 8 hari!
“Ya Allah, kau berikanlah kekuatan kepada ikhwah akhawat di sana. Gaza... Aku datang!!!”, jerit Hamda dalam hatinya. Jantungnya berdetak laju dan nafasnya terasa begitu deras. Perasaan marah bercampur sedih itu masih tidak reda.
Abdullah, sahabat lamanya tekun bertilawah quran tanpa henti di sebelahnya. Tidak putus-putus. Ayat demi ayat yang dilantunkan, memberikan ketenangan kepada Hamda. Dia terlelap...
***
“Setiap kali mereka bom rumah kami, kami akan bina kembali. Mereka bom lagi, kami akan bina lagi!”, kata Fuad Mahmoud Askari. Rumahnya 5 tingkat, 300 meter3, menempatkan 6 keluarga di dalamnya telah dimusnahkan sama sekali dengan roket Israel.
“Itulah yang berlaku di kebanyakan tempat di Gaza, ikhwah akhawat sekalian. Namun, ia tidak melunturkan semangat kami. Kami akan bina kembali, agar Israel akan pelik dan bingung. Ini merupakan serangan psikologi ke atas musuh”, Mahmoud Abu Tamim memberikan taklimat demi taklimat di dalam bas sambil mereka bergerak ke destinasi seterusnya.
“Kalian tak takut? Kalian tak sedih?”, Hamda mencelah. Memang itu yang bermain di fikirannya semenjak menjejakkan kaki ke Bumi Ribat ini.
“Saudaraku Hamda, kami menang dalam perang ini. Tiada apa yang lebih menggembirakan kami daripada kemenangan melawan Israel Laknatullahi alaih”.
Hamda terdiam. Betul juga. Israel terpaksa menyerah kalah apabila Roket Al-Qossam berjaya meledak di tanah Tel Aviv, sekaligus terpaksa bersetuju dengan perjanjian damai yang merugikan mereka.
Mata Hamda tertumpu ke luar tingkap coaster yang mereka naiki. Kedudukannya bersebelahan dengan tingkap memberikan ruang yang sangat luas untuk dia membaca dan mentaksir keadaan di bumi Gaza.
Hijaratus Sijjil. Perang itu baru sebulan berlalu, namun pembinaan sudah berada di mana-mana. Bangunan-bangunan yang runtuh hampir tidak kelihatan di Gaza. Kalau ada pun, kesan runtuhan telah dibersihkan ataupun sengaja dibiarkan untuk menjadi bukti kerakusan Israel Laknatullah. Mereka benar-benar bangsa yang bermaruah dan tidak mahu menyerah kalah.
Deligasi Misi A2G12-ER dibawa berjumpa dengan ramai orang dan pergi ke banyak lokasi. Setiap kali ke lokasi tersebut, Hamda merasakan sesuatu yang ganjil di dalam hatinya.
Hamda lantas memanggil Abu Tamim dengan alasan ingin berbincang sesuatu. Mereka bergerak sedikit jauh menjauhi lokasi pengambaran. Sedang rakan-rakannya yang lain, ahli delegasi sibuk menemu ramah para pejuang yang rumah mereka runtuh menyembah bumi.
“Aku meluat dengan semua ini. Ini semua terlampau ideal. Aku menyampah dengan semua penipuan ini!”, Hamda separa menjerit. Matanya terjengil, mukanya merah.
“Baik kau cakap betul-betul, korang semua ni berlakon kan?”, kali ini suaranya benar-benar tak tertahan lagi. Dia benar-benar rasa tertipu dan merasakan perasaannya dipermain-mainkan.
Dari jauh, suara Hamda kedengaran, membunuh hingar bingar sebentar tadi. Semua mata tertumpu kepada mereka berdua. Pak Putih, Ketua Delegasi berjalan ke arah mereka berdua. Abu Tamim mengangkat tangannya, memberikan signal kepada Pak Putih agar tidak mampir, dia mahu supaya mereka berdua dapat berbual secara peribadi.
“Akhi, pandang mataku.”
“Kami dibesarkan dalam suasana jihad. Siang malam kami, kami diajar untuk sentiasa ingat kepada Allah. Sedari kecil, hanya Quran menjadi penghibur. Ayat-ayatnya kami hafal dan baca saban waktu. Ruh jihadnya menyerap masuk ke dalam tubuh badan kami, dan seluruh badan negeri ini. Kami adalah orang-orang yang rindukan syahid.”
“Semua orang di Gaza inginkan syahid, dan inginkan seluruh keluarga mereka turut serta syahid. Bila intifadhah diserukan, semua orang keluar dari rumah, mengangkat apa sahaja yang mereka ada.”
“Darah ini terasa murah, nyawa ini terasa murah kerana Allah”
Hamda terdiam, sekadar memerhatikan saudaranya. Matanya tidak berkelip.
“Akhi, kami semua ingin berkorban demi islam. Aku sendiri baru dianugerahkan anak sulungku semalam. Tapi, kerana aku ditugaskan untuk mengiringi ntum, setiap masa aku korbankan bersama ntum. Ini pengorbananku. Ini jihadku”
Hamda berdiri kaku. Baru ia sedar, yang meronta di dalam dirinya itu ialah cemburu. Sejak menjejakkan kaki ke tanah penuh barakah ini, dia memang berazam untuk syahid, mencapai kematian dengan penuh kemuliaan. Rupa-rupanya orang-orang di Gaza lebih tinggi semangatnya untuk mati di jalan Allah. Orang di Gaza lebih bersedia. Orang di Gaza lebih layak. Dan mereka menunaikan hak Tuhan mereka dan sebahagian daripada mereka telah dijemput menjadi syuhada.
Hamda cemburu. Dia tidak dapat menyembunyikan kecemburuannya itu. Jiwanya terseksa akan cemburu yang amat terhadap saudara-maranya di Gaza, terhadap golongan yang terpilih ini. Hamda menangis, air matanya mengalir sederas-derasnya. Ia cuba diseka dengan kedua tangannya, namun gagal. Hamda begitu cemburu.
Abu Tamim mendekati Hamda. Dihulurkan kedua tangannya, mengelilingi bahu Hamda, memeluknya. Ahli Misi yang lain kebingungan. Pak Putih kembali kepada mereka, memberikan arahan untuk pulang ke funduk.
***
Malam terakhir di Gaza. Abdullah dan Hamda sedang leka menunaikan qiamullail bersama. Jam 3 pagi, beberapa jam sebelum subuh. Kesejukan menggigit mereka. Hatta Abdullah, yang kini sedang meneruskan Post-Doctoratenya di Russia dalam bidang Aeroangkasa.
Selang antara solat mereka, giliran Hamda pula menjadi imam, tiba-tiba pintu bilik mereka diketuk.
“Tok tok”
“Biar ana pergi tengok”, kata Hamda. Alang-alang dah berdiri dahulu.
“Dr Basem”
“Siapa?”, Abdullah inginkan kepastian.
“Dr Basem Zneid, leader HAMAS yang jumpa kita semasa hari pertama tu”
“Really? Jap ana tukar baju sekejap”
Pintu dibuka. Seorang lelaki kacak, berpakaian kot. Santai tetapi kemas berdiri tegak sambil tersenyum.
“Assalamualaikum saudaraku. Apa khabar? Maaf mengganggu di waktu sebegini.”
“Waalaikumussalam, tidak mengapa Dr. Dr punya pasal bila-bila pun boleh. Silakan masuk”, Hamda berbasa-basi.
“Sebenarnya saya ada nak berbincang sesuatu. Tapi saya perlukan pertolongan salah seorang daripada kamu untuk angkat barang dari kereta saya di bawah. Ada sesuatu yang saya nak kirimkan untuk adik ipar saya di Malaysia.”, kata Dr Basem.
“InsyaAllah, saya tolong Dr, lagipun saya baru sahaja tukar baju. Nta duduk sini boleh? Buatkan air untuk tetamu kita ni”, Abdullah bertanya sahabatnya.
“Okey insyaAllah. Jazakallahukhairan kathira akhi”, Hamda menjawab.
Mereka berdua berjalan meninggalkan bilik. Meninggalkan Hamda berseorangan.
“Akhi!!!”
Dr Basem dan Abdullah berpaling ke belakang.
“Ana uhibbukuma fillah”, kata Hamda sambil tersenyum.
Dr Basem dan Abdullah membalas senyuman Hamda.
“Wa nahnu aidon”
“Ahabbakallazi ahbabtani lahu”
Masing-masing kembali menuju ke destinasi masing-masing.
Hamda menutup daun pintu kemudian terus menghidupkan pemanas air.
“Ya Allah, aku bersyukur kerana diberi peluang menjadi tetamuMu”, doa Hamda di dalam hatinya.
“Tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Agung lagi Maha Penyantun.
Tiada tuhan kecuali Allah Rabb Arasy Yang Maha Agung.
Tiada Tuhan kecuali Rabb langit, Rabb bumi dan Rabb Arasy Yang Maha Mulia.
Kau kurniakanlah kesyahidan kepadaku. Sesungguhnya aku rindu untuk bertemu denganmu.
Sesungguhnya aku cemburu terhadap saudara-saudaraku yang telah kau pilih Ya Allah
Sesungguhnya aku malu terhadap segala kesalahanku kepadamu
Janganlah kau pinggirkan aku kerana dosa-dosaku, Ya Allah”
“Amin”
Hamda bertafakur sejenak, sambil menunggu air masak.
Bunyi angin di luar semakin kuat. Hamda berasa pelik. Dia menghampiri cermin hotel dan menyelak langsir tebal yang menutupinya.
“Apache?”
4 roket Hellfire dilepaskan dari sebuah Apache Longbow. Menghancurkan segala apa yang ada di dalam bilik itu, termasuk Hamda. Tubuhnya hancur berkecai.
Namun jiwanya hidup di sisi Tuhan.
“Dan janganlah kamu mengira bahawa orang yang terbunuh di jalan Allah (fi sabilillah) itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan dengan diberi rezeki kepada mereka. Mereka juga gembira dengan kurniaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Mereka juga gembira dengan orang-orang yang berjuang mengikuti jejak langkah mereka di belakang mereka yang belum pernah mereka temui. Bahkan mereka gembira menikmati nikmat dan kurniaan Allah. Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala amalan orang-orang mukmin”. (Surah Al-Imran : Ayat 169-171)
“Barangsiapa meminta syahadah kepada Allah dengan jujur, maka Allah menyampaikannya pada darjat syuhada, meskipun ia mati di atas katilnya”. (Hadis riwayat Muslim)
Abu Khalid
Kuli Dakwah
3 comments:
hadith terakhir itu summarize the whole story dengan tepat.
sangat 'like'!!
akh, teruskanlah penulisan fikrah..
moga usaha akh bisa mencetus himmah istiqamah pembaca setia dari dulu.
Allahu akbar
Akhirnya dia menulis. :D
Post a Comment