Friday, September 24, 2010

Bahasa, Jiwa dan Bangsa




Hari ini, aku bangun dalam erti mengenal diri. Episod perjalanan hidup ini, membekaskan kesan yang mendalam bagaimana islam menjadi satu-satunya matlamat abadi insani. Sejarah diri yang terpasak ke dalam hati sanubari ini, hanya sejarah bagaimana tamadun manusia ini mengenal pencipta mereka.

Di hati ini, tidak pernah aku merasakan kehebatan diri selain rasa keislaman dan asal-usulku dari nabi yang pertama, hamba Allah yang pertama, manusia yang pertama iaitu Adam a.s.

Mungkin dalam menjalani mehnah dan tarbiyyah selama hayat ini, ada sahaja perkara atau warisan yang ingin dibanggakan, namun ia tidak pernah menarik hatiku. Baik harta, keturunan, pendidikan, ataupun apa sahaja yang menipu diri. Namun, jelas bahawa ia tidak akan selamanya mampu ditukarkan dengan harga yang lebih mahal berbanding iman dan islam.

Kata Umar r.a.,

"Kita (bangsa Arab) dahulu adalah sehina-hina manusia, lalu Allah memuliakan kita dengan Islam; andainya kita cuba mencari yang lain selain Islam necaya Allah akan menghina kita kembali."

Alangkah indahnya jika kita diberikan kecelikan mata hati, hingga mampu menilai segala apa yang ada disekeliling kita dengan menggunakan kayu ukur Allah, bukannya neraca senget manusia.

"Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa."
(Hujurat 49: 13)



"... yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaan kamu."
(Al-Hajj 22: 37)


Apabila melihat seorang perempuan, yang terbayang di mata dan minda kita adalah ketakwaannya, bukan kilauan mata dan saiz bibirnya. Apabila melihat seorang akh, sahabat di sisi, yang dilihat adalah ketakwaannya, bukan kekayaan ataupun ke-boleh-masukan-antara-kita-dan-dia. Apabila mencari menantu, yang dilihat bukannya kelicinan dahi dan tersusunnya gigi, tetapi bagaimana dia mampu membimbing suami isteri.

Ia nya sukar, tetapi itulah ukuran kemuliaan yang ditetapkan Sang Pencipta, walau betapa hinginnya kita mengubah aturannya.

Keengganan untuk melihat dengan kaca mata takwa, menunjukkan betapa kita ini samada masih belum memahami urgensi takwa, ataupun masih mengharapkan balasan dari makhluk. Sedangkan Allah telah men-quote kata-kata Rasul-Nya kepada sasaran dakwah:

"Aku tidak meminta imbalan kepadamu dalam menyampaikan"
(Al-Anam 6: 90)

Kita mengharap segala 'habuan', rezeki dan kurnia, bahkan kehidupan ini, hanya dari Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Makhluk tidak dapat memberikan kita apa-apa, tanpa kehendakNya; hatta kebahagiaan, kekayaan, kemakmuran, kecantikan dan segala-galanya.

Cacatlah akidah seseorang itu, sekiranya masih mengharapkan balasan, ataupun gentar akan balasan sesama makhluk.

Amal dakwah yang kita laksanakan ini, memerlukan kita menyusun setiap tapak langkah yang dihayun selari dengan niat yang bersih dari segala jenis kesyirikan. Ia memerlukan kita memahami kondisi masyarakat, bahkan mengetahui apa yang memenuhi benak mereka setiap masa.

Apatah lagi diri kita ini, ia perlu difahami jauh hingga ke pangkal hati supaya ia juga selari dengan niat tadi.

Masyarakat kita di Malaysia, masyarakat Melayu khususnya, berada dalam kancah perasaan yang pada mereka tiada hujungnya. Mereka keliru hakikat keberadaan mereka di maya pada ini dan mereka hilang identiti. Mereka tidak kenal, siapakah mereka yang sebenarnya. Mereka tidak tahu asal usul mereka, hinggakan mereka menyangka mereka ini tidaklah sesiapa, selain beruk-beruk yang berubah menjadi manusia, kemudian menganut agama hindu purba dan hari ini meraih kemerdekaan palsu.

Mereka mencari-cari kemuliaan yang bakal mengeluarkan mereka dari kesengsaraan ini, namun yang mereka temui hanya lah kebuntuan.

"Sejarah menceritakan asal-usul dan identiti, kemuliaan suatu bangsa. Malangnya, sejarah ditulis oleh pemenang."

Menyedari kenyataan itu, sejarah bangsa ini dibuka semula. Tampil generasi-generasi baru mencari kemuliaan itu. (Baca ini. Dan ini. Dan ini). Lembaran yang indah ini kini menjadi tatapan semua dan kita seharusnya (wajib) memainkan peranan kita dalam menyebarkan Syahadatul Haq ini.

Kita perlu belajar untuk memahami di manakah posisi bangsa ini dalam usaha untuk menegakkan ubudiyyah kita dan hakimiyyah ilahi. Kita harus memahami sejarah (identiti) bangsa dan interaksinya dengan Ad-Din, hingga seluruh buana ini pernah mengakui keagungannya.

Kita tidak perlu kembali menyembah berhala hingga menjual kemuliaan islam yang selama ini ada dalam diri ini, namun semakin menghilang dari masa ke masa. Jika tidak dapat semua, jangan buang semua. Berusahalah untuk mendapatkan semua dengan sedaya upaya. Itulah usaha kita.

Nabi Muhammad saw. menyatakan dalam pidato paling monumental yang beliau sampaikan dalam haji wada', "Sesungguhnya, Allah telah menghapus keburukan jahiliah dan kebiasaannya dalam membangga-banggakan orang tua dan nenek moyang dari diri kamu. Semua manusia berasal dari Adam, sedangkan Adam berasal dari tanah. Bangsa Arab tidak lebih unggul dari bangsa bukan Arab dan orang berkulit hitam tidak lebih utama dari orang berkulit merah, kecuali dengan takwa."

Beliau juga bersabda, "Bukanlah masuk golongan kami, orang yang menganjurkan fanatisme. Dan bukan termasuk golongan kami, orang yang mati dengan menjunjung fanatisme."

(Hadis Riwayat Abu Dawud)


~~*~~


Aku yakin kita telah berusaha dengan sekerasnya untuk mencapai keislaman maksima dalam diri kita. Kita telah berusaha dengan semaksima mungkin untuk memahami risalah ad-din ini.

Kita telah habis mentadabbur Majmu' Rasail, setiap helaiannya. Kita telah baca Fiqh Sirah, Fiqh Dakwah, Muntalaq, Raqaiq, Aqaiq, Al-Masaar, Manhaj Haraki, Tariq ilal Qulub, Maalim fit Toriq, Hazaddeen, Mustaqbalu hazaddeen, zat ala tariqudda'wah, dan segala macam pembacaan untuk memantapkan fikrah kita dalam tasawwur islam dan tasawwur dakwah.

Namun berapa ramai daripada kita yang sudah betul-betul katam quran? Sudah memahami isi-isinya di setiap perkataannya? Hingga kita tahu secara umum apa yang telah disampaikan dalam al-Quran? Hingga kita mengetahui setiap halal dan haram yang perlu kita taati?

Atau kita masih lagi hanya mahu dan mampu membaca naskah-naskah tulisan, pendapat manusia, hingga mengetepikan kata-kata Allah?


3 comments:

Muhammad said...

Dikatakan bahawa dosa pertama Iblis adalah berbangga dengan keturunan.. "Engkau ciptakannya dari Tanah, sedang aku dicipta Engkau dari api," maka jadilah ia sehina-hina makhluk. Iblis: The First Racist.. Hm..

ahmad fahmi said...

jazakallahu khair 4 the reminder
terkadang kita selalu terlupa, dalam keghairahan memantapkan diri

salam ziarah..

Anonymous said...

salam ziarah...entri yang baik dan menjana minda...teruskan...

semoga tsabat dalam jalan dakwah !

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]