Tuesday, June 22, 2010

Menjadi hamba Al-Hawa



Hawa nafsu tidak pernah puas!

Seorang perajurit memulakan perjalanan tarbiyyahnya dengan bekalan yang sangat besar. Hadis 1 Arbain memberikan suatu momentum yang cukup kuat. Niat. Niat diikhlaskan, hanya untuk meraih redha Allah semata-mata.

Jika sebelum ini, memasuki rumah tarbiyyah ini melalui pelbagai pintu, dengan pelbagai impian dan hasrat yang menggunung tinggi, kini tidak lagi. Ia menanam tekad untuk menghapuskan cita-cita selain menggapai jannah, kebahagiaan di alam abadi. Kerana semua selainnya itu fana'. Semuanya itu akan sirna bersama sirnanya dunia pada hari yang disebut-sebut.

Wanita impian itu akan mati. Harta yang melimpah akan diwariskan. Nama akan dilupakan. Segalanya sia-sia. Hanya Allah yang akan kekal selamanya...

Permulaan yang baik untuk seorang akh itu adalah dengan niat yang benar di awalannya. Namun, memegang kebenaran itu tidak semudah yang digambarkan. Menjadi suatu fitrah dan tabiat jalan ini, penuh dengan segala mehnah dan tribulasi yang kerap kali menggugah jiwa.

Umpama api yang memanaskan tembikar, daei seharusnya merasakan segala cabaran itu adalah untuk mematangkan imannya secara praktikal. Tidak seharusnya seorang daei itu gugur dalam segala mehnah itu dan menyalahkan Allah atas kegagalannya itu. Namun, gugurnya daei di medan amal adalah suatu perkara biasa di alam dakwah ini, segala dugaan ini seumpama penapis-penapis untuk membezakan antara sepah dan manisan. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas dapat melepasinya.

Jangan terkejut jika kejatuhan seorang daei itu bermula dengan perkara-perkara kecil dengan lagha-lagha kecil sahaja.

Semuanya bermula apabila seorang daei itu mula mendengar kata-kata al-hawanya. Sudah mula merasakan bahawa dosa-dosa kecil itu perkara-perkara rutin biasa yang tidak mampu dihindari. Semakin lama semakin tidak kisah berlumuran dengannya, mengumpul titik demi titik hitam di hati. Hingga akhirnya hati itu sudah terlampau gelap untuk nur islam menembusinya.

Malang jika seorang daei itu tidak menyedari betapa al-hawa ini tidak pernah puas. Ia tidak pernah menunjukkan kecukupan. Mereka yang menjadi hamba kepadanya akan penat, penat menuruti segala kehendaknya di setiap sela masa. Hinggakan akhirnya baru daei itu sedar, ia sudah jauh tersasar.

Masa merupakan aspek yang sangat penting dalam tarbiyyah. Kita mengandaikan hijrah ini merupakan perkara penting kerana ia mengubah walau 1 darjah haluan seorang muslim itu, selepas masa yang lama, 1 darjah itu bahkan akan menjadikan seorang muslim itu beribu batu jauh daripada sasaran awal jahiliyyahnya, semakin dekat dengan islam. Itu baru 1 darjah! Bagaimana jika 180 darjah perubahan? Pasti ia sampai ke sasaran.

Dan bagaimana pula jika kita menukar haluan berpuluh-puluh darjah daripada sasaran islam kita? Hingga akhirnya kita sangat jauh dari syurga...


Segalanya bermula dengan perkara lagha!

Tidak sedikit orang yang bertanya kepada aku tentang perkara ini. Bolehkah dilaksanakan? Bagaimana jika sudah tidak tahan lagi untuk dilakukan?

Aku sudah mula merasai betapa berkesannya belajar melalui pengalaman. Dan dalam Dakwah Tarbiyyah ini, aku merasakan kunci yang hilang untuk membuka gerbang kejayaan itu adalah Tajarrud. Keberjayaan kita dalam perjuangan ini, bergantung kepada sejauh mana kita mengasingkan diri daripada Jahiliyyah (Tajarrud daripada Jahiliyyah).

Sedarlah kita akan memenangi pertarungan ini dengan izin Allah, dengan bantuan tentera-tenteranya yang terpilih. Yang mengetepikan hawa nafsu mereka dan memilih merasa dengan wahyu. Merasakan maslahat ummah itu lebih diutamakan berbanding maslahat peribadi mereka sendiri.

Perubahan itu hendaklah dilaksanakan dengan sekeras mungkin, kerana kita tidak pernah tahu bila usia kita akan berakhir, namun yang pastinya ia pasti akan berlaku.

Bagaimana ingin dikekang nafsu yang meluap-luap? Banyakkan berpuasa, sesungguhnya ia akan menguatkan hati kita. Melatih jiwa agar tidak tertipu dengan kehendak al-hawa. Mengingatkan jiwa agar sentiasa berzikir memuji Allah.

Aku akui, kadang-kala kita tidak dapat menahan diri untuk melaksanakan segala aktiviti lagha tersebut. Manusia ada jatuh dan bangunnya.

Dalam hal ini, "laksanakanlah" lagha di luar pengetahuan "manusia" yang lain. Dibimbangi ia akan menjadi fitnah ke atas para duat. Cakap tak serupa bikin. Dibimbangi akhirnya dalam kelompok kita ini, lagha dianggap perkara biasa malah dibangga-bangga. Jika berlakunya perkara ini, biah hilang, ruh tarbiyyah hilang, segalanya akan gagal.

3 comments:

Petualang said...

n3nya, hmm...Prison Break. Menarik!

Abu Khalid said...

Ish... Nti ni masih layan bedtime story kanak-kanak lagikah?

polaris said...

apa kah masih ada jalan untuk ku kembali.ku perlu mujahadah tapi kerap kali tewas dek kerana nafsu yg x penas puas.
entah mengapa seolah2 terkena pada diri sendiri...persoalannya masihkah ada ruang untukku???....

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]